Pages

Jumaat, 10 April 2015

ANTARA MAQAM FANA DAN MAQAM BAQA

ANTARA MAQAM FANA DAN MAQAM BAQA

Ketika Guru Sufi Junaid Al-Baghdadi memerintahkan Mansur Al-Hallaj datang mengadapnya adalah demi menasihatkan agar muridnya itu berhati-hati dari mengucapkan ‘Ana Al-Haq’ kerana ucapan itu boleh menimbulkan fitnah besar. 

‘Ana Al-Haq’ mempunyai dua maksud tersirat yakni kepada Diri Yang Benar atau Diri Yang Sebenar-benar Diri iaitu Wujud Rabbul Izzati yang bernama AKU (bukan Akunya manusia yang diistilahkan kepada roh kerana roh itu hanyalah bayangan yang ditajallikan dari Zat Allah Yang Maha Ada). 

‘Ana Al-Haq’ itu berasal dari kalimat Al-Qur’an iaitu “Lailaha Illa Ana” yang bermaksud “Tiada Tuhan kecuali AKU. AKU atau Ana Al-Haq itu muncul dari DIRI YANG MAHA GHAIB yang disebut Ahadiyat Ghuyub Al-Ghuyub (DIA Yang Tersembunyi atau Batin dalam DiriNya Sendiri tanpa diketahui. 

Setelah DIA Yang Tersembunyi itu keluar dari DiriNya maka DIA pun menyatakan “Ana Allah Lailaha Illa Ana” – “Sesungguhnya AKUlah Allah, Tiada Tuhan melainkan AKU. Justeru apabila DIA menyaksikan ketika itu tiada yang ada kecuali WujudNya sahaja sebagai Ariful Wujud maka DIA pun menyatakan ‘Ila’ lalu menciptakan ‘yang lain’ supaya ada yang bersujud dan beribadah kepadaNya. 

Pertama-tama yang dizahirkanNya adalah Haqiqat Muhammad. Haqiqat Muhammad itu umpama cermin yang membayangkan DiriNya berada di dalamnya itulah AKU – Haqiqat bagi segala Haqiqat atau disebut Jauhar Al-Haqaiq.

Akan tetapi Mansur Al-Hallaj menjawab kepada gurunya Junaid Al-Baghdadi bahwa pengucapan ahwalnya itu memang sukar untuk dikawal. 

Sesungguhnya ada dua orang murid Junaid Al-Baghdadi yang pada ketika itu mengalami ahwal pengucapan ‘Ana Al-Haq’, iaitu Al-Syibli dan Mansur Al-Hallaj. 

Namun pada tanggapan masyarakat Baghdad di zaman itu, apabila Mansur Al-Hallaj yang mengucapkan ‘Ana Al-Haq’ maka dituduh kepadanya seorang yang kafir. 

Sebaliknya pula kepada Al-Syibli bebas dari tuduhan kafir dan menganggapnya sebagai orang yang tidak siuman sepertimana istilah orang Melayu ‘gila isim’. Kenapa?

Ada dua faktor jawabannya di sini. Pertama Al-Syibli yang bebas dari tuduhan kafir adalah disebabkan dirinya di dalam keadaan mabuk spiritual yang keterlaluan hingga menyebabkan hilang seluruh pancaindera kesedarannya. 

Para ulama syariat memfatwakan bahwa orang yang tidak sedarkan diri atau gila semasa mengucapkan Akulah Tuhan adalah tidak bersalah maka tidak boleh dijatuhkan hukuman. 

Akan tetapi apabila Mansur Al-Hallaj yang mengucapkan ‘Ana Al-Haq’ bahwa dirinya masih di dalam keadaan sedar dan terkawal. 

Malahan Mansur Al-Hallaj adalah seorang yang mempunyai daya kematangan intelektual yang tinggi dan penuh kewarasan.

Sebenarnya peringkat yang diduduki oleh Al-Syibli itu adalah baru di maqam fana. Al-Syibli belum lagi terlepas dari maqam fana seperti Mansur Al-Hallaj. 

Sedangkan Mansur Al-Hallaj sudah mencapai maqam Baqa yakni kekal bersama-sama Allah setelah memfanakan dirinya dari sifat kemakhlukan. 

Mansur Al-Hallaj sedar akan apa yang diucapkannya itu tetapi yang menzahirkan ucapan Ana ‘Al-Haq’ itu sebenarnya bukan datang darinya tetapi datang dari Zat Allah itu sendiri yang berada di martabat Wajibal Wujud. 

Martabat Wajibal Wujud ertinya seseorang yang menyedari bahwa dirinya tidak memiliki wujud sebenar maka kewujudannya itu adalah Wujud Zat Allah yang berada di dalam hakikat dirinya maka itulah disebut Wajibal Wujud atau wujud yang tampak nyata adanya. 

Wujud di peringkat rohani disebut Mumkinul Wujud. Wujud di peringkat rahsia disebut Mumta’inul Wujud. Dan Wujud di peringkat makrifat disebut Ariful Wujud.

Selanjutnya Junaid Bagdadi berkata kepada muridnya Mansur Al-Hallaj, “Aku lihat di alam musyahadahku sekeping papan berwarna merah darah. Dan darah itu adalah darah kamu sendiri!”

Mendengarkan ucapan gurunya itu, Mansur Al-Hallaj tersenyum. “Wahai tuan guru, pada ketika itu tuan sendiri telah menanggalkan jubah sufimu dan memakai jubah orang awam!” pintas Mansur Al-Hallaj.

Sebelum Mansur Al-Hallaj ditangkap atas tuduhan telah menyeleweng dari akidahnya, khalifah yang memerintah di masa itu telah menghimpunkan semua ulama syariat di sekitar Baghdad. 

Lalu khalifah meminta fatwa apakah Mansur Al-Hallaj itu kafir atau Islam? Setelah semua ulama syariat itu bermuafakat di dalam persidangan itu, semuanya memutuskan fatwa bahwa Mansur Al-Hallaj adalah kafir dan wajar dijatuhkan hukuman bunuh ke atas dirinya.

Setelah mendengari fatwa tersebut, khalifah berkata pula, “Aku tidak mahu menjatuhkan hukuman ke atas Al-Hallaj dahulu sebelum aku mendapatkan fatwa dari gurunya sendiri!”

Lalu khalifah pun mengutuskan surat kepada Junaid Al-Baghdadi untuk bertanyakan fatwa bahwa apakah Mansur Al-Hallaj kafir atau Islam? 

Tetapi surat itu tidak dilayani oleh Junaid Al-Baghdadi sehinggalah menyusul surat yang kedua. Surat yang kedua kali pun tidak dijawab, lalu diutuskan surat-surat yang ketiga, keempat, kelima dan keenam langsung tidak dilayani juga oleh Junaid Al-Baghdadi. 

Akhirnya, khalifah mengutuskan surat yang ketujuh yakni surat buat kali terakhir jika Junaid Baghdadi masih tetap tidak mahu menjawab maka khalifah akan mengambil tindakan yang tegas untuk menghukum semua ahli sufi dan mengusir mereka keluar dari Baghdad.

Setelah membaca surat ketujuh dari khalifah itu, setiap malam Junaid Al-Baghdadi bermunajat kepada Allah dan menunggu jawaban dari Allah sendiri. 

Justeru Allah mengilhamkan kepadanya untuk membalas surat khalifah itu dengan menuliskan sepucuk surat balasan, “Jika menurut pada hukum syariat, Mansur Al-Hallaj adalah kafir dan wajar dihukumkan bunuh. Akan tetapi jika menurut dari sudut Haq Allah itu sendiri bahwa Mansur Al-Hallaj adalah benar!”

Sebelum berlangsungnya hari hukuman bunuh, Mansur Al-Hallaj pernah bermunajat kepada Allah, “Kekasih yang kucintai adalah diriku yang kucintai. Diriku yang kucintai adalah Kekasih yang kucintai. Inilah Lembah Thuwa yang membingungkan para pencari-Mu. 

Aku ini tukang bidaah maka semua ulama mahu membunuhku. Mereka tidak tahu rahsia yang aku tahu bahwa Engkau sahaja yang menyembah Engkau. 

Aku bersyukur atas kurniaan-Mu untuk memperlihatkan kepadaku siapakah Engkau sebenarnya sehingga tidak cukup ruang di lidahku untuk membalaskan sebesar-besarnya ucapan syukur kepada-Mu. Aku redha atas hukuman-Mu kerana itu kehendak-Mu dan aku sangat-sangat gembira atas cara kematian yang ingin Engkau perlakukan terhadapku.”

Di tempat hukuman, Al-Syibli sempat bertanyakan kepada Mansur Al-Hallaj tentang tasawuf di peringkat muntahi dan bagaimana seseorang itu boleh mencapainya? 

Jawab Mansur Al-Hallaj bahawa apa yang akan disaksikan sebentar nanti dan bagaimana cara hukuman yang diperlakukan ke atasnya itulah tasawuf di peringkat muntahi. 

Maksudnya ialah mencapai maqam Baqa billah – kekal bersama Allah. Tetapi menurut Al-Hallaj, Al-Syibli belum lagi layak untuk capai ke peringkat itu.

Seketika nyawa Mansur Al-Hallaj bercerai dari badan dan semua bahagian anggotanya yang terpotong itu pun menjerit, “ANA AL-HAQ!”


*Awhaduddin al-Balyani dengan fahaman KeEsaan Wujudnya*

Awhaduddin al-Balyani adalah seorang sufi yang terkenal yang hidup pada abad ketujuh Hijriah bersamaan dengan abad ketiga belas Masehi. 

Beliau adalah seorang sufi yang berpegang kepada doktrin atau fahaman Wahdat al-Wujud (keEsaan Wujud). Sebuah risalah karangan beliau tentang Wahdat al-Wujud ini berjudul 'Risalat al-Ahadiah'.

Beliau ada menyatakan pendapatnya dalam hal Wahdat al-Wujud ini. Misalnya katanya: "Jadilah kamu bekas bagi Allah. Jika kamu tidak menjadi bekas bagi Allah, maka janganlah menjadi bekas bagi diri kamu sendiri; kerana jika kamu tidak menjadi bekas bagi diri kamu sendiri, maka kamu adalah bekas bagi Allah. 

Terus terang saya katakan: "Jadilah Allah". Jika kamu bukan Allah, janganlah jadi diri kamu sendiri. Jika kamu bukan diri kamu, maka kamu adalah Allah." Renungkanlah!.

Al-Balyani metafsirkan kata-kata yang berbunyi: "Man arafah nafsah faqad arafa Rabbah." seperti berikut:

Allah itu tidak bersama atau bersekutu dengan sesiapa dan apa pun; dahulu, sekarang dan akan datang. Ia tidak juga berada di atas, di bawah, dan tidak ada sesiapa dan apa pun yang hampir denganNya atau yang jauh dariNya. 

Tidak ada 'bagaimana', tidak ada 'di mana' dan tidak ada 'bila' tentang Dia. Tidak ada ketika, tidak ada masa, dan tidak ada penzahiran, juga tidak ada tempat berkaitan dengan Dia. 

Dia dahulu sama dengan Dia sekarang. Ia Satu (al-Wahid) tanpa kesatuan (Wahidiyyah). Dia Tunggal (al-Fard) tanpa ketunggalan (al-Fardniyah). Fikirkanlah!

Dia bukan 'nama' atau benda yang dinamakan kerana NamaNya adalah Dia dan benda yang dinamakan pun adalah Dia. 

Tidak ada Nama selepas NamaNya dan tidak ada Nama selain dari NamaNya. Dia Yang Awal, tidak ada sesuatu pun sebelumnya. Dia Yang Akhir, tanpa ada sesuatu selepasnya. 

Sebab itulah NamaNya 'al-Awwal'; 'al-Akhir'; 'al-Zahir' dan 'al-Batin'. Tidak ada Yang Awal, tidak ada Yang Akhir, tidak ada Yang Zahir dan tidak ada Yang Batin, melainkan Dia. Semuanya Dia.

Seterusnya Al-Balyani berkata: "Tidak ada yang melihat Dia kecuali Dia. Tidak ada nabi atau wali atau malaikat yang kenal denganNya. Dia sahaja yang mengenal Dia. 

RasulNya adalah Dia sendiri. NabiNya adalah Dia sendiri. Ia mengutus DiriNya sendiri kepada DiriNya sendiri dengan cara DiriNya sendiri, dari DiriNya sendiri dan kepada DirNya sendiri. 

Tidak ada pengantara atau sebab kedua (secondary causes) kecuali Dia sendiri. Tidak ada perbezaan antara 'yang mengutus', dengan 'yang diutus' dan 'yang menerima utusan'. Kenabian dan kerasulan itu pun Dia sendiri juga.

Berkenaan Hadis yang berbunyi: "Araftu Rabbi bi Rabbi" yang bermaksud "Aku kenal Tuhanku melalui Tuhanku." ataupun "Aku kenal Tuhanku dengan Tuhanku", beliau menjelaskan begini:

Apa yang dimaksudkan disini ialah: "Kamu bukan kamu sebenarnya" tetapi adalah "kamu itu Dia" dan "tidak ada kamu".

Ini bukan bermakna Dia (Tuhan) memasuki kamu atau timbul dari kamu, atau kamu memasuki Dia atau timbul dari Dia. Ini juga bukan bermakna kamu memiliki wujud dan memiliki sekian sifat. Sebaliknya, apa yang dimaksudkan ialah kamu langsung 'tidak wujud', dan 'tidak akan ada wujud', samada oleh diri kamu sendiri atau melalui Tuhan, atau dalam Tuhan ataupun dengan Tuhan.


Janganlah kamu sangka bahawa untuk mengenal Dia, kamu mestilah meniadakan diri kamu (yakni memfanakan diri kamu). Jika kamu anggap memfanakan itu perlu, maka itu bermakna kamu menghijabkan Dia. Dia dilindungi oleh sesuatu yang lain daripada Dia. Ini bererti ada wujud yang lain yang lebih besar daripada Dia dan melindungi Dia hingga tidak kelihatan.

Sebenarnya hijabNya itu tidak lain daripada KeEsaanNya dan KetunggalanNya. Itulah sebabnya sesiapa yang sampai ke tahap Hakikat ini boleh berkata, "Ana al-Haq" (Akulah Yang Sebenar) atau ia berkata, "Subhani" (Maha Suci Aku).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.