Pages

Jumaat, 7 Mac 2014

KISAH HAJAR DAN ISMAIL


KISAH HAJAR DAN ISMAIL 

Ini adalah kisah yang panjang, yang menceritakan tentang bapa kita Ismail bin Khalilullah Ibrahim ‘Alayhi Salam dan tentang ibu kita Hajar Ummu Ismail. Semua orang Arab adalah keturunan Ismail. Ada yang mengatakan bahawa sebahagian orang Arab berasal dari asal-usul Arab kuno yang bukan anak keturunan Ismail. Ibu kita Hajar adalah wanita Mesir yang dihadiahkan oleh penguasa zalim Mesir kepada Sarah dalam sebuah kisah yang akan disebutkan selanjutnya. 

Ketika Ibrahim tidak dikurniakan anak dari perkahwinan dengan isterinya, Sarah, maka Sarah memberikan hamba sahayanya kepada Ibrahim untuk dinikahi dengan harapan bahawa darinya Allah akan memberikan anak. Hajar pun hamil dan melahirkan Ismail di bumi yang penuh berkah, Palestin. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam menceritakan kisah Hajar kepada kita, apa yang terjadi antara dia dengan Sarah dan bagaimana Allah memerintahkan Ibrahim agar pindah bersama Hajar dan Ismail ke belahan bumi termulia (Makkah). 

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam menjelaskan keadaan tempat dimana Hajar dan puteranya, Ismail, tinggal. Beliau menjelaskan kepada kita tentang Ibrahim yang meninggalkan keduanya di tempat yang sepi, tanpa makanan, minuman dan penduduk. Beliau juga menjelaskan apa yang terjadi dengan Hajar dan Ismail sepeninggal Ibrahim sehingga akhirnya Ibrahim dan Ismail membangunkan Baitullah Al Haram sebagai rumah pertama yang diletakkan untuk manusia. 

NASH HADIS

Bukhari meriwayatkan dalam Shahih-nya dari Said bin Jubair yang berkata bahawa Ibnu Abbas berkata, "Wanita pertama yang membuat tali pinggang adalah ibu Ismail. Hal itu ia lakukan agar dapat menutupi jejak kakinya dari pengetahuan Sarah. Kemudian Ibrahim membawa isteri dan puteranya, Ismail, yang masih disusuinya. Hingga akhirnya Ibrahim menempatkan keduanya dekat Baitullah ditepi pokok besar di atas telaga Zamzam di bagian atas Masjidil Haram. 

Pada ketika itu Makkah tidak berpenghuni seorang pun, dan tidak ada air. Beliau meninggalkan keduanya, juga meletakkan sebuah kantung berisi kurma dan kantung kulit berisi air. Ketika Ibrahim melangkah hendak pergi, Hajar menyusulnya sambil bertanya, "Wahai Ibrahim, ke mana engkau akan pergi? Apakah engkau akan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada seorang manusia pun dan tidak ada sesuatu pun?" Hajar terus-menerus menanyakan hal itu, dan Ibrahim tidak menoleh kepadanya. Maka Hajar bertanya kembali, "Apakah Allah yang menyuruhmu melakukan ini?" Ibrahim menjawab, "Ya." Hajar pun berucap, "Kalau memang demikian, Dia tidak akan mengabaikan kami." Selanjutnya Hajar kembali. 

Ibrahim terus berjalan hingga sampai di sebuah bukit di mana mereka tidak melihatnya, beliau menghadapkan wajahnya ke Baitullah, lalu berdoa dengan beberapa kalimat lalu mengangkat kedua tangannya dan mengucapkan, "Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah-Mu (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami, (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki kepada mereka dari buah-buahan. Mudah-mudahan mereka bersyukur." (QS. Ibrahim: 37) 

Hajar kembali kepada Ismail dan meminum air yang berada di dalam kantung kulit. Apabila air sudah habis, dia merasa kehausan, demikian pula puteranya yang merengek-rengek kehausan. Dia pun pergi mencari air kerana tidak tahan melihatnya. Hingga dia menemukan Shafa, gunung yang paling dekat dengannya. 

Maka dia berdiri di atasnya, menghadap ke lembah sambil melihat-lihat kalau-kalau ada seseorang, tetapi dia tidak melihat seorang pun. Setelah turun dari Shafa, dia sampai di lembah, ia mengangkat hujung bajunya dan berusaha keras seperti orang yang berjuang mati-matian, hingga berhasil melepasi lembah. Lalu dia mendatangi Marwah, berdiri di atasnya sambil melihat apakah ada seseorang yang dapat dilihatnya, tetapi dia tetap tidak melihat seorang pun. Dia melakukan perkara itu sebanyak tujuh kali." 

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam berkata, "Kerana hal inilah orang-orang melakukan sa'i di antara keduanya (Shafa dan Marwah)." 

Ketika mendekati Marwah, dia mendengar satu suara. Dia pun berkata kepada dirinya, "Diam". Kemudian dia berusaha mendengar lagi hingga dia pun mendengarnya. Lalu dia berkata, "Engkau telah memperdengarkan. Adakah Engkau dapat menolong?" Tiba-tiba dia mendapati Malaikat berada di tempat sumber air Zamzam. 

Kemudian Malaikat itu menggali tanah dengan tumitnya -dalam riwayat lain, dengan sayapnya- hingga muncullah air. Ia membendung air dengan tangannya. Hajar mencedok dan memasukkan air itu ke kantungnya. Air itu terus mengalir deras setelah dia mencedoknya." 

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda, "Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada ibu Ismail, seandainya dia membiarkan Zamzam.” Atau beliau bersabda, ”Seandainya dia tidak mencedok airnya, nescaya Zamzam menjadi mata air yang mengalir." 

Lebih lanjut, Ibnu Abbas mengatakan bahawa kemudian dia meminum air itu dan menyusui anaknya. Lalu Malaikat berkata kepadanya, "Janganlah engkau khuatir akan disia-siakan, kerana di sini terdapat sebuah rumah Allah yang akan dibangunkan oleh anak ini dan bapanya. Dan sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan penduduknya." Kedudukan rumah Allah itu terletak lebih tinggi dari permukaan bumi, seperti sebuah anak bukit yang diterpa banjir sehingga mengikis bahagian kiri dan kanannya. 

Keadaan ibu Ismail terus seperti itu sehingga sekelompok Bani Jurhum atau sebuah keluarga dari kalangan Bani Jurhum melalui tempat mereka. Mereka datang melalui jalan Keda'. Kemudian mereka mendiami daerah Makkah yang paling bawah. Mereka melihat seekor burung terbang berpusing di angkasa, mereka berkata, "Burung itu pasti sedang melihat air. Sedangkan kita tahu bahawa di lembah ini tidak ada air." Mereka pun mengutus satu atau dua orang. Ternyata utusan itu menemukan air. Lalu mereka kembali dan memberitahu perihal air tersebut. Maka mereka pun datang. 

Ibnu Abbas selanjutnya menceritakan, "Ibu Ismail ketika itu masih berada disumber air tersebut. Maka mereka pun bertanya kepadanya, 'Apakah engkau mengizinkan kami untuk singgah di sini?’ ’Ya, tetapi kalian tidak berhak atas air ini,’ jawab ibu Ismail. Mereka pun menyahut, ’Baiklah.’ Kemudian, lanjut Ibnu Abbas, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam pun bersabda, "Maka ibu Ismail menerima hal itu, kerana dia memerlukan teman." Mereka pun singgah di sana dan mengirimkan utusan kepada keluarga mereka agar ikut datang dan menetap di sana bersama mereka. Hingga berdirilah beberapa rumah. Akhirnya sang bayi (Ismail) pun tumbuh besar dan belajar bahasa Arab dari mereka, serta menjadi orang yang paling dihargai dan dikagumi ketika memasuki usia remaja. Setelah dewasa mereka menikahkannya dengan seorang wanita dari kalangan mereka. 

Setelah itu ibu Ismail meninggal dunia. Setelah Ismail berkahwin, Ibrahim datang untuk mencari keluarga yang dulu ditinggalkannya, tetapi dia tidak menemukan Ismail di sana. Lalu Ibrahim menanyakan keberadaan Ismail kepada isterinya (menantu Ibrahim). Isteri Ismail menjawab, "Dia sedang pergi mencari nafkah untuk kami." Kemudian Ibrahim menanyakan perihal kehidupan dan keadaan mereka, maka isterinya menjawab, "Kami berada dalam keadaan yang buruk. Kami hidup dalam kesusahan dan kesulitan." 

Dia mengeluh kepada Ibrahim. Ibrahim pun berpesan, "Jika suamimu pulang, sampaikan salamku kepadanya dan katakan kepadanya agar mengubah palang pintunya." Ketika Ismail pulang, seolah-olah dia merasakan sesuatu, kemudian dia bertanya, "Apakah ada orang yang datang mengunjungimu?" "Ya, kami didatangi seorang yang sudah tua, begini dan begitu, lalu dia bertanyakan kepada kami mengenai dirimu, dan aku memberitahukannya. Selain itu, dia pun bertanyakan ehwal kehidupan kita di sini, maka aku pun menjawab bahawa kita hidup dalam kesulitan dan kesusahan," jawab isterinya. 

"Apakah dia berpesan sesuatu kepadamu?" tanya Ismail. Isterinya menjawab, "Ia menyampaikan salam kepadaku untuk aku sampaikan kepadamu dan menyuruhmu agar mengubah palang pintu rumahmu." Ismail pun berkata, "Dia adalah ayahku. Dia menyuruhku untuk menceraikanmu. Kerananya, kembalilah engkau kepada keluargamu." Maka Ismail menceraikannya, lalu mengahwini wanita lain dari Bani Jurhum. 

Ibrahim tidak mengunjungi mereka selama beberapa waktu. Setelah beberapa lama selepas itu Ibrahim mengunjunginya, namun dia tidak juga dapat bertemu dengan Ismail. Kemudian dia menemui isterinya dan menanyakan perihal keadaan Ismail. Maka isterinya menjawab, "Dia sedang pergi mencari nafkah untuk kami." "Bagaimana keadaan dan kehidupan kalian?" tanya Ibrahim. Isteri Ismail menjawab, "Kami baik-baik saja dan berkecukupan." Sambil memuji (bersyukur kepada) Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kemudian Ibrahim bertanya, "Apa yang kalian makan?" Isteri Ismail menjawab, "Kami memakan daging." "Apa yang kalian minum?" lanjut Ibrahim. Isteri Ismail menjawab, "Air." Kemudian Ibrahim berdoa, "Ya Allah, berkatilah mereka pada daging dan air." 

Selanjutnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda, "Pada ketika itu mereka belum mempunyai makanan berupa biji-bijian. Seandainya mereka memilikinya, nescaya Ibrahim akan mendoakannya supaya mereka diberikan berkat pada biji-bijian itu." Lebih lanjut Ibnu Abbas berkata, "di luar Makkah, kedua jenis itu (daging dan air) boleh diperolehi dengan mudah, akan terapi keduanya tidak sesuai (sebagai makanan utama)." Ibrahim berpesan, "Jika suamimu datang, sampaikan salamku kepadanya dan suruh dia untuk memperkukuh palang pintunya." Ketika pulang, Ismail bertanya, "Apakah ada orang yang datang mengunjungimu?" Isterinya menjawab, "Ya, ada orang tua yang berpenampilan sangat bagus lalu memuji Ibrahim- dan ia menanyakan kepadaku tentang dirimu, lalu aku menceritakan kepadanya. Setelah itu dia menanyakan perihal kehidupan kita, maka aku menjawab bahawa kita baik-baik saja." 

"Apakah dia berpesan sesuatu hal kepadamu?" tanya Ismail. Isterinya menjawab, "Ya, dia menyampaikan salam kepadamu dan menyuruhmu agar memperkukuh palang pintumu." Lalu Ismail berkata, "Dia adalah ayahku. Engkaulah palang pintu yang dimaksud. Dia menyuruhku untuk tetap hidup rukun bersamamu." 

Kemudian Ibrahim meninggalkan mereka selama beberapa waktu. Setelah itu ia datang kembali, ketika itu Ismail tengah meraut anak panah di bawah pohon besar dekat telaga Zamzam. Ketika melihatnya, Ismail bangkit. Keduanya melakukan apa yang biasa dilakukan oleh anak dengan ayahnya dan ayah dengan anaknya jika bertemu. Ibrahim berkata, "Wahai Ismail, sesungguhnya Allah memerintahkan sesuatu kepadaku." "Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan Tuhanmu itu," sahut Ismail. Ibrahim pun bertanya, "Apakah engkau akan membantuku?" "Aku pasti akan membantumu," jawab Ismail. Ibrahim berkata, "Sesungguhnya Allah menyuruhku untuk membina sebuah rumah di sini." Lalu menunjuk kearah anak bukit kecil yang letaknya lebih tinggi dari sekelilingnya.

Ibnu Abbas pun melanjutkan ceritanya bahawa pada ketika itulah keduanya meninggikan tapak Baitullah. Ismail mengangkat batu, manakala Ibrahim memasangnya. Ketika bangunan itu sudah tinggi, dia meletakkan sebongkah batu untuk dijadikan tempat dia memijak. Ibrahim berdiri di atasnya sambil memasang batu, sementara Ismail menghulurkan batu-batu kepadanya. Keduanya pun berdoa, "Ya Tuhan kami, terimalah dari kami (amalan kami). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS. Al-Baqarah: 127).

Ibnu Abbas meneruskan, bahawa keduanya terus membinanya hingga menyelesaikan seluruh bangunan Baitullah. Keduanya berdoa, "Ya Tuhan kami, terimalah dari kami (amalan kami). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS. AlBaqarah: 127).

TAKHRIJ HADIS 

Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dalam Shahih-nya di dalam Kitabul Anbiya’, bab 'Dan Allah mengangkat Ibrahim' (QS. An-Nisa: 125), 6/396, no. 3364. Hafizh Ibnu Hajar telah menjelaskan jalan-jalan periwayatannya dan imam-imam yang meriwayatkannya dalam Fathul Bari, 6/399. 

Ucapan Ibnu Abbas di dalam hadis ini menunjukkan bahwa dia mengangkatnya (menisbatkannya) kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam. Kalaupun Ibnu Abbas tidak mendengar dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam secara langsung, itu bererti dia mendengar dari sahabat lain. Maka hadis ini termasuk mursal sahabi (hadis yang diriwayatkan oleh sahabat yang tidak dia saksikan atau dengar sendiri dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam). Para ulama telah sepakat bahwa mursal sahabi tetap sah bila dijadikan sebagai dalil. 

PENJELASAN HADIS 

Di dalam hadis ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam menyampaikan kepada kita tentang kisah bapa kita, Ismail, dan ibunya, Hajar, yang tinggal di tanah suci Makkah. Keduanya adalah orang pertama yang tinggal di sana. Tempat keduanya tinggal adalah belahan bumi tersuci di muka bumi ini, yang terdapat Baitul Haram. Di sanalah kaum muslimin berhaji. Di sanalah mereka menghadap dalam solat. Di sanalah wahyu turun kepada Ismail dan orang setelahnya, iaitu Rasul termulia Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam. 

Penyebab keluarnya Hajar dari Palestin ke Makkah adalah persoalan yang terjadi antara Hajar dan Sarah setelah Hajar melahirkan Ismail. Hajar terpaksa menjauhkan diri dari Sarah manakala dirinya tidak merasa aman di sisinya, sebagaimana hal itu diisyaratkan oleh hadis. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam menyampaikan kepada kita bahawa semasa pemergiannya Hajar menyeret bajunya di belakangnya untuk menghapus jejak kakinya agar Sarah tidak mengetahui ke mana dia pergi. 

Dan Allah memerintahkan Ibrahim agar memindahkan Hajar dan puteranya ke Baitullah, tempat yang jauh yang tidak boleh dijangkau oleh kenderaan kecuali dengan kelelahan jiwa. Ini adalah perkara yang mungkin sulit dan berat bagi Ibrahim yang sudah tua, yang diberi anak, Ismail dalam usia yang telah lanjut. Perkara ini bertambah sulit manakala Ibrahim terpaksa meletakkan belahan jiwanya dan ibunya di tempat yang sepi, tanpa air, tanpa makanan dan tanpa penduduk. 

Akan tetapi Allah memiliki hikmah yang mendalam. Walaupun secara lahir perkara itu sulit dan berat, akan tetapi ia mengandungi banyak rahmat dan kebaikan. Dan kita melihat rahmat dan kebaikan ini pada hari ini secara jelas dan nyata. Dengan didiami oleh Ismail, daerah itu tumbuh menjadi sebuah kota tempat dibangunnya Baitullah yang banyak dilakukan ibadah-ibadah, syiar-syiar dan segala kebaikan. Dengannya Ibrahim dan Ismail memperoleh pahala dan balasan yang tidak diketahui kecuali oleh Allah. Itu adalah kurnia Allah yang Dia berikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah adalah Pemilik kurnia yang besar. 

Ibrahim membawa anaknya yang masih kecil, Ismail, dan ibunya dari tanah yang penuh berkah dengan udaranya yang sejuk, kebunnya yang hijau, airnya yang mengalir ke lembah itu, dan kemudian meletakkan keduanya di bawah pohon. Lalu dia meninggalkannya tanpa berpikir untuk membangunkan rumah sebagai tempat berlindung keduanya. Dia juga tidak mencarikan orang-orang yang bersedia tinggal di sisinya untuk melindunginya dari ancaman atau serangan binatang buas. 

Allah telah memerintahkan Ibrahim agar meninggalkan keduanya di lembah itu, maka dia pun melakukan seperti yang Allah perintahkan kepadanya. Dia menyerahkan keduanya kepada Allah, kerana Dialah yang memerintahkannya untuk melakukan itu. Tentunya, Dia mampu melindungi keduanya, memberi makan dan minum kepada keduanya, serta menghibur keterasingan keduanya. Ibrahim tidak mempedulikan protes Hajar yang mengikutinya. Hajar berkata, "Engkau membiarkan kami dan pergi begitu saja?" 

Hajar mengulang itu berkali-kali, sementara Ibrahim tidak mengendahkannya. Ini adalah perintah Allah, dan perintah Allah tidak boleh dibantah. Inilah Islam di mana Ibrahim membawa dirinya kepadanya. "Ketika Tuhannya berfirman kepadanya, 'Tunduk patuhlah!' Ibrahim menjawab, 'Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam." (QS. Al-Baqarah: 131) 

Manakala Hajar merasa gagal mendapatkn jawapan, dia berkata, "Apakah Allah yang memerintahkanmu untuk melakukan ini?" Ibrahim menjawab, "Ya." Pada ketika itu tenanglah hati dan jiwa Hajar. Seorang mukmin mengetahui bahawa Allah tidak akan mensia-siakan orang yang menjawab perintah-Nya dan mewujudkan keinginan-Nya. 

Ibrahim terus berjalan pulang. Ketika sampai di Tsaniyah dan tidak terlihat oleh Hajar, dia berhenti menghadap ke arah Baitullah, mengangkat kedua tangannya ke langit dan berbisik kepada Tuhannya, "Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman didekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami, (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur." (QS. Ibrahim: 37). Allah telah mengabulkan doanya dan merealisasikan harapannya. 

Ibu Ismail tinggal disitu selama berhari-hari. Dia minum dari kantung air yang ditinggalkan oleh Ibrahim untuknya dan makan kurma serta menyusui puteranya. Akan tetapi kurma dan air itu cepat habis. Ibu Ismail dahaga dan lapar. Anaknya pun juga lapar dan dahaga bersamaan dengan lapar dan dahaga ibunya. Dia berguling-guling kerana kehausan. Ibu Ismail tidak sampai hati melihatnya. Keadaan itu mendorongnya untuk mencari sesuatu yang boleh menghilangkan rasa hausnya dan menghidupkan dirinya. Ibu Ismail melihat Shafa, bukit paling dekat dengannya. Jika seseorang ingin mengetahui apa yang ada di sekelilingnya, maka dia akan naik ke tempat yang tinggi agar boleh memandang sekeliling dan mencari apa yang dia inginkan. 

Ibu Ismail naik ke Shafa. Dia memandang dengan cermat. Tak seorang pun kelihatan. Maka dia turun ke lembah untuk menuju bukit lain yang berdekatan, iaitu Marwah. Dia naik ke Marwah. Dia melihat seperti yang dia lakukan di bukit Shafa. Tak ada yang membantunya, tak ada yang menolongnya. Begitulah dia mundar-mandir diantara Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Pada ketika dia mundar-mandir itu, dia menyempatkan diri menengok anaknya, untuk menghilangkan rasa cemas dan mengetahui keadaannya. 

Kemudian dia meneruskan mundar-mandir. Inilah sa'i pertama di antara bukit Shafa dan Marwah. Dan sa'i yang pertama kali dilakukan oleh Hajar ini menjadi salah satu syiar ibadah haji dan umrah. "Sesungguhnya Shafa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah. Maka barangsiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa'i antara keduanya." (QS. Al-Baqarah: 158). 

Setelah pusingan ketujuh dia terdengar suara. Dia mengamatinya. Dia berkata kepada dirinya, "Diamlah." Sepertinya dia ingin agar boleh mendengar sejauh mungkin. Ternyata suara itu terdengar oleh telinganya untuk kedua kalinya. Dia berkata kepada sumber suara itu, "Aku telah mendengar suaramu, jika kamu berkenan untuk menolong." Dia meneliti sumber suara itu. Dia melihat, ternyata suara itu datangnya dari arah puteranya. Ternyata Malaikat Allah, Jibril, sedang memukulkan tumitnya atau sayapnya ke tanah di tempat Zamzam. Air pun memancar. 

Ibu Ismail telah mencari air dari atas bukit-bukit yang tinggi, lalu Allah mengeluarkan air untuknya dari bawah kaki puteranya yang masih bayi. Tentu kebahagiaan ibu Ismail sangatlah besar sekali. Tanpa air, itu bererti kematian untuknya dan puteranya. Memancarnya air adalah kehidupannya dan kehidupan puteranya beserta kehidupan lembah di mana dia tinggal. 

Menurut pengamatanku (Ibnu Abbas), Jibril menjelma dalam bentuk seorang laki-laki, sehingga Hajar melihatnya dan berbicara kepadanya dan dia pun berbicara kepada Hajar. Sebagaimana Jibril juga pernah menjelma menjadi seorang laki-laki pada masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam dan dilihat oleh para sahabat, dan mereka pun mendengarkan ucapannya. Hal ini berdasarkan kepada bukti bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam tidak pernah melihat Jibril dalam bentuk asalnya seperti yang diciptakan oleh Allah kecuali dua kali. Pada kali pertama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam sangat ketakutan. 

Ibu Ismail, kerana didorong oleh naluri untuk mengumpulkan air dan menjaga persediaannya sebanyak mungkin, maka dia membendung air itu hingga dia boleh mengisi kantung airnya. Seandainya dia membiarkannya mengalir dan berjalan, nescaya ia akan menjadi mata air yang mengalir. Tentang hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda, "Semoga Allah memberi rahmat kepada ibu Ismail. Seandainya dia membiarkan Zamzam” –atau beliau bersabda, "Tidak mencedok air-” nescaya zamzam menjadi mata air yang mengalir." 

Allah memberikan air kepada ibu Ismail untuk menghapus dahaganya, dan air susunya kembali menitik. Dia pun boleh menyusukan putranya. Malaikat menenangkannya, "Jangan takut terlantar." Malaikat menyampaikan berita gembira kepadanya, bahawa bayinya akan membangunkan Baitullah bersama ayahnya dan bahawa Allah tidak akan mensia-siakan keluarganya. 

Allah menyempurnakan nikmat kepada Ismail dan ibunya. Maka datanglah orang-orang ke lembah itu untuk menetap. Keterasingan sedikit demi sedikit mulai lenyap. Sekelompok orang dari suku Jurhum melalui daerah berhampiran mereka. Mereka singgah di Makkah bahagian bawah. Mereka melihat seekor burung berputar-putar di udara. 

Mereka mengetahui bahawa berputar-putarnya burung itu tidak lain kerana di daerah itu terdapat air. Kerana jika tidak ada air, maka burung itu akan terus berlalu dan tidak berhenti. Burung yang berputar-putar di udara seperti yang mereka saksikan itu adalah burung yang mengetahui ada air dan mendatanginya. 

Akan tetapi,mereka tetap meragukan perkiraan mereka sendiri, kerana mereka kenal betul daerah tersebut, sebuah lembah tanpa air dan tanpa penghuni. Untuk memastikannya, mereka mengutus seseorang dari kalangan mereka. Utusan itu kembali dengan menyampaikan apa yang dilihatnya kepada mereka. Mereka pergi kepada ibu Ismail. 

Dengan mata kepala mereka sendiri, mereka melihat air yang memancar dari bebatuan. Mereka takjub dan meminta ibu Ismail agar mengizinkan mereka untuk tinggal bersamanya. Ibu Ismail setuju, dengan syarat bahawa mereka tidak berhak terhadap air. Mereka hanya boleh minum. Mata air tetap menjadi hak ibu dan Ismail. Maka mereka memanggil keluarga mereka dan tinggal bersama ibu Ismail. 

Ismail membesar dengan baik menjadi seorang pemuda di lingkungan itu. Seorang pemuda yang cergas lagi rajin, diimbangi oleh akhlak mulia dan sifat-sifat luhur. Orang-orang yang tinggal bersamanya menghormatinya dan mencintainya. Mereka menikahkannya dengan anak gadis mereka. 

Ibu Ismail meninggal setelah Ismail membesar menjadi seorang pemuda, dan dia pun tenang kepadanya. Kematian adalah akhir kehidupan yang hidup. Lalu Ibrahim datang menengok anaknya. Dia tidak menemukan Ismail di rumahnya. Ismail sedang keluar mencari rezeki untuk keluarganya. Isteri Ismail mengeluhkan mengenangkan kesusahan kehidupannya. 

Manakala Ibrahim bertanya tentangnya, dia memberitahukan bahawa mereka hidup dalam keadaan sulit dan sengsara. Ibrahim meminta kepada isteri Ismail agar menyampaikan salamnya kepada Ismail dan berpesan kepadanya agar dia mengubah palang pintu rumahnya. Isteri Ismail tidak tahu bahawa lelaki tua yang singgah dirumahnya adalah mertuanya. Dia juga tidak tahu jika pesanan yang disampaikan kepada suaminya berisi perintah untuk menceraikannya. Ismail mentaati pesan bapanya, dan isterinya ditalaknya.

Ibrahim melihat wanita tersebut tidak layak menjadi isteri seorang Nabi sekaligus Rasul yang disiapkan untuk memimpin dan mengarahkan serta mendidik keluarga, anak-anaknya dan orang-orang di sekitarnya. Isteri yang suka mengeluh tentang kesusahan hidup dan tidak sanggup mengharungi susah senang hidup disamping suami tidak mungkin menjadi pendorong suami yang memikul tugas-tugas besar. 

Ketika Ibrahim kembali lagi, dia bertemu dengan seorang wanita yang lain dari sebelumnya. Ibrahim rela puteranya bernikah dengannya dan meminta anaknya agar mempertahankannya. Ibrahim bertanya tentang kehidupan mereka. Isteri Ismail menjawab, "Segala puji bagi Allah, kami dalam kebaikan dan kemudahan." Ibrahim bertanya tentang makanan dan minuman mereka. Dia menjawab, "Daging dan air." Maka Ibrahim mendoakan keberkatan kepada mereka pada daging dan air. Seandainya mereka mempunyai biji-bijian yang mereka makan, nescaya Ibrahim akan mendoakannya juga sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam. 

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam menyampaikan bahawa diantara keberkatan doa Ibrahim adalah, bahawa penduduk Makkah tetap hidup sihat walau hanya makan daging dan minum air. Padahal, jika selain dari mereka boleh mengakibatkan kecelakaan jika hanya memakan daging dan air saja. 

Untuk ketiga kalinya Ibrahim datang mengunjungi anaknya dan bertanyakan tentangnya. Ibrahim mendapati Ismail berada di rumah sedang duduk meraut anak panah di bawah pohon itu, pohon di mana dahulu Ibrahim meninggalkannya dengan ibunya pada saat mereka datang pertama kali ke tempat itu. Ismail bangkit dan pergi kepadanya. Keduanya melakukan apa yang biasa dilakukan oleh ayah kepada anaknya dan anak kepada ayahnya yang lama tidak bertemu. 

Mereka saling memberi salam, berangkulan, berjabat tangan, dan sebagainya. Ibrahim menyampaikan perintah Allah kepadanya, agar membina Baitul Haram dan bahawa Dia memerintahkan Ismail untuk membantunya. Maka Ismail bersegera melaksanakan perintah Allah. Ibrahim membina Baitullah dengan bantuan Ismail. Sambil membinanya keduanya berdoa, "Ya Tuhan kami, terimalah dari kami (amal kebaikan kami). Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha mengetahui." (QS. Al-Baqarah: 127).

PELAJARAN-PELAJARAN DAN FAEDAH-FAEDAH HADIS 

1. Kisah ini mengandung banyak maklumat dan fakta yang tidak mungkin kita ketahui seandainya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam tidak memberitahukannya kepada kita. Maklumat-maklumat berharga tentang nenek moyang yang mulia, tentang tumbuhnya kota suci, tentang pembinaan Baitul Atiq, dan sebagainya. 

2. Ketaatan Ibrahim kepada perintah Allah agar membawa isteri dan anaknya ke tempat itu, walaupun perkaranya sedemikian sulit atas dirinya. Seorang hamba boleh jadi membenci sesuatu, sementara kebaikan tersimpan di dalamnya; dan dia biloleh jadi menyukai sesuatu, padahal itu buruk baginya. 

3. Allah menjaga dan melindungi para walinya sebagaimana Dia telah menjaga Hajar dan Ismail ketika Ibrahim meninggalkannya di tempat itu.

4. Berserah diri kepada perintah Allah tidak menafikan usaha seorang hamba dalam perkara yang mengandung kebaikannya. Hajar mencari sesuatu yang boleh meneruskan kelangsungan hidupnya dan hidup puteranya, walaupun dia berserah diri kepada perintah Allah. 

5. Kemampuan Allah mengeluarkan air dari batu yang pejal, seperti Dia mengeluarkan air Zamzam. 

6. Perhatian dan nasihat bapa kepada anak tentang sesuatu yang menurutnya baik bagi anaknya. Ibrahim selalu mengunjungi anaknya untuk mengetahui keadaannya dan mengarahkan kepada sesuatu yang baik baginya. 

7. Merungut kerana kurangnya rezeki dan sulitnya hidup bukan termasuk akhlak orang-orang soleh. Ibrahim membenci sifat merungut dari isteri Ismail akan beratnya kehidupannya bersama Ismail. Sebaliknya, sabar atas kekurangan keperluan dan sikap syukur atas nikmat Allah termasuk akhlak orang-orang soleh. Oleh kerana itu, Ibrahim memuji isteri Ismail yang redha dan bersyukur. 

8. Doa orang soleh agar makanan dan minuman menjadi berkat, sebagaimana Ibrahim mendoakan daging dan air bagi penduduk Makkah agar menjadi berkat. 

9. Menampakkan perasaan bahagia dan senang pada waktu bertemu orang yang dicintai. Mengungkapkannya dengan sikap seperti yang dilakukan oleh Ibrahim dan Ismail ketika keduanya bertemu. 

10. Ismail adalah seorang pemanah yang mahir dan ahli dalam memburu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda kepada sahabat-sahabatnya, "Wahai Bani Ismail, memanahlah kerana bapa kalian adalah seorang pemanah."

11. Saling tolong menolong diantara anggota keluarga dalam berbuat kebaikan, sebagaimana Ismail membantu bapanya membangunkan Ka'bah. 

12. Bakti Ismail kepada bapanya. Dia taat kepada ayahnya untuk menceraikan isteri pertamanya dan menahan isteri keduanya. Jika ayah yang meminta mentalak isteri dengan pertimbangan-pertimbangan Islamiah seperti Ibrahim, maka anak tidak boleh menolak. 

13. Ismail adalah bapa orang Arab Musta'ribah, iaitu Arab Hejaz. Adapun kabilah-kabilah Himyar, iaitu Yaman, maka mereka kembali kepada Qahthan. Orang-orang Arab sebelum Ismail dikenal dengan sebutan orang Arab Aribah, dan mereka terdiri dari banyak kabilah. Di antara mereka adalah Ad, Tsamud, Jurhum, Thasm, Jadis dan Qahthan. Kebanyakan dari mereka telah binasa dan punah. Dalam hadis shahih disebutkan bahawa Ismail adalah orang pertama yang mengucapkan bahasa Arab dengan lisan yang jelas ketika dia berumur empat belas tahun.

14. Pembetulan Al-Qur'an dan hadis yang shahih terhadap kesalahan dan penyimpangan Taurat. (Kisah Hajar dan Ismail ini juga terdapat dalam Versi Taurat).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.