Pages

Khamis, 8 Mei 2014

KISAH TERSIRAT ADAM DAN HAWA ?

KISAH TERSIRAT ADAM DAN HAWA ?
Adam dan Hawa adalah dikatakan ‘Bapa’ dan ‘Ibu’ yang menjadi asal permulaan kepada seluruh kejadian makhluk manusia di muka bumi ini. Kisah penciptaan DUA makhluk manusia terawal ini, ada dikisahkan di dalam kitab al-quran (2:30-38, dan 7:11-25)
Selain dari kitab al-quran, kisah seumpama Adam dan Hawa dengan buah khuldi ini juga ada tercatat di dalam pelbagai kitab-kitab kuno. Selain daripada nama Adam dan Hawa versi Arab, terdapat beberapa nama-nama lain di dalam pelbagai versi mengikut sesebuah masyarakat.
Kitab Hebrew Bible (Torah/Taurat) Yahudi mengatakan bahawa, Yahweh (nama Tuhan Yahudi) menjadikan ha’Adham (dalam bahasa Hebrew yang bermakna laki-laki) dari ‘adamah’ (debu) dan menjadikan ‘Ishshah’ (perempuan), dari secebis ‘tsela ha’Adam ‘(tulang rusuk laki-laki).
Bila ha’Adam melanggar perintah Yahweh, dia kemudiannya diturunkan ke dunia (fallen) dan terus dipanggil ‘Adham’. ‘Adham’ kemudiannya menamakan Ishshah (perempuan) itu sebagai ‘Haw-wah’ (mother of all living/ibu segala manusia).
Kristian mengenali Adam dan Hawa sebagai ‘Adam’ dan ‘Eve’ seperti yang disebutkan di dalam Genesis 1:26-30
Di negara-negara Scandinavia (pada era Viking), ada kisah ‘Ask’ dan ‘Embla’ diceritakan dalam kitab “Prose Edda : Gylfaginning” yang juga mirip kisah Adam dan Hawa.
Di dalam agama Zoroaster (agama Parsi), kitab ‘Bundahishn’ ada menceritakan tentang ‘Mashya’ dan ‘Mashyana’, cerita mirip Adam dan Hawa versi Parsi.
Kitab Veda agama Hindu ada menceritakan kisah Jiva dan Atman dan kisah Manu dan Shatarupa yang juga mirip cerita Adam Hawa dengan buah buah Khuldi.
Mitos Mangaia di kepulauan Cook Islands, ada menceritakan kisah Vatea dan Papa.
Di dalam mitos masyarakat Mouri, ada kisah Tiki dan Marikoriko.
Agama Kikuyu di Afrika ada kisah Gikuyu dan Mumbi.
Di dalam mitos Greek, ada kisah Epimethius dan Pandora .
dan... banyak lagi cerita-cerita yang seumpamanya.

MAKSUD
Di dalam bahasa Hebrew, Adam itu bermaksud ‘laki-laki’ (ada juga mentafsirkannya sebagai ‘merah’yang merujuk kepada sifat ‘tanah’ atau ‘darah, simbol kejadian laki-laki itu).
Di dalam bahasa Arab dan Bahasa Melayu, perkataan Adam itu ‘TIDAK ADA MAKSUD YANG KHUSUS’ dan merujukkan maksud itu kembali kepada ‘Nabi Adam’ seperti yang tertulis di dalam Al quran, Bible dan Torah (Taurat).
Daripada pelbagai versi cerita dan pengkisahan yang di atas, ada sesuatu yang menarik untuk diperkatakan. Di dalam kebanyakan cerita, didapati ada TUJUH persamaan ketara , iaitu :
1. ada PENCIPTA Manusia
2. ada Kehidupan awal di SYURGA/Eden/Nirvana. (Hindu menggelarnya Swarga)
3. ada NERAKA/Hell, (Hindu dan Buddha menggelarnya Narakha). Dilambangkan dengan kisah ‘diturunkan’/fallen ke Dunia
4. ada LAKI-LAKI
5. ada PEREMPUAN
6. ada BUAH/pokok (Tree of knowlegde)/ILMU
7. ada Kehendak (NAFSU/Desire) dilambangkan dengan syaitan, serpent (ular)
Para cerdik pandai dalam semua disiplin ilmu termasuk Theology (kajian Ketuhanan), Religion (agama), Sains, Sastera, Falsafah dan sebagainya telah mengkaji cerita-cerita ini dengan menggunakan pelbagai bukti saintifik dan bukti empirik (bukti dari data-data pengetahuan dan pengalaman).
1. PENCIPTA
Setiap kejadian makhluk itu bermula dengan diciptakan oleh PENCIPTA manakala PENCIPTA itu tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Dari Dialah punca segala sesuatu bermula dan berakhir. PENCIPTA itu ‘diumpamakan’ sebagai KUASA NEUTRAL yang telah sedia WUJUD sebelum adanya tenaga POSITIF dan tenaga NEGATIF (Cina menggelarnya Yin & Yang)
2. SYURGA
Kisah penciptaan makhluk ini bermula di suatu ‘alam’ yang paling hebat. Alam ‘batin’ atau alam spiritual yang penuh dengan ‘keajaiban’. Alam yang tiada sempadan dan tiada dimensi. Alam ini hanya dapat diterokai dengan ‘diri batin’ atau ‘spiritual’ (Roh) yang dibekalkan di dalam jasad makhluk yang dicipta oleh PENCIPTA . Alam ini bersifat POSITIF. Perlakuan BAIK (+) diperlukan bagi mereka yang yang ingin menerokainya. Syurga itu lambang alam BAIK dan KEBAHAGIAAN.
3. NERAKA
Selepas bermulanya episod kehidupan di Syurga, maka bermulalah juga episod kehidupan alam neraka. PENCIPTA yang Neutral itu menciptakan segalanya mengikut KESEIMBANGAN. Bila ada POSITIF, akan wujud pula NEGATIF. Ini perlu bagi meneruskan sistem KESEIMBANGAN alam itu, tidak kira samada alam batin mahupun alam zahir. Sesuatu itu TIDAK BOLEH wujud tanpa ada Positif dan Negatif ini. Hanya PENCIPTA itu sahaja yang boleh wujud tanpa sistem keseimbangan ini.
Seperti Syurga, Neraka juga adalah ‘alam batin’ atau spiritual yang hebat dan penuh keajaiban. Neraka juga merupakan ‘alam’ yang tiada sempadan dan dimensi. Perbezaannya dengan syurga adalah, ia bersifat NEGATIF (-). Perlakuan BURUK diperlukan untuk meneroka alam ini. Neraka itu adalalah lambang alam BURUK dan KEMUSNAHAN.
Kitab agama Abrahamic/Ibrahimiyah (Islam, Kristian dan Yahudi) ada menceritakan perihal ‘FALLEN’ atau kisah ‘diturunkan’, ‘dicampakkan’ ke dunia. Kitab-kitab agama lain seperti yang disebutkan di atas, juga ada menyebutkan kisah yang hampir sama.
Persamaannya ialah : BILA ADA POSITIF, NEGATIF AKAN MENYUSUL dan BILA ADA NEGATIF, POSITIF AKAN MENYUSUL ! Sentiasa berpasangan ! Inilah Sunatullah (Undang-undang kejadian yang dicipta Allah/Pencipta). Ini diceritakan melalui watak dan perwatakan yang berbeza di dalam kitab-kitab, tetapi dengan cerita yang sama.
4. LAKI-LAKI
Adam itu disimbolkan sebagai Laki-Laki. Laki-laki itu perlambangan POSITIF, lambang BAIK, lambang kuasa, lambang kekuatan, lambang pemberi, lambang permulaan dan lambang kelahiran. Tanpa positif tiada negatif. Tanpa laki-laki tiada kelahiran!
5. PEREMPUAN
Hawa itu disimbolkan sebagai Perempuan. Perempuan itu perlambangan yang berlawanan dengan laki-laki. Lambang NEGATIF, lambang kelembutan, lambang penerima, lambang kesempurnaan.
Tiada perempuan, hidup tiada kesempurnaan. Jika laki-laki itu punca kelahiran, perempuan itu pula menyempurnakan kelahiran. Tiada perempuan, tiada juga kelahiran !
Kelahiran itu bukti PENCIPTA menzahirkan WujudNya DIA. Kelahiran itu Tanda Dia Ada! Tanda Dia Nyata! Laki-laki dan perempuan saling memerlukan untuk melahirkan. Baik dan Buruk saling memerlukan untuk menunjukkan KESEMPURNAAN. Positif dan Negatif perlu untuk mendapatkan NEUTRAL. Begitulah Sunatullah yang telah diciptakanNya.
6. BUAH/ILMU
Dalam kebanyakan kitab, BUAH yang dilambangkan adalah merujuk kepada ILMU.
Kitab Old Testament dan New Testament (nama lain bagi Taurat dan Injil) melambangkan buah ini dengan ‘TREE OF KNOWLEDGE’. Al-Quran ada menyatakan kisah buah Khuldi. Sebelum buah Khuldi itu dimakan Adam, PENCIPTA telah mengajarkan segala MAKLUMAT kepada Adam tetapi maklumat yang banyak ini belum diproses menjadi ilmu. Bila dimakan saja buah Khuldi itu, maka proses pemecahan maklumat itu pun berlaku.
Proses pemecahan maklumat itulah yang dikatakan ILMU. Bermaksud proses ‘KENAPA’ pun bermulalah. Proses mencari ‘KENAPA’ ini seterusnya berlanjutan hingga diri itu MENGENAL dan bila telah mengenal,MAKA diri itu tidak lagi bertanya mengapa. Bila KENAL, semuanya menjadi NEUTRAL semula !
Proses MENGENAL ini memerlukan pemecahan maklumat. Setiap anak ADAM itu telahpun dibekalkan dengan maklumat sewaktu awal kejadiannya. Mereka itu cuma perlu memecahkan maklumat dan jadikannya ILMU. Dengan ILMU barulah mereka dapat MENGENAL dan bila MENGENAL tiada apa lagi yang diingin kerana segalanya telah DIKENALI dan kembali menjadi NEUTRAL.
7. KEHENDAK (Nafsu)
Arab memanggil Kehendak itu sebagai Nafs. Malayu memanggil Nafsu. Inggeris memanggilnya Desire. Dalam Hindu ia dipanggil ‘Kama’. Buddha menggelarnya, ‘Tanha’. Walau apa pun jua panggilan NAMA kepada KEHENDAK ini, ia masih menceritakan hal KEHENDAK yang sama.
Kehendak ini diciptakan oleh PENCIPTA sebagai PENYEMPURNA kepada Sistem Keseimbangan (Kesempurnaan) alam diri manusia.
Tanpa kehendak, bagaimana untuk Baik dan Buruk itu dapat dirasakan?
Bayangkan jika kita tidak berkehendak kepada makan, bagaimana kebaikan dan keburukan makanan itu dapat kita rasakan? Bila ada kehendak makan, baru kita dapat merasai nikmat makanan dan KEBAIKAN nya terhadap tubuh zahir dan batin.
Bila kita ada kehendak makan yang berlebihan(buruk makan), baru kita dapat rasakan KEBURUKAN makanan terhadap tubuh, zahir dan batin. Bila kenal rasa baik dan rasa buruk perihal makan, maka sempurnalah rasa itu dalam diri. Bila sempurna rasa, apa lagi yang ingin dirasa? Tiada ! Segalanya kembali kepada NEUTRAL !
Maka, kehendak itu amat penting dalam menyempurnakan keseimbangan alam diri.
Makhluk manusialah satu-satunya makhluk yang dapat menikmati KESEMPURNAAN jika dia tahu bagaimana mengawal dan menggunakan KEHENDAK ini. Malaikat, hanya dibekalkan dengan hal KEBAIKAN (+). Syaitan hanya dibekalkan dengan hal KEBURUKAN (-). Makanya, mereka tidak dapat merasai nikmat KESEMPURNAAN yang ada pada manusia.

KESEMPURNAAN inilah NEUTRAL yang kembali kepada keadaan asalNya. Neutral yang tidak berkehendak kepada segala sesuatu. Tidak berkehendak kepada Syurga apatah lagi Neraka, kerana bila NEUTRAL, syurga dan neraka itu juga akan kembali NEUTRAL kepada PENCIPTANYA.
KESIMPULAN
Kisah Adam dan Hawa adalah kisah yang terselit seribu satu maklumat yang perlu dikupas dan diproses bagi menjadikannya ilmu. Hanya ilmu yang membolehkan kita MENGENAL !
Bila telah mengenal, apa lagi yang diingin dikenal? ADAM ! Tiada !
Adam itu maknanya Tiada !
Kelu? Tiada ! 
Tersenyum? Tiada !
Menangis? Tiada ! 
Duka? Tiada ! 
Bahagia? Tiada ! 
Baik? Tiada !
Buruk? Tiada !
Adam? Tiada !!!

Apa yang ada?
Yang ada hanya PENCIPTA yang menciptakan ADAM !
Tiada menyatakan Adam, Adam menyatakan Tiada. Kedua-duanya saling nyata menyatakan. Berpisah tidak, bersatu tiada !
Maka Mengenallah !!
AWAS !!
Jika tidak kenal, itu tanda TIDAK SEMPURNA !
Jika Tidak Sempurna, itu tanda BURUK.
Buruk itu hal NERAKA !
Maka, jika tidak Mengenal...
Tersiksalah di dalam NERAKA !!
Jika KENAL...
Nikmati saja.... segalanya kembali NEUTRAL !
Arab menggelar KENAL itu MAKRIFAH.
Maka.....
MAKRIFAH lah !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.