Pages

Memaparkan catatan dengan label Ana al-Haq. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ana al-Haq. Papar semua catatan

Rabu, 14 Disember 2016

MELENYAPKAN AKUAN DIRI

MELENYAPKAN AKUAN DIRI

Bagi setiap ahli-ahli thorikat hendaklah tahu bahawa untuk kita menggapai kejayaan maka kita hendaklah menjalani proses-proses melenyapkan akuan diri yang menyebabkan rosaknya pegangan kita terhadap Allah s.w.t kerana akuan diri yang tidak benar atau palsu akan menjatuhkan kita kedalam lembah syirik kepada Allah.

Apakah itu akuan diri?
Akuan diri adalah satu bentuk pegangan yang bersabit dengan kedudukan, pangkat, harta, nama dan darjat (martabat) yang mana bagi mereka ini semua perkara yang bersabit dengan perkara-perkara itu mereka tidak nampak akan adanya Tuhan pada pemilikannya... mereka merasai semua itu hak milik mereka.

Akuan diri yang tidak sewajarnya ini timbul akibat dari perasaan cinta dan kasih kepada dunia yang mengakibatkan gelapnya mata hati mereka dan kesan dari timbulnya perkara-perkara inilah yang menimbulkan akuan diri yang tidak sewajarnya.

Buangkanlah keangkuhan diri yang mendatangkan keakuan yang dapat membinasakan akan hati mu kepada Allah s.w.t, banyak perkara yang perlu kita tahu didalam hidup ini agar kita faham tentang kedudukan keakuan diri yang membinasakan kita ini. Ingatlah hanya akuan Allah sahaja yang dapat di akui oleh sekalian makhlukNya bukan nya akuan kita.

Akuan-akuan diri yang perlu dilenyapkan adalah:

1) Lenyapkanlah perasaan hatimu pada barang yang menyedapkan hati mu.
2)  Lenyapkan fikiran mu pada tumpuan dunia ini.
3) Lenyapkan pandangan mu pada dirimu.
4) Hapuskanlah pergantungan mu pada ilmu mu.
5)  Jauhkan perasaan mahsyur pada amal mu.
6) Buangkanlah sifat ujudmu.
7) Buangkanlah angan-anganmu pada dunia ini

Jika kita dapat melaksanakan perkara-perkara diatas ini maka kau akan dapat mengetahui akan kebesaran Allah s..w.t...................
Maka apabila akuan diri sendiri telah lenyap dan hilang dari perasaan kita maka ia bererti kita telah fana maka setelah itu kita akan dapat menemukan akuan Allah pada kita dan itulah yang sebenar-benarnya akuan yang wajib kita pegangi dan imani iaitu akuan yang datang nya dari Allah s.w.t
لاحول ولا قوة الا بالله العلى العظيم
(Tiada daya dan upaya bagiku kecuali Allah lah yang Maha Tinggi dan Maha Besar)

Manakah akuan Allah pada hakikat kita?
1) Tiada ujudmu yang ada ujudKU.
2) Tiada kuasamu itulah kuasaKU
3)  Tiada kehendakmu itulah kehendakKU
4)  Tiada hidup mu melainkan hidupKU 
5) Tiada pandanganmu melainkan pandanganKU
6)  Tiada pendengaranmu melainkan pendengaranKU
7) Tiada ilmumu melainkan ilmuKU
8) Tiada gerakmu melainkan gerakKU
9)Tiada diammu melainkan diamKU
Tidaklah engkau itu ada akan tetapi AKUlah yang ada pada sekalian yang ada, AKUlah yang zahir dan AKUlah yang batin, sesungguhnya zahirKU batin bagimu dan batinKU rahsia bagimu. Maka pada hakikat yang sebenarnya kita ini tidak ada yang ada itu adalah Allah yang  Maha Esa:
لاموجود بحقيقة الا الله
(Tiada yang maujud sebenar2nya kecuali Allah)

Inilah dalil hakikat bagi kenyataan ini, maka dengan ini kita tidaklah ada apa-apa kecuali Allah lah yang mengawal semua keadaan.
لا تتحرك ذزة ابدا الا بأءذن الله
(Tidaklah akan bergerak satu-satu zarrah selamanya kecuali dengan izin Allah)

Maka inilah sebenar-benarnya akuan yang tidak bercampur dengan syirik jali atau syirik khofi. Ingatlah selagi tidak ada kenyataan atau bukti yang menunjukkan kita sampai kepada akuan ini, maka kita perlulah teruskan amal kita yang dapat membawa kita kepada kenyataan akuan ini, akuan ini bukanlah hanya mainan ucapan lidah sahaja tetapi ia perlukan bukti dan bakti dari kita.

Jangan main-mainkan ucapan-ucapan ini atau akuan ini nanti kau jatuh didalam orang-orang yang sesat lagi menyesatkan dan disesatkan.
Terdapat banyak dikalangan orang-orang kita yang menyatakan akuan Allah padanya sedangkan ia masih lagi dilingkungi dengan akuan diri yang masih lagi di hiasi dengan hawa nafsu. Oleh itu perkara akuan tajalli Allah ini pada kita akan terjadi dengan kehendak Allah yang Maha Agong. Kesamaran inilah yang banyak terjadi pada golongan-golongan ahli thorikat maupun ahli hakikat. Perhatikanlah dengan teliti agar kita tidak menjadi pencampuran antara akuan diri dan akuan Allah pada kita.

Aku yang diakui Allah!!!!!!!

AKU adalah sesuatu yang jernih dan ia terwujud dari diri KU maka DIAlah yang diakui. Inilah dia kedudukan yang diakui oleh Allah kerana AKU itu adalah hakikat kenyataan Allah s.w.t sebagaimana fiirman nya„,,,,
كل روح من امر ربي
Setiap roh itu adalah urusan pekerjaan KU.

Padaku (roh) itulah rahsiaku dan itulah yang menzahirkan akuan haqullah pada tubuh badan melalui kalam, perbuatan dan ittiqod pada diri. Kalimah akuan yang sebenar ini terbit dari ucapan syattoh (terlatah) dari sirna fana yang dialami oleh ahlillah.

Aku ku dan aku mu itu adalah satu jua, jangan adakan dua kudrat padamu kerana kudratmu itu adalah kudratKU, AKU zahir pada ujudKU, dan AKU batin pada rahsiaKU. Engkau tidak wujud melainkan AKUlah yang ujud.

KalamKU adalah zahirnya kalammu waktu terucap... tiadamu padamu akan tetapi adaKU pada zahirKU. AKU adalah AKU inilah akuanKU. AKU yang mengaku akan padaKU, tiada akuanmu padamu kerana akuan mu itu tiada ain ujud akuan itu.

Tiadalah engkau bergerak pada masa engkau bergerak AKUlah yang sebenarnya gerak itu, hanya orang-orang yang buta sahaja yang tidak nampak akan gerak Allah itu. Sesungguhnya gerakmu itu adalah hasil gerakKU yang terjadi ketika bergeraknya dirimu, engkau hanyalah patung wayang sahaja semata-mata tidaklah engkau dapat berbuat apa-apa yang mendatangkan manfaat atau mudarat padamu.

Tiadalah engkau memandang ketika memandang akan tetapi AKUlah yang memandang pada ketika engkau memandang, engkau buta pada dasarnya maka janganlah engkau akui yang engkau melihat akan dengan penglihatanmu itu kerana kau BUTA.

Oleh itu fahamilah akan maksud bagi kata-kata ini janganlah tersalah anggap kerana akibatnya amat-amatlah buruk.
AKU adalah sifat kenyataan bagi Dzatul Haq, padaKU lengkap
dan melengkapi tiadalah yang lain pada ujud ini melainkan kenyataan
ujudKU semata-mata.

Hanyalah Allah s.w.t sahaja yang layak mengaku dan akuan yang terbit dari sifatNYA lah yang terjadi.................
Maka inilah akuanku yang terbit dari akuan Allah.
Tiadalah ujudku pada kenyataanku melainkan ujud Allah lah yang nyata pada ku.
انا الحق
(Akulah yang sebenar)

Jumaat, 10 April 2015

ANTARA MAQAM FANA DAN MAQAM BAQA

ANTARA MAQAM FANA DAN MAQAM BAQA

Ketika Guru Sufi Junaid Al-Baghdadi memerintahkan Mansur Al-Hallaj datang mengadapnya adalah demi menasihatkan agar muridnya itu berhati-hati dari mengucapkan ‘Ana Al-Haq’ kerana ucapan itu boleh menimbulkan fitnah besar. 

‘Ana Al-Haq’ mempunyai dua maksud tersirat yakni kepada Diri Yang Benar atau Diri Yang Sebenar-benar Diri iaitu Wujud Rabbul Izzati yang bernama AKU (bukan Akunya manusia yang diistilahkan kepada roh kerana roh itu hanyalah bayangan yang ditajallikan dari Zat Allah Yang Maha Ada). 

‘Ana Al-Haq’ itu berasal dari kalimat Al-Qur’an iaitu “Lailaha Illa Ana” yang bermaksud “Tiada Tuhan kecuali AKU. AKU atau Ana Al-Haq itu muncul dari DIRI YANG MAHA GHAIB yang disebut Ahadiyat Ghuyub Al-Ghuyub (DIA Yang Tersembunyi atau Batin dalam DiriNya Sendiri tanpa diketahui. 

Setelah DIA Yang Tersembunyi itu keluar dari DiriNya maka DIA pun menyatakan “Ana Allah Lailaha Illa Ana” – “Sesungguhnya AKUlah Allah, Tiada Tuhan melainkan AKU. Justeru apabila DIA menyaksikan ketika itu tiada yang ada kecuali WujudNya sahaja sebagai Ariful Wujud maka DIA pun menyatakan ‘Ila’ lalu menciptakan ‘yang lain’ supaya ada yang bersujud dan beribadah kepadaNya. 

Pertama-tama yang dizahirkanNya adalah Haqiqat Muhammad. Haqiqat Muhammad itu umpama cermin yang membayangkan DiriNya berada di dalamnya itulah AKU – Haqiqat bagi segala Haqiqat atau disebut Jauhar Al-Haqaiq.

Akan tetapi Mansur Al-Hallaj menjawab kepada gurunya Junaid Al-Baghdadi bahwa pengucapan ahwalnya itu memang sukar untuk dikawal. 

Sesungguhnya ada dua orang murid Junaid Al-Baghdadi yang pada ketika itu mengalami ahwal pengucapan ‘Ana Al-Haq’, iaitu Al-Syibli dan Mansur Al-Hallaj. 

Namun pada tanggapan masyarakat Baghdad di zaman itu, apabila Mansur Al-Hallaj yang mengucapkan ‘Ana Al-Haq’ maka dituduh kepadanya seorang yang kafir. 

Sebaliknya pula kepada Al-Syibli bebas dari tuduhan kafir dan menganggapnya sebagai orang yang tidak siuman sepertimana istilah orang Melayu ‘gila isim’. Kenapa?

Ada dua faktor jawabannya di sini. Pertama Al-Syibli yang bebas dari tuduhan kafir adalah disebabkan dirinya di dalam keadaan mabuk spiritual yang keterlaluan hingga menyebabkan hilang seluruh pancaindera kesedarannya. 

Para ulama syariat memfatwakan bahwa orang yang tidak sedarkan diri atau gila semasa mengucapkan Akulah Tuhan adalah tidak bersalah maka tidak boleh dijatuhkan hukuman. 

Akan tetapi apabila Mansur Al-Hallaj yang mengucapkan ‘Ana Al-Haq’ bahwa dirinya masih di dalam keadaan sedar dan terkawal. 

Malahan Mansur Al-Hallaj adalah seorang yang mempunyai daya kematangan intelektual yang tinggi dan penuh kewarasan.

Sebenarnya peringkat yang diduduki oleh Al-Syibli itu adalah baru di maqam fana. Al-Syibli belum lagi terlepas dari maqam fana seperti Mansur Al-Hallaj. 

Sedangkan Mansur Al-Hallaj sudah mencapai maqam Baqa yakni kekal bersama-sama Allah setelah memfanakan dirinya dari sifat kemakhlukan. 

Mansur Al-Hallaj sedar akan apa yang diucapkannya itu tetapi yang menzahirkan ucapan Ana ‘Al-Haq’ itu sebenarnya bukan datang darinya tetapi datang dari Zat Allah itu sendiri yang berada di martabat Wajibal Wujud. 

Martabat Wajibal Wujud ertinya seseorang yang menyedari bahwa dirinya tidak memiliki wujud sebenar maka kewujudannya itu adalah Wujud Zat Allah yang berada di dalam hakikat dirinya maka itulah disebut Wajibal Wujud atau wujud yang tampak nyata adanya. 

Wujud di peringkat rohani disebut Mumkinul Wujud. Wujud di peringkat rahsia disebut Mumta’inul Wujud. Dan Wujud di peringkat makrifat disebut Ariful Wujud.

Selanjutnya Junaid Bagdadi berkata kepada muridnya Mansur Al-Hallaj, “Aku lihat di alam musyahadahku sekeping papan berwarna merah darah. Dan darah itu adalah darah kamu sendiri!”

Mendengarkan ucapan gurunya itu, Mansur Al-Hallaj tersenyum. “Wahai tuan guru, pada ketika itu tuan sendiri telah menanggalkan jubah sufimu dan memakai jubah orang awam!” pintas Mansur Al-Hallaj.

Sebelum Mansur Al-Hallaj ditangkap atas tuduhan telah menyeleweng dari akidahnya, khalifah yang memerintah di masa itu telah menghimpunkan semua ulama syariat di sekitar Baghdad. 

Lalu khalifah meminta fatwa apakah Mansur Al-Hallaj itu kafir atau Islam? Setelah semua ulama syariat itu bermuafakat di dalam persidangan itu, semuanya memutuskan fatwa bahwa Mansur Al-Hallaj adalah kafir dan wajar dijatuhkan hukuman bunuh ke atas dirinya.

Setelah mendengari fatwa tersebut, khalifah berkata pula, “Aku tidak mahu menjatuhkan hukuman ke atas Al-Hallaj dahulu sebelum aku mendapatkan fatwa dari gurunya sendiri!”

Lalu khalifah pun mengutuskan surat kepada Junaid Al-Baghdadi untuk bertanyakan fatwa bahwa apakah Mansur Al-Hallaj kafir atau Islam? 

Tetapi surat itu tidak dilayani oleh Junaid Al-Baghdadi sehinggalah menyusul surat yang kedua. Surat yang kedua kali pun tidak dijawab, lalu diutuskan surat-surat yang ketiga, keempat, kelima dan keenam langsung tidak dilayani juga oleh Junaid Al-Baghdadi. 

Akhirnya, khalifah mengutuskan surat yang ketujuh yakni surat buat kali terakhir jika Junaid Baghdadi masih tetap tidak mahu menjawab maka khalifah akan mengambil tindakan yang tegas untuk menghukum semua ahli sufi dan mengusir mereka keluar dari Baghdad.

Setelah membaca surat ketujuh dari khalifah itu, setiap malam Junaid Al-Baghdadi bermunajat kepada Allah dan menunggu jawaban dari Allah sendiri. 

Justeru Allah mengilhamkan kepadanya untuk membalas surat khalifah itu dengan menuliskan sepucuk surat balasan, “Jika menurut pada hukum syariat, Mansur Al-Hallaj adalah kafir dan wajar dihukumkan bunuh. Akan tetapi jika menurut dari sudut Haq Allah itu sendiri bahwa Mansur Al-Hallaj adalah benar!”

Sebelum berlangsungnya hari hukuman bunuh, Mansur Al-Hallaj pernah bermunajat kepada Allah, “Kekasih yang kucintai adalah diriku yang kucintai. Diriku yang kucintai adalah Kekasih yang kucintai. Inilah Lembah Thuwa yang membingungkan para pencari-Mu. 

Aku ini tukang bidaah maka semua ulama mahu membunuhku. Mereka tidak tahu rahsia yang aku tahu bahwa Engkau sahaja yang menyembah Engkau. 

Aku bersyukur atas kurniaan-Mu untuk memperlihatkan kepadaku siapakah Engkau sebenarnya sehingga tidak cukup ruang di lidahku untuk membalaskan sebesar-besarnya ucapan syukur kepada-Mu. Aku redha atas hukuman-Mu kerana itu kehendak-Mu dan aku sangat-sangat gembira atas cara kematian yang ingin Engkau perlakukan terhadapku.”

Di tempat hukuman, Al-Syibli sempat bertanyakan kepada Mansur Al-Hallaj tentang tasawuf di peringkat muntahi dan bagaimana seseorang itu boleh mencapainya? 

Jawab Mansur Al-Hallaj bahawa apa yang akan disaksikan sebentar nanti dan bagaimana cara hukuman yang diperlakukan ke atasnya itulah tasawuf di peringkat muntahi. 

Maksudnya ialah mencapai maqam Baqa billah – kekal bersama Allah. Tetapi menurut Al-Hallaj, Al-Syibli belum lagi layak untuk capai ke peringkat itu.

Seketika nyawa Mansur Al-Hallaj bercerai dari badan dan semua bahagian anggotanya yang terpotong itu pun menjerit, “ANA AL-HAQ!”


*Awhaduddin al-Balyani dengan fahaman KeEsaan Wujudnya*

Awhaduddin al-Balyani adalah seorang sufi yang terkenal yang hidup pada abad ketujuh Hijriah bersamaan dengan abad ketiga belas Masehi. 

Beliau adalah seorang sufi yang berpegang kepada doktrin atau fahaman Wahdat al-Wujud (keEsaan Wujud). Sebuah risalah karangan beliau tentang Wahdat al-Wujud ini berjudul 'Risalat al-Ahadiah'.

Beliau ada menyatakan pendapatnya dalam hal Wahdat al-Wujud ini. Misalnya katanya: "Jadilah kamu bekas bagi Allah. Jika kamu tidak menjadi bekas bagi Allah, maka janganlah menjadi bekas bagi diri kamu sendiri; kerana jika kamu tidak menjadi bekas bagi diri kamu sendiri, maka kamu adalah bekas bagi Allah. 

Terus terang saya katakan: "Jadilah Allah". Jika kamu bukan Allah, janganlah jadi diri kamu sendiri. Jika kamu bukan diri kamu, maka kamu adalah Allah." Renungkanlah!.

Al-Balyani metafsirkan kata-kata yang berbunyi: "Man arafah nafsah faqad arafa Rabbah." seperti berikut:

Allah itu tidak bersama atau bersekutu dengan sesiapa dan apa pun; dahulu, sekarang dan akan datang. Ia tidak juga berada di atas, di bawah, dan tidak ada sesiapa dan apa pun yang hampir denganNya atau yang jauh dariNya. 

Tidak ada 'bagaimana', tidak ada 'di mana' dan tidak ada 'bila' tentang Dia. Tidak ada ketika, tidak ada masa, dan tidak ada penzahiran, juga tidak ada tempat berkaitan dengan Dia. 

Dia dahulu sama dengan Dia sekarang. Ia Satu (al-Wahid) tanpa kesatuan (Wahidiyyah). Dia Tunggal (al-Fard) tanpa ketunggalan (al-Fardniyah). Fikirkanlah!

Dia bukan 'nama' atau benda yang dinamakan kerana NamaNya adalah Dia dan benda yang dinamakan pun adalah Dia. 

Tidak ada Nama selepas NamaNya dan tidak ada Nama selain dari NamaNya. Dia Yang Awal, tidak ada sesuatu pun sebelumnya. Dia Yang Akhir, tanpa ada sesuatu selepasnya. 

Sebab itulah NamaNya 'al-Awwal'; 'al-Akhir'; 'al-Zahir' dan 'al-Batin'. Tidak ada Yang Awal, tidak ada Yang Akhir, tidak ada Yang Zahir dan tidak ada Yang Batin, melainkan Dia. Semuanya Dia.

Seterusnya Al-Balyani berkata: "Tidak ada yang melihat Dia kecuali Dia. Tidak ada nabi atau wali atau malaikat yang kenal denganNya. Dia sahaja yang mengenal Dia. 

RasulNya adalah Dia sendiri. NabiNya adalah Dia sendiri. Ia mengutus DiriNya sendiri kepada DiriNya sendiri dengan cara DiriNya sendiri, dari DiriNya sendiri dan kepada DirNya sendiri. 

Tidak ada pengantara atau sebab kedua (secondary causes) kecuali Dia sendiri. Tidak ada perbezaan antara 'yang mengutus', dengan 'yang diutus' dan 'yang menerima utusan'. Kenabian dan kerasulan itu pun Dia sendiri juga.

Berkenaan Hadis yang berbunyi: "Araftu Rabbi bi Rabbi" yang bermaksud "Aku kenal Tuhanku melalui Tuhanku." ataupun "Aku kenal Tuhanku dengan Tuhanku", beliau menjelaskan begini:

Apa yang dimaksudkan disini ialah: "Kamu bukan kamu sebenarnya" tetapi adalah "kamu itu Dia" dan "tidak ada kamu".

Ini bukan bermakna Dia (Tuhan) memasuki kamu atau timbul dari kamu, atau kamu memasuki Dia atau timbul dari Dia. Ini juga bukan bermakna kamu memiliki wujud dan memiliki sekian sifat. Sebaliknya, apa yang dimaksudkan ialah kamu langsung 'tidak wujud', dan 'tidak akan ada wujud', samada oleh diri kamu sendiri atau melalui Tuhan, atau dalam Tuhan ataupun dengan Tuhan.


Janganlah kamu sangka bahawa untuk mengenal Dia, kamu mestilah meniadakan diri kamu (yakni memfanakan diri kamu). Jika kamu anggap memfanakan itu perlu, maka itu bermakna kamu menghijabkan Dia. Dia dilindungi oleh sesuatu yang lain daripada Dia. Ini bererti ada wujud yang lain yang lebih besar daripada Dia dan melindungi Dia hingga tidak kelihatan.

Sebenarnya hijabNya itu tidak lain daripada KeEsaanNya dan KetunggalanNya. Itulah sebabnya sesiapa yang sampai ke tahap Hakikat ini boleh berkata, "Ana al-Haq" (Akulah Yang Sebenar) atau ia berkata, "Subhani" (Maha Suci Aku).

Ahad, 28 September 2014

PESANAN SEORANG GURU: "BERIBADATLAH"

PESANAN SEORANG GURU: "BERIBADATLAH"

Sesiapa yang inginkan kemenangan dunia dan akhirat, janganlah dibiarkan masa berlalu dengan penuh kerugian. Jadikan setiap nafasmu nafas ibadah.

Wahai saudaraku,
Setelah engkau memiliki ilmu tiadalah lagi perkara yang penting melainkan beramal dengan ilmu, berilmu tanpa amal adalah binasa. Janganlah engkau berpaling lagi ke belakang, terus sucikan dirimu untuk menghampiri Tuhanmu sehingga terbuka cahaya hatimu dengan ilmu terus dariNya tanpa perantaraan. 

Hatimu akan bersinar dengan cahaya makrifat dan engkau memiliki harta yang amat bernilai, harta yang tiada dijual dimaya ini, tiada dimiliki oleh para jutawan dan para raja, harta yang menyebabkan engkau sentiasa tenang dan tiada mengharapkan apa bantuan dari sekelilingmu. 

Engkau akan diangkat menjadi kekasihNya sehinga segala hajatmu akan dipenuhi, engkau akan dijagaNya sehingga sesesiapa yang menyakitimu akan diisytihar perang ke atasnya. Tiadalah kejayaan yang hakiki melainkan berada dalam taman keredhaan takdirNya, hati yang terang menatap rahsiaNya, hati yang asyik dengan Asma’Nya, hati yang fana dengan kewujudanNya.

Wahai saudaraku,
Apabila engkau benar-benar beramal dan bersungguh bermujahadah dengan penuh keikhlasan, engkau akan dikasihiNya sehingga akan dilimpahkan ke dalam hatimu rahsia di sebalik rahsia. Engkau akan diperlihat hakikat di sebalik syariat, engkau mengenal dirimu dengan pengenalan yang hakiki, bukan diatas hafalan ilmu semata-mata tetapi dengan dzauk dan Penglihatan. Hatimu diberiNya Nur sehingga dengan Nur tersebut akan dapat menyaksikan Rahsia DiriNya. 

Engkau mencapai makrifat denganNya bukan dengan Guru manusia, Dia sendiri yang akan membisikkan pada sirrmu bahawa “ANA AL-HAQ”, maka tenggelamlah engkau dalam makrifat sehingga engkau tiada melihat tiada segala sesuatu melainkan Ia. 

Engkau akan melihat bahawa tiada suatu gerak melainkan gerak dariNya, tiada suatu yang maujud melainkan disana ada wujudNya, engkau akan memahami firmanNya; “Di mana kamu hadap disitulah wajah Allah”, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu adalah fakir disisi Allah”, “Di mana kamu berada disitulah Ia berada” dengan kefahaman yang tiada dimiliki oleh orang biasa.

Tafsiran syariat adalah pembukaan sedangkan pentafsiran hakikat dengan dzauk dan pandangan. Tiada akan sama seorang yang melihat permukaan laut dengan mereka yang menyelam ke dasar laut. Tiada sama mereka yang mengenal diriNya pada permukaan zahir dengan mereka yang menyelam ke dalam lautan rahsia diri. Tiada akan sama dengan seorang yang belajar mengenal Tuhan dengan Guru manusia dengan mereka yang mengenal Tuhan dengan Tuhan sendiri. 

Tiada akan sama mereka yang mengucap La ilaha illaLlah di alam syariat dengan mereka yang mengucapnya di alam hakikat. Tidak akan sama huruf, kalimah dan bunyinya pada alam syariat dengan alam hakikat, tiada akan sama kenikmatan atau kepedihan di alam nyata ini dengan alam hakikat, tiada akan sama orang yang mati hatinya dengan orang yang hatinya sentiasa hidup dan asyik dengan Tuhan dan inilah yang mesti difahami sebagaimana firman Allah “Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tiada ilmu,” “Tiada akan sama orang ahli syurga dengan ahli neraka”.

Wahai para Salik,
Jika engkau bersungguh-sungguh mengamalkan zikir di bawah bimbingan Guru yang telah terbuka baginya rahsia segala alam sehingga telah mencapai kesempurnaan makrifat, engkau akan merasakan perubahan pada rohanimu. 

Ruhmu akan melalui pendakian dari hati yang lalai kepada hati yang hidup mengingati Allah, dari hati yang hidup mendaki kepada hati yang asyik, kemudian mendaki pula kepada hati yang fana dan kemudian mendaki pula (kepada) meminum rahsia makrifat di alam yang tinggi. Nabi saw telah melakukan israk mikraj, membuka dan membelah langit bagi umatnya kepada Tuhannya.

Janganlah menjadi manusia yang bodoh dan lalai, pintu yang yang terbuka perlulah dilalui. Nabi dipimpin oleh malaikat Jibrail menujuNya dan engkau memerlukan Mursyid yang memimpin tanganmu dengan kasih sayang menuju TuhanMu. Kamu dibawa ke alam peleburan diri sehingga tiada kamu temui sesiapapun disitu melainkan DIA SAJA YANG WUJUD. 

Engkau akan memahami kalimah la ilaha illaLlah wahdahu laa syarikaalah dengan kefahaman yang terkunci lisanmu hendak dinyatakan. Engkau juga akan memahami beberapa ramai orang yang tidak mencapai kesempurnaan maqam ini tersilap tafsirannya sehingga ada yang mengaku dirinya Tuhan, mengaku dirinya jelmaam Tuhan, mengaku dirinya dan Tuhan bersatu sehingga ada dikalangan mereka yang meninggalkan syariat. 

Mereka tiada dibuka rahsia dengan sempurna atau pandangan makrifat mereka diserta dengan syaitan atau Jin. Mereka cuba bercakap ilmu para sufi namun mereka gagal dalam menyelami rahsia “ADAM” dan“ MUHAMMAD”. Mereka juga gagal memahami rahsia mufaraqah sebagaimana terpisahnya air laut dengan air sungai atau terpisahnya api dengan asap.

Wahai saudaraku,
Berjalanlah dirimu kepada Tuhan dengan berpakaian syariat, tarekah, hakikat dan makrifat. Syariat itu adalah pakaian Nabi, tarekah itu adalah perjalanan Nabi, hakikat itu adalah batin Nabi dan makrifat itu adalah rahsia Nabi. Berpakaian syariat sahaja tanpa hakikat adalah fasik, hakikat sahaja tanpa syariat adalah zindik. 

Seorang yang berada di alam syariat sahaja adalah masih tertipu kerana apa yang dilihat dan didengar oleh syariat tidak menjamin akan kebenaran hakikat, justeru itu seseorang perlu menyelami lautan hakikat dan tiada cara untuk menghubungkan antara ilmu syariat dan ilmu hakikat melainkan berilmu dan mengamalkan tarekah. Apabila dadamu benar-benar memiliki rahsia ilmu para auliya, engkau akan memahami kenapakah mereka itu amat kuat takut pada Allah, amat kuat berpegang pada syariat, amat wara’ dalam setiap pekerjaan, amat zuhud pada dunia, amat redha dengan takdir Allah, amat kuat ibadahnya, amat baik akhlak jiwanya, amat kuat tawakalnya, amat tinggi syukurnya dan amat tinggi cintanya pada Allah dan Rasul. 

Mereka memiliki penglihatan yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa, ia adalah Nur yang dicampakkan ke dalam dada oleh Tuhannya sehingga tembus penglihatannya pada alam rahsia dan FANA dan BAQA ia dengan kekasihnya. Fahamilah ia rahsia cahaya di sebalik cahaya. Berbahagialah mereka yang mencapainya dan merekalah yang sebenarnya telah mencapai kejayaan hakiki baik dunia atau akhirat.

Rabu, 9 April 2014

Jalan kesufian

Jalan kesufian

Nabi Muhammad s.a.w adalah sebaik-baik penyampai, sebaik-baik pembimbing. Baginda s.a.w berkemampuan menyampaikan menurut tahap akal dan suasana kebatinan seseorang. Ahli falsafah mampu menerima pengajaran baginda s.a.w dan ahli kerohanian juga mampu menerimanya. Orang yang semata-mata bertaklid kepada baginda s.a.w juga mampu menerima pengajaran baginda s.a.w. Apa yang baginda s.a.w ajarkan akan terhunjam ke dalam akal fikiran dan hati nurani seseorang. Kalam yang keluar daripada mulut baginda s.a.w menanamkan pengertian pada akal dan penghayatan pada jiwa. 

Apabila baginda s.a.w mengajarkan ayat-ayat al-Quran, maksud yang sebenar dari ayat-ayat tersebut akan terpahat pada fikiran dan hati sahabat-sahabat baginda s.a.w. Walaupun baginda s.a.w menyampaikan melalui perkataan dan perbuatan tetapi baginda s.a.w juga mampu berkomunikasi secara langsung dengan akal dan hati nurani. Perbuatan dan perkataan baginda s.a.w bertindak sebagai kunci yang membuka tabir hijab yang menutupi akal dan hati. 

Mata akal dan mata hati menjadi celik apabila menerima sentuhan perkataan dan perbuatan baginda s.a.w. Para sahabat yang menerima pengajaran secara langsung daripada baginda s.a.w akan mengalami perubahan dengan mudah, sesuai dengan apa yang baginda s.a.w ajarkan. Sebaik sahaja baginda selesai membaca ayat yang mengharamkan arak maka pada ketika itu juga para sahabat baginda s.a.w membuang tabiat meminum arak. 

Sebaik sahaja baginda s.a.w selesai menyampaikan perintah sembahyang fardu lima waktu sehari semalam, maka pada ketika itu juga para sahabat baginda s.a.w masuk ke dalam arus sembahyang fardu lima waktu sehari semalam. Apabila baginda s.a.w menyampaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramdhan, maka pada bulan Ramdhan tahun itu juga para sahabat baginda s.a.w melakukan fardu puasa. 

Apabila baginda s.a.w melantik wakil-wakil untuk menyampaikan surat-surat kepada semua penguasa umat manusia di sekitar Semenanjung Arab, maka dengan rela mereka menjalankan tugas tersebut tanpa menghiraukan mereka akan dibunuh atau tidak dalam melaksanakan tugas tersebut. 

Apabila baginda s.a.w membacakan ayat tentang Allah s.w.t, maka pada ketika itu juga para sahabat mengenal Allah s.w.t. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w memancarkan nur yang menerangi akal dan hati manusia.

Kebolehan baginda s.a.w yang luar biasa menembusi akal dan hati manusia itu adalah kerana baginda s.a.w dilengkapkan dengan sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah. Baginda s.a.w membawa dan menyampaikan yang benar, tidak menyembunyikan, tidak mengubah kebenaran dan disampaikan dengan penuh kebijaksanaan. 

Apabila datang yang benar maka yang batal akan menyingkir. Cahaya kebenaran yang dipancarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w menghalau kegelapan yang menyelubungi akal dan hati. Kekuatan cahaya kebenaran yang mampu dipancarkan oleh seseorang pembimbing adalah bergantung kepada setakat mana kesempurnaan sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah yang dimilikinya. 

Sifat-sifat tersebut dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w pada tahap kesempurnaan paling tinggi, paling kuat dan paling sempurna. Oleh yang demikian baginda s.a.w meninggalkan kesan yang paling maksima di dalam penyampaian baginda s.a.w. Baginda s.a.w mampu menyampaikan sesuatu perkara dengan menggunakan perkataan paling mudah dan paling ringkas tetapi memberi pengertian yang sangat luas dan kesan yang sangat mendalam kepada pendengarnya. 

Selama baginda s.a.w berdakwah 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah, baginda s.a.w menyampaikan 6,666 ayat al-Quran dan kata-kata baginda s.a.w yang dikumpulkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal berjumlah 40,000, dengan kata-kata yang hanya sebanyak itu selama 23 tahun baginda s.a.w sudah menyampaikan dengan lengkap satu agama yang mencangkupi seluruh kehidupan dunia dan akhirat, yang mampu bertahan sehingga hari kiamat. 

Pekerjaan yang begitu besar dan bidang yang begitu luas baginda sempurnakan dengan tutur-kata yang sangat sedikit. Kemampuan Nabi Muhammad s.a.w itu tidak mungkin dapat dicabar oleh sesiapa pun, walau pada zaman mana sekalipun.

Nabi Muhammad s.a.w, mahaguru yang paling arif, pembimbing yang paling bijaksana, telah mengasuh satu kumpulan kaum Muslimin untuk memikul tugas berat membimbing umat manusia. Para pembimbing yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w merupakan kumpulan pembimbing yang paling baik di kalangan yang melakukan tugas tersebut. 

Setelah Rasulullah s.a.w wafat, matahari yang mengeluarkan cahaya petunjuk mula condong, awan mendung mula berarak, muncullah bayang menghijab perjalanan. Semakin lama Rasulullah s.a.w meninggalkan dunia ini semakin kurang kesan dan pengaruh yang mampu dihasilkan oleh seseorang pembimbing. Orang ramai telah mengalami kesulitan di dalam mendapatkan bimbingan menuju kepada Yang Haq. 

Sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah yang ada dengan orang-orang yang seharusnya menjadi pembimbing sudah sangat berkurangan. Ilmu yang mereka sampai tidak lagi berkemampuan membuka pintu akal dan pintu hati. Dalam keadaan yang demikian orang yang benar-benar mencari Yang Haq hilang keyakinan kepada mereka yang memikul tugas sebagai pembimbing di dalam masyarakat. 

Pencari kebenaran, setelah gagal memperolehi yang di cari melalui ahli ilmu, telah kembali kepada fitrahnya sendiri. Orang yang kembali kepada fitrahnya melihat satu-satunya jalan yang memberi harapan kepadanya adalah memulakan perjalanan seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika dunia diselubungi oleh kegelapan akidah dan akhlak dahulu. 

Orang ini memilih jalan bersendirian, berkhalwat di tempat yang tidak dikunjungi oleh manusia. Walaupun lari dari manusia tetapi orang fitrah itu membawa bersama-samanya pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu al-Quran dan as-Sunah. Di dalam suasana bersendirian itulah dia melakukan amalan yang diajarkan oleh al-Quran dan as-Sunah berhubung dengan bidang perhubungan hamba dengan Tuhan. Dalam suasana yang demikian, tidak ada perhubungan sesama manusia. Aspek ini ditinggalkan.

Jalan fitrah yang diterokai oleh kumpulan manusia yang mengasingkan diri itu menjadi asas kepada jalan yang kemudian hari dikenali sebagai jalan kesufian. Pengasas aliran sufi adalah manusia fitrah yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan kegelapan, kekeliruan dan ketidak-pastian. 

Mereka lari daripada kegelapan, kekeliruan dan ketidak-pastian itu sebagaimana Rasulullah s.a.w lari dari suasana jahiliah dahulu. Manusia fitrah yang tinggal sendirian itu melakukan amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu bersembahyang, berpuasa, berzikir dan lain-lain. Amalan mereka tidak bersalahan dengan syariat, cuma bidang syariat yang ada hubungan dengan orang ramai tidak diamalkan. Amalan cara yang demikian kemudian harinya dipanggil suluk.

Manusia fitrah yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan kegelapan jahiliah akan merasai tekanan dan kegelisahan pada jiwanya. Jalan keluar bagi orang yang seperti ini adalah mengasingkan diri di tempat yang jauh daripada orang ramai dan menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah s.w.t. 

Sebahagian daripada golongan yang memilih jalan mengasingkan diri akan terus menerus berada di dalam keadaan demikian sementara sebahagiannya pula kembali kepada masyarakat setelah rohani mereka mencapai kematangan. Orang yang memasuki jalan bersendirian terus menerus berada pada jalan kesufian dan yang kembali kepada masyarakat adalah orang sufi yang berpindah dari jalan kesufian kepada jalan kenabian. 

Orang yang kembali kepada jalan kenabian lebih sempurna perjalanannya dan dari golongan inilah muncul para pendakwah yang membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t. Kebanyakan sufi yang telah matang kembali kepada jalan kenabian. Abdul Qadir Jilani, Ibrahim Adham, Junaid, Hasan Basri dan ramai lagi merupakan sufi yang kembali kepada jalan kenabian setelah menyempurnakan jalan kesufian. 

Mereka adalah ahli sufi yang mengikuti jalan kenabian. Sufi yang kembali kepada jalan kenabian ini mempunyai keperibadian yang kuat dan percampuran dengan orang ramai tidak lagi memberi tekanan kepada jiwa mereka, malah mereka mampu membimbing orang lain untuk berjalan kepada Yang Haq. 

Bagi orang yang seperti ini pengembaraan pada jalan kesufian merupakan sebahagian daripada latihan memantapkan kerohaniannya bagi melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Golongan tersebut adalah orang yang menjadi pilihan Allah s.w.t dalam menegakkan syariat-Nya di atas muka bumi dan memimpin umat manusia kepada jalan lurus yang sebenarnya.

Peringkat kewalian pada jalan kesufian berbeza dengan peringkat kewalian pada jalan kenabian. Kewalian sufi masuk kepada suasana meninggalkan semua makhluk dan membenamkan ingatan secara terus menerus kepada Allah s.w.t. Kewalian sufi bergerak menghapuskan kehendak diri sendiri dan sifat-sifat kemanusiaan. Sebutan dan ingatan yang terus menerus kepada Allah s.w.t membawa sufi fana diri atau melupakan diri sendiri. Di dalam fana sufi memperolehi jazbah iaitu pengalaman yang berkaitan dengan suasana ketuhanan. 

Setelah melepasi peringkat fana sufi sampai kepada peringkat baqa atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Di dalam menuju baqa, pada peringkat fana yang paling tinggi sufi hilang kesedaran diri sepenuhnya. Wujudnya hilang dari pandangan dan perasaannya. Hanya Wujud Allah s.w.t sahaja yang menguasainya. Pada peringkat tersebut sufi mengalami apa yang diistilahkan sebagai wahdatul wujud, di mana wujud hamba dengan Wujud Tuhan tidak lagi berbeza pada alam perasaan sufi. 

Suasana demikian diperolehi akibat didorong oleh rasa kecintaan kepada Allah s.w.t secara asyik mahsyuk yang bersangatan dan pada masa yang sama kesedaran terhadap diri sendiri hilang. Pengalaman wahdatul wujud menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai mabuk. Sufi hanya melihat kepada Wujud Tuhan, tidak lagi kepada wujud dirinya dan sekalian wujud yang selain Tuhan. Bila kewujudan diri sendiri hilang dari alam perasaan sufi sering mengucapkan perkataan yang diistilahkan sebagai latah seperti pengakuan bahawa dirinya adalah Tuhan atau Tuhan yang menjadi bakat dirinya.

Kebanyakan sufi sangat mementingkan pengalaman bersatu dengan Tuhan. Mereka menjalani latihan yang berat-berat bagi menghilangkan kesedaran terhadap diri sendiri, iaitu mencapai fana dan dikuasai oleh kecintaan kepada Allah s.w.t yang mengasyikkan. Bagi memperolehi yang demikian sufi perlu menghapuskan semua keinginannya, sifatnya dan identiti dirinya secara menyeluruh. Pekerjaan yang demikian sangat berat, perlu dilakukan latihan menindas jasad. Latihan yang merbahaya dan luar biasa terkenal di kalangan para sufi di dalam proses meleburkan kedirian mereka. Latihan yang demikian membawa sufi melupakan dunia dan akhirat.

Orang sufi percaya rohnya adalah Roh yang dari Allah s.w.t, yang suci bersih. Roh yang suci itu dipenjarakan oleh jasad. Sufi berasa berkewajipan membebaskan rohnya daripada penjara jasad dan mencapai tujuan iaitu bersatu dengan Tuhan. Oleh yang demikian sufi mengistiharkan perang terhadap jasad dengan cara menindas keperluan jasad seperti makan, minum, tidur, tutur-kata, pergaulan dan sebagainya. 

Selagi rohaninya tidak bebas dari pengaruh jasad sufi tidak akan berasa aman. Sikap penindasan terhadap jasad ini menimbulkan kegelisahan, kehangatan dan kemarahan di dalam roh haiwaninya yang menghubungkan rohnya dengan jasad. Tindak-balas daripada roh haiwani itu sering menimbulkan sikap kasar dan agressif pada orang sufi, terutamanya bagi mereka yang berada pada peringkat permulaan melatihkan diri. 

Setelah dapat menguasai peringkat roh haiwani sufi akan beransur-ansur menjadi tenang dan kesedaran pancainderanya mengecil sehinggalah hilang terus. Dia mencapai kehampiran dengan Tuhan dan seterusnya memasuki suasana bersatu dengan-Nya. Baharulah sufi merasakan kerihatan daripada jihadnya terhadap jasad.

Jalan yang ditempuh itu menyebabkan sufi gemar kepada yang indah-indah, mendengar suara yang merdu, lagu-lagu kasih, puisi dan cerita-cerita percintaan. Sebahagian daripada para sufi terbawa-bawa kepada berzikir secara menyanyi dan menari sambil diiringi oleh muzik. Keadaan yang demikian menambahkan rasa kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan mengubati kerinduan mereka kepada-Nya. Kerinduan kepada Tuhan sangat menekan jiwa dan menimbulkan kegelisahan yang amat sangat. 

Aktiviti yang mengasyikkan dapat meredakan tekanan dan kegelisahan tersebut. Perjalanan yang demikian menyebabkan timbul sikap kasar dan tidak terkawal di kalangan sebahagian sufi, selama kecintaan kepada Tuhan belum mereka kuasai dan kerinduan kepada-Nya belum terubat. Kerinduan dan keasyikan menyebabkan sufi lupa bukan sahaja kepada diri dan makhluk, malah sering juga terjadi peraturan syariat dan etika moral tidak diambil berat oleh sebahagian mereka. Sebahagian sufi masih melakukan peraturan syariat tetapi semata-mata kerana menghormati syariat Tuhan bukan kerana menghayati peraturan tersebut.

Para sufi yang bersungguh-sungguh dengan latihan kerohanian mereka, setelah memperolehi keasyikan, akan masuk ke dalam suasana kebatinan di mana mereka menyaksikan rupa, bentuk, cahaya dan warna. Pengalaman yang demikian banyak berlaku pada peringkat awal perjalanan sufi. 

Penyaksian yang demikian sangat menggembirakan mereka, menambahkan keyakinan dan semangat untuk maju terus. Oleh kerana penyaksian tersebut terjadi di dalam suasana kebatinan yang ghaib, sufi mudah menghubungkan yang disaksikan itu dengan Allah s.w.t. Timbullah konsep ketuhanan yang tidak jelas dan mengelirukan.

Penghujung jalan para asyikin adalah bersatu dengan Tuhan. Sufi mengalami kefanaan, dirinya hilang dia berkamil dengan Tuhan. Dia dikuasai oleh suasana ketuhanan. Pada peringkat ini sering terjadi ucapan latah seperti: "Ana al-Haq!" Ucapan latah yang meletakkan ketuhanan pada diri itu berlaku kepada sufi ketika kesedaran terhadap diri sendiri hilang lenyap. Suasana yang demikian diistilahkan sebagai mabuk. 

Dalam suasana yang demikian hubungan hati orang sufi dengan Tuhan sangat erat. Dia telah melepaskan segala-galanya demi Tuhannya. Dia telah membuang makhluk dan dirinya demi kecintaannya kepada Tuhan. Gelombang kefanaan yang melanda hati sufi itu mengubah suasana kebatinannya menyebabkan sering muncul keajaiban daripada dirinya, doanya cepat makbul, perkataannya menjadi kenyataan, dia boleh melakukan perkara yang luar biasa seperti berjalan di atas air atau masuk ke dalam api. Hasilnya bertambah teguhlah keyakinannya terhadap apa yang dipegangnya.

Perkara luar biasa yang muncul daripada sufi yang di dalam zauk itu menyebabkan orang ramai menjadi percaya kepada apa yang sufi itu iktikadkan. Sufi yang di dalam kefanaan diri menyaksikan satu wujud lalu memperkatakan mengenainya. Muncullah fahaman wahdatul wujud. Orang ramai yang melihat keajaiban pada sufi itu dengan mudah menerima fahaman wahdatul wujud yang dipegang oleh sufi itu. Sufi membina fahaman wahdatul wujud melalui pengalaman kerohaniannya, melalui penyaksian mata hatinya. 

Dia mengalami sendiri suasana semua wujud hilang dan hanya satu wujud sahaja yang menyata. Orang ramai pula berpegang kepada fahaman wahdatul wujud secara ikut-ikutan, tanpa mengalaminya dan tanpa benar-benar mengerti mengenainya. Pegangan sufi dibentuk melalui pengalaman rasa sementara orang lain pula melalui khayalan dan andaian. Sufi yang berkata atau melakukan sesuatu yang menyalahi syariat, bertentangan dengan perkataan al-Quran dan perkataan Rasulullah s.a.w ketika dia dikuasai oleh hal atau mabuk, boleh dimaafkan kerana dia berbuat demikian tanpa kesedaran. Orang lain yang di dalam kesedaran biasa yang mengikuti orang sufi secara meniru-niru perlu diberi penjelasan bahawa perbuatan mereka adalah sesat dan kufur.

Pengalaman wahdatul wujud adalah umpama bayangan yang muncul akibat awan mendung menutupi sinar matahari. Setelah awan berlalu bayangan pun hilang. Orang sufi yang berjalan terus akan melepasi peringkat bayangan tersebut. Fahaman wahdatul wujud ditinggalkan di belakang dan dia masuk kepada jalan kenabian, berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunah. Kebenaran yang sejati terletak dalam al-Quran dan as-Sunah bukan pada zauk, jazbah dan mabuk. Oleh yang demikian orang sufi yang belum melepasi suasana mabuk dilarang keras bercampur gaul dengan orang ramai dan menyampaikan fahaman yang terbentuk ketika mabuk.