Salah atau tidak, itu hanya persepsi
Ada sahabat bertanya, apakah salah jika ahli hakikat itu berdebat?
Menurutku,
Salah atau tidak, itu hanya persepsi !...
Ianya bergantung dari sudut mana seseorang itu menilai akan sesuatu. Jika engkau melihat sesuatu dari sudut yang bertentangan dari orang lain, ianya SALAH pada sudut pandangan orang itu, tetapi BENAR bagi engkau. Begitu juga jika orang itu memandang dari sudut bertentangan dengan dirimu. Pandangan orang itu adalah BETUL baginya tetapi SALAH bagi dirimu.
Contoh 1
Umpama merokok.
Ada yang mengatakan merokok itu HARAM dan ada pula mengatakan merokok itu TIDAK HARAM. Berilah walau segunung manapun dalil, nas, fatwa dan ijtihad, si perokok tegar, TETAP berpegang kepada sistem kepercayaan mereka yang merokok itu TIDAK HARAM. Kata mereka, rokok tidak langsung mendatangkan mudarat, bahkan rokok itulah yang membahagiakan mereka sehingga ada yang boleh hidup sehingga umur 100 tahun, walaupun merokok!
Namun jika ditanya kepada mereka yang bukan perokok, pastinya mereka juga TETAP berpegang kepada bukti-bukti dan ijtihad para ulamak yang mengatakan rokok itu TETAP HARAM ! Haram kerana memudaratkan mereka !
Contoh 2
Umpama melihat lukisan daun pada kanvas lukisan.
Apakah salah jika tatkala melihat daun, si fulan itu mengatakan dia melihat “BENTUK”, manakala sifulan ini mengatakan dia melihat “HIJAU”, si fulan sana mengatakan dia melihat sesuatu, tetapi sesuatu itu NAMA nya adalah “Leaf” bukan daun. Si fulan sini pula mengatakan, aku melihat kanvas yang menzahirkan daun !
Sesetengah manusia berpegang kepada suatu sistem kepercayaan yang amat kuat !
Meskipun mereka diberikan bukti atau dalil atau hujah atau rasa, namun itu semua masih tidak mampu menyanggah sistem kepercayaan tersebut. Bukti dan dalil itu masih tetap tidak akan diterima, bahkan sanggahan itu akan menjadi suatu perkara berdosa yang amat terkutuk dan tidak dapat diterima sama sekali.
Dek kerana pentingnya memelihara sistem kepercayaan ini, mereka akan merasionalkan bukti yang bercanggah itu, supaya sesuai dengan sistem kepercayaan mereka. Ada yang tidak ambil pusing bahkan ada yg menolak mentah-mentah segala bukti dan pembuktian yang tidak menyokong sistem kepercayaan mereka.
Sains menggelarkan keadaan ini sebagai COGNITIVE DISSONANCE.
Justeru itu, adalah menjadi perkara biasa bagi mana-mana bidang ilmu untuk menegakkan sistem kepercayaan ini mengikut kepercayaan masing-masing.
Bagi pencari kebenaran, berdebat itu adalah nikmat! Bahagia bagi mereka adalah apabila menang dalam perdebatan!
Bagi yang mencari faham, diam itu adalah nikmat! Menikmati perdebatan para ahli kebenaran dan mendapat faham darinya, itulah bahagia bagi mereka !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.