Pages

Rabu, 16 Disember 2015

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: Apa itu tenaga batin?

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: Apa itu tenaga batin?

Apa itu tenaga batin dari mana asalnya dan bagaimana cara memperdapatnya, setidak-tidaknya merasakannya?

Tenaga batin ialah tenaga Rohani yang berasal dari Satu Tenaga Hidup yang tidak mati melalui jalannya tenaga jasmani.

Perpaduan tenaga hidup dan tenaga jasmani, mendatangkan tenaga rohani. Isi tenaga jasmani ialah tenaga hidup yang akan mati, berasal dari benda dan tenaga Rohani berisi tenaga hidup yang tidak mati berasal dari yang Hidup.

Kalau itu hidup telah meninggalkan kita, maka matilah kita namanya. Umumnya orang menganggap adalah kehidupan di dalam itu tidak begitu penting untuk diketahui, kerana semua orang tahu bahawa di dalam batang-tubuh kita ada roh.

Selagi dia masih ada bersama kita, kita akan hidup terus. Mereka terlampau banyak melihat dan memikirkan ke luar, dan terlalu sedikit ke dalam:
mereka memikirkan apa yang dalam diri mereka sendiri?”
(Al-Quran Surat Ar Ruum Ayat 8)

Kelemahan dan kekurangan letaknya ialah pada badan diri
kita. Kemahuan, keinginan dan kehendak sangat banyak. Nafsu
kuat, akan tetapi daya (tenaga) lemah.

Jadi yang kurang pada kita ialah tenaga (energy). Kita kekurangan tenaga untuk mencapai yang diidam-idamkan. Dan kesalahan letaknya pada kita sendiri kerana tak mahu menyelidiki dan mempelajari keadaan kita sendiri.


Mempelajari keadaan sendiri bererti mempelajari apa yang ada pada kita. Tidak
sia-sia Tuhan Mencipta kita. Dijadikannya kita dalam keadaan cukup, akan tetapi kenapa kita berasa kekurangan? Bukan Tuhan yang salah, melainkan kita yang bodoh.


Diberinya kita modal untuk hidup, adakah kita pergunakan modal itu? Di mana letaknya modal itu? Modal tersebut letaknya pada kita terahsia. Rahsia itu yang
akan kita pecah kalau mahu hidup dengan erti yang sebenarnya hidup. Bagi kita, adalah modal itu mempunyai tenaga yang tersembunyi, iaitu tenaga ghaib.


Tenaga ghaib yang berisikan nikmat, bukan yang dimurkai dan bukan pula yang sesat. Bagaimana pula dia akan dimurkai dan sesat? Asalnya dari modal yang diberikan-Nya pada kita untuk hidup, kerana datangnya dari Dia langsung.

Selama ini kita berfikir, berbuat, bekerja, bergerak dan lain sebagainya dengan tenaga lahir. Tempoh-tempoh di luar kemampuan kita, kita paksakan juga sedangkan perjuangan hidup kita di luar, selain dengan yang lahir, juga dengan yang batin.

Segala-galanya telah diatur oleh Yang Maha Pengatur iaitu Yang Maha Ghaib. Bahkan yang musuh besar kita di bidang kehidupan ialah yang tidak nampak? Bukankah hawa nafsu, syaitan, iblis itu tidak nyata dan memohon kepada Tuhan meminta dihidupkan sampai hari kiamat untuk memperdayakan kita manusia ini?

Pada perjuangan hidup sehari-hari, lebih banyak kita merasakan batin daripada yang lahir. Jadi adalah untuk kebahagiaan hidup kita, selain kita mempergunakan tenaga lahir, mestinya juga tenaga batin. Daya tenaga itu telah ada bersama kita
semenjak kita diadakan, akan tetapi tak pernah dipergunakan lantaran tidak tahu.


Tenaga ghaib yang ada pada kita itu mengaliri seluruh batang-tubuh kita di dalam, yang merupakan tenaga yang tersembunyi bagi kita. Dan dialah yang datang dari ‘yang sedikit,’ yang dikatakan iblis dikecualikannya, kerana si iblis tak sanggup memperdayakannya, dan itulah pula dia yang berasal dari ‘yang sedikit,’ kata Muhammad Rasulullah kepada mereka sewaktu mereka bertanya kepada beliau tentang Roh.

“Mereka bertanya kepada engkau (Muhammad) mengenai Roh. Jawablah, tiada aku diberitahu oleh Tuhan-ku tentang itu, kecuali hanya sedikit.”

Tenaga yang tersembunyi itu ialah tenaga ghaib yang dikurniakan Tuhan langsung kepada kita yang mula pertama sekali kepada nenek-moyang kita, Adam a.s., dengan Firman-Nya,

“Aku tiup Roh-Ku!” yang kita warisi turun temurun.

Dia memberi hak hidup kepada kita; kehidupan yang terbatas dan batasnya pada kita ialah bulu dan kulit, dan hak mati ada pada Yang Memberi iaitu Tuhan. Bila Yang Punya datang menjemput, maka gugurlah hak yang memakainya. Keadaannya tidak bererti lagi, kerana telah mati.

Letaknya bagi kita di dalam, dan tenaganya bagi kita tersembunyi. Tenaganya amat dahsyat kerana bukankah itu Kudrattullah? Untuk kelanjutan kehidupan kita di luar, untuk mengharungi lautan hidup, mahu tak mahu guna mencapai tujuan kita sepenuhnya, kita harus dapat menguasai dan mempunyai itu tenaga ghaib, itu Kudratullah, kerana lautan hidup yang akan kita lalui  bergelombang dan beralun, berbukit dan berlurah, berduri dan berbatu dan sangat banyak lekuk-likunya.

Hanya dengan diikut sertakan itu tenaga ghaib, segala halangan dan rintangan bisa tertimbus dan teratasi kerana seluruh kejadian yang dijadikan, seluruh keadaan yang diadakan, seluruh isi alam semesta ialah ciptaan Yang Maha Ghaib, Yang Maha Esa iaitu Allah.

Itu tenaga ada di dirimu, bukan di badanmu. Dari itu pelajarilah dirimu. Temuilah dia dan pergunakanlah tenaganya yang banyak mengandung rahsia itu. Rahsia Ghaib padanya, letaknya. Dia ada padamu dan banyak di luar.

Alam di luarmu beranekaragam, berwarna-warni. Pelajarilah pula keadaan alammu sendiri iaitu badanmu. Langit bagimu ialah kepalamu, bumi bagimu ialah perutmu dan hidupmu ialah antara bumi dan langit. Kaki, tanganmu adalah untuk menyampaikan maksudmu.

Orang padamu ialah badanmu, dan untuk itu pergunakanlah otakmu. Engkau berpijak di bumi Tuhan, tempat jasadmu dikembalikan nanti. Hidupmu di bawah lindungan Tuhan; tempatmu kembali ke asal. Bagimu adalah kenyataannya.

Satu kembali ke bawah iaitu ke tanah, satu kembali ke atas iaitu kepada
Allah. Sama-sama kembali atau dikembalikan ke asal. Dua kejadian menjadi satu sama kita; satu nyata satu tersembunyi. Kedua-duanya mempunyai tenaga. Yang manakah pegangan kita yang benar?

Yang akan pulang ke atas atau yang akan kembali ke bawah? Kalau kita perhatikan akan pembawaan hidup kita di luar pada masa yang sudah-sudah, dengan tak malu-malu kita akan mengatakan bahawa pegangan hidup yang telah kita bawakan ialah
ke bawah, padahal yang benar ialah yang ke atas.


Sebagai seorang manusia, tidaklah bisa bahagia pula kehidupan yang akan kita rasakan kalau kehidupan kita sematamata kita pergantungkan kepada yang akan pulang ke atas kerana dia selalu benar dan terlampau benar, lagi benar sekali.

Dengannya sahaja kita tidak akan mengecap nikmat hidup di dunia, kerana alam fikiran kita selalu dibawanya kepada Yang Maha Benar. Sebaiknya dan seharusnya, kita mesti dapat mempergunakan kedua-duanya sejalan, dan jalan yang ke atas menjadi pegangan kita sebagai pedoman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.