Pengkritik dan golongan anti-tasawuf seringkali menuduh bahawa kitab-kitab karangan para ulama’ tasawuf sarat dengan hadith-hadith dhaif. Tuduhan paling berat pernah dihalakan kepada sosok tubuh tokoh tasawuf dan ulama Islam agung yang diberi gelaran “Hujjatul Islam” iaitu Imam al-Ghazali radiyallahu anhu sendiri.
Mereka menuduh di dalam karya magnum opus empat jilid Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali itu penuh dengan hadith-hadith dhaif. Sebenarnya, perbahasan berhubung dengan kedudukan hadith-hadith dhaif tidak perlulah kita bicarakan di sini kerana perbahasannya yang panjang cuma cukuplah kita nukilkan bahawa para ulama hadith seperti al-Hakim di dalam al-Madkhal li `ilm al-hadith, Imam al- Bayhaqi dalam Dala’il al-nubuwwah, Imam Nawawi dalam al-Tibyan fi `ulum al-qur’an. Bahkan Imam al-Sakhawi dalam al-Qawl al-badi` fi al-salat `ala al-habib al- shafi` menyebut bahawa ianya disepakati para ulama yang membenarkan penggunaan hadith dhaif selama mana ianya bertujuan untuk menunjukkan kelebihan-kelebihan sesuatu amalan (fadha’ilul amal) dan menggalakkan orang ramai beramal dengannya dan menjauhi dari melakukan maksiat (al-targhib wa tarhib).
Status hadith dhaif tidak sama dengan hadith palsu yang sama sekali tidak boleh beramal dengannya bahkan meriwayatkannya juga haram dan berdosa. Namun kelompok pelampau ini telah menyamatarafkan hadith dhaif dan hadith palsu sebagai satu kategori sama dan mendakwa kononnya kedua-duanya tidak boleh digunakan sama sekali.
Ini telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan masyarakat dan mula memandang hina terhadap hadith dhaif. Tindakan biadap sebegini tidak pernah diamalkan oleh para ulama silam yang muktabar dan justeru it kita jangan keliru dengan propaganda para asatizah ini yang kononnya ingin membawa islah dan tajdid dalam masyarakat agar beramal hanya dengan hadith Sahih sahaja.
Adakah Imam al-Ghazali jahil ilmu hadith? Antara tuduhan keterlaluan yang dilemparkan terhadap Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ialah kononnya beliau jahil ilmu hadith dan kerana itulah banyak hadith-hadith dhaif dalam Ihya’ Ulumiddin. Ada juga yang mendakwa kononnya di akhir hayat beliau, Imam al-Ghazali meninggalkan tasawuf dan menjadi ahli hadith kerana beliau ditemui meninggal dunia dengan kitab Sahih Bukhari di tempat tidurnya. Harus diingati bahawa tiada manusia lain di atas mukabumi ini yang digelar “Hujjatul Islam” melainkan Imam al-Ghazali.
Gelaran itu diberikan oleh masyarakat pada zamannya kerana kehebatan ilmu yang beliau miliki yang tiada tolok tandingnya. Imam Salahuddin al-Safadi (w.764) yang mengarang kitab al-Wafi, sebuah kitab biografi para ulama silam atau digelar ‘tabaqat’ yang mengandungi 14,000 para ulama menyebut bahawa bahawa “Imam al-Ghazali adalah seorang ulama mazhab Shafi’e yang tiada tandingnya di zaman beliau”.
Ulama kontemporari seperti Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut bahawa Imam al-Ghazali adalah mujaddid kurun ke-5 hijri sepertimana Imam al-Shafie di zamannya dan Umar bin Abdul Aziz di zamannya.
Yang lantang mengkritik Imam al-Ghazali sebenarnya hanya beberapa orang tokoh ulama seperti ulama anti-sufi seperti Ibn al- Jawzi melalui kitabnya I`lam al-ahya’ bi aghlat al-Ihya’ dan Talbis Iblis, dan diikuti oleh Ibn Taymiyyah dan pelajarnya al-Dhahabi.
Manakala majoriti ulama di zaman Imam al-Ghazali dan selepasnya semuanya mengkagumi kehebatan beliau. Hari ini kelompok ‘islah dan tajdid moden’ yang mengkritik Imam al-Ghazali mengutip kembali kritikan-kritikan ketiga-tiga orang tokoh ulama ini dan menghamburkannya kepada masyarakat sehingga masyarakat hilang hormat pada Imam al-Ghazali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.