Pages

Jumaat, 10 Januari 2014

Dari Mimbar Jumaat Kedutaan Indonesia

Dari Mimbar Jumaat Kedutaan Indonesia


Sudah lebih 7 bulan saya ditugaskan untuk menjaga projek implementasi SAGA di Kumpulan Wang Persaraan(diperbadankan). Saya menganggap kedudukan KWAP adalah di persekitaran yang elit dan mewah kerana terletak di kota kemasyuharan Bukit Bintang yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan pencakar langit seperti KLCC, hotel-hotel bertaraf lima bintang dan juga pusat-pusat membeli belah yang mewah bertaraf “world”.
Hampir setiap kali hari Jumaat, saya akan menunaikan solat Jumaat di Kedutaan Besar Republik Rakyat Indonesia yang terletak di Jalan Tun Razak. Saya kira itulah tempat yang paling hampir dan mudah untuk di kunjungi. Masjid yang paling hampir adalah Masjid As-Syakirin,KLCC disamping adakalanya saya akan menghala ke Masjid Imam Syafie di Maluri ataupun ke Masjid Al-Bukhari di Jalan Hang Tuah.
Saya kira ada kelainan bersolat di kedutaan RRI ini berbanding masjid-masjid yang ada di Malaysia. Mungkin pertamanya ialah kerana ianya bukan masjid, tetapi sekadar tempat yang dibenarkan untuk bersolat Jumaat. Dari segi perlaksanaannya, saya kira ianya cukup ringkas. Apa yang saya maksudkan ringkas ialah apabila perlaksanaannya dibuat tanpa azan yang pertama, salawat untuk menjemput khatib naik ke mimbar dan tiada selawat selingan semasa duduk antara dua khutbah. Walaupun ringkas, saya kira ini adalah memadai kerana apa yang saya sebutkan sebagai “ringkas” itu bukan menjadi perkara rukun sebenarnya. Ini jugalah yang perlu kita fahami di dalam hakikat fiqh solat Jumaat yang sebenar.
Apa yang menarik tentang khutbah ialah, ianya di sampaikan oleh khatib Indonesia dan disampaikan didalam bahasa Melayu Indonesia. Apa yang lebih menarik ialah khutbah  disampaikan secara bersahaja tanpa terikat dengan teks-teks dari JAWI. Kelancaran dan penggunaan gaya bahasa saya kira sangat halus dan teratur sekali.
Intipati Khutbah 18 Julai 2008
Intipati perbahasan khutbah berkisar kepada hadis yang telah dibacakan dengan mafhumnya seperti mana di bawah.( Sekadar apa yang saya ingat semasa khutbah-sila rujuk hadis yang lengkap)
Maksud hadis :
Akan tiba satu zaman, ilmu agama semakin kurang diminati dan dipelajari, fitnah akan berleluasa dan jenayah bermaharajalela. Sahabat bertanya kepada Rasulullah : jenayah apakah itu wahai Rasulullah?. Rasulullah menjawab : Qatlu! Qatlu! Qatlu! (pembunuhan).
Sahih Bukhari, dari Sunan Ibnu Majah.
Khatib telah menerangkan bahawa hadis ini merupakan hadis yang cukup luar biasa kerana ianya menceritakan  perihal yang akan berlaku. Nabi telah menyebutnya 1400 tahun yang lalu. Saya rasa banyak lagi hadis-hadis yang telah diberikan oleh Rasulullah yang menyatakan apa akan berlaku di akhir zaman terutamanya tentang fitnah akhir zaman.
Tiga fakta utama didalam hadis diatas telah benar-benar berlaku kini di Malaysia dan di seluruh dunia amnya. Fitnah telah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Rasulullah juga telah “mentaukidkan” kata-kata “Al-Qatlu” sebanyak tiga kali. Maha Suci Allah! Hari-hari kita di hidangkan dengan berita bunuh.
Hakikat Akhir Zaman  Dan Penegakkan Syariat Hudud.
Kita tidak boleh mengatakan bahawa gejala jenayah bunuh ini sebagai takdir akhir zaman semata-mata. Berita ini dinukilkan oleh Rasulullah untuk kita renungkan dan seterusnya apa yang sepatutnya kita lakukan. Disinilah perkara yang perlu kita teliti ialah perkara pemerkasaan tauhid dan perlaksanaan syariat hudud serta takzir.
Perlaksanaan hudud adalah satu hukum yang wajib. Allah menyebut didalam Al-Quran berkenaan tiga fasa hukum bagi seiapa yang tidak melaksanakan hukum Allah. Pertamanya dihukumkan sebagai orang-orang yang zalim, keduanya ialah orang-orang yang fasiq dan ketiganya ialah menjadi golongan orang-orang kafir.
Hudud perlu dilaksanakan dengan kuasa pemerintahan. Disinilah keperluannya untuk kita menegakkan negara Islam berdasarkan hukum-hukum syariat Islamiyah. Hukum asal menegakkan daulah Islamiyah ialah tidak wajib. Justeru penegakkan syariat Islamiyah adalah wajib dan ianya tidak akan terlaksana tanpa adanya kuasa pemerintahan, hukum menegakkan daulah Islamiyah jatuh kepada “WAJIB”.
Penerusan ZIKIR dan FIKIR
Khatib berpesan, perkasakanlah kehidupan spiritual. Jangan hanya bergantung kepada kekuatan aqal. Aqal dan ruh perlu seimbang. Perkasakanlah kekuatan ruhaniyah dengan berpandukan AlQuran dan Sunnah Nabi lebih-lebih lagi bagi menhhadapi arus ujian fitnah akhir zaman. Zikrullah janganlah ditinggalkan. Banyakkan berzikir, hebatkan tafakkur dan tajamkan tadabbur.
Mudah-mudahan ada petunjuk didalam zikir dan fikir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.