KELIRU ?
Keliru adalah perkara biasa dalam mempelajari sebarang disiplin ilmu. Kita yang dilahirkan sebagai bangsa Malai-U, yang berlidah Malai-U dan sehari-hari bertutur bahasa Malai-U inipun sering terkeliru tatkala belajar Bahasa Malai-U. Itu belum lagi keliru tatkala belajar ilmu sains, matematik atau bahasa Inggeris. Apatah lagi bertambah keliru tatkala belajar ilmu agama yang banyak menggunakan istilah Arab, baik dari disiplin syariat, tariqat, hakikat mahupun makrifat.
Kita tidak akan pernah terlepas dari kekeliruan, bahkan golongan yang bergelar “ulamak” sekalipun ramai yang terkeliru dan berbeza pendapat. Inilah yang dikatakan “Khilaf” (keliru atau salah). Pendapat golongan aliran hakikat sering saja dikata mengelirukan bahkan sesat oleh golongan aliran syariat. Begitu juga sebaliknya, tidak kurang juga terdapat golongan aliran hakikat yang mengatakan bahawa aliran syariat lah yang sebenarnya terkeliru, bukan mereka. Demi untuk mengelakkan kekeliruan, maka keluarlah pelbagai fatwa dan pelbagai ijmak (kesepakatan pendapat) dari ulamak-ulamak. Lahirlah pelbagai aliran dalam agama Islam atas alasan ingin memperbetulkan kekeliruan. Namun, makin banyak pendapat, makin banyak kekeliruan yang timbul.
Kekeliruan timbul dalam pelbagai agama, tidak terhad di dalam agama Islam sahaja. Tidakkah tuan hamba keliru bahawa, Tuhan Maha Esa, Tuhan yang Satu, yang disembah oleh orang-orang beragama Islam turut dikatakan Esa dan Satu juga oleh penganut agama Yahudi, tetapi Tuhan yang satu ini dipanggil “YHWH” (Yahweh) ? Turut dikatakan satu oleh penganut agama Hindu tetapi Tuhan yang satu ini dipanggil “Brahman”? Diikatakan satu juga oleh agama Kristian, tetapi Tuhan yang satu ini dipanggil “Jesus”? Dipanggil “Ahura Mazda” dalam agama Zoroaster. Dipanggil “Ranying” dalam kepercayaan Kaharingan. Dipanggil “Khami” dalam kepercayaan Shinto. Dipanggil “Mawulu Tau-Wajii Tau” dalam agama Marrapu. Dipanggil “Ik Onkar” dalam agama Sikhisme, dan banyak lagi panggilan yang berbeza dalam kepercayaan-kepercayaan lain.
Apakah tuan hamba tidak keliru bila ada ulamak aliran Syiah mengatakan bahawa Syiah adalah golongan yang benar dalam Islam kerana mereka berpandukan kepada ahlul bait yang sahih dan mengatakan yang golongan ahli sunnah itu terkeliru? Ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah itu pula kemudiannya mengatakan bahawa aliran Syiah lah yang sebenarnya keliru dan sesat dan mereka perlu dibenteras! Apakah tuan hamba tidak keliru bilamana kedua-dua aliran dalam agama Islam yang bertuhankan Allah yang sama dan Nabi Muhammad saw yang sama ini, saling tuduh menuduh?
Apakah tuan hamba tidak keliru bila musyaf (lembaran/helaian) al-quran terawal dalam Rasm Abu Bakar (bentuk ragam tulisan al quran dalam era khalifah Abu Bakar) kemudiannya, ditukar kepada Rasm Uthmani (bentuk ragam tulisan al quran era khalifah Uthman), kira-kira dalam tahun 25 Hijrah? Tujuan ditukar, atas alasan al quran rasm Abu Bakar dikatakan banyak yang mengelirukan dan salah. Pengikut-pengikut aliran rasm Abu Bakar mengatakan rasm al quran merekalah yang betul dan pendapat aliran rasm Uthmani itulah yang salah.
Apakah tuan hamba tidak keliru bila membaca tafsiran atau terjemahan kitab al quran yang mempunyai maksud dan terjemahan yang berbeza-beza mengikut si penterjemahnya?
Apakah tuan hamba tidak keliru bila ulama hadis mendapati kitab tersohor Ihya Ulumiddin karangan ulama besar, Imam al Ghazali, mengandungi banyak hadis-hadis palsu?
Apakah tuan hamba tidak keliru bila ada tuduhan yang mengatakan Ajaran Tok Kenali itu sesat? Sedangkan ada pula sebahagian pendapat mengatakan ilmu Ajaran Tok Kenali inilah hakikat ilmu yang benar-benar menunjuk jalan makrifat?
Soal keliru, soal sesat, soal salah adalah persoalan yang amat subjektif dan tidak berkesudahan!! Keliru tidak pernah habis !!
Contohnya begini :
Bagaimana kalau hamba katakan “ Kalau kita sudah kenal ilmu hakikat, maka tak payah sembahyang !”
Sebelum membaca kupasan yang lebih lanjut di bawah, kita jawap dulu apa tafsiran yang pertama bermain di fikiran kita?
Ramai orang kebanyakannya akan terus menghukum. Ini sesat ! Ini ilmu salah ! Kebanyakannya akan memandang sebab dan terus menjatuhkan hukum. Tidak ramai yang mencari sebab sebelum menjatuhkan hukum. Kalau pun mencari sebab, kebanyakannya akan mencari sebab untuk menghukum. Pelbagai nas, pelbagai dalil, pelbagai fatwa, pelbagai ijmak ulama akan dikeluarkan. Memang hukuman itu perlu bagi yang berbuat salah, tetapi sebelum menjatuhkan hukuman itu, adalah baiknya jika kita mencari sebab. Mencari sebab itu harus dahulu dilakukan daripada memandang sebab dan menjatuhkan hukum.
Maka sebaiknya ditanya dulu, apa maksud hamba berkata begitu. Jikalau ditanya, (mencari sebab) maka bolehlah hamba menjawapnya.
Jawapan hamba kepada pernyataan “ Kalau kita sudah kenal ilmu hakikat, maka tak payah sembahyang” bermaksud “ Kalau kita sudah kenal ilmu hakikat, maka tak susahlah sembahyang, bukan tak perlu sembahyang. Tak payah bukan bermaksud tak perlu. Tak payah bermaksud tak susah. Tetapi dek kerana kebiasaan menggunakan perkataan tak payah itu sebagai tak perlu, maka bila kita gunakan perkataan yang betul, nescaya kita akan dianggap salah. Namun, bila ada pihak yang cuba memperbetulkannya, maka usaha pembetulan itu akan dikritik, dikatakan salah, dikatakan memutar belitkan fakta, dikatakan bermain dengan kata-kata dan dilontarkan dengan pelbagai lagi pendapat yang tidak berkesudahan. Tuan hamba tidak keliru ??
Kesimpulannya, ada masanya, betul bagi seseorang itu mungkin salah kepada seseorang yang lain. Ada masanya, salah di satu pihak, mungkin benar di satu pihak lain. Keliru bagi tuan hamba, mungkin tidak keliru bagi hamba. Keliru bagi hamba mungkin tidak mengelirukan langsung bagi tuan hamba.
Kadang-kadang sesuatu kekeliruan itu sengaja diadakan. Inilah yang dikatakan teori“perception”. Teori yang sering diguna pakai oleh orang-orang politik dalam memperjuangan politiking mereka. Politik berkaitan kuasa. Sesiapa saja yang berhajat kepada kuasa, ia perlukan senjata politik. Ini termasuklah kuasa untuk menguasai pemerintahan Agama !!
Dalam politik, kebenaran tidak penting. Yang penting, bagaimana yang salah itu dapat dipersepsikan sebagai betul dan bagaimana yang betul itu dapat dipersepsikan sebagai salah, bergantung kepada apa yang dimahukan. Bilamana “subconcious mind” (alam bawah sedar) masyarakat telah menerima “mind control game” (kawalan minda) yang dimainkan oleh mereka yang berkepentingan, maka perkara yang betul pun boleh jadi salah dan perkara yang salah pun boleh jadi betul. Inilah kekeliruan yang mereka mahukan. Inilah mainan puak-puak yang ingin mewujudkan “New Word Order” !! (Pemerintahan Dunia Baru)
Jika perkara sebegini boleh membuatkan ramai para ulamak keliru, maka akan bertambah kelirulah diri hamba dan akan bertambah kelirulah diri tuan hamba yang dikategorikan sebagai golongan orang awam ini.
- Wira Satria.
Akal tak mungkin sampai ketahap ilmu. Hanya ilmu sahaja yang memungkinkan sampai ketahap ilmu. “Orang bodoh selalu menuduh orang pandai itu sesat atau bodoh, orang pandai pula selalu menuduh bodoh atau sesat itu terletak pada diri mereka sendiri, manakala orang bijaksana itu, tidak menuduh sesiapa bodoh atau tidak menuduh sesiapa sesat!”.
Jadi, orang yang selalu menuduh orang lain sesat atau bodoh itu, sebenarnya merekalah yang terlebih bodoh dan terlebih sesat!. Orang yang bijaksana tidak menuduh sesiapa sesat atau sesiapa bodoh!.
- Tuan Guru Hj Shaari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.