Sang Guru memanggil tiga anak murid kesayangannya dan berkata, “Wahai anak murid kesayangan ku, telah ku ajar kepada mu apa yang aku ketahui, tibalah masanya kamu bertemu dengannya yang kamu dambakan.
Tempatnya tidak jauh, di bukit tu…, di sana. Jika kamu bertemu tempatnya ,hendaklah kamu membuka pintunya dengan anak kunci ini”. Maka diberi anak kunci yang sama kepada ketiga-tiga anak murid kesayangannya.
Anak murid yang pertama telah sampai dahulu, dia terpegun melihat keindahan tempat itu dengan taman yang indah, air yang jernih, burung-burung berkicauan dan rama-rama berterbangan. Terlekalah dia begitu lama disana.
Setelah sekian lama, teringatlah anak kunci yang diberi dan terjumpalah pintu yang didambakan. Cuba dibukanya berkali-kali, pintu masih terkunci. Maka kembalilah dia kepada Sang Guru dan menceritakan ehwalnya. Sang Guru berkata “ Baliklah kamu ke kampung mu, datang lah ke sini semula tahun hadapan, Guru yang lain akan mengganti ku dan mengajar mu ke pintu yang kau dambakan”. Maka pulanglah murid itu ke kampungnya.
Anak murid yang kedua juga sampai ke tempat yang sama, dia terpegun melihat keindahan tempat itu, tetapi meneruskan tujuannya mencari pintu yang didambakan. Maka sampailah dihadapan pintu itu dan diambil anak kunci yang diberi, rupa anak kunci itu pelik, tidak lah seperti anak kunci biasa, rupa anak kunci itu berbentuk tulisan “Laa ilaaha illallah”.
Maka cuba dibuka pintu itu sendiri dengan kudratnya memutar anak kunci itu, pintu masih tidak terbuka. Dicuba berkali-kali, gagal jua. Dia cukup yakin anak kunci ini mampu membukanya tetapi pintu masih terkunci. Maka terlihatlah dia akan pancaran cahaya yang sangat bersinar keluar dari lubang anak kunci itu yang sinarnya belum pernah dilihat sebelum ini.
Maka tersangat gembira dia lalu pulanglah dia. Maka kembalilah dia kepada Sang Guru dan menceritakan ehwalnya. Sang Guru berkata “ Baliklah kamu ke kampung mu, datang lah ke sini semula tahun hadapan, Guru yang lain akan mengganti ku dan mengajar mu ke pintu yang kau dambakan.” Maka pulanglah murid itu ke kampungnya.
Anak murid yang ketiga, juga sampai ke tempat yang sama, dia terpegun melihat keindahan tempat itu, tetapi meneruskan tujuannya mencari pintu yang didambakan. Maka sampailah dihadapan pintu itu dan diambil anak kunci yang diberi, rupa anak kunci itu pelik, tidak lah seperti anak kunci biasa, rupa anak kunci itu berbentuk tulisan “Laa ilaaha illallah”. Maka cuba dibuka pintu itu sendiri dengan kudratnya memutar anak kunci itu, pintu masih tidak terbuka. Dicuba berkali-kali, gagal jua. Dia cukup yakin anak kunci ini mampu membukanya tetapi pintu masih terkunci.
Telah dicuba ratusan kali, gagal jua. Tersimpuh duduk didepan pintu itu dengan rasa kesedihan dan kekecewaan. Ditenung betul-betul anak kunci itu sedalam-dalamnya. “ Kenapa Sang Guru memberi aku kunci ini?” Ditenungnya kembali…. Ditenung, ditenung… Laa ilaaha illallah…maka meresaplah kunci itu menusuk hatinya menjalar keseluruh jiwanya, menjalar keseluruh darahnya, dagingnya, tulang-tulangnya sehingga seluruh nyawanya… sehingga tidak sedar dia akan dirinya atau sekelilingnya.
Maka pintu itu terbuka dengan sendiri, dia diangkat kedalam bukan dengan kuasanya… Apabila dia tersedar, dia berkeadaan berketawa dan tiba-tiba sayu menitis air mata, fahamilah dia. Kunci itu adalah dirinya sendiri.
Bergegas dia pulang bertemu Sang Guru dan menceritakan ehwalnya. Sang Guru bertanya “ Apa yang kamu jumpa?” Jawabnya “Aku tidak tahu…lidah ku kelu..”. Guru bertanya lagi, “Apa yang kau tahu?” Jawabnya “ Aku tidak tahu apa-apa…”
Guru tersenyum, lalu menitis air matanya dan memeluk anak murid kesanyangannya itu. Kedua-duanya menitis air mata.. Sang Guru pun bangun…. berjalan terus dengan air mata masih berlinang… memandang muridnya itu dan berkata…. “Sampai disini sahaja aku disini, engkaulah pengganti ku, ajari pula kepada kedua adik mu itu… Lalu pergi ….menghilang tidak kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.