Mengenal Allah dan mencintai-Nya adalah asas tadayyun. Tadayyun ertinya hidup beragama. Seseorang yang bertadayyun disisi Allah adalah sebagai Rabbaniyyin.
“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “”Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah.”" Akan tetapi (dia berkata): “”Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.” Ali Imran: 7.
Rabbaniyyin adalah identiti dan jatidiri Muslim yang menjadi fokus dakwah nabi s.a.w. maka setiap individu Muslim yang menjadi pengikut nabi Muhammad s.a.w. wajib menjadikan dirinya seorang yang Rabbani.
Hidup bertadayyun adalah ikrar setia seorang Muslim yang diulang-ulang setiap kali dia menunaikan solat.
”Katakanlah: “”Sesungguhnya salat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam,” Al-An`am :162
Tadayyun adalah menjadikan seluruh hidup berada di atas Manhaj Allah.
Sentiasa bersama Allah; diakalnya, dihatinya, disanubarinya dan diseluruh urat saraf dan denyutan nadinya.
Sentiasa mengharapkan Allah
mencintai Allah
mengutamakan Allah
disemua ketika; kalah dan menang, susah dan senang, sesak dan lapang, lapar dan kenyang, malam dan siang, pagi dan petang.
Allah itu Rabbil `alamin pencipta alam ini dan sistemnya, pentadbir dan pemeliharanya. Allahlah yang mengilhamkan kepada sekelian makhluk dan menunjukki jalan-jalan kehidupan. Rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambanya di dunia ini amat luas sehinggakan orang-orang kafir, fasik dan zalim juga mendapat menikmati segala kurniaan Allah kepada sekelian mahluk didunia ini. Tidak ada yang melata dibumi melainkan Allahlah yang menyediakan rezki untuk kehidupan mereka.
Sejak permulaan kewujudan alam ini, seluruh sistem bergerak, berjalan, beredar dan berputar dengan selari, selaras dan seirama, tersusun dengan amat sistematik, tepat dan tidak terlewat atau tercepat walau sedetik. Segalanya ini telah ditakdirkan, ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Azza wa jalla yang Maha Agung dan Maha Bijaksana. Segala-galanya ini telah ditulis oleh Qalam dengan perentah Allah sebelum lain-lain kewujudan diciptakan Allah.
Allah telah mengulang-ulang hakikat RububiyyahNya ini berkali-kali dalam al-Quran bagi mengetuk jiwa manusia agar mengiktiraf kehebatan Allah, menerimaNya sebagai tuhan yang Esa yang disembah, ditaati dan di agungkan.
Dalam surah al-An`am Allah menyatakan:
” Segala puji bagi Allah Yang telah menciptakan langit dan bumi, dan mengadakan gelap dan terang, namun orang-orang yang kafir mempersekutukan (sesuatu) dengan Tuhan mereka.” 6:1
Allah SWT lah Tuhan yang mencipta langit dan cakrawala yang begitu hebat dan luas dan Dialah yang menciptakan bumi yang terlalu kecil dibandingkan dengan cakrawala ciptaannya. Allah juga yang menciptakan sinar cahaya yang berkilau terang benderang yang tidak mampu ditentang oleh mata dan Dialah juga yang menciptakan kegelapan yang pekat.
Itulah hakikat kekuasaan Rububiyyah Allah tetapi masih wujud manusia jahil, bodoh dan dungu menjadikan makhluk kerdil sebagai sembahan dan pujaan.
“Dialah Yang menciptakan kamu dari tanah, sesudah itu ditentukannya ajal (kematianmu), dan ada lagi suatu ajal yang ditentukan (untuk berbangkit) yang ada pada sisi-Nya (yang Dia sendirilah mengetahuinya), kemudian kamu masih ragu-ragu (tentang berbangkit itu)” 6:2
Allah juga menyedarkan manusia hakikat kekuasaannya dan mengingatkan bahawa ajal maut setiap manusia dan hari berlakunya kemusnahan alam ini telah ditentukan detiknya.
Allah menciptakan manusia daripada tanah tetapi renungilah perbezaannya dengan patung manusia yang diciptakan manusia daripada tanah.
Apakah ciptaan patung manusia yang juga dicipta daripada tanah dan disembah itu bernyawa, melihat, mendengar, merasai pelbagai deria, mengingati pelbagai peristiwa, ilmu dan maklumat, mempu berfikir, berkata-kata, bergerak dan segalanya-galanya yang cukup bersistematik sebagaimana manusia ciptaan Allah daripada tanah ini.
Lihatlah betapa jauhnya jarak perbezaan kekuatan manusia dan kehebatan Allah, tetapi kenapa masih ada manusia meragukan hari kebangkitan yang telah ditentukan Allah masanya.?
“Dan Dialah Allah (Yang disembah), baik di langit maupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan.” 6:3
Allah menegaskan bahawa Dialah Tuhan yang mencipta, memiliki, memerintah, menguasai segala makhluk dilangit yang luas dan di bumi yang kecil, malah Allah mengetahui dan mendengar apa yang terlintas dihati manusia.
Apakah patut manusia tidak menghiraukan amanah dan tujuan mereka diciptakan Allah dan menghabiskan usia sementara ini sia-sia begitu sahaja? Ya Allah kurniakanlah kepada kami semua keikhlasan dalam beribadah, ketekunan dalam beramal, kerahmatan dalam bermuamalah, kemaafan antara kami dan berlapang dada terhadap kelemahan manusiawi yang ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.