PENGASINGAN DIRI DARI DUNIA DENGAN MEMASUKI KHALWAT DAN SULUK
Khalwat
dan suluk harus dilihat secara zahir dan batin. Khalwat zahir ialah
apabila seseorang mengambil keputusan untuk memisahkan dirinya daripada
dunia, memencilkan dirinya di dalam satu ruang yang terpisah daripada
orang ramai supaya manusia dan makhluk di dalam dunia selamat daripada
kelakuan dan kewujudannya yang tidak diingini. Dia juga berharap agar
dengan berbuat demikian sumber kepada kewujudan yang tidak diingini,
egonya dan hawa nafsu badannya akan terpisah daripada bekalan hariannya
dan terhenti juga segala yang memuaskan dan mengenyangkannya. Seterusnya
dia berharap pengasingan itu akan mendidik egonya dan seleranya,
memberi peluang kepada perkembangan diri rohaninya.
Bila
seseorang memutuskan demikian niatnya mestilah ikhlas. Dalam satu segi
dia seumpama meletakkan dirinya di dalam kubur, dalam keadaan mati,
mengharapkan semata-mata keredaan Allah, berhasrat dalam hatinya
melahirkan yang asli dan beriman, yang boleh lahir daripada kewujudannya
yang hina ini. Nabi s.a.w bersabda, "Yang beriman adalah yang orang lain selamat daripada tangan dan lidahnya".
Dia mengikat lidahnya dari berkata yang sia-sia kerana Nabi s.a.w bersabda, "Keselamatan manusia datang dari lidah dan kebinasaannya juga dari lidah".
Dia menutupkan matanya daripada yang diharamkan agar pandangannya yang
khianat dan menipu daya tidak jatuh ke atas apa yang dimiliki oleh orang
lain. Dia menutup telinganya dari mendengar pembohongan dan kejahatan,
dan mengikat kakinya, membelenggunya dari pergi kepada dosa.
Nabi s.a.w bersabda menceritakan setiap anggota badan boleh melakukan dosa sendirian, "Mata boleh berzina".
Bila salah satu daripada pancaindera berdosa satu makhluk hitam yang
hodoh diciptakan daripadanya dan pada hari pembalasan ia menjadi saksi
terhadap dosa yang kamu lakukan. Kemudian ia dicampakkan ke dalam
neraka.
Tuhan memuji orang yang menghindarkan dirinya daripada
kesalahan kerana yang demikian merupakan penyesalan yang sebenar, taubat
yang kuat.
"Adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya,
dan menegah diri daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurga itu
tempat kembalinya". (Surah an-Naazi'aat, ayat 40 & 41).
Orang yang takutkan Tuhannya dan bertaubat, mengeluarkan kewujudannya
yang hina daripada yang beriman dan mengeluarkan keburukannya daripada
imannya, ditukarkan di dalam khalwatnya, sehingga jadilah ia jejaka
tampan. Kewujudan yang elok ini menjadi khadam kepada penghuni syurga.
Mengasingkan diri adalah benteng menghalang musuh bagi dosa diri
sendiri dan kesalahan. Di dalamnya, sendirian, seseorang terpelihara di
dalam kesucian. Firman Allah:
"Barangsiapa percaya akan pertemuan
Tuhannya hendaklah ia kerjakan amal salih dan janganlah ia sekutukan
seseorang jua dalam ibadat kepada Tuhannya". (Surah al-Kahfi, ayat 110).
Semua yang diceritakan hingga kini adalah maksud bagi suasana khalwat
zahir. Maksud khalwat batin pula ialah mengeluarkan dari hati walaupun
hanya memikirkan hal keduniaan, kejahatan dan ego, meninggalkan makan,
minum. Harta, keluarga, isteri, anak-anak dan perhatian serta kasih
sayang semuanya.
Anggapan orang lain melihat atau mendengar tentangnya jangan masuk kepada khalwat ini. Nabi s.a.w bersabda, "Kebesaran
dan apa yang diburunya adalah bala, dan melarikan diri daripada
kebesaran dan mengharapkan pujian orang dan apa yang dibawanya adalah
keselamatan.". Orang yang bercadang memasuki khalwat batin mestilah
menutupi hatinya daripada kemegahan, sombong, takabur, marah, dengki,
khianat dan yang seumpamanya. Jika sebarang perasaan yang demikian masuk
kepadanya di dalam khalwatnya hatinya menjadi terikat. Ia tidak lagi
terlepas daripada dunia dan khalwat demikian tidak berguna. Sekali
kekotoran memasuki hati ia kehilangan kesuciannya dan semua kebaikan
terbatal.
"Apa yang kamu bawa itu sihir, sesungguhnya Allah akan
membatalkannya (kerana) Allah itu tidak membaguskan amal orang-orang
yang berbuat bencana". (Surah Yunus, ayat 81).
Walaupun perbuatan seseorang itu kelihatan bagus pada pandangan orang
lain, bila sifat-sifat buruk memasukinya, orang itu dianggap berlaku
khianat dan menipu dirinya sendiri dan juga orang lain. Nabi s.a.w
bersabda, "Sombong dan takabur mencemarkan iman. Fitnah dan umpatan lebih buruk dari dosa zina". Juga, "Sebagaimana api membakar kayu dendam membakar dan menghapuskan perbuatan baik seseorang". Juga, "Fitnah itu tidur, laknati ke atas siapa yang mengejutkannya". Juga, "Orang yang bakhil tidak masuk syurga walaupun dia habiskan umurnya dengan ibadat". Juga, "Kepura-puraan adalah bentuk sembunyi mengadakan sekutu bagi Tuhan". Juga, "Syurga menolak orang yang menolak orang lain".
Banyak lagi tanda-tanda sifat buruk yang dikutuk oleh Rasulullah s.a.w.
Apa yang dinyatakan sudah memadai untuk menunjukkan kepada kita bahawa
dunia ini adalah tempat yang memerlukan berterusan di dalam berhati-hati
dan berwaspada, perlu berjalan melaluinya dengan penuh cermat dan
perhatian. Matlamat pertama jalan kerohanian ialah menyucikan hati dan
langkah untuk memperolehinya ialah membenteras keegoan dan keinginan
hawa nafsu. Di dalam khalwat, dengan berdiam diri, bertafakur dan
berzikir terus menerus, ego seseorang diperbaiki. Kemudian Allah Yang
Maha Tinggi menjadikan hati seseorang itu bercahaya.
Tiada yang
dilakukan di dalam khalwat secara perbuatan sendiri. Apa yang perlu
ialah cinta, ikhlas dan keyakinan yang sebenar. Cara ini bukan cara
orang tersebut sendiri. Dia menuruti cara para sahabat Rasulullah s.a.w,
cara orang-orang yang mengikuti mereka dan cara orang yang mengetahui
cara mereka dan mengikutinya.
Bila orang yang yakin berada pada
jalan ini menurut jalan taubat, ilham dan menyucikan hatinya, Allah
mencabut dari hatinya dan dirinya segala yang merosakkan dan yang keji
dan melindunginya agar dia tidak kembali kepadanya. Wajahnya akan
menjadi cantik; perasaannya, samada dipendamkan atau dizahirkan, menjadi
tulen. Apa sahaja yang dia lakukan dilakukannya dengan cara yang
terpuji kerana dia berada di dalam kehadiran Ilahi. "Allah mendengar orang yang memuji-Nya". Jadi, Allah menjaganya. Allah menerima doanya, kerinduannya dan puji-pujiannya dan mengabulkan segala keinginannya.
"Barangsiapa
mahukan kemuliaan maka bagi Allah jualah semua kemuliaan. Kepada-Nya
naik perkataan yang baik, amal yang salih itu Dia angkat". (Surah Fatir, ayat 10).
Perkataan yang baik menyelamatkan lidah daripada perkataan yang
sia-sia. Lidah adalah alat yang baik untuk memuji Tuhan, mengulangi
nama-nama-Nya yang indah, memperakui keesaan-Nya. Allah memberi amaran
terhadap perkataan yang sia-sia:
"Tidak sekali-kali! Sesungguhnya
yang demikian perkataan yang ia ucapkan padahal di belakang mereka satu
dinding hingga hari mereka dibangkitkan (mereka tidak benar dalam
perkataan mereka)". (Surah Mukminuun, ayat 100).
Allah mengurniakan keampunan-Nya, kasihan belas-Nya kepada orang yang
belajar dan mengamalkannya dengan niat yang baik. Dia membawanya hampir
dengan membawanya kepada darjat yang lebih tinggi. Dia reda kepadanya,
Dia maafkan kesalahannya.
Bila seseorang telah dinaikkan kepada
darjat itu hatinya menjadi seperti laut. Bentuk dan warna laut itu tidak
berubah kerana sedikit Kekejaman dan penganiayaan yang orang ramai
Buangkan kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, "Jadilah seperti laut yang tidak berubah, tetapi di dalamnya tentera gelap (ego) kamu akan lemas",
seperti Firaun lemas di dalam Laut Merah. Dalam lautan itu kapal agama
timbul dengan selamat dan sejahtera, ia berlayar di dalam lautan yang
luas itu. Roh orang yang di dalam khalwat terjun ke dasarnya untuk
mendapatkan mutiara kebenaran, membawa ke permukaan mutiara
kebijaksanaan (makrifat) dari batu karang budi pekerti dan
menyebarkannya ke tempat yang jauh. Firman Allah:
"Keluar daripadanya mutiara dan marjan (batu karang)". (Surah ar-Rahmaan, ayat 22).
Untuk memelihara lautan tersebut zahir kamu mestilah sama dengan batin
kamu, diri kamu mestilah sama dengan apa yang kelihatan pada diri kamu.
Suasana zahir dan suasana batin kamu mestilah satu. Bila ini terjadi,
tiada lagi penipuan, hasutan atau kekacauan di dalam laut hati kamu.
Tiada ribut nakal yang boleh memabukkan di dalam lautan yang tenang itu.
Orang yang memperolehi suasana tersebut berada di dalam keadaan taubat
sepenuhnya; ilmunya luas dan bermanfaat, perbuatannya semuanya adalah
khidmat untuk orang lain, hatinya tidak mengalir kepada kejahatan. Jika
dia tersilap atau lupa dia dimaafkan kerana dia ingat bila dia lupa dan
bertaubat bila dia bersalah. Dia berada dalam kehampiran dengan Allah
dan dirinya sendiri.