Pages

Ahad, 20 Oktober 2013

Sejarah Iblis memusuhi manusia.

Sejarah Iblis memusuhi manusia.

Kisah Iblis memusuhi manusia diceritakan dengan jelas di dalam kitab suci al-Qur'an. Ada beberapa surah yang menceritakan sejarah mengapa Iblis itu memusuhi manusia.
Dalam surah
al-'Araf, mulai ayat 12, ALLAH menceritakan seperti berikut;-
Firman ALLAH yang maksudnya;

"Sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu (Adam), lalu KAMI membentuk rupa kamu, kemudian KAMI berfirman kepada para Malaikat sekeliannya; ' Sujudlah kamu semua kepada Adam.' Lalu mereka semua sujud melainkan Iblis, ia tidak termasuk golongan yang sujud.

"ALLAH berfirman; 'Apakah yang menghalang kamu (Iblis) dari bersujud ketika AKU perintahmu?'

Iblis menjawab; 'Aku lebih baik daripada Adam. Engkau (Wahai Tuhan) menjadikan aku dari api sedangkan dia (Adam) Engkau jadikan dari tanah.'

"ALLAH berfirman; 'Turunlah engkau (Iblis) dari Syurga ini kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu maka keluarlah. Sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.'

"Iblis berkata; 'Berilah tempoh kepadaku (biarkan hidup) sehingga hari mereka (manusia) dibangkitkan (Hari Kiamat)'

"ALLAH berfirman; 'Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh ( sehingga datangnya Hari kIamat)'

"Iblis berkata; 'Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhanku) telah menyebabkan aku tersesat, demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (manusia) dari jalanMU yang lurus.'

"Kemudian aku (Iblis / Syaitan) datangi mereka (manusia) dari arah belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau (Wahai Tuhanku) tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.'

"ALLAH berfirman; 'Keluarlah engkau dari Syurga ini sebagai makhluk terhina lagi terusir. Sesungguhnya sesiapa dari antara mereka (manusia) yang mengikutmu, tetaplah AKU akan memenuhi Neraka Jahannam dengan kamu (Iblis dan manusia) semuanya."

Inilah permulaan rasa permusuhan Iblis terhadap makhluk manusia yang bermula dengan penciptaan Nabi Adam as. Rasa sombong, marah, dengki dan dendam Iblis terhadap Nabi Adam serta anak-cucunya tidak akan padam sehinggalah datangnya Hari Kiamat kelak. Iblis bertekad dan
berazam untuk menyesatkan seberapa banyak manusia yang boleh untuk bersama-samanya kelak di dalam Neraka Jahannam.

Azam Iblis ini terakam dalam surah an-Nisaa' ayat 119 - 121 yang bermaksud;
" 'Demi sesungguhnya aku (Iblis / Syaitan) akan menyesatkan mereka (manusia), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (cacatkan binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan menyuruh mereka mengubah ciptaan ALLAH.' Dan ingatlah sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari ALLAH, maka rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.

"Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji manis) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu-dayas emata-mata.

"Mereka itu (yang mengikut Syaitan), tempat akhirnya ialah Neraka Jahannam, dan mereka tidak akan dapat melarikan diri daripadanya."

Maka itulah sebabnya manusia mesti sentiasa berwaspada terhadap tipu daya Syaitan dan Iblis. Hasutan, godaan dan bisikan Syaitan dan Iblis itu datang dari berbagai arah dan cara.

Dan ketahuilah bahawasanya tentera Syaitan dan Iblis itu tidak pernah kenal akan penat atau putus asa dalam usahanya menyesatkan makhluk manusia. Mereka akan sentiasa berusaha menyesatkan manusia sehingga ke saat manusia itu sedang menghadapi sakaratulmaut. Begitulah dalamnya dendam mereka terhadap anak-cucu Nabi Adam as.

Wallahualam...
semoga renungan ini dapat memberikan kesedaran kepada kita semua ..
salam kasihsayang pada rakan2 semua...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.