Aku duduk di tempatku. Tempat kedudukanku ialah terahsia
bagi orang yang belum tahu, kerana banyak orang yang belum
mengenal Aku. Jangan Aku, Aku-nya sendiri belum dikenalnya,
betapa pula dia akan dapat mengenal Aku yang sebenarnya?
Mungkinkah Aku-ku dan Aku-nya, sama? Terserah kepada
orangnya yang akan menjawab. Akan tetapi Aku akan mengatakan,
tidak, kerana dia belum pernah mahu mengenal Aku. Apa yang
dikenalnya selama ini hanya dunia luar, bukan dunia dalam.
Maksudku, dia belum dapat mengenal akan dirinya sendiri lebih
mendalam. Dia bergerak berdasarkan kenyataan, sedangkan Aku
bergerak berdasarkan di balik kenyataanku dan dari balik
kenyataanlah titik tolakku. Aku orang dalam, dia orang luar. Nyata
benar perbezaannya dalam pendirian. Dia menganggap dirinya
yang nyata, sedangkan aku menganggap diriku yang tidak nyata.
Yang nyata bagiku ialah badanku dan bukan itulah yang Aku. Aku
berada di tempatku. Tempatku terahsia bagi setiap orang. Amat
beruntunglah setiap orang yang dapat menemuiku yang terahsia itu.
Dengan dapatnya menemuiku di tempatku, maka banyaklah
sesuatu yang dapat diketahui.
Berjalan untuk menemui Aku adalah suatu perjalanan dari ada
ke tidak ada, melalui yang tiada. Di tiadalah letak rahsianya Aku,
kerana Aku beradanya di tidak ada. Ertinya tidak ada pada
kenyataan, ada dalam sebutan. Akan tetapi mustahil Aku tidak ada,
kerana kalau Aku tidak ada, tidaklah ada erti kehidupan bagi tiaptiap
diri. Dari itu makanya dikatakan, Aku ada dalam sebutan, tak
ada pada kenyataan. Dan itu maka letaknya rahsia diriku, diri yang
berdiri dengan sendirinya. Diri yang negatif bagi badan yang
positif.
Maka untuk dapat mengenal Aku yang tak ada pada
kenyataan, seseorang harus mengadakan suatu pemecahan yang
menghasilkan suatu pemisahan antara yang satu dengan yang lain,
antara diri yang negatif dengan badan yang positif atau antara yang
zahir dengan yang batin, antara rohani dan jasmani, yang mana
hasil dari pemecahan itu betul-betul seseorang dapat merasakannya
sehingga apa yang dikatakan negatif tadinya menjadi positif dan
apa yang positif tadinya dijadikan negatif.
Dengan berpegang kepada yang tadinya dianggap negatif dan
dengan pemecahan seperti tersebut di atas telah menjadi positif,
maka terbukalah jalan kehidupan baru bagi orang yang telah dapat
menemuinya; suatu jalan yang mengandung daya-daya hidup lagi
berisi. Dan dengan penelitian yang saksama serta dengan
kemahuan yang teguh, terbukalah jalan untuk dapat mengenalnya
lebih mendalam. Jalan yang mengandung daya hidup lagi berisi itu
yang dapat dirasakan adalah aliran dari diri di dalam, iaitu aliran
dari rohani sendiri yang tadinya selagi masih dalam keadaan negatif
pada tangkapan kita. Ruang geraknya terbatas pada bulu dan kulit
kita dan pintu baginya untuk keluar, tertutup. Sekarang, setelah dia
menjadi positif, pintu baginya dengan sendirinya telah terbuka,
maka dia telah bebas bergerak sampai keluar dari alamnya sendiri,
tetapi tak lepas dari induk pangkalan.
Di mana beradanya Aku? Aku berada di suatu tempat yang
kalau di katakan jauhnya, tidak jauh, dekat pun tidak. Kalau Nabi
Musa mencari seorang hamba Allah dengan mendapat petunjuk
dari Tuhan tempatnya di pertemuan permukaan dua lautan, maka
aku dapat mengatakan bahawa adalah tempatku di pertemuan kiri
dan kanan. Ini dapat kukatakan setelah aku mendapat kebebasan,
iaitu bebas bergerak. Dan semenjak kebebasan kuperdapat, maka
terbukalah jalan bagiku untuk lebih luas bergerak, kerana ruang
gerakku tak terbatas lagi
Siapa yang membebaskan aku? Aku sendiri pun tak tahu siapa
yang membebaskan Aku. Setahuku Aku telah bebas dengan
sendirinya. Ini telah lama terjadi, hanya aku yang tak mengerti.
Pengalaman-pengalaman yang bertahun-tahun dalam perjalanan
pengembaraanku, lambat laun aku dengan beransur mulai
mengerti, mengerti pada keakuanku. Kenyataannya jalan telah
terbuka bagiku keluar dari alamku sendiri. Kemanusiaanku yang
lambat dapat mengerti padanya. Setelah kemanusiaanku dapat
mengenalnya, maka terasalah olehku akan kebodohan selama ini.
Pengalamanku dalam praktik, hasilnya banyak mengagumkan
orang yang melihatnya, apalagi bagi orang-orang kebatinan yang
melihat caraku tersendiri. Dan anehnya, aku sendiripun sangat
hairan kebolehanku itu. Pada perasaanku, segala sesuatu itu bukan
aku yang berbuat, melainkan aku hanya menurutkan saja. Akan
tetapi pada pandangan orang lain, segala sesuatu itu akulah yang
berbuat dan menganggap ilmuku tinggi dan dalam. Aku bukan
bangga dan sombong oleh penilaian orang-orang itu, melainkan
aku sendiri pun asyik dan selalu memikirkan akan apa yang telah
ada padaku itu.
Ya, sebenarnya apa yang telah ada padaku itu? Setahuku ialah,
tiap-tiap melakukan sesuatu, aku selalu besertanya. Dia yang
berbuat, aku hanya menurutkan, walaupun hasilnya badan diriku
yang menerimanya. Apa yang kulakukan dengannya tak ubahnya
seperti perjalanan Nabi Musa menurutkan Nabi Khidir, yang mana
Nabi Khidir yang berbuat dan Nabi Musa hanya menurutkan untuk
mendapat pelajaran ilmu pengetahuan daripadanya. Syaratnya ialah
berjalan besertanya harus sabar. Dalam pada itu belajar padanya.
Menarik dan mempelajari dari perjalananku yang sudah-sudah
besertanya, dengan renungan dan menungan, dengan penelitian
yang lebih mendalam, akhirnya dapatlah aku merasakan dan
mengetahui, bahawa adalah ‘dia’ itu atau ‘nya’ yang aku katakan
seperti tersebut di atas ialah diriku sendiri, iaitu diri yang dia
dengan rahsianya sendiri selama ini tersembunyi bagiku.
Terasa benar olehku akan kebodohanku selama ini kerana
sebagai seorang manusia, pandangan dan tangkapanku selama ini
selalu tertuju kepada yang berada di luar dari badan diriku sendiri,
sedangkan dia tanpa kusedari telah bangkit dan timbul berserta aku.
Ini dapat kukatakan, setelahnya aku dapat merasakannya secara
positif dan semenjak itu terbukalah jalan bagiku untuk dapat
mengenalnya lebih mendalam. Dan banyaklah sudah rahsiarahsianya
yang telah aku ketahui untuk dapat dimanfaatkan bagi
badan diriku sendiri, bagi masyarakat dan juga bagi dunia ilmu
pengetahuan.
Dia telah memancar dari dalam batang-tubuhku sendiri
menurut saluran-saluran tertentu yang aku sendiri telah dapat
merasakannya. Dia berasal dari zat hidup dan bukan dari benda
yang mati. Dan itulah pula dia, Aku yang sebenarnya Aku. Dia
dengan rahsianya, tersembunyi letaknya di dalam batang-tubuhku.
Dan semenjak aku telah dapat menemui diriku sendiri dengan
segala rahsianya yang tersembunyi itu, semenjak itu pula dia yang
aku kemukakan berserta rahsianya yang telah ada di tanganku.
Maka adalah Aku orangnya yang akan kembali ke Hadirat-
Nya dan bukanlah yang akan dikembalikan ke asalnya iaitu ke
tanah. Dan rahsia-Nya telah menjadi rahsiaku. Demikianlah adanya
dan demikianlah pula keadaanku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.