Misteri Haikal Nabi Sulaiman
Alhamdulillah, ini adalah antara
artikel yang sempat saya kirimkan dan kiriman yang ulung kali dalam tahun ini
(2013) dalam merungkai sebuah misteri lama di zaman nabi Allah Sulaiman as. Isu
Haikal Nabi Sulaiman pernah saya kupaskan sebelum ini dalam sebuah artikel saya
yang bertajuk “Keruntuhan Al Aqsa Petanda Awal Kiamat“, saya tergerak untuk
mengkaji sejarah misterinya sebagai satu bahan ilmiah yang mungkin boleh
dikongsikan bersama kepada semua pembaca. Sesungguhnya Sejarah Haikal Sulaiman
bermula di Baitulmaqdis dan merupakan sebuah kota yang terletak di dalam
wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam
selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota ini
lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud ‘tempat yang aman untuk
didiami’.
Catatan sejarah menunjukkan kota ini
telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara
kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini merupakan
tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi, dan Kristian
bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang
mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi
kukuh.
Masyarakat dunia menamakan kawasan
tanah tinggi ini sebagai ‘Mount Temple’ disebabkan sejarahnya yang pernah
menempatkan kuil Yahudi kuno iaitu dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman
sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota
ini dijajah oleh kerajaan-kerajaan yang berbeza.
Mengikut catatan sejarah, umat Islam
pada era awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di mana terletaknya ‘Mount
Temple’ sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City of the Temple’ yang
mengambilkira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat
pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun 586
sebelum Masihi.
Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal
ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang
Babylon berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh
Empayar Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini
dipanggil Iliya, berasal daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa
penjajahan orang Roman. Kawasan ‘Mount Temple’ pada asalnya agak tinggi dengan
keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika
itu iaitu Herod the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini
lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan
sekarang.
Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis
yang bermula ketika zaman khalifah Umar al-Khattab, nama ‘Mount Temple’ telah
ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci ini
yang mendapat tempat yang mulia di dalam Islam sementara kota disekitarnya
inilah dinamakan Baitulmaqdis.
Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu
salah seorang khalifah di dalam era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina
semula dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis.
Sekarang ini Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu
kawasan yang dikepungi tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa
yang telah disebut di dalam kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana
beribadat di dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding di tempat-tempat
lain.
Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab
bermaksud ‘masjid yang jauh’, merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi
Mekah yang menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah
satu peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra’ dan Mikraj yang mana ketika
itu, Nabi Muhammad S.A.W telah dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T.
Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah,
iaitu kira-kira selama enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini
iaitu pembinaan Masjid al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di atas
tapak Haram al-Sharif.
Selain itu, Masjid Kubah Batu turut
dibina berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina pada zaman pemerintahan
Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan senibina masjid ini
yang begitu indah dengan kubah berwarna keemasannya yang menonjol adalah untuk
menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang menjadi
tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara monumen tertua
orang Islam yang sangat dikenali.
Masjid ini mendapat namanya berikutan
dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa
Isra’ dan Mikraj. Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh penganut Yahudi
disebabkan kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi ‘Mount Temple’ dan
dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti.
Tetapi menurut catatan sejarah ketika
Khalifah Umar al-Khattab r.a yang bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis
sebagai salah sebuah wilayah Islam, setibanya di kota ini beliau lalu
bertanyakan mengenai batu yang menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke
langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas
tanah tinggi yang dikepungi oleh tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi
mengotorkan kawasan itu dengan najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan
kepada lokasi peristiwa Isra’ Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu
bersama-sama dengan orang Mukmin yang lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali
pertamanya di bumi Baitulmaqdis itu
Masyarakat Yahudi menganggap Haikal
ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan di atas
lokasi yang sama iaitu Haram al-Sharif bahkan perkara yang sama turut
dicatatkan di dalam kitab Injil. Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras
konflik antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai
tempat krisis yang masih belum selesai sehingga sekarang.
Salah satu tembok yang mengelilingi
Haram al-Sharif ini, iaitu tembok di bahagian barat ataupun ‘Western Wall’ ini
menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih daripada
2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka
yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu
dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan.
Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap di atas
dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini masalah berlangsung sehingga
sekarang ini, susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai
‘Wailing Wall’ ataupun tembok ratapan.
Mengikut agama Kristian pula,
Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci
mereka. Nabi Isa A.S yang dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang
berhampiran dengan Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja
dilahirkan. Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S
pernah berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak
utuh di Baitulmaqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku
di dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi
pertikaian sarjana-sarjana Kristian.
Pendapat yang paling diterima ramai
adalah peristiwa itu berlaku pada tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang
dianggap paling suci oleh penganut Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah
sebuah gereja di dalam kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai lokasi
orang yang mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis
sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh dunia
terutamanya menjelang musim Easter.
Perang Salib yang berlaku pada 1099
Masihi juga menunjukkan keazaman penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini
daripada penguasaan orang Islam dan mereka telah berjaya menduduki kota ini
selama kira-kira 200 tahun sehinggahlah kota ini dibebaskan oleh panglima Islam
yang unggul iaitu Salahuddin al-Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan
bahawa ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al-Ayubbi
sendiri yang membersihkan Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh
tentera salib, manakala Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai gereja
dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.
Penguasaan orang Islam berterusan
sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis
dikuasai oleh British sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara
Israel pada tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku
untuk menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat
sebelah oleh badan dunia PBB.
Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga
diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat
selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai
wilayah antarabangsa tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan
bahagian barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota
negara Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.
Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai
oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga
waktu ini, Haram al-Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada
keluasan kota lama Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.
Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada
empat bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang
terbesar antara kesemua bahagian, Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian
daripada kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan
selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu
bahagian yang paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan
penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota
dan bilangan mereka juga hanya kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan
lain. Ketika Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan
beribadat di sekitar ‘Western Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan
tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama
turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka
dirampas oleh Israel.
Tetapi perang pada tahun 1967 merubah
lanskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan di dalam perang
negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke
tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh
bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir pula kehilangan
Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi
Golan.
Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini
menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Baitulmaqdis.
Antaranya menjadikan kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak ibadat mereka selain
pembinaan penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan Arab di dalam
usaha memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan
masyarakat Yahudi turut dibina di dalam bahagian orang Islam.
Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas
dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel
meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu
kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Avivyang sebelum
ini menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri,
kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan
kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis secara
beransur-ansur.
Masjid al-Aqsa juga beberapa kali telah
dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan
mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000,
lawatan penuh provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke
kompleks Haram al-Sharif. Untuk rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat
serangan strok semasa masih bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan
masih tidak sedarkan diri.
Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel
menguasai kota ini secara total namun pengawalan kompleks Haram al-Sharif
diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan wakaf dan juga Raja Jordan dianggap
sebagai penjaga Masjid al-Aqsa. Bendera negara Israel juga tidak dibenarkan
dikibarkan di sekitar Haram al-Sharif. Penganut agama lain juga dilarang
memasuki kompleks suci ini dan askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu
masuk dan pengunjung mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum memasuki
kompleks untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya
pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan lokasi ini
amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.
Namun sampai bilakah langkah ini
berterusan menjadi tanda tanya memandangkan sikap kerajaan zionis Israel sendiri
yang suka melakukan provokasi ke atas penduduk Palestin dan pengyahudian
Baitulmaqdis bukan lagi sesuatu agenda yang rahsia.
Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih
berada di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan
Masjid al-Aqsa yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai
menjadi Haikal terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan
aktiviti carigali di sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan
pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di
atasnya.
Mengikut berita yang tersebar luas,
mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid
al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang
kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu
teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka
pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan perlu
dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan
dibangunkan?
*Sumber
dari johneox.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.