Pages

Rabu, 18 Disember 2013

Umar Abdul Aziz (Artikel 2)

 
Umar Abdul Aziz (Artikel 2)
Malik bin Dinar berkata : “Setelah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz menjadi khalifah, sesetengah daripada Gabenor telah menulis surat kepada beliau yang berbunyi: Sesungguhnya orang ramai apabila terdengar perlantikan tuan sebagai khalifah, mereka berlumba-lumba mengeluarkan zakat dan zakat fitrah. Oleh itu, harta kerajaan telah bertambah dengan banyaknya. Disini saya tidak mahu untuk bercerita panjang mengenainya sehinggalah tuan terlebih dahulu membalas surat saya ini dengan menyatakan pandangan tuan mengenai perkara ini.”

Umar lalu membalas surat tersebut dengan katanya: “Demi umurku! Mereka berbuat demikian kerana mereka tahu apakah sikapku dan juga engkau terhadap harta zakat tersebut mengikut sebagaimana yang mereka yakini. Oleh itu, mana-mana timbunan harta Baitulmal yang masih kau simpan sehingga ke hari ini, aku perintahkan agar semuanya engkau bahagikan kepada mereka yang berhak menerimanya setelah engkau menatap suratku ini.”


Malik bin Dinar berkata lagi: “Setelah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz memerintah: Berkatalah pengembala-pengembala kambing yang berada di puncak bukit: “Siapakah khalifah soleh yang sedang memerintah sekarang?” Lalu ada orang yang bertanya kepada mereka: “Bagaimanakah engkau boleh mengetahui bahawa khalifah sekarang seorang yang soleh?” Jawab mereka: “Kebiasaanya apabila seorang khalifah yang soleh memerintah sesebuah kerajaan, nescaya serigala dan singa akan menjauhkan diri dari mengganggu ternakan kami.”


Hassan Al-Qassar meriwayatkan: “Suatu ketika semasa pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz, setelah selesai memerah susu kambing, aku telah lalu dihadapan seorang pengembala. Kebetulan pada masa itu terdapat lebih kurang 30 ekor serigala sedang bercampur gaul dengan kambing-kambingnya sedangkan aku menyangka kesemuanya itu anjing kerana sebelum ini aku tidak pernah melihat serigala, oleh itu aku tidak mengenalinya,”


“Lalu aku bertanya kepada pengembala tersebut: “Apakah yang kau kau harapkan dengan anjing yang sebegini banyak?” Jawabnya: “Wahai anakku! Kesemuanya yang kau nampak itu bukannya anjing tetapi sebenarnya serigala.” Aku lantas berkata kepadanya sambil terkejut kehairanan: “Subhanallah! Bagaimana serigala yang sebegini banyak tidak mengganggu langsung kambing-kambing tersebut?” Jawabnya: ”Wahai anakku, apabila kepala (pemimpin) berfikiran waras maka tubuh badan (rakyat) tidak akan menghadapi sebarang masalah. Peristiwa tersebut berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.”


Musa Bin A’yan meriwayatkan: “Suatu ketika di zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, kami telah memelihara kambing di suatu tempat bernama Kirman. Demi Allah, di saat itu serigala tidak mengkhianati kambing walaupun bercampur gaul di dalam satu kawasan.”


“Tiba-tiba suatu malam, kami dapati serigala telah mengganggu kambing-kambing tersebut. Lalu aku pun berkata; “Peristiwa ini berlaku mungkin kerana Khalifah Umar Bin Abdul Aziz telah wafat.” Berkata Hammad: “Ada perawi yang telah meriwayatkan kepadaku cerita ini dan lainnya memberitahu bahawa mereka yang mengembala kambing beranggapan sesungguhnya kejadian serigala kembali mengganggu kambing mereka adalah ekoran kematian Khalifah Umar Bin Abdul Aziz dan apabila disiasat, mereka dapati bahawa pada malam tersebut Khalifah Umar memang benar-benar telah wafat.” SUBHANALLAH!!
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.