Pages

Isnin, 5 Ogos 2013

Jin lebih dahulu diciptakan Allah Ta’ala berbanding manusia

http://khalifahdunia7.blogspot.com/2011/04/senjata-syaitan.htmlSesungguhnya bangsa jin lebih dahulu diciptakan Allah Ta’ala berbanding manusia dan lebih dahulu mendiami bumi ini dan bangsanya terus berkembang sehingga bilangan mereka menjadi amat banyak mendiami disetiap pelusuk bumi samada didaratan maupun lautan. Dari sudut kejadian, jin mempunyai tubuh yang halus bahkan ianya tidak dapat dilihat walaupun cuba ditinjau dengan menggunakan mikroskop. Oleh itu kehadirannya tidak dapat disedari dan pergerakkannya tidak dapat ditangkap oleh pandangan mata manusia. Mereka ada namun tidak nyata.

Didalam Al Quran dan Hadis mereka disifatkan sebagai makhluk yang mempunyai keinginan nafsu dan akal maka diantara mereka ada yang berperangai baik atau buruk. Sebahagian daripada mereka mempunyai kemampuan dan kemahiran tertentu yang tidak dapat dilakukan atau sulit dilaksanakan oleh makhluk-makhluk yang lain. Kehidupan mereka cukup misteri sehinggakan kita hanya bergantung kepada maklumat-maklumat yang ada didalam Al Quran dan Hadis untuk mengenal mereka. Mereka makhluk misteri namun dapat dikenal.

Bangsa jin juga berjenis-jenis dan hidup didalam kelompok-kelompok tertentu dengan menganuti agama-agama tertentu dan ada ketikanya mereka juga bermusuhan diantara satu sama lain. Bagi yang mengikuti dan mentaati suruhan Iblis La’natullah dengan melakukan tipu daya dan kejahatan maka mereka digelar Allah Ta’ala sebagai syaitan. Sebenarnya merekalah yang dikenali oleh masyarakat Melayu sebagai hantu,  orang bunian, orang kayangan dan sebagainya kerana sifat-sifat hantu,  orang bunian, orang kayangan dan sebagainya itu mengenai dan menepati sifat-sifat bangsa jin sebagaimana yang dikhabarkan Al Quran dan Hadis.   

Oleh kerana kita berkongsi tempat tinggal dengan mereka dibumi ini maka interaksi secara langsung atau tidak langsung antara kita dengan mereka pasti berlaku. Selalunya interaksi secara langsung yang berlaku antara manusia dengan jin bukanlah demi sesuatu yang baik kerana tiada anjuran dalam agama Islam yang menuntut kerjasama kearah itu. Sihir adalah contoh interaksi secara langsung antara manusia jahat (tukang sihir) dengan syaitan (hantu) yang tujuannya bukan demi sesuatu yang baik yang natijahnya boleh mendatangkan mudarat yang besar kepada mangsanya.

Gangguan, Saka dan Sihir walaupun sifatnya berbeza namun ianya dilakukan dengan penglibatan bangsa jin. Sesungguhnya ini adalah khabar berita gembira kepada pesakit-pesakit yang terlibat kerana dengan maklumat ini kita tahu bahawa mereka juga makhluk ciptaan Allah Ta’ala yang juga mempunyai jasad dan roh seperti manusia. Oleh itu mereka juga mempunyai kelemahan dari sudut spiritual, emosi, mental dan fizikal yang dapat dimanfaatkan oleh manusia untuk melemahkan dan menundukkan mereka. Percayalah, walaupun mereka mempunyai kelebihan dari sudut emosi dan fizikal berbanding manusia namun spiritual dan mental mereka amat lemah.

Hakikatnya mereka dapat menguasai dan seterusnya dapat menyakiti manusia adalah dengan izin Allah Ta’ala sedang mereka itu sendiri adalah sama lemahnya dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah Ta’ala yang lain. Yakinlah, tidak ada lebihnya kekuatan jin berbanding seekor cacing disisi Allah Ta’ala. Sebagai muslim kita wajib mengimani bahawa Allah Ta’ala akan menguji iman kita dengan bermacam-macam cara menurut kehendakNya dan sebahagian daripada ujian iman itu adalah dengan menimpakan penyakit-penyakit yang berpunca dari tiga faktor diatas. Apa yang dituntut dari ujian iman adalah kesabaran yang tinggi bukannya keluhan yang berpanjangan.


Islam juga mengajar bahawa sakit yang ditimpakan oleh Allah Ta’ala mungkin sahaja disebabkan maksiat-maksiat yang telah dilakukan maka dengan rahmat Allah Ta’ala, Ia menganugerahkan kifarah agar dosa-dosa itu dihapuskanNya dan kifarah itu boleh juga berbentuk penyakit-penyakit yang berpunca dari tiga faktor diatas. Disamping itu berlakunya faktor-faktor diatas mungkin juga disebabkan kemurkaan Allah Ta’ala maka diberinya bala sebagai balasan perbuatan hamba-hambanya yang telah melampaui batas. Oleh itu dinasihatkan kepada pesakit-pesakit agar  bermuhasabahlah terlebih dahulu sebelum melulu mencari ikhtiar kerana jika penyakit yang ditimpakan keatas anda disebabkan kerana murkaNya maka penyakit anda tidak akan sembuh walaupun yang merawat anda adalah dukun, pawang, bomoh, tabib atau ustaz yang terhebat sekalipun.

Selalunya apabila seseorang itu terkena gangguan jin maka akan dikaitkan sihir adalah puncanya namun hakikatnya sihir itu hanyalah asbab sedangkan puncanya yang sebenar adalah samada ianya ujian iman, kifarah ataupun bala dari Allah Ta’ala. Kembali kepada Allah bermaksud mengimani penyakit yang menimpa adalah cuma asbab dan mengenalpasti sebab-sebab kenapa Allah Ta’ala menimpakan penyakit itu dengan cara bermuhasabah adalah matlamat yang sebenar sehingga dengan itu jika ianya adalah dikeranakan ujian iman maka kita dituntut untuk mempertingkatkan bersabar, jika ianya kifarah maka kita dituntut untuk memperbanyakkan bertasbih dan jika ianya bala maka kita dituntut untuk mempersungguhkan istighfar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.