Pages

Ahad, 3 Ogos 2014

NAFAS & ZIKIR NAFAS

NAFAS & ZIKIR NAFAS

Nafas yang keluar-masuk dari lubang hidung yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera, kosong tetapi sebenarnya ada dan dengan keberadaannya itu menzahirkan pula nadi kehidupan adalah sebenarnya gambaran pada Martabat ZAT AHADIYYAH yang belum bersifat, bernama dan beraf'al. 

Kehidupan mutlak bermula dari tiupan Roh dan kehidupan makhluk pula bersumber dari kehidupan Allah SWT - ZAT Mutlak Yang Maha Hidup dan DIAlah yang sebenarnya memberikan kehidupan daripada Kehidupan-NYA sendiri kepada makhluk yang dimana semua benda mati tak mungkin dapat berbuat sesuatu tanpa Iradat dan Qudrat-NYA.

Zikir nafas itu melalui hubungan nafas yang keluar masuk disertakan zikir Hu Allah tanpa diucapkan dengan bibir suara dan hanya menyebutnya di dalam hati sahaja. Hu adalah ketika jalannya memasuki nafas seraya mengingati Lailaha illa Hu (tiada yang wujud melainkan DIA) di dalam kesedaran hakikat diri, dan Allah adalah ketika menzahirkan nafas seraya mengingati Lamaujud illallah (tiada yang maujud melainkan Allah) di dalam kesedaran syariat diri. 

Bermulanya setiap manusia itu melakukan zikir nafas ialah ketika sejak mula lahirnya sebagai bayi di dunia ini. Bayi itu telah mengambil salah-satu unsur iaitu udara di bumi ini untuk menjadi gerakan nafasnya. Nafas yang masuk membawa kehidupan dan nafas yang keluar membawa tenaga batiniah. Sebenarnya nafas itu juga terdirinya dua huruf. Nafas yang masuk terdiri huruf HA, manakala nafas yang keluar terdiri huruf Waw, maka sambungan kedua huruf itu adalah perkataan HUWA (DIA).

Pada peringkat awal zikir nafas ini bersandarkan juga daya ingat kepada Allah atau saat mengingati Allah. Bagaimanapun, zikir yang berdasarkan semata-mata pada daya ingatan, sebenarnya tidak kekal kerana sifat akal manusia itu sebenarnya lemah. Sebentar mengingati Allah dan sebentar pula hilang tumpuan ingatannya kepada Allah kerana terhalang oleh sebab yang melalaikannya apabila tumpuannya beralih kepada selain Allah.

Setelah zikir nafas itu tidak lagi tergantung pada keluar-masuknya nafas, maka zikir Hu Allah itu pun berpadu dalam diam di bawah kesedarannya serta tidak lagi terpaut pada daya ingatan dan nafas jasmaninya, kecuali telah menjadi zikir roh atau roh yang berzikir, sementara seluruh jasad telah dikatakan mati maknawi, yakni dikatakan mati sebelum mati.

Zikir roh itu tidak akan tercapai selagi tidak membuka pintu kesedaran batin. Justeru itulah zikir roh bukan lagi dengan nafas tetapi adalah dengan penyingkapan kesedaran matahati yang terdalam atau ‘ainul bashirah. 

Apabila pintu kesedaran batin sudah terbuka, maka dengan sendirinya zikir Hu Allah itu pun tidak lagi berulang-ulang lalu meresap hilang di dalam musyahadah rahsia NurNya, dengan ertikata lain rahsia NurNya itulah yang berzikir, dan pada ketika yang sama roh telah dapat mengenal siapakah dirinya atau siapakah hakikatnya yang tidak lain adalah wujud Allah di martabat Wahdat al-Syuhud dalam penyaksian saling pandang-memandang di antara Nurun ‘alan Nur tanpa jarak di atas, di bawah, di kiri atau di kanan. 

Roh merasakan berada sangat hampir sekali dengan Allah, tetapi terlalu hampirnya roh itu dengan Allah bukan difahami secara konsep pantheisme, iaitu seperti bercantumnya dua helai kain perca di antara makhluk dengan Allah, atau makhluk menjadi Allah dan Allah menjadi makhluk dalam maksud dua wujud menjadi satu. 

Atau contohnya seperti air, gula, kopi dan susu dibancuh menjadi minuman di dalam satu cawan. Sama sekali tidak. Roh adalah yang tidak dijadikan kerana ianya termasuk di dalam perintah atau urusan Allah dan adalah dari Allah. 

Hampirnya roh itu dengan Allah seumpama matahari dengan pancaran cahayanya. Matahari dengan sinar cahayanya bukanlah dua bentuk yang berbeda dan tersendiri, melainkan sinar cahaya matahari itu adalah dari matahari itu juga.

Roh boleh diibaratkan sebagai permukaan cermin dan melaluinya Allah melihat DiriNya sendiri dalam tajalliNya tetapi bukan di dalam kemutlakanNya, kerana ilmuNya yang mutlak itu hanya ada pada DiriNya dan milikNya sahaja. 

Justeru itu roh adalah alat yang dengannya Allah mengenal DiriNya sebagaimana keinginannya dari sejak azali terungkap di dalam sebuah hadis qudsi, “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku rindu untuk dikenali maka Kujadikan makhluk agar DiriKu dikenali.”

Roh tidak ada keinginan lain hanya tumpuannya semata-mata kepada Allah. Allah telah menempatkan rohNya yang suci ini hanya pada tubuh Insan al-Kamil dan hanya Insan al-Kamil inilah yang menjadi tumpuan kesedaran Allah bahwa siapa yang kenal dirinya, akan kenallah Allah. 

Insan al-Kamil ini ibarat sepohon zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat, dimana pohonnya mengandungi terlalu banyak keberkahan sebagaimana diceritakan di dalam al-Quran, Surah an-Nur: 35. Keberkahan yang dimaksudkan itu ialah kelimpahan ilmuNya yang dikurniakan kepada roh dan dengan itu roh dapat menyaksikan Allah pada semua HadratNya, sebagaimana sebiji benih yang dapat menyingkap seluruh rahsianya pada setiap bahagian pohon seperti akarnya, batangnya, rantingnya, daunnya dan buahnya.

Zikir roh itulah yang sebenarnya dikatakan zikir nafas. Manakala zikir yang bersama keluar-masuknya udara nafas itu adalah zikir yang majazi (sementara) sahaja. Zikir roh itulah juga dianggap oleh kaum ariffin sebagai sholat daim, yakni sholat yang berkekalan dan tidak berwaktu. Roh itu sentiasa berada di dalam kawasan kesedarannya menyaksikan Allah seperti firmanNya, “Bukankah Aku Tuhanmu?” “Bahkan! Aku menyaksikanMu!” dijawab oleh roh. 

Roh telah dihantarkan ke alam qalbu (hati) atau namanya Alam Mitsal untuk memikul tugas khalifah maka itu roh pun diturunkan ke Alam Ajsam atau jasad manusia. Hanya hati manusia yang suci bersih dapat menyedari bahwa roh itulah suatu hakikat yang bergelar Al-Nur, dirujukkan kepada posisi Aku dalam sudut batin manusia yang terdalam dan juga dinamakan Sirr. Menurut Syekh Ibnu Arabi, hati atau qalbu manusia yang suci bersih itu dapat menggambarkan semua kesempurnaan Allah kerana hati manusia itu mengandungi aspek-aspek Ketuhanan.

Roh sebagai Al-Nur itu mestilah ada perhubungannya dengan Allah Yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah roh dapat bertindak dalam semua laluan fakulti manusia baik yang zahir atau batin, sebagaimana mampu menggambarkan idea, memahami rupa, warna, huruf dan suara. Namun penglihatan dan pengetahuan dari hakikat roh itu sendiri kembali kepada wujud Allah dan perbuatan Allah. 

Allah yang dilihat adalah Allah yang Maha melihat, Allah yang diketahui adalah Allah yang Maha mengetahui setelah mencapai puncak rasa dan syuhud di dalam kesatuan zikir nafas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.