Pages

Jumaat, 1 Mac 2013

JANJI, MUNGKIR JANJI & SUMPAH


JANJI, MUNGKIR JANJI & SUMPAH

Fasa 1: Janji;

Janji merupakan salah satu perkara biasa dalam kehidupan seorang insan. Manusia melafazkan sesuatu janji semudah menyebut A,B,C. Janji juga dilabelkan dengan beberapa frasa atau gelaran khusus seperti 'janji Melayu' dan sebagainya. Malangnya, kebanyakan manusia kerap mungkir janji sekerap ia berbicara. Mengapakah terjadinya fonemena ini?

Islam menganggap janji adalah satu perkara yang besar. Menunaikan janji adalah tanggungjawab insan. Adalah menjadi satu kesalahan dan berdosa besar jika janji dimungkiri. Allah telah memasukkan kesalahan mungkir janji sebagai dosa besar yang perlu dijauhi. Ia juga termasuk dalam kategori ciri-ciri orang munafik.

Apabila kita merenung kepada janji-janji manusia di dalam al-Quran dan Hadith khususnya golongan kafir atau munafiq, samakah janji mereka dengan janji-janji orang yang beriman? Kenapakah mereka dihancurkan dan dijanjikan dengan neraka?
Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mungkir janji !!! (sila lihat ayat 75-77 Surah At-Taubah sebagai contoh).

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آَتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ (75) فَلَمَّا آَتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ (76) فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ (77)

“Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). 

Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta”.

Sebagaimana manusia berjanji, Allah dan RasulNya turut berjanji. Tetapi janji Allah dan RasulNya amat jauh bezanya dengan janji insan. Manusia sering mungkir janji, malah seolah-olah menjadikannya sebagai habit sedangkan janji Allah dan RasulNya sentiasa benar dan tepat.

Apakah janji Allah dan RasulNya? Sesungguhnya janji Allah dan RasulNya terlalu banyak, adalah terlalu mustahil untuk dicatatkan kesemuanya. Di sini hanya dijelaskan beberapa janji tersebut sebagai renungan kita bersama.

Sebagaimana yang kita ketahui, Islam asalnya agama terpencil dan lemah. Kerdil di tengah-tengah keperkasaan agama berhala ciptaan manusia, ditindas oleh keangkuhan generasi jahiliyyah, lemas di bawah siksaan dan tekanan masyarakat Quraisy. Dalam keadaan inilah, Allah dan RasulNya menjanjikan ketinggian martabat dan kemuliaan maruah di tengah-tengah masyarakat Jahiliyyah dengan syarat yakin sepenuh hati dan mengamalkan ajaran Islam dengan ikhlas. Janji Allah dan RasulNya benar-benar terjadi. Umat Islam yang benar-benar ikhlas dan patuh bukan sahaja berjaya menyebarkan panji-panji Allah bahkan mereka menjadi masyarakat yang mulia, digeruni dan dihormati di seluruh dunia.

Dalam perang Badar misalnya, bagaiamana jumlah tentera yang hanya 313 orang dapat mengalahkan 1000 orang walaupun tanpa kelengkapan yang perang yang sempurna! Senjata mereka hanyalah iman yang tidak berbelah-bahagi kepada Allah. Semua ini tidak mustahil asalkan ada pertolongan Allah. Ini janji Allah dan RasulNya.

Benarlah firman Allah dalam kitabnya :

"Sesiapa yang menolong agama Allah, Allah pasti menolongnya"
Ketika Allah memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah, orang kafir dan munafiq telah menghasut orang Islam supaya tidak berhijrah meningalkan harta, saudara, rakan dan kampung halaman. Menurut mereka, adalah satu tindakan bodoh meninggalkan harta dan kesenangan di Makkah dan memilih menjadi susah dan miskin di Madinah. Namun Allah dan RasulNya menjanjikan rezeki dan kehidupan yang lebih sempurna kepada mereka yang berhijrah.

Firman Allah SWT :

الَّذِينَ آَمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (20)

"Orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah dan orang-orang yang membantu, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Dan bagi mereka keampunan dan rezeki yang melimpah ruah" At-Taubah :20

Janji Allah dan RasulNya memang benar-benar tepat. Sampai saja mereka di Madinah, mereka diberikan keistimewaan-keistimewaan yang tidak diduga. Diberikan harta, dihadiahkan isteri, dipinjamkan modal, dilayan seperti menteri, dijadikan rakan koporat dan dibantu serba-serbi. Saidina Abdul Rahman Bin Auf menjadi jutawan selepas berhijrah ke Madinah, hamba menjadi merdeka, golongan fakir semakin berkurangan dan hidup mereka aman damai, tiada siksaan tiada penindasan. Inilah janji Allah dan RasulNya, janji yang pasti !!!

Ketika dalam perjalanan hijrah, Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar telah berjaya dikesan oleh salah seorang panglima Quraisy yang bernama Suraqah b. Malik. Pihak Quraisy menghadiah ribuan ekor unta kepada mereka yang dapat menangkap atau membunuh Rasulullah. Ketika beliau menghampiri Rasulullah SAW dan Abu Bakar, tiba-tiba kudanya terpesorok ke dalam tanah. Setelah dikeluarkan kaki kudanya dari tanah tadi, beliau terus menyerbu ke arah Rasulullah, tetapi keadaan yang sama telah belaku semula. Diulangnya beberapa kali dan setiap kali keadaan yang sama tetap berlaku.

Lalu Rasulullah mendakwahnya dengan Islam. Baginda berjanji menghadiahkannya dengan gelang kebesaran kerajaan Parsi jika Suraqah masuk Islam. Bayangkan pada masa itu baginda baru hendak berhijrah ke Madinah dan agama Islam masih kerdil, sedangkan kerajaan Parsi pada masa itu adalah satu kuasa dunia!. Perbezaannya seperti langit dengan bumi. Tetapi Rasulullah tetap yakin dengan masa depan Islam bahawa Islam akan berkuasa, maka beliau berani menjanjikannya kepada Suraqah.

Janji Rasulullah SAW memang benar. Kerajaan Parsi akhirnya jatuh ke tangan tentera Islam di zaman Khalifah Umar Al-Khatab. Saidina Umar dengan linangan airmata kegembiraan dan tanda terharu betapa benarnya janji Allah dan RasulNya menyerahkan gelang kebesaran kerajaan Parsi tersebut kepada Suraqah b Malik sambil berkata :

"Alhamdulillah yang merampasnya (gelang kebesaran) dari Kisra (maharaja) yang mengaku dirinya tuhan dan memakainya kepada Suraqah bin Malik". 

Seterusnya Rasulullah berjanji bahawa Islam akan dapat menawan Konstantinople (sekarang dikenali sebagai Istanbul di Turki). Konstantinople adalah bandar strategik kerana ia merupakan jalan masuk ke Eropah. Sesiapa yang menguasainya bermakna menguasai Asia dan Eropah sekaligus. Baginda juga memberi pengiktirafan kepada tentera yang berjaya menawannya sebagai tentera terbaik dan pemimpinnya merupakan pemimpin yang terbaik. Janji Rasulullah SAW tidak pernah dimungkiri, semuanya tetap berlaku. Sultan Muhammad Al-Fatih telah berjaya menawan Konstantinople dan sekaligus merancakkan lagi penyebaran agama Islam ke benua Eropah.

Jelas, janji-janji Allah dan Rasulnya memang tepat dan dikotakan. Sesungguhnya di sana terdapat janji Allah yang lebih besar dan penting kepada kehidupan insan. Janji yang pasti!!! Allah dan RasulNya telah menjanjikan kehidupan di dunia dan akhirat yang gemilang bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan kehidupan yang sukar di kubur dan neraka bagi mereka yang ingkar.

Fasa 2: Mungkir Janji;

Ciri-ciri kemunafikan memang jelas, tentang 'mungkir janji' atau tidak menepati janji adalah ciri-ciri kearah yang dimaksudkan. Persoalan yang dikemukakan nampak semacam mudah, sedangkan ia ada kesan yang besar. kerana; lazimnya bagi Mukmin memang ada yang istiqamah melakukan solat taubat dimalam harinya, kerana sentiasa menginsafi diri sentiasa berbuat kesalahan sama ada dosa besar mahupun kecil. Berniat atau berazam tidak mengulangi kejahatan itu adalah sifat mulia, dan sentiasa berjanji untuk berubah jadi baik yang benar juga adalah akhlak yang mulia. Walau bagaimanapun tidak menjelaskan 'meninggalkan' dosa besar atau kesalahan-kesalahan yang boleh diampunkanNYA melalui 'solat fardhu' lima waktu. Barang di ingat;

Melakukan 'dosa besar', kemudian taubat, ulangi lagi, kemudian taubat, ulang lagi, memang harus termasuk yang dikatakan bukan sahaja munafik, bahkan lebih buruk yang di panggil 'fasik' bermaksud tidak berganjak atau melakukan kejahatan berterusan. Misalnya; Pengamal riba yang syubhat dan haram, sama ada makan sendiri atau memberi orang lain makan, bekerja dengannya atau yang bersyubhat dengan amalan berkenaan adalah termasuk 'musuh Allah dan RasulNya SAW', jika demikian memanglah jelas kedudukannya. Bahkan; pengistiharan Allah SWT mejadikan mereka diperangi oleh Allah SWT dan RasulNya SAW memang jelas sifat kemunafikannya. 

Maksudnya: Berkhianat kepada SYAHADAHNYA sendiri; sekalipun masih Islam. Sebaliknya tidak mengotakan akujanji 'Syahadah' Islamnya sendiri. MENTAATI ALLAH IKUT (AJARAN) NABI MUHAMMAD (SAW).

NOTA: Dewasa ini, kita sering dan lazim mendengar 'tanda-tanda' munafik itu hanya dikaitkan dengan ... urusan sesama manusia dan lebih lagi bila soal, hutang piutang atau perkara yang melibatkan harta benda atau sekadar cakap lain buat lain sesama kawan-taulan, sehingga jadi macam remeh dan tidak apa!!! Apalagi ditukar dalam 'sebutan inggeris' sebagai 'hipokrit'. sedangkan 'munafik atau hipokrit' yang bermaksud 'bermuka-muka' itulah tanda sifat 'kemunafikan' yang melibatkan urusan dosa - neraka jika di amalkan atau pahala jika berniat menghindarinya!!! Mari kita ambil contoh pengajaran dari maksud Hadith:

Dari Abdullah bin Amru RA, ia berkata: Rasulullah SAW. pernah bersabda: Ada empat sifat yang bila dimiliki maka pemiliknya adalah munafik murni. Dan barang siapa yang memiliki salah satu di antara empat tersebut;

Itu bererti ia telah menyimpan satu tabiat munafik sampai ia tinggalkan;

”Apabila berbicara ia berbohong, apabila bersepakat ia berkhianat, apabila berjanji ia mengingkari dan apabila bertikai ia berbuat curang”(Petikan dari Muslim). 

Jika di ambil salah satu sahaja: apabila berjanji ia mengingkari, pun memadai betapa setiap diri tahu kedudukan masing-masing, saya sendiripun!!! Berjanji sesama manusia yang masih 'terikat' hanya dapat merosak atau memberi kebaikan dengan izin Allah SWT sahaja dikatakan 'tanda munafik', bagaimana pula 'akujanji SYAHADAH' keIslaman kita kepada Allah SWT? Sedangkan Allah SWT TIDAK PERNAH MEMUNGKIRI JANJI!!!

Semoga saya dan sesiapa juga ada keinsafan, sesungguhnya MUNGKIR JANJI KEPADA ALLAH SWT bukanlah senda gurau, 'SYAHADAH' keIslaman itu adalah 'AKUJANJI' YANG MAHA UTAMA & TERTINGGI. "Wahai Allah, Engkaulah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun" Ampunilah kami!!!. Allahu a'lam. ASTAGHFIRULLAH AL ADZIM.

Fasa 3: Sumpah;

Jika seseorang bersumpah untuk berubah dgn menyebut "Demi Allah", dan akhirnya dia tidak menunaikan apa? perubahan, adakah ini yang dikata melanggar sumpah? Pada mulanya dia bersumpah, dan juga telah melafazkan seperti "kalau saya mungkir janji, saya redha akan balasan Tuhan, ditimpa musibah ataupun sanggup diseksa di dalam kubur." Jadi apakah balasan yang akan diterima;

Firman Allah swt,

”Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah (peliharalah) sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur”. (Al-Maidah: 89)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.