Pages

Rabu, 18 Disember 2013

Takbur

Takbur

Sombong..Bongkak..Angkuh dan Takbur ..

Sombong, bongkak, angkuh atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama, iaitu sifat mazmumah (sifat tercela @ keji)

Sifat sombong atau takbur boleh dikenali melalui 2 jenis, iaitu takbur zahir dan takbur batin.

Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. GAYANYA angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu TIDAK MAHU mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.

Imam Al-Ghazali berkata :

"Orang yang takbur marah apabila ditegur sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar"

Takbur batin adalah MEMBESARKAN diri dalam hati dan ini maksiat hati yang dicela.

Contohnya, iblis menganggap dirinya LEBIH BAIK dan MULIA daripada Nabi Adam.Dengan
angkuhnya ia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat iblis dan seluruh keturunannya.

Takbur juga boleh dibahagi kepada tiga, iaitu takbur terhadap ALLAH, takbur terhadap RASULNYA dan takbur sesama MANUSIA

Takbur kepada Allah bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.

Takbur terhadap Rasulullah s.a.w ialah enggan mengikut petunjuk dan sunnahnya.

Takbur sesama manusia ialah berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.

Daripada Abdullah Bin Mas’uud (ra), daripada Nabi Muhammad SAW sabdanya:

“Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya (sifat)  Takbur (walaupun) SEBESAR ZARAH

(Adapun) takbur ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia lain.
(Hadis Sahih Riwayat Muslim dan Tarmidzi)

Huraian Al-Hadis:

Hadis di atas memberi gambaran betapa bahaya sifat takbur. Sifat ini akan menjadi PENGHALANG seseorang dari memasuki syurga Allah walaupun sifat takbur yang ada dalam hatinya itu sangat kecil seperti sebesar DEBU

Jika sifat takbur telah bertapak pada diri seseorang maka sudah pasti pada orang tersebut berkumpul segala sifat yang tercela lainnya.

Dia biasanya TIDAK SUKA orang lain memiliki apa yang dia miliki, dia tidak mampu bersifat
tawadhu’ (merendah diri kepada orang lain), dia sangat mudah dengki atau hasad pada orang lain, dia tidak dapat mengawal perasaan marah, dia TIDAK menerima nasihat atau menerima pengajaran dari orang lain, dia suka merendah rendahkan atau memperlecehkan orang lain, bila dia bercakap suka meninggi diri, kalau dia menasihati seseorang dia suka menghina, bila dia duduk dia akan marah jika tidak diletakkan pada tempat yang baik lagi TERHORMAT.

Itulah sebabnya maka Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa tidak termasuk syurga
orang yang di dalam hatinya ada sifat takbur walaupun sebesar zarah.

Sifat takbur itu menghalang dia daripada masuk syurga kerana takbur telah menghalang dia daripada memiliki akhlak yang mulia dan sifat-sifat yang terpuji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.