Pages

Sabtu, 30 November 2013

Kefahaman Syahadah Itu, Bukan Mengikut Sebagaimana Kefahaman Akal!

Kefahaman Syahadah Itu, Bukan Mengikut Sebagaimana Kefahaman Akal!
Maksud atau makna mengenal itu pula, adalah merujuk kepada kefahaman Allah s.w.t, bukan datangnya dari kefahaman atau pengertian khayalan akal atau angan-angan!. Setelah mengenal Allah s.w.t, barulah terbitnya perkataan sebutan bibir yang disertai dengan perkara “rasa“. Perkataan rasa itulah maksud mengetahui. Lafaz dengan mengetahui itulah, baru sah melafazkan kalimah syahadah.
Mari kita sama-sama melafazkan dua kalimah syahadah dengan mengetahui Allah s.w.t, bukannya dengan pengetahuan kita!. Untuk melafaz sambil mengetahui Allah s.w.t, terlebih dahulu harus kita faham apa itu pengertian perkataan “aku”!.
Bilamana menyebut perkataan “aku”, rujuklah kepada Allah s.w.t. Perkataan “aku” di situ, bukannya merujuk kepada diri kita!. Diri kita bersifat tidak mengetahui. Hanya Allah s.w.t sahaja yang bersifat tahu dan mengatahui!. Bilamana menyebut perkataan “Aku mengetahui”, rujuklah bahawasanya yang mengetahui itu, adalah sifat Allah s.w.t. Allah itu, tiada lain selain Allah!. Aku itu, adalah Aku. Allah itu, adalah Allah!.
Selagi kita mengaku bahawa kita yang mengetahui dan kita yang tahu, berertinya kita belum lagi bersyahadah. Perkataan “Aku mengetahui” itu, adalah merujuk kepada Allah s.w.t. Yang mengetahui itu hanya Allah s.w.t!. Bilamana kita melafaz, tasdiklah di dalam hati dan ingatlah dengan perasaan akal yang lemah itu, bahawasanya yang boleh mengetahui akan syahadah kita itu hanya Allah s.w.t. Yang mengerti dan yang faham akan syahadah kita itu, hanya Allah s.w.t. Setelah kita faham maksud mengetahui Allah s.w.t, barulah boleh kita tambah dengan perkataan aku bersaksi atau aku naik saksi. Sesudah kita faham akan duduknya makna yang tersirat itu, sebutlah apa sahaja perkataan yang terlafaz oleh bibir, ia tidak lagi memberi bekas. Kerana yang memberi bekas itu, adalah hanya Allah s.w.t.
Cakaplah apa pun yang kita sanggup cakap, ianya tidak sedikit pun memberi bekas kepada Allah s.w.t, kerana yang terlafaz, terucap dan terluah dari bibir itu, adalah dengan mengetahui Allah(dalam ilmu Allah)!.
Orang yang dalam berkeadaan tidak mengetahui itu, adalah sama dengan orang yang dalam berkeadaan mabuk, lalai, hilang akal atau hilang ingatan. Tidak tahu dari apa yang dilafaz atau tidak tahu dari apa yang diperkatakan. Sekadar sedap mulut untuk berkata!. Sekiranya sekadar sedap mulut, budak kecil atau kaset pun boleh mengucap sebagaimana lafaz bibir mulut tuan-tuan!.
Apakah itu yang dimaksud atau yang ditakrifkan oleh syarak?. Mengucap sekadar lepas dari bibir, apakah itu yang disarankan oleh agama kita?. Cuba jawab pertanyaan saya. Jika tidak betul dari apa yang saya sangkakan, cuba anda ceritakan bagaimana lafaz syahadah yang sebenar?. Cuba anda jelaskan, apa yang hendak dinafi dan apa yang hendak diisbatkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.