Puji-pujian bagi
Allah yang melimpahkan keluar Nur (cahaya) yang memberi penglihatan, dan dari
rahsia yang Maha tinggi menyingkap hijab (tabir) malam.
Selawat dan
salam kepada Muhammad SAW.; cahaya bagi segala cahaya; penghulu orang-orang yang
sholeh, kekasih Allah; guru kepada mereka yang diberi keampunan; kepadanya
diberi kesejahteraan; tangan yang melawan dan memukul kepada orang-orang yang
berdosa dan kepada orang-orang kafir.
Saudaraku!'
Semoga Allah
memberi saudara kebahagiaan yang maha tinggi yang ingin dicari oleh manusia;
menjadikan saudara sebagai orang yang dipilihNya untuk naik ke darjah yang
paling tinggi dan memenuhi pandangan saudara dengan cahaya hakikat, dan membuang
dari batin saudara apa yang bukan hakiki. Saudara meminta saya menyampaikan
rahsia-rahsia cahaya ketuhanan beserta dengan Qiyas-qiyas atau perumpaan yang
ada di sebalik maksud-maksud lahir ayat al-Quran dan hadis yang tertentu
terutama;
"Allah cahaya langit dan bumi.
Perumpamaan cahayaNya itu laksana sebuah Misykaat; di dalamnya ada lampu. Lampu
itu di dalam sebuah kaca. Kaca itu laksana bintang yang gemerlapan. Dipasang
dari sebatang kayu yang beroleh berkat, iaitu (minyak) pohon zaitun, tidak
timur, dan tidak barat. Hampir sahaya minyak itu bernyala-nyala walaupun ia
belum disentuh oleh api. Cahaya Atas Cahaya". (Surah An-Nur: 35)
"Tetapi bagi orang-orang kafir,
perbuatan mereka itu adalah ibarat kegelapan yang bertimbun-timbun di laut yang
sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan ombak di atas awan gelap,
Gelap di atas Gelap, sehingga jika seseorang menjulurkan tangannya, tidaklah
kelihatan tangan itu. Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak beri cahaya,
maka tidaklah ada cahaya baginya".
Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perbandingan atau Qiyas antara cahaya dan Misykaat(ceruk) , dan kaca, dan lampu, dan minyak, dan pokok itu?.
Dan perhatikan hadis ini;
"Allah mempunyai tujuh puluh
ribu hijab (tabir) cahaya dan kelam. Sekiranya Ia membuka hijab itu, maka
KeagunganNya pasti akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya dengan
pandangan".
Demikianlah permintaan saudara. Tetapi
dengan permintaan itu saudara telah bercita-cita hendak memanjat ke tempat yang
tinggi yang sukar didaki. Tinggi sekali, hingga tidaklah tergamak oleh manusia
biasa. Suadara telah mengetuk pintu yang terkunci yang hanya akan dibuka kepada
mereka yang mengetahui dan mengenal dengan sebenarnya dan tetap keyakinannya.
Tambahan pula, bukan setiap rahsia itu akan dibentang atau dipamirkan
kerena;
"Hati-hati yang mulia itu menutup rahsia-rahsia seperti liang lahat".
atau sebagaimana kata orang Arif;
"Membuka rahsia Ketuhanan itu adalah seperti menafikan Tuhan".
atau sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW.;
"Ada satu ilmu seperti keadaan benda yang
tersembunyi, tidak siapa yang tahu kecuali mereka yang tahu dan kenal kepada
Allah".
Jika rahsia itu dikeluarkan, hanya
orang-orang yang jahil sahaja akan menafikannya. Walau bagaimanapun, ramai
orang-orang jahil itu, rahsia-rahsia itu mestilah dipelihara dan jangan
dibiarkan dinodai oleh orang-orang yang berdusta.
Tetapi saya percaya, hati saudara telah
dibuka oleh cahaya itu dan kesedaran saudara telah bersih dari gelap kejahilan.
Oleh itu, saya tidak teragak-agak membawa saudara menuju hakikat yang mulia dan
suci itu kerana kesalahan menyembunyikan ilmu dari orang-orang yang
menghendakinya adalah sama seperti kesalahan mengeluarkan ilmu kepada
orang-orang yang mensia-siakannya, seperti kata penyair;
"Orang yang memberi ilmu kepada si
bodoh akan hilanglah ilmu itu; orang yang yang manahan ilmu dari orang yang
memerlukannya, adalah membuat dosa'.
Saudara hendaklah berpuas hati dengan
penerangan yang ringkas berkenaan perkara ini. Jika hendak diceritakan
sepenuhnya, maka terpaksalah dihuraikan pokok-pokok dan ranting cabangnya. Untuk
itu, pada masa ini saya tidak mempunyai cukup masa dan fikiran serta daya upaya
saya pun tidak bebas untuk itu. Kunci kepada semua hati adalah di tangan Allah.
Dia membuka hati itu apabila dikehendakiNya menurut kehendakNya dan dengan apa
sahaja yang dikehendakiNya. Pada masa ini, cukuplah dibukakan kepada saudara
tiga bab atau bahagian. Yang pertama adalah seperti berikut.
"Cahaya" dan berbagai cahaya:
Kajian Awal
Kajian Awal
Cahaya hakiki (yang sebenar) ialah Allah. Lain daripada itu, nama "cahaya" adalah hanya perumpamaan sahaja dan tidak membawa maksud yang sebenar.
Untuk
menerangkan perkara ini, saudara hendaklah tahu bahawa perkataan "cahaya" itu
digunakan di tiga tempat pengertian.
Pertama, digunakan oleh kebanyakan orang.
Kedua, digunakan oleh sedikit orang dan;
Ketiga, digunakan oleh beberapa orang sahaja.
Kemudian saudara
hendaklah tahu berbagai-bagai peringkat cahaya yang berkaitan dengan yang kedua
dan ketiga dan darjah-darjah hakikat yang ada bersangkutan dengan
peringkat-peringkat tersebut, agar dengan itu saudara dapat mengetahui, setelah
peringkat-peringkat ini menjadi bertambah terang kepada saudara, bahawa Allah
itulah cahaya paling tinggi dan terakhir. Selanjutnya apabila hakikat yang
berkaitan dengan tiap-tiap peringkat itu telah ternampak, maka disedarilah
bahawa Allah itu sahajalah yang hakiki, cahaya sebenarnya, dan yang lain tidak
mempunyai cahaya apa-apa.
Pengertian Pertama
Sekarang mari
kita bincangkan pengertian yang pertama. Di sini perkataan "cahaya" menunjukkan "fenomena" atau kejadian. Fenomena atau
apa yang nampak ialah istilah relatif (bandingan dan berubah-ubah), kerana
sesuatu itu ternampak kepada sesuatu yang lain dari dirinya, atau tersembunyi
daripada sesuatu yang lain dari dirinya. Maka dengan itu, nampak atau tidak
nampak adalah relatif sahaja. Selanjutnya pula, nampak dan tidak nampak itu
adalah relatif (bandingan) kepada kebolehan memandang (Perceptive faculties).
Pada kebanyakan orang kebolehan memandang yang paling kuat dan terang ialah
deria-deria (senses). Satu daripada deria-deria itu ialah deria lihat atau
penglihatan mata. Benda-benda ini pula dari segi deria lihat terbahagi kepada
jenis-jenis berikut;
1.
Tanda-tanda yang dengan sendirinya tidak boleh kelihatan, seperti benda-benda
atau badan yang kelam (gelap).
2.
Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan, tetapi tidak boleh membuat
benda-benda lain kelihatan, seperti bintang-bintang, api yang sebelum
menyala.
3.
Tanda-tanda yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan juga membuat benda-benda
lain boleh kelihatan, seperti bulan, matahari, atau lampu dan api yang
menyala.
Nama cahaya ini diberi kepada golongan
jenis yang mombor tiga(3) di atas itu. Kadang-kadang kepada apa yang terpancar dari
benda-benada yang bersinar ini dan pancaran itu terjatuh atau tertumpu kepada
bahagian luar benda-benda yang kelam (tidak lut sinar) iaitu apabila kita
katakan "bumi diterangi" ke
dinding atau ke pakaian dan kadang-kadang kepada benda-benda yang bersinar itu
sendiri kerana benda-benda itu bersinar dengan sendirinya.
Kesimpulannya,
cahaya ialah perkataan yang digunakan
kepada apa yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan membuat yang lain
kelihatan, seperti matahari. Inilah takrif (definisi) cahaya dan
hakikat berkenaan cahaya menurut pengertian yang pertama itu.
Pengertian Yang Kedua
Kita telah lihat
sekarang bahawa hakikat cahaya itu ialah apa yang nampak kelihatan oleh orang
yang melihat; dan penglihatan itu; terkadang kepada wujudnya dua perkara iaitu;
- 1.
cahaya.
- 2.
mata yang melihat.
kerana meskipun cahaya itu adalah apa yang nampak dan disebabkan supaya
nampak, namun ia tidak nampak atau disebabkan supaya nampak kepada orang-orang
buta.
Oleh yang
demikian, ruh (safiriah) si pelihat adalah sama penting dengan cahaya yang boleh
dilihat itu. <!--[if
!vml]--><!--[endif]-->Ruh itu memainkan peranan
penting dalam penglihatan bahkan ia lebih penting kerana ruh si pelihat itulah
yang mengerti dan melalui ruh itulah fahaman atau pengertian terjadi atau
terjelma. Cahaya tidak ada pengertian dan tidak ada pengertian atau
fahaman berlaku melaluinya. Tetapi hanya semata-mata apabila ia ada hadir
sahaja.
Sebenarnya
perkataan "cahaya" itu ialah cahaya yang melihat yang kita namakan "mata". Dengan demikian, manusia memakai perkataan "cahaya" itu kepada cahaya
mata.
Orang yang
kabur matanya, dikatakan "cahaya penglihatannya kabur". Orang yang lemah penglihatan dikatakan "cahaya
pandangan matanya lemah". Orang
yang buta dikatakan "cahayanya habis gelap"
Adalah dikatakan
bahawa anak mata itu menumpukan "cahaya" pandangan dan memperkuatkannya. Bulu
mata pula dijadikan Allah berwarna hitam dan dijadikan untuk memandu dua biji
mata itu pula berpusing-pusing supaya menumpukan "cahayanya." Dikatakan juga
mata putih itu menyelerakkan "cahaya mata" itu dan melimpahkannya, dan memandang
lama kepada permukaan putih berkilau, atau lebih lagi memandang cahaya matahari
akan menyilaukan "cahaya mata" itu dan mencacatkannya seperti mana permukaan
yang lemah dicacatkan oleh permukaan yang kasar dan kuat.
Sekarang
tahulah saudara bahawa ruh si pelihat itu digelar
cahaya. Kenapa digelar demikian itu dan kenapa sewajarnya digelar
demikian itu?. Inilah pengertian kedua yang diketahui oleh sedikit orang
sahaja.
Pengertian Yang Ketiga.
Hendaklah
saudara tahu selanjutnya iaitu cahaya penglihatan biasa itu mempunyai beberapa
kekurangan atau kecacatan.
- Ia melihat benda
lain tetapi tidak melihat dirinya sendiri.
- Ia juga tidak
dapat melihat perkara yang sangat jauh atau yang sangat dekat.
- Ia tidak dapat
melihat perkara yang di belakang dinding.
- Ia melihat yang
diluar sahaja dan tidak nampak yang di dalam.
- Ia melihat
bahagian-bahagian sahaja bukan keseluruhan.
- Ia melihat
perkara yang terbatas atau terhad dan tidak nampak perkara yang tidak
terbatas.
- Dalam melihat
itu pula, ia banyak membuat kesalahan, kerana apa yang sebenarnya besar, pada
pandangannya nampak kecil, apa yang jauh nampak dekat, apa yang diam nampak
bergerak, apa yang bergerak nampak diam.
Inilah tujuh kecacatan yang ada pada mata biasa itu.
Jika ada mata lain yang tidak mempunyai
kecacatan atau kekurangan tersebut di atas, bukankah betul juga jika mata
sedemikian itu diberi nama "Cahaya" juga?.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.