Pages

Khamis, 29 Mei 2014

KAROMAH TOK KENALI

KAROMAH TOK KENALI

Banyak cerita tentang karamah Tok Kenali sudah diselit-selitkan secara tidak langsung dalam tulisan ini namun masih banyak lagi kejadian pelik yang benar-benar berlaku ke atas diri Tok Kenali sebagai seorang wali ALLAH itu.

Antaranya adalah seperti berikut:

Tok Kenali membenci amalan jahiliah berlaga kerbau yang masih menjadi kegemaran orang zaman itu. Satu hari, riuh-rendah orang ramai berpesta meraikan kemenangan kerbau laga milik Tok Deramin. Kerbau itu dipakaikan baju berhias. Kebetulan bertembung dengan Tok Kenali, lalu beliau bertanya, “Kenapa dipakai-pakai macam ni?”
Orang di situ menjawab secara mempersenda, “Kerbau itu panas.” Tok Kenali pun membalas jawapan itu dengan berkata, “Biar dia panas.” Dan pada malamnya rumah Tok Deramin termasuk bangsal kerbaunya terbakar hangus.

Ada seorang yang menjala ikan tak dapat-dapat sebarang jenis ikan, lalu bertembung dengan Tok Kenali. Tok Kenali pun memegang-megang sambil menepuk-nepuk jalanya itu. Selepas itu orang itu menjala dengan sekali campak (tebar) saja sudah dapat banyak sungguh ikan.

Pernah berlaku beberapa kali anak muridnya mendapati Tok Kenali menyeberangi sungai tanpa dilihat melalui jambatan ataupun menaiki perahu. Cerita ini amat panjang. Dan Tok Kenali pula berjalan cepat sehingga anak-anak muridnya selalu ketinggalan.
“Beliau nampak berjalan macam biasa saja tetapi selalunya beliau sampai dulu seolah-olahnya dunia ini sempit baginya,” cerita murid-muridnya.

Dalam satu majlis jamuan buah-buahan, seorang daripada hadirin menyambut biji durian yang dikulum oleh Tok Kenali, seraya berkata, “Tok guru, yang ni hamba hendak buat benih.” Ternyata pokok durian yang ditanam dari biji benih yang berkat itu tumbuh begitu subur dan menghasilkan buah durian yang bermutu tinggi serta lazat.

Tok Kenali dikatakan ada firasat yang benar. Ini dapat dibuktikan dengan ramalannya yang betul-betul berlaku. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Takutilah firasat orang Mukmin kerana dia melihat dengan nur (cahaya) ALLAH.” Pernah Tok Kenali memberitahu, “Jepun akan menjajah Tanah Melayu.” Ternyata lapan tahun selepas beliau kembali ke rahmatullah, bangsa bermata sepet itu masuk menguasai Tanah Melayu.

Tok Kenali juga pernah memberi amaran supaya bersiap sedia kerana banjir besar akan melanda Kelantan. Beliau berkata, “Aku ada alamat akan berlaku bah besar. Kerana itu kamu bersiap sedialah…” Setahun kemudian berlakulah bah besar seperti yang dikasyafkan kepada Tok Kenali itu yang terkenal dengan ‘bah merah’, yang tertera dalam catatan sejarah penting negeri Kelantan; berlaku pada 26 Disember 1926. Ia dinamakan ‘bah merah’ kerana airnya terlalu keruh berwarna kemerah-merahan. Air Sungai Kelantan melimpahi tebing dan menenggelamkan bandar Kota Bharu, hingga 12 hari baru surut. Banyak jiwa terkorban, binatang ternak mati, tanam-tanaman musnah dan rumah serta bangunan-bangunan rosak. (Beberapa hari selepas berlaku bah besar ini, berlaku pula kebakaran besar di Kota Bharu.)

Pada satu hari secara tiba-tiba Tok Kenali memanggil Tuan Haji Taib Kangkong, seorang murid tua yang pandai menyembelih. “Haji Taib, mana golok sembelihanmu?” tanya Tok Kenali. “Asah golok itu!” tambah Tok Kenali. Haji Taib memang mengetahui tiada binatang yang hendak disembelih lalu terlanjur lidahnya untuk bertanya, “Mana kambing, Tok Guru?”
“Asahlah golok itu, insya-Allah,” balas Tok Kenali.
Sesudah siap Haji Taib mengasah golok, tiba-tiba datang dua tiga orang membawa kambing masing-masing dan diserahkan kepada Tok Kenali.
“Ha, sembelihlah kambing-kambing ni,” arah Tok Kenali kepada murid tuanya yang cukup akur dengan perintah gurunya itu.

Setelah umurnya melebihi 60 tahun, Tok Kenali semakin uzur sehingga akhir-akhir hayatnya beliau terlantar di rumah kerana dihinggapi sakit patah jentang; berkudis di kaki kiri hingga berlubang merobok. Sakit tak terhingga. Tetapi Tok Kenali terus sabar dan tenang. Lubang kudisnya semakin membesar dan di dalamnya hidup ulat-ulat kudis. Satu hari sedang Tok Kenali mandi di tepi telaga pondoknya, ulat itu terjatuh, lalu beliau memanggil muridnya Haji Muhammad Gelang Tok Uban.
“Mat cepat mari, ayah panggil,” jerit Hajjah Ruqaiyah yang berada di sisi suaminya itu. Haji Muhammad segera mendapatkan Tok guru kesayangannya itu.
“Cepat Mat, selamatkan saudaraku, dia terjatuh ke dalam lubang lalu menghilang,” arah Tok Kenali, meminta muridnya itu mencari ulat itu dan memasukkan semula ke dalam lubang di kakinya. Ulat itu ditemui lalu Tok Kenali sendiri yang memasukkannya ke dalam lubang kudis di kakinya itu.
“Tok guru, biar hamba buang ulat di kaki Tok guru,” pinta muridnya agar tuan gurunya segera sembuh. Tok Kenali yang sudah rasa dirinya tidak akan lama lagi berada di dunia fana itu berkata perlahan-lahan, “Biarlah dia hidup, dia mahu makan seperti kita manusia juga.” Peristiwa ini mengingatkan kita kepada ujian yang menimpa Nabi Allah Ayub a.s. yang sabar menanggung derita sakit kudis penuh badan hingga berulat.

Tidak lama kemudian sakit Tok Kenali menjadi berat. Beliau berbaring tidak mengeluarkan apa-apa perkataan lagi. Anak-anak dan isteri berada di sekelingnya. Cucunya YB Haji Mawardi menceritakan satu peristiwa sahih yang beliau dapat secara langsung dari ayahnya sendiri.
Tuan Haji Ahmad Bakok, anak sulung Tok Kenali. Cerita-nya begini: Sewaktu masing-masing berada di sekeliling Tok Kenali yang berbaring tanpa berkata apa-apa, Tuan Guru Haji Ahmad Bakok duduk di sebelah belakang ayahnya (bantal baring Tok Kenali ditinggikan). Suasana hening seketika. Pada masa itu Tuan Guru Haji Ahmad mendengar kalimah Allah…, Allah…, Allah…, Allah…, Allah…, Allah…, Allah…. dari dalam diri ayahnya. Tuan Guru Haji Ahmad bergerak ke samping tetapi dilihat mulut ayahnya sedikit pun tidak bergerak sedangkan kalimah Allah…, Allah…, Allah… terus kedengaran. Haji Ahmad sedar hati ayahnya hidup dengan lafaz mulia yang terang sampai didengar oleh telinganya. “Ini cerita sahih daripada ayah saya,” cerita YB Haji Mawardi kepada penulis. Di saat-saat begitulah Tok Kenali kembali menemui Kekasihnya yang tercinta Allah Azzawajalla pada bulan Syaaban 1352 Hijrah bersamaan 19 November 1933 berusia 65 tahun. Kembalinya ulama berjiwa sufi yang dikenang jasa-jasa peninggalannya dan menjadi suri teladan kepada generasi kini.

Tok Kenali pandai dan rajin memasak khususnya beberapa jenis masakan Arab seperti kebab. Selalu juga saya diminta menolongnya memasak dan apabila siap dia panggil ramai-ramai makan. Untung juga kami kerana dapat menumpang makan masakan Arab. Masakan Melayu pun dia pandai.”

Begitulah antara keistimewaan peribadi Tok Kenali menurut pandangan Haji Mohd Nor atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Ayah Nor Bot, 87 tahun. Beliau menjadi murid Tok Kenali selama kira-kira 20 tahun. Sejak berumur dalam lingkungan 19 tahun, Tok Ayah Nor Bot menjadi anak murid Tok Kenali selama 10 tahun di Pondok Kenali, Kubang Kerian dan 10 tahun lagi di Masjid Al Muhammadi, Kota Bharu. Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya ke Makkah selama 7 tahun bersama Tuan Guru Haji Ahmad, anak sulung Tok Kenali. Semasa di Makkah, Tok Ayah Nor Bot (Bot ialah nama tempat beliau dilahirkan) tidak dapat lagi mengikuti perkembangan perjuangan Tok Kenali. Namun beliau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Tok Kenali sebagai murid kanan. “Hamba rasa dia (Tok Kenali) macam ayah hamba sendiri,” kata Tok Ayah Nor Bot ketika ditemui di rumahnya.

Beliau berkata Tok Kenali pandai mengajar dengan cara yang mudah difahami oleh murid walaupun matapelajaran rumit seperti nahu, saraf, tafsir. Murid-muridnya pula sentiasa mendapat galakan dan bersemahgat serta bersungguh-sungguh mentelaah dan menghafaz sehingga larut malam. “Ramai di antara kami berlumba-lumba menghafaz ilmu terutamanya nahu saraf,” tambah Tok Ayah Nor Bot dengan senyum berseri-seri. Kemudiannya beliau berjaya membuka pondok di kampungnya, Bot, Kelantan. Ini pun atas galakan Tok Kenali.

Susunan program hidup itu memudahkan Tok Kenali memenuhi hajat-hajat orang ramai pada masa lapangnya. Beliau tersangat suka membesarkan pemberian orang dan sentiasa memenuhi jemputan bagi menggembirakan hati orang ramai (kecuali jemputan kenduri kahwin yang ada maksiat). “Tok Kenali yang saya kenali itu tidak pernah menolak pemberian orang ramai. Kalau musim buah-buahan, silih berganti orang menziarahi beliau untuk memberi buah-buah kadang-kadang berguni-guni banyaknya. Saya selalu mengikuti beliau untuk tolong membawanya ke pondok dan dibahagi-bahagikan kepada kami semua. Kadang-kadang Tok Kenali menolong beli barang-brang keperluan penduduk pondok apabila ia keluar ke pasar. 

Anehnya apabila balik dia bawa bakul penuh dengan berisikan ikan, sayur-sayur yang diberikan oleh peniaga-peniaga pasar. Begitulah selalunya. Kemudian dia bagi-bagikan.”“Tok Kenali mengajar pada sebelah pagi selepas Isyrak sehingga hampir Zuhur. Pada sebelah malam, tuan-tuan guru lain pula mengambil alih mengajar. Selalu juga Tok Kenali tidak berjemaah sembahyang fardhu Isyak kerana beliau menunaikan sembahyang Isyak pada waktu tengah malam dan diikuti dengan sembahyang Tahajjud, berwirid dan membaca Al Quran, kadang-kadang sehingga Subuh, dan terus berjemaah Subuh bersama kami,” cerita Tok Ayah mengingati zaman silamnya bersama Tok guru yang disayanginya.

Menurut Tok Ayah lagi, walaupun Tok Kenali tidak suka memarahi muridnya, lebih-lebih lagi merotan, namun semua muridnya sangat malu dan terlalu menghormati beliau. Beliau juga disegani kawan dan digeruni lawan.
“Ramai juga musuhnya yang tidak senang dengan peribadi dan perjuangan yang tidak baik di belakang beliau. Anehnya tak seorang pun sanggup untuk berdepan dengan beliau. Ini mungkin barangkali satu daripada karamah Tok Kenali yang berjuang sungguh-sungguh membangunkan pondok,” jelas Tok Ayah lagi.

Mengenai penerbitan majalah Pengasuh, Tok Ayah tidak begitu pasti kerana pada masa itu dia di Makkah. Tetapi apa yang dia tahu, majalah itu diterbitkan oleh Datuk Perdana Menteri dan digerakkan oleh Tok Kenali. Peranan Tok Kenali dalam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan terlalu besar. “Dalam setiap mesyuarat, Tuan Mufti Haji Idris selaku pengerusi tetap bertanya kepada Tok Kenali sebagai rujukan terakhir dalam semua masalah sama ada penting atau tidak,” tambah beliau. 

Demikian kegigihan serta kebijaksanaan serta tarbiah-tarbiah lisan, tulisan dan contoh teladan yang diberikan, menjadikan Tok Kenali seorang pemimpin masyarakat dan tuan guru yang berwibawa. Beliau berjaya melahirkan murid-murid dan ulama-ulama yang berjiwa sufi serta mampu mengendalikan pondok-pondok di tempat masing-masing. Tok Kenali, seorang tokoh pejuang, pemimpin dan guru kepada ribuan murid dan pengikut dari merata tempat di Nusantara ini.

Google Images

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.