Pages

Ahad, 6 November 2016

Mimpi Jumpa Nabi

Mimpi Jumpa Nabi
Datuk Hj. Abu Hassan Din al-Hafiz

Ada seorang sahabat menceritakan dia pernah bermimpi bertemu Rasulullah beberapa tahun lalu.  Pada mulanya dia tidak tahu itu Nabi Muhammad.  Tetapi di dalam mimpi itu dia terpesona melihat wajah seseorang yang bercahaya bak bulan purnama, memakai serban dan jubah putih tersenyum.

"Hati kecil saya terdetik mengatakan itulah Nabi Muhammad s.a.w.!" cerita sahabat saya itu meskipun dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah baginda yang disinari cahaya.

Selepas bermimpi itu, beliau terus menceritakan kepada bapanya. Lalu bapanya meminta supaya merahsiakan mimpi bertemu Nabi bimbang menimbulkan fitnah. Ti­dak lama kemudian sahabat saya itu mengerjakan umrah dan telah melawat makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid Nabawi di Madinah.

Walaupun kini beliau telah menjadi seorang yang terkenal, hidup senang dan bersifat pemurah lagi tawaduk tetapi sahabat saya itu tidak mahu lagi bercerita kisahnya bermimpi bertemu Nabi Muhammad itu meskipun beberapa kali didesak dan dirayu.

Ada seorang lagi sahabat ini mengaku pernah bermimpi Rasulullah. Kisah itu berlaku sewaktu lelaki ini berada dalam zaman 'kejahilan yang amat sangat, minum arak, berjudi, berzina dan kaki perempuan. Malah saya mendapat tahu lelaki ini juga terlibat kegiatan maksiat siang dan malam.

Beliau menceritakan, suatu malam, dia terjaga daripada tidur. Lama dia termenung memikirkan mimpinya. Semasa bermimpi, dia melihat seorang lelaki yang bercahaya-cahaya dilimpahi nur pada wajahnya, tetapi memberi isyarat supaya dia taat kepada Allah dan Rasulullah, mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Seperti kisah pertama, lelaki kedua ini juga seolah-olah mengetahui itulah baginda Nabi Muhammad s.a.w. walaupun tiada  siapa memberitahunya. Bahkan dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah dalam mimpinya itu kerana dilimpahi cahaya.

Selepas bermimpi itu, lelaki berkenaan terus menangis dan mengambil wuduk, bersolat dan bertaubat nasuha dinihari itu. Sejak bermimpi itu lelaki berkenaan kembali menjadi seorang Muslim yang sebenar.

Beliau tidak lagi mahu terlibat dengan sebarang kegiatan maksiat seperti dulu. Kehidupan beliau juga senang dan diberkati Allah. Beliau   juga   sudah mengunjungi makam Nabi Mu­hammad s.a.w. di Madinah setelah mengerjakan umrah.

Kedua-dua kisah di atas pengakuan kisah benar antara mereka yang pernah bermimpi bertemu Rasulullah semasa tidur. Syukurlah kedua-dua kisah di atas mereka mendapat petunjuk supaya taat kepada Allah dan Rasul. Malah lelaki kedua itu diberi hidayah dan bertaubat selepas bermimpi bertemu Rasulullah.

PERSOALANNYA adakah ke­dua-dua kisah mereka ini benar-benar bermimpi 'ber­temu Nabi Muhammad s.a.w.' dan bukannya cuma mainan tidur?

"Kalau betul itu adalah Rasululullah, maka dia bukanlah calang-calang orang. Dia adalah manusia istimewa kerana terpilih untuk bertemu dengan pesuruh Allah," jelas Datuk Haji Abu Hassan Din al-Hafiz, 64, ulama terkenal tanah air.

Beliau yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara, Kuala Lumpur, menegaskan memang terdapat hadis-hadis yang menyatakan bahawa: "Barang siapa yang telah melihatku di dalam tidurnya (mimpi), maka ia sesungguhnya telah melihatku, kerana syaitan tidak (mampu) menyerupai gambaranku." -    (Hadis riwayat al-Bukhari)

Begitu juga ada hadis lain yang berbunyi: "Barang siapa yang telah melihatku di dalam tidurnya (mimpi), maka ia sesungguhnya telah melihatku, kerana syaitan tidak (mampu) menyerupaiku, dan mimpi seorang mukmin adalah satu juzuk dari 46 juzuk dari kenabian!"  - Hadis riwayat al-Bukhari.

Bagaimanapun, Datuk Abu Hassan Din menjelaskan, hadis riwayat al-Bukhari itu adalah pernyataan Nabi Muhammad kepada para sahabatnya yang bertanya semasa baginda masih hidup.

Bagaimanapun, persoalan timbul apabila ada umat Islam di akhir zaman yang mengaku bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w. sedangkan mereka tidak pernah melihat wajah dan rupa sebenar Nabi Muhammad seperti sahabat-sahabat baginda tadi.

Bagaimanakah umat akhir za­man ini hendak memastikan apa yang dilihat itu benar-benar wajah Rasulullah di dalam mimpi dan bukan khayalan atau syaitan semata-mata?

"Itulah yang menjadi tanda tanya ramai orang, malah saya sendiri sering kali diajukan soalan sedemikian. jadi benarkah yang hadir di dalam mimpi seseorang itu adalah Rasulullah s.a.w.?

"Jawapannya mungkin betul dan mungkin juga boleh jadi tidak! Kita tidak ada jawapan yang konkrit terhadap soalan yang samar-samar kesahihannya," jelas Datuk Abu Hassan Din lagi.

Lalu beliau bertanya: "Pernahkah seumur hidup kita bersua muka dengan Rasulullah? Jawapannya sudah tentu tidak, malah ayah ibu dan datuk nenek kita sendiri pun tidak pernah hidup sezaman dengan Rasulullah.

"Adakah kita kenal dengan Rasulullah? Kita hanya digambarkan tentang pesuruh Allah ini hanya melalui hadis-hadis dan al-Quran sahaja. Jadi bagaimana kita boleh pastikan itu adalah Rasulullah, hanya sekadar yang datang dalam mimpi itu mengaku: Ya... Ana Rasulullah ataupun terdetik di hati mengatakan: Ya! Inilah Rasulullah! Semua itu fakta yang tidak kuat!" jelasnya.

Jadi, bagaimana pula kita boleh pastikan yang hadir di dalam mimpi itu benar-benar Rasulullah?

"Sebab itulah saya katakan tadi, perkara ini tidak perlu dijadikan isu dan jika benar itu adalah Rasulullah mengapa perlu diheboh-hebohkan?

"Sebab kita semua tidak pernah melihat Rasulullah dan hidup sezaman dengannya. Tidak perlu diheboh-hebohkan benda yang tidak pasti," terang Datuk Abu Hassan Din.

Benarkah ada nas dalam al-Quran atau hadis-hadis mengata­kan jika kita mimpi bertemu dengan   Rasulullah   ini   adalah benar dan sahih, malah jika seseorang bermimpi bertemu Nabi akan mendapat syafaat ataupun kelebihan di akhirat kelak?

"Tidak! Tidak ada nas ataupun hadis yang mengatakan jika seseorang itu bermimpi berjumpa Rasulullah dia akan mendapat pahala, syafaat ataupun kelebihan.

"Seingat saya hanya satu sahaja hadis yang mengatakan: Sesiapa yang menziarahi kuburku maka dia wajib mendapat syafaatku! - Hadis riwayat Dar Qutni.

"Tak ada pun hadis yang me­ngatakan jika seseorang itu men­dapat mimpi berjumpa dengan Rasulullah akan mendapat syafaat," tegas Datuk Abu Hassan Din lagi.

Beliau juga menerangkan jika ada si polan atau si polan itu mengatakan dia bermimpi Nabi Muhammad datang berjumpa dengannya dan mengajar ilmu-ilmu, zikir, wirit yang tidak pernah diajar sebelum ini, itu juga tidak benar sama sekali.

"Itu lagilah pembohong. Kita sendiri tahu, kewafatan Rasulullah itu adalah setelah sempurnanya ajaran Islam. Jadi, jika Rasulullah muncul di dalam mimpi dan mengajar zikir-zikir dan wirit bermakna Rasulullah wafat dalam keadaan ajaran Islam belum lagi sempurna!" tegas Datuk Abu Hassan Din.

Bukankah syaitan itu tidak boleh menyerupai atau pun menjelma dalam bentuk wajah Nabi Mu­hammad? Jadi bagaimana pula dengan situasi ini?

"Ya! Memang menurut alim ulama syaitan tidak boleh me­nyerupai wajah Rasulullah. Tapi kita kena ingat iblis pernah berjanji kepada Allah seperti yang terdapat dalam surah al-Hijr. Ayat 15:39: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya."

Sambil membelek-belek tafsir al-Quran, Datuk Abu Hassan Din menjelaskan syaitan tidak jemu-jemu berusaha untuk menyesatkan umat Nabi Muhammad pada akhir zaman.

"jadi kita perlu ingat memang syaitan tidak boleh menyerupai Rasulullah tapi dia boleh menggunakan tipu muslihat. Mungkin boleh menyerupai orang lain, se­perti Sayidina Ali r.a, Sayidina Abu Bakar r.a dan Sayidina Othman r.a. dan mengaku: 'Ana Rasululullah.' Siapa tahu? Sedangkan mereka semua itu (yang bermimpi) pun kita tidak pernah berjumpa dan hidup sezaman dengan Baginda.

"Saya tidak katakan yang mimpi berjumpa dengan Rasulullah itu adalah bohong. Cuma kita tidak bolehlah terima seratus peratus mimpi tersebut sebagai mimpi yang betul.

"Sebab mimpi ini ada pelbagai jenis, ada yang datang daripada syaitan, ada daripada khayalan kita hari-harian dan ada ilham dari Allah. Sedangkan dalam al-Quran pun ada menyebut tentang mimpi itu adalah tidak sahih seperti kita lihat dalam surah Yusof."

"Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir), terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang-orang yang pandai mentakbirkan mimpi.

"Mereka menjawab: Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur-aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu." - Surah Yusof. Ayat 43 dan 44.

Datuk Abu Hassan Din seterusnya berpesan: "Pesan saya janganlah mudah   sangat   percaya  tentang mimpi, kerana ternyata mimpi itu hanya mainan tidur dan bercampur-baur. Kita tidak tahu mimpi itu sahih ataupun tidak.

"Jika kita mimpi bertemu Ra­sulullah, buat apa diheboh-hebohkan. Tak mungkin Rasulullah menyuruh diheboh-hebohkan. Jadi seelok-eloknya diam sahaja kerana ini mungkin akan menimbulkan pelbagai spekulasi masyarakat kepada seseorang itu.

"Jika mimpi itu menyuruh se­seorang itu membuat sesuatu, tengoklah benda yang disuruh itu benda baik atau tidak, berlandaskan ajaran agama ataupun tidak. Jika perkara yang disuruh itu baik tidak jadi halangan untuk dilaksanakan, tapi jika benda itu menyuruh ke arah kejahatan itu sah-sah adalah syaitan!"

Sekarang jelaslah, bahawa me­reka yang dapat bermimpi bertemu Rasulullah itu bukanlah calang-calang orang seperti ditegaskan Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz tadi.

Seperti dua kes tadi, wajarlah mereka merahsiakannya jika mimpi itu benar-benar membawa kebaikan kepada dirinya. Sebab sekarang ini, banyak sangat kita lihat di Internet dan blog, orang mengaku bermimpi bertemu Rasulullah.

Jadi, ikutlah nasihat Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz tadi, jika ber­mimpi bertemu Rasulullah tidak perlulah diheboh-hebohkan sebab ia boleh menimbulkan kontroversi dan riak di dalam masyarakat.
Wallahuaklam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.