[ TIDUR IBADAH TIDUR SUNNAH ]
"Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki." (QS. Al-Furqan : 47)
PENCERAHAN :
Menurut Ummul Mukminin Aisyah r.anha. Beliau berkata: “Bila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, baginda akan menghimpunkan kedua telapak tangannya, lalu meniup keduanya dan dibaca pada keduanya surat Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian disapunya seluruh badan yang dapat disapunya dengan kedua tangannya. Baginda memulakan dari kepalanya, mukanya dan bahagian depan dari badannya. Baginda lakukan hal ini sebanyak tiga kali.” (HR : At-Tirmidzi)
Menurut Ab Aziz bin Fathi as-Sayyid Nada dalam Kitab Ensiklopedia Adab Islam, antara adab-adab tidur yang menjadi amalan Nabi s.a.w dan salafussoleh ialah ;
1. Mengikhlaskan niat untuk beramal selepas bangun.
2. Tidak tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat.
3. Elakkan tidur sewaktu kekenyangan.
4. Tidur dalam keadaan suci.
5. Tidur dalam keadaan berwuduk.
6. Membaca surah dan ayat yang menjadi amalan nabi.
7. Bercelak (memakai celak)
8. Mengerjakan solat sunat seperti witir sebelum tidur.
9. Mengibaskan tempat tidur sebelum tidur.
10. Bersiwak atau bersugi ketika bangun dari tidur.
Antara hadis-hadis sahih yang berkaitan tidur Rasulullah SAW yang jarang kita dengar ialah;
1. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian bangun dari tidurnya lalu berwuduk, maka hendaklah ia menghirup air ke dalam hidung lalu mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali kerana syaitan tinggal (bermalam) di dalam batang hidungnya.” (HR : An- Nasa'i)
2. Dari Abdullah bin Zaid bin Ashim, dia pernah melihat Rasulullah saw (tidur) terlentang di masjid dengan meletakkan salah satu kakinya di atas kaki yang lain.
(HR: An-Nasa'i)
3. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian tidur, maka syaitan mengikat tiga ikatan di atas kepalanya. Setiap ikatan diikat dengan berkata ‘Malam masih panjang, tidurlah’.
(a). Jika ia bangun lalu berzikir, lepaslah satu ikatan.
(b). Jika ia berwuduk, maka lepaslah ikatan lain lagi
(c). Jika ia mengerjakan solat maka lepaslah semua ikatannya (ikatan syaitan itu).
Sehingga pada pagi harinya (apabila bangun dari tidur) ia berjiwa lapang dan bersemangat. Sedangkan jika ia tidak melakukan hal tersebut (bangun malam lalu berzikir, berwuduk dan solat) maka pada pagi harinya, jiwanya akan buruk dan malas.” (HR : An- Nasa'i)
Wallah Aklam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.