Pages

Jumaat, 4 April 2014

Dialog Khalifah Umar ibn Khattab dengan Panglima Perangnya Khalid ibn Walid

Dialog Khalifah Umar ibn Khattab dengan Panglima Perangnya Khalid ibn Walid,
Keduanya sama sebaya, teman bermain pada waktu masih kanak-kanak. Setelah Nabi Muhammad Rasulullah SAW membawakan ajaran islam, keduanya menjadi penentang yang hebat. Umar mendahului Khalid memeluk Islam.
Khalid ibn Walid pada ketika itu adalah komandan pasukan berkuda angkatan perang Quraisy. Setelah Perjanjian Perdamaian Hudaybiyah, dua orang panglima perang Quraisy datang di Madinah memeluk Islam. Keduanya adalah Khalid ibn Walid dan Amr ibn Al Ash.
Pada waktu Umar ibn Khattab menjadi Khalifah, Khalid ibn Walid menjadi Panglima Perang. Kemana saja dia dihantar berperang, pasukannya selalu menang. Suatu ketika ketika berada dalam satu peperangan, ketika bersiap menyerbu pertahanan musuh, Khalid mendapat perutusan dari Khalifah, iaitu surat perlucutan jawatan, dia dilucutkan dari jawatan panglima. Dalam penyerbuan itu, Kahlid bertindak sebagai tentera biasa tetapi masih menunjukkan kesungguhannya, bahkan masih berjasa dalam merebut kubu musuh tersebut.
Waktu ditanya oleh teman sepasukannya: "hai Khalid, buat apa engkau bersungguh-sungguh begitu, bukankah engkau telah dipecat Umar?" Khalid menjawab, "saya tidak berjuang untuk Umar, melainkan saya berjuang untuk Islam." Kemudian Khalid meminta izin dari panglima yang baru untuk ke Madinah untuk minta penjelasan dari Khalifah.
Inilah dialog secara terbuka antara Umar sebagai Khalifah dengan Khalid sebagai bekas Panglima Perang.
Khalid: "Mengapa saya dipecat, apa kesalahan saya?"
Umar: "Engkau saya pecat untuk mencegah tiga hal. Pertama, untuk Khalifah, Panglima tidak boleh lebih popular dari Khalifah. Yang kedua, untuk engkau sendiri, engkau adalah manusia biasa, kalau engkau terus berjaya dalam memimpin, engkau akan menjadi sombong. Yang ketiga untuk rakyat, rakyat harus dipelihara aqidahnya dan kemusyrikan memuja, mengagungkan pahlawannya."
Khalid: "Saya terima pemecatan itu dengan ikhlas".
Umar: "Engkau sekarang saya tugaskan membantu Sa'ad di barisan hadapan sebelah timur yang sedang mengalami kesulitan melawan pasukan bergajah angkatan perang Parsi."
Maka Khalid dihantar kebarisan hadapan ke sebeiah timur. Ia menyarankan kepada Panglima Sa'ad untuk menghadapi setiap ekor gajah perang dengan satu pasukan pemanah. Yang dipanah dahulu adalah penunggangnya. Setelah penunggangnya tewas barulah mereka memanah gajah pada bahagian yang sensitif. Khalid sendiri menawarkan dirinya untuk menjadi ketua pasukan pemanah. Taktik Khalid ini berjaya mengalahkan tentera bergajah itu dan memaksa mereka berundur. Oleh kerana gajah itu sudah tidak ada yang mengendalikannya, dan kesakitan akibat terkena panahan, maka gajah-gajah itu berpatah balik dan memijak-mijak tentera berkuda dan infantri di belakangnya, maka kucar kacirlah pasukan Parsi itu.
Ada empat nilai yang masih relevan hingga kini dalam kehidupan bernegara dari dialog di atas.
Yang pertama, sikap keterbukaan dan keikhlasan, sebab tanpa keterbukaan mudah terjadi kesalah fahaman, yang mengandung bibit perpecahan ibarat api dalam sekam, baik dalam kalangan pimpinan, mahupun antara yang memimpin dengan yang dipimpin.
Yang kedua, ketua negara tidak boleh kalah popularitinya dari panglimanya. Berapa banyak terjadi perebutan kekuasaan yang dilakukan oleh panglima suatu negara mahupun kerajaan yang boleh kita dapati didalam lipatan sejarah.
Yang ketiga, orang yang selalu berjaya dalam bidang apa saja, akan menjadi mudah bagi iblis untuk masuk dalam perangkapnya, bersifat seperti iblis sendiri, iaitu takbur, menyombongkan diri, baik kesombongan dari segi pangkat, mahupun kesombongan intelektual dan jenis-jenis kesombongan yang lain.
Yang keempat, sikap mendewakan pemimpin, taat tanpa persoalan, setia tanpa batas dari rakyat, menyebabkan rosaknya aqidah rakyat di pihak yang satu, dan pada pihak yang lain pemimpin akan menjadi diktator. Contohnya banyak dalam sejarah seperti rakyat Jerman yang memuja Fuhrernya, Hitler, si diktator.
Wallahu a'llam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.