Pages

Sabtu, 26 Oktober 2013

KISAH BARSISA

AL-KISAH, Ada sebuah kisah berlaku di zaman Bani Israil, seorang 'Abid yang bernama Barsisa. Dia merupakan seorang mahaguru dan mempunyai 60,00...0 orang murid yang boleh terbang di atas angin kerana berkatnya. Barsisa merupakan seorang yang kuat beribadat sehingga malaikat takjub melihatnya. Oleh kerana itu berkatalah Allah SWT kepada para malaikat,“ Mengapa kalian semua takjub melihat Barsisa beribadat? Sesungguhnya Aku amat mengetahui apa kamu tidak ketahui. Barsisa yang kamu takjub itu akan mati kafir dan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya".
 
Hal kematian Barsisa yang akan mati dalam keadaan kafir telah didengari oleh syaitan. Maka syaitan pun bersegera menuju ke tempat Barsisa sedang beribadat dalam keadaan menyamar dirinya sebagai manusia yang abid lagi soleh. Setelah syaitan itu sampai ke tempat Barsisa beribadat, lantas dia menyeru Barsisa dari luar. Barsisa yang mendengar namanya dipanggil terus menyahut seruannya dan bertanya "Siapakah tuan?" Maka syaitan pun menjawab, "Aku seorang Abid datang untuk menemani tuan beribadat kepada Allah SWT". Apabila mendengar jawapan si syaitan, Barsisa lantas menjawab "Barang siapa yang datang ke sini untuk beribadat kepada Allah, Allah akan mengadakan teman baginya, silakanlah wahai abid untuk beribadat bersama-sama denganku"
 
Maka syaitan tadi pun beribadat 3 hari 3 malam, tidak tidur, tidak makan dan tidak pula minum . Ini menyebabkan Barsisa berasa kagum dengan teman barunya itu kerana ia lebih kuat beribadat daripadanya. Maka berkatalah Barsisa, "Aku beribadat kepada Allah SWT 220 tahun lamanya tetapi aku tidak pula sanggup untuk meninggalkan tidur, makan dan minum seperti tuan. Bagaimanakah aku hendak beribadat seperti tuan?" Apabila mendengar soalan Barsisa, maka berkatalah Syaitan "Wahai tuan, lakukanlah maksiat kepada Allah, kemudian engkau bertaubat kepada-Nya, sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang”. Barsisa terkejut lantas bertanya "Mengapa pula aku mesti mengerjakan maksiat kepada Allah, sedangkan aku telah lama beribadat kepadaNya?" Maka syaitan pun menjawab, "Manusia apabila melakukan dosa, mereka sangat berhajat untuk meminta keampunan daripada-Nya hingga engkau boleh merasai betapa lazatnya melakukan ketaatan kepada Allah SWT setelah melakukan dosa".
 
Barsisa bertanya lagi, "Apakah dosa yang tuan maksudkan ?" Jawab syaitan, "Cubalah engkau berzina" Barsisa bertegas untuk tidak melakukannya. Lantas syaitan berkata, "Kalau engkau tidak mahu berzina, maka bunuhlah seorang muslim". Sekali lagi Barsisa menolak nasihat syaitan tersebut. Tanpa berputus asa, syaitan berkata lagi, "Kalau engkau tidak mahu membunuh, maka minumlah minuman yang memabukkan" Lantas Barsisa menjawab, "Ya! itulah yang lebih ringan" Maka Barsisa bertanya kepada syaitan, " Di manakah aku boleh mendapatkan minuman itu?" Jawab syaitan,“Pergilah ke desa sekian-sekian". Maka Barsisa pun pergi ke desa yang dimaksudkan untuk mendapatkan minuman tersebut. 
 
Sampai di desa tersebut, dia berjumpa dengan seorang wanita cantik yang sedang menjual khamar (arak) Barsisa membeli minuman tersebut dan meminumnya. Tidak lama kemudian, dia pun mabuk Dalam keadaan mabuk dia berzina dengan perempuan penjual khamar tadi. Tiba-tiba suami perempaun itu pulang ke rumah. Oleh kerana merasa takut rahsianya terbongkar, maka Barsisa telah membunuh suami perempuan tersebut.
 
Sesudah itu Syaitan menyerupai dirinya sebagai manusia lantas bertemu dengan raja untuk menberitahukan kisah Barsisa yang telah melakukan kesalahan membunuh. Raja telah memerintahkan agar Barsisa ditangkap. Setelah sabit kesalahan, maka Barsisa dirotan 80 kali kerana kesalahan meminum khamar, 100 kali sebatan kerana kesalahan berzina dan juga dijatuhkan hukuman sula kerana membunuh suami perempuan itu.
 
Ketika Barsisa sedang berdiri terpacak di tiang sula, lantas syaitan berjumpa dengannya lalu bertanya, "Wahai Barsisa, bagaimanakah keadaanmu sekarang?" Jawab Barsisa, "Beginilah keadaanku apabila terpedaya dengan seorang teman yang jahat lagi pengkhianat". Syaitan berkata lagi, "Ketika saat engkau mahu disula ini, mahukah engkau jika aku lepaskan dengan satu syarat ? ”Jawab Barsisa, " Apakah syarat tersebut, aku sedia memenuhinya”.Lantas jawab syaitan ,“Sujudlah kepadaku satu kali ". Barsisa menjawab, “Bagaimanakah aku hendak sujud kepadamu sedangkan aku terpaku di tiang sula ini?"
 
Kata syaitan,“Cukuplah dengan isyarat menganggukkan kepala sahaja". Barsisa pun patuh, dia melakukan sujud kepada syaitan (iblis mal'un) dengan cara menganggukkan kepalanya terhadap iblis. Ketika itulah Raja mengarahkan hukuman dilaksanakan ke atas Barsisa. Maka matilah Barsisa dengan bertuhankan syaitan. Surah An-Nur ayat 21 juga menjelaskan sekiranya Allah SWT tidak mengurniakan nikmat dan rahmatNya kepada manusia yang berupa pengampunan daripada-Nya, nescaya manusia akan terus berada dalam dosa dan kemaksiatan. Justeru Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya daripada sifat putus asa dalam memohon keampunan daripada Allah SWT. 
 
Allah mengkhabarkan pula bahawa Dia akan mengampuni sesiapa sahaja yang bertaubat kepada-Nya, baik dari dosa-dosa kecil mahupun yang besar. Dalam sebuah hadith sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah Yang Maha Tinggi berfirman: "Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada-Ku dan mengharapkan- Ku maka Aku akan mengampunimu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andaikata dosa-dosamu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada-Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada-Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui-Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan yang besamya seisi bumi seluruhnya." Wallahu A'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.