Pages

Rabu, 2 September 2015

Apakah Maksud Kalimah " لا " (nafi) dalam syahdah ?

Apakah Maksud Kalimah " لا " (nafi) dalam syahdah ?
Maksud perkataan nafi dalam istilah bahasa adalah bermaksud tidak, menidakkan, tidak mengaku atau menolak.
Mengikut hukum syarak perkataan "لا " adalah membawa maksud "Nafi" (menolak). Iaitu menolak atau menafikan ujud yang lain selain ujudnya Allah swt semata-mata.
...
Mengikut pengajian ilmu makrifat, perkataan "لا " dalam kalimah syahadah bermaksud menolak adanya sifat yang lain selain Allah. Maksudnya disini bahawa kita menolak segala sifat-sifat yang ada dan sifat-sifat yang nyata dihadapan kita dengan mengaku bahawa sifat yang ada dan yang terzahir dihadapan kita ini, sesungguhnya tidak ada dan tidak wujud, melainkan semuanya adalah wajah Allah.
 
Wujudnya sifat yang lain selain dari sifat sifat Allah swt itu adalah palsu, kosong dan binasa. Sifat wujud hanya ada pada sifat Allah, sifat wujud hanya berlaku dan terjadi pada diri yang Esa Allah swt sahaja. Sifat-sifat yang lain selain dari sifat Allah itu, adalah tidak ada dan tidak wujud (jika wujud sekalipun, ianya cuma bayang). Kalimah "لا " atau kalimah "nafi" adalah sifat yang tidak dikeranakan dengan suatu kerana, iaitu sifat yang tidak bergantung atau menumpang kepada apa-apa dan kepada sesiapa. Sifat yang wujud (ada), ujud (terzahir) dan yang maujud (dijadikan), semua itu adalah merupakan sifat Allah swt, makhlok lain tidak boleh memakai sifatNya.
 
Sifat wujud adalah sifat mutlak bagi Allah, yang tidak boleh terjadi pada makhlok lain selainNya. Diri kita yang terzahir ini, hendaklah dibinasa, dihapuskan dan dimatikan. Nafi dalam ertikata mati sifat, mati perbuatan (perangai) dan mati nama. Mati seluruh jasad anggota diri kita. Bolehlah dikatakan bahawa diri kita ini sebenarnya sudahpun mati, mati dalam wajah Allah swt.
 
Tidak ada sifat makhlok dan tidak ada sifat diri kita, melainkan semua itu adalah milik Allah swt. Makhlok alam dan makhlok manusia seperti diri kita ini sebenarnya tidak ujud (ada), tidak wujud (yang menjadikan) dan tidak maujud (yang dijadikan) sama sekali. Jika wujud sekalipun, anggaplah ujudnya itu seumpama ujudnya bayang-bayang yang bergantung kepada tuan yang empunya bayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.