Pages

Khamis, 6 Februari 2014

SIAPAKAH MANUSIA YANG PALING BIJAK

SIAPAKAH MANUSIA YANG PALING BIJAK

Persoalan siapakan yang paling bijak sering menjadi topik perbincangan. Semua orang mahu menjadi bijak dan tiada yang memilih untuk menjadi dungu dan bodoh. Kita sering membuat penilaian siapakah yang paling bijak. Banyak standard dan neraca yang digunakan untuk menilai siapakah yang paling bijak. Tetapi sebenarnya siapakah yang paling bijak?

Disebut dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda,

“Al kayyisu (orang yang bijak/cerdik) ialah siapa yang menghisab dirinya dan beramal dengan untuk bekalan selepas mati. Sedangkan al ‘aajizu (orang yang gagal) adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada (pemberian) Allah.” (Sunan Ibn Majah: 4260; Musnan Imam Ahmad: 124).

Dalam satu hadis yang lain disebutkan:

“Aku bersama Rasulullah, kemudian datang seorang lelaki dari Ansar, memberi salam ke atas nabi SAW kemudian berkata: siapakah mukmin yang paling baik. Jawab nabi: yang paling bagus akhlaknya. Dia bertanya lagi: siapa pula yang paling cerdik? Nabi jawab: Mereka paling banyak mengingati mati dan melakukan persediaan selepas itu, itulah orang yang paling bijak” (Sunan Ibn Majah : 4259)

Rupa-rupanya orang yang bijak itu adalah yang bersedia untuk mati. Marilah kita mengkaji kenapa Rasulullah menyatakan itulah orang yang bijak.

Orang yang bijak melabur untuk keni’matan yang kekal

Bersedia untuk mati dan membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati adalah satu pelaburan jangka panjang yang sangat meguntungkan. Ia lebih menguntungkan dari simpanan tetap di bank. Matawang di sana nanti berupa pahala dan liabilitinya adalah dosa.
Benarlah orang yang mengikut hawa nafsu itu orang yang ‘aajiz. Orang-orang ‘aajiz tidak bersedia untuk kehidupan hari esok. Dia cuma seumpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tiada simpanan dan tiada pelaburan untuk hari esok. Benarlah dia seorang yang dungu.

Orang yang ‘aajiz akan memperbanyakkan kelazatan sementara dan tertipu dengan kelazatan tersebut. Mereka seronok mengumpul kelazatan tersebut kerana sangkakan boleh dibawa ke dalam kubur. Mereka mengumpul kekayaan tanpa mengira bagaimana dan dari mana sumbernya. Mereka menipu, korup, menyeleweng, mencuri atau merompak hanya untuk mendapatkan kekayaan tersebut.

Benarlah seperti firman Allah (terjemahan):

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (Al Takatsur: 1-5)

Dengan mengingati mati, akan mengelakkan kita terpedaya dengan kelazatan sementara ini. Dalam satu hadis lain Rasulullah menyatakan:

“Perbanyakkanlah mengingati penghapus kelazatan iaitu mati” (Sunan al Tirmizi: 2307; Sunan Ibn Majah: 4258). 

Jadi berbicara pasal mati memang tidak digemari oleh nafsu dan penggemar ni’mat sementara. Sesetengahnya menganggap sebagai antiklimaks, antiestablishment, mundur, kuno, tidak maju dan sebagainya. Padahal, mereka tertipu dengan nafsu shahwat dan kelazatan sementara.

Dipetik dari tulisan Dr. Zakuan Zainy Deris

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.