Pages

Khamis, 14 Februari 2013

Manusia ingkar, kufur diseksa di dalam kubur hingga kiamat


APABILA menyebut mengenai alam roh, ia termasuk dalam perkara ghaib yang kita tidak dapat mengetahuinya melainkan apa yang dikhabarkan oleh al-Quran dan al-Hadis. 

Allah SWT berfirman dalam surah al-Israk, ayat 85 yang bermaksud: ?Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai roh. Katakanlah: ?Roh itu termasuk urusan Tuhanku, tidak kamu diberi pengetahuan mengenainya kecuali sedikit.? 


Setiap orang yang beriman wajib meyakini adanya alam berkenaan seperti yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadis. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 99 dan 100 yang bermaksud: ?Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang antara mereka, berkatalah ia: ?Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup di dunia) supaya aku mengerjakan amal saleh dalam perkara yang sudah aku tinggalkan.? Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tetap tinggal padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).? 


Ayat itu jelas menunjukkan alam barzakh itu benar-benar wujud, manakala ayat yang menunjukkan azab seksa yang akan menimpa orang yang ingkar ketika berada dalam kubur pula iaitu firman Allah SWT dalam surah al-Mukmin ayat 46 yang bermaksud: ?Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (ketika mereka berada di alam barzakh).? 


Gambaran lain azab bagi mereka yang ingkar ketika sakaratulmaut seperti dalam surah al-An?am ayat 93 yang bermaksud: ?Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang zalim itu dalam penderitaan sakaratulmaut (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): 


?Keluarkanlah nyawa kamu (daripada tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keterangan-Nya.? 


Sebuah hadis riwayat al-Bukhari, daripada Aisyah katanya: ?Dua wanita tua daripada kalangan Yahudi Madinah sudah masuk menemuiku lalu mereka berkata: ?Sesungguhnya penghuni kubur diseksa di dalam kubur mereka.? 


Aisyah berkata: ?Aku menafikan mereka dan tidak percaya pada mulanya. Lalu mereka keluar. Dan masuk pula Rasulullah SAW menemuiku maka aku pun khabarkan apa yang terjadi (mengenai wanita Yahudi berkenaan). 


Baginda bersabda: ?Benar (wanita Yahudi berkenaan), sesungguhnya mereka diseksa dengan seksaan yang boleh didengar oleh semua binatang.? 
Aisyah berkata: ?Selepas peristiwa itu aku tidak pernah melihat Baginda solat melainkan setelah itu Baginda memohon perlindungan daripada siksaan kubur. 


Daripada Zaid bin Tsabit r.a, beliau berkata: Ketika Rasulullah SAW berada di kawasan Bani Najjar sambil menunggang keldainya dan kami bersama Baginda, tiba-tiba keldainya terkejut dan hampir saja Baginda terjatuh. Di kawasan itu terdapat enam atau lima atau empat kuburan, lalu Baginda SAW bertanya: ?Siapakah antara kamu yang mengetahui penghuni kubur ini?? Seorang lelaki menjawab: ?Saya.? Baginda bertanya lagi: ?Bilakah mereka mati?? 


Lelaki tersebut menjawab: ?Mereka mati dalam syirik.? Lalu Baginda bersabda: ?Sesungguhnya umat ini (penghuni kubur ini) sedang diseksa di dalam kubur mereka. Andai kata mereka tidak dikuburkan nescaya aku memohon kepada Allah agar Dia memperdengarkan kepada kamu seksaan kubur seperti yang aku mendengarnya.? 
Walau bagaimanapun bagi mereka yang beriman dan beramal salih mereka berada dalam kenikmatan Taman Syurga. Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.