يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
(59:18)
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Hasyr:18)
Kematian pasti datang dan kita tidak pernah diberitahu bila dan dibumi mana ajal akan menemui kita. Sejak aqil baligh akaun baik buruk dan untung rugi kehidupan kita sudah bermula. Malaikat Raqib dan `Atid tidak akan jemu menulis segala amalan baik dan buruk yang kita lakukan sama ada dengan sengaja atau tidak. Mereka juga tidak akan memperingatkan kita berapa tebal dan berat timbangan suratan amal yang telah mereka tulis.
Di hadapan kita hanya ada dua pilihan; mengikut wahyu atau nafsu, hizbullah atau hizbussyaitan; manhaj al-rasul atau manhaj akal, jalan yang lurus atau jalan berbengkang-bengkok, menyertai bersama golongan yang menghayati aqidah, akhlak, ibadah dan perjuangan ahli-ahli syurga atau golongan yang mengamalkan carahidup ahli neraka, cintakan Allah atau cintakan dunia fana. Sudah pasti yang terselamat hanyalah hamba-hamba Allah yang ikhlas dan hanya diri kita sendiri mengetahui sejauhmana keikhlasan kita dan Allah Maha Mengetahui segala-galanya.
Keikhlasan adalah ketulenan atau keaslian. Keikhlasan hakiki perlukan kefahaman kerana ikhlas dalam kebatilan tidak berguna. Keikhlasan hanya akan bertapak dihati apabila semua karat-karat jahiliyyah yang mengkaburkan matahati dibakar dan dipisahkan daripada mata hati. Takbur, sum`ah, riya’, ujub, cintakan dunia, cintakan nama dan kemasyhuran, cintakan pangkat dan pujian lebih merbahaya daripada cintakan harta dunia. Semuanya ini adalah karat-karat jahiliyyah yang menutup matahati dan menghalang cahaya kebenaran daripada masuk kejiwa seorang hamba samada yang miskin atau kaya. Berapa ramai simiskin menjadi kufur dengan kefakirannya apabila menyalahkan Allah yang tidak mengagihkan rezki kepadanya secara adil sedangkan dia diberi akal pemikiran, mata, telinga dan seluruh anggota. Berapa ramai orang yang lemah dipersoalkan diakhirat kenapa membiarkan diri dalam kezaliman sedangkan bumi Allah terlalu luas.
Tanggungjawab kita sebagai hamba hanya belajar, memahami dan beramal dengan ikhlas mengikut batas kemampuan yang dianugerahkan Allah kepada kita. Berdiam diri, menyerah kepada keadaan, membiarkan jahiliyyah memonopoli medan kehidupan dan hidup hanya dengan menunggu saat kematian; bukanlah sifat seorang khalifah. Di sana ada begitu ramai orang berjuang, fahamilah fikrah mereka, fahamilah manhaj perjuangan mereka dan buatlah pilihan yang tepat.
Bukalah mata hati untuk menerima kebenaran darimanapun ia datang. Perteguhkan perisai sangkabaik dalam diri bagi menepis waswasah syaitan yang sentiasa menyalakan api takbur yang menghalang kebenaran. Berdisiplah untuk menyelidik kebenaran fakta agar kita tidak menzalimi sesama kita disebab kejahilan kita terhadap kebenaran. Apa sahaja bisikan kejahatan yang terlintas disanubari hanyalah api-api neraka yang dinyalakan Iblis; padamkanlah segera dengan bertanya kepada mereka yang terlibat atau letaklah alasan baik sangka bagi memadam api kedengkian yang mula dinyalakan syaitan.
Beruntunglah mereka yang memiliki nafsu lawwamah yang sentiasa memperingatkan diri mereka; apabila mereka melakukan dosa dan mengesa jiwa mereka agar insaf dan bertaubat. Lebih beruntung pula mereka yang telah mencapai jiwa mutmainnah yang reda segala perintah Allah dan akur segala larangannya lantas mereka juga mendapat keredaan Allah Azza Wajalla.
Celakalah mereka yang masih tenggelam dikuasai nafsu ammarah; yang tidak akan terdertik dalam jiwa mereka melainkan kejahatan, kedengkian, cintakan pangkat, pujian dan kemasyhuran. Mereka akan melenting jika keburukan mereka terdedah, mereka akan amat marah jika mereka dinasihati dan mereka akan tersenyum puas dan bersorak jika golongan yang disangka sebagai pesaing kepada mereka diburukkan.
Sejak aqil baligh tugas kita adalah menjadi khalifah Allah di dunia ini dengan melaksanakan tanggungjawab seorang hamba kepada Allah S.W.T. Inilah amanah yang telah kita pikul sebagai manusia. Inilah syahadah yang telah kita ikrarkan setiap kali kita bertemu Allah dalam solat-solat kita. Apakah yang telah kita lakukan…?
Nabi Muhammad s.a.w. telah menerima amanah ini. Baginda telah menceritakan amanah ini kepada para sahabatnya dan ketika itu dunia seluruhnya berada dalam kegelapan jahilyyah. Kuasa-kuasa besar Rom dan Parsi memerintah rakyat dengan kezaliman dan kuku besi disebabkan kejahilan rakyat-rakyatnya sebagaimana Firaun menindas rakyatnya yang jahil.
Cahaya al-Quran telah mencerah akal manusia, menyedarkan jiwa manusia hakikat kekuasaan Allah dan kelemahan manusia . Kefamhaman dan kesedaran ini telah menjadi sebab yang menggerakkan perubahan ketundukan dan ketaatan manusia daripada memperhambakan diri sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah Azza wa Jalla.
Sejak itu manusia mula memerdekakan diri dari cengkaman kezaliman, bebas daripada kongkongan kuasa kuku besi manusia yang bertuhankan iblis dan nafsu. Keadilan Islam memayungi umat manusia daripada Maghribi di Barat sehingga di Manila di Timur merentasi benua Asia sehingga ke Cina. Penguasaan Islam ini bertahan sehingga awal kurun ke 19m.
Lebih 1000 tahun Islam menguasai 2/3 dunia dan mengubah tamaddun manusia dengan membangkitkan peranan akal yang selama ini dijumudkan. Berlakulah perkembangan ilmu pengetahuan yang tidak henti-henti sehingga hari ini. Perkembangan keilmuan hasil kehebatan akal kurniaan Allah kepada manusia ini telah menjadikan kehidupan manusia amat makmur dengan pelbagai teknologi yang berkembang pesat bagi berkhidmat kapada sesama manusia.
Kini Islam kembali dagang. Peranan umat Islam kembali sebagaimana peranan nabi s.a.w. dipermulaan Islam. Peranan membina semula asas-asas ketamaddunan ummah dengan menegmbalikan semula manusia kepada Islam; aqidah, ibadah, akhlak, mu`amalah dan siyasah.
Amal soleh yang paling utama masa ini adalah membina asas kekuasaan Islam dengan membangunkan ummah yang berukhuwwah, berwawasan, berperancangan dan beramal ke arah menegakkan semula tamaddun Islam.
Amal soleh adalah amal-amal ke arah menegakkan matlamat Islam, bermula dengan membina sebuah jamaah yang tersusun bagaikan binaan yang tersusun rapi. Membina kesatuan ukhuwwah di kalangan ummah dengan menghapuskan salahfaham terhadap Islam dan manhajnya, mendidik masyarakat hidup dibawah naungan al-Quran, menanam sikap terbuka, keikhlasan yang tulen, menerima kebaikan daripada semua yang berbuat baik, menerima perbezaan ijtihad, membuka ruang-ruang perbincangan terhadap perkara sepakat, mencari titik persefahaman dan mengenalpasti juga isu yang diperselisihkan. Cuba mencari keutamaan-keutamaan matlamat yang strategik dalam membina sebuah tamaddun yang boleh diperjuangkan bersama.
Keikhlasan tulen dapat dibetuk jika kita sanggup menerima keperitan akibat dinasihati, salahfaham diperbetulkan dan sanggup bermujahadah. Selagi apa yang kita fahami bukan bersandarkan dalil-dalil yang qat`i maka pasti akan ada pentafsiran lain yang bercanggah dengan kefahaman kita.
Timbanglah hujjah-hujjah saudara kita dengan adil dan terimalah jika nyata kebenaran hujjahnya atau sekurang-kurangnya hormatilah hujjah mereka kerana dengan menerima perbezaan akan melegakan tekanan dalam jiwa dan memadamkan api hasad yang dinyalakan syaitan.
Rancanglah kematian dengan menggenggam bai`ah bersama mereka yang beramal dengan amal-amal Islam bagi mewariskan sebuah perjuangan. Didiklah generasi demi genarasi bagi menyambung binaan Islam yang telah kita mulakan dan tinggalkan sedikit kekayaan dunia sebagai dana bagi meneruskan perjuangan yang telah kita asaskan.
Tulislah wasiat agar segala hartabenda yang ditinggalkan terlebih dahulu dilunaskan segala hutang dan nyatakan jumlah hutang dan pemberi hutang. Wasiatkan juga hartabenda untuk membantu perjuangan. Jika saudara memiliki hutang berjadual ambillah plan takaful untuk melunaskan hutang kerana kita tidak tahu di mana ajal akan tiba dan bilakan masanya. Rancanglah hari ini juga dan pastikan setiap detik kehidupan dijadualkan agar hidup dalam agenda sebuah perjuangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.