Pages

Isnin, 24 Ogos 2015

Allah: Kalimah Tauhid



Allah: Kalimah Tauhid
Oleh: Lokman Ab. Rahman
Dalam Islam, kalimah Allah itu adalah terlalu suci. Kalimah Allah bukanlah lambang atau simbol seperti agama-agama lain yang boleh dicipta mengikut imaginasi dan kreativiti manusia sesuka hati. Nama Allah itu sendiri merujuk kepada zat dan sifat kepada yang maha pencipta alam semesta. Dalam ketuhanan Islam, Allah sendiri telah memperkenalkan sifat-sifat kesempurnaanNya. Orang Islam dengan mudah memahami sifa-sifat tuhanNya sungguhpun baru sehari memeluk Islam. Dalam surah yang sangat pendek Allah telah mengisytiharkan sifatNya adalah tunggal, tempat pergantungan, tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada sekutu bagiNya (al-Ikhlas). Selain kalimah yang kudus itu, terdapat nama-nama Allah yang terkandung di dalam Asma al-Husna yang menerangkan sifat keagunganNya. Di alam nusantara untuk mengenali keagungan sifat dan keesaan Allah melalui pengajian sifat dua puluh ini, walaupun sebenarnya sifat keagunganNya tidak terbatas. Malahan kesemua penganut agama tauhid akan menyebut dan menulis perkataan Allah secara selaras tanpa mengira puak, bangsa dan budaya. Untuk mengekal sebutan dan tulisan dengan tepat lazimnya perkataan Allah akan dikekalkan di dalam perkataan Arab. Sekiranya perkataan tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa lain, kalimah akan ditulis beriringan dalam bahasa Arab. Malah Allah sendiri telah memberi jaminan bahawa al-Quran akan terpelihara dari sebarang pencemaran dan pengubahsuaian yang kekal di dalam bahasa Arab. Oleh sebab itulah kalimah Allah kekal disebut dan ditulis dalam bahasa Arab oleh kesemua bangsa manusia sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan bahawa dari segi lafaz dan sebutan serta sifat Allah adalah jelas di kalangan umat Islam kerana ia merupakan pokok akidah tauhid. Ia sangat mudah difahami dan terlalu rapat kepada penganutnya. Kukuh dan jelasnya kepercayaan dalam Islam mampu berdiri sendiri tanpa perlu melihat dan meniru. Jauh sekali untuk meminjam apa-apa perkataan dan konsep dari agama-agama lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.