Pages

Rabu, 24 Oktober 2018

Jiwa Yang Tenang

Jiwa Yang Tenang

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ
ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
فَادْخُلِي فِي عِبَادِي
وَادْخُلِي جَنَّتِي

Wahai jiwa yang tenang . Kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas, dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredhaiNya. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Masuklah ke syurgaKu.

Setiap kali membaca ayat ini hati kita pasti tersentap. Kata-kata lembut dari Allah. Ya Rabb, apakah aku layak menerimanya dihujung usia nanti?

Nafsul mutmainnah, jiwa yang tenang hanya ada pada orang yang memilih jalan yang diredhoiNya. Yang mencari kasihNya dan menebarkan pula kasih sayang terhadap makhluk Allah yang lain.

Jiwa yang tenang... dipenghujungnya nanti disambut Allah kembali kepangkuannya dalam keadaan yang sangat bahagia dan ditempatkan disyurga hingga kekal abadi.

Jiwa yang tenang..... yang selalu dicari manusia tetapi kita selalu tersilap jalan dalm pencarian. Dengan keagungan cinta Ilahi kita masih seperti anak kecil yang sedang ditatih supaya tidak terjatuh.

Yang memimpin kita bertatih adalah Yang Maha Pencipta sendiri. Kita dipimpin penuh kasih, kasih yang lebih besar dari kasih seorang ibu yang memimpin tangan anak kecilnya.

Adakalanya kita terjatuh juga pada saat kita melepaskan diri dari pimpinanNya. Namun Dia masih bersabar dan masih menghulurkan kasihNya untuk kita.  Dia memujuk kita bahawa kasihNya memadamkan segala kemarahanNya asalkan kita mahu kembali kepadaNya.

Semakin kita menghampiriNya, semakin pantas Dia menghampiri kita dan Dia meyakinkan kita dengan kata-kata cintaNya yang abadi,

" Aku berada lebih dekat dari urat lehermu sendiri."

Seolah-olah Allah berbisik ke telinga kita, "Sayang, usah gelisah. Aku ada bersamamu."

Ucapan yang sangat mebahagiakan andaikan kita menghayatinya.

Disaat-saat kita dikasari dunia, kata-kata lembut dari Yang Maha Penyayang itu menjadi penawar yang amat syahdu.

"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas, dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredhaiNya."

Kata-kata itu dari Allah yang sering kita lupakan tersimpan dalam kitabNya yang amat agung. Al Qur'an mukjizat terhebat hadiah dari Allah untuk ummat Muhammad saw. Kita terpilih menerima hadiah itu tetapi kita jarang menghargainya.

Al-Qur'an adalah bicara Allah. Bicara siapa yang lebih hebat untuk dihayati bagi mencari ketenangan kalau bukan bicara suci itu.

Mafhum Surah As Sajda
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.

Allah Maha Adil. Jiwa yang tenang itu diberikanNya kepada setiap insan. Tetapi kerana kealpaan kita menjaga dan menyuburkannya, kita membiarkannya tertanam di bawah, ditindih kuat oleh nafsu amarah. Iblis laknatullah itu zalim. Iblis tidak mahu manusia memilikkinya lalu membantu sang nafsu agar jiwa yang tenang tidak bisa keluar menguasai diri.

Jiwa yang tenang perlu dibantu untuk bangkit kerana ia sedang menderita dihimpit nafsu perosak itu. Nafsu perosak perlu dibuang untuk memberi ruang kepada jiwa yang tenang berada di atas, di tempat yang selayaknya dia berada....dalam minda yang sihat yang sentiasa mencari ilmu penyuluh hidup.

Isnin, 22 Oktober 2018

AHLI ASBAB DAN AHLI TAJRID

AHLI ASBAB DAN AHLI TAJRID
Syarah Kitab Al-Hikam
Syekh Ibnu Atha'illah

KEINGINAN KAMU UNTUK BERTAJRID PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA ASBAB ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR.

SEBALIKNYA KEINGINAN KAMU UNTUK
BERASBAB PADAHAL ALLAH TELAH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA TAJRID BERERTI TURUN DARI SEMANGAT DAN TINGKAT YANG TINGGI.

Hikmat ASBAB menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung kepada amal adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini. Dunia ini dinamakan alam asbab.

Apabila perjalanan hidup keduniaan dipandang melalui mata ilmu atau mata akal akan dapat disaksikan kerapian susunan sistem sebab musabab yang mempengaruhi segala kejadian.

Tiap sesuatu berlaku menurut sebab yang menyebabkan ia berlaku. Hubungan sebab dengan akibat sangat erat. Mata akal melihat dengan jelas keberkesanan sebab dalam menentukan akibat.

Kerapian sistem sebab musabab ini membolehkan manusia mengambil manfaat daripada anasir dan kejadian alam.

Manusia dapat menentukan anasir yang boleh memudaratkan kesihatan lalu menjauhkannya dan manusia juga boleh menentukan anasir yang boleh menjadi ubat lalu menggunakannya.

Manusia boleh membuat ramalan cuaca, pasang surut air laut, angin, ombak, letupan gunung berapi dan lain-lain kerana sistem yang mengawal perjalanan anasir alam berada dalam suasana yang sangat rapi dan sempurna, membentuk hubungan sebab dan akibat yang padu.

Allah s.w.t mengadakan sistem sebab musabab yang rapi adalah untuk kemudahan manusia menyusun kehidupan mereka di dunia ini.

Kekuatan akal dan pancaindera manusia mampu mentadbir kehidupan yang dikaitkan dengan perjalanan sebab musabab.

Hasil daripada pemerhatian dan kajian akal itulah lahir berbagai-bagai jenis ilmu tentang alam dan kehidupan, seperti ilmu sains, astronomi, kedoktoran, teknologi maklumat dan sebagainya.

Semua jenis ilmu itu dibentuk berdasarkan perjalanan hukum sebab-akibat. Kerapian sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan hukum sebab-akibat.

Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam mendapatkan hasil (akibat). Manusia yang melihat
kepada keberkesanan sebab dalam menentukan akibat serta bersandar dengannya dinamakan ahli asbab.

Sistem sebab musabab atau perjalanan hukum sebab-akibat sering membuat manusia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t. Mereka melakukan sesuatu dengan penuh keyakinan bahawa akibat akan lahir daripada sebab, seolah-olah Allah s.w.t tidak ikut campur dalam urusan mereka.

Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya ‘mempertuhankan’ sesuatu kekuatan sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-Nya.

Allah s.w.t tidak suka jika hamba-Nya sampai kepada tahap mempersekutukan diri-Nya dan kekuasaan-Nya dengan anasir alam dan hukum sebab-akibat ciptaan-Nya.

Dia yang meletakkan keberkesanan kepada anasir alam berkuasa membuat anasir alam itu lemah semula. Dia yang
meletakkan kerapian pada hukum sebab-akibat berkuasa merombak hukum tersebut.

Dia mengutuskan rasul-rasul dan nabi-nabi membawa mukjizat yang merombak hukum sebab-akibat bagi mengembalikan pandangan manusia kepada-Nya, agar waham sebab musabab tidak menghijab ketuhanan-Nya.

Kelahiran Nabi Isa a.s, terbelahnya laut dipukul oleh tongkat Nabi Musa a.s, kehilangan kuasa membakar yang ada pada api tatkala Nabi Ibrahim a.s masuk ke dalamnya, keluarnya air yang
jernih dari jari-jari Nabi Muhammad s.a.w dan banyak lagi yang didatangkan oleh Allah s.w.t.

Tujuannya adalah merombak keberkesanan hukum sebab-akibat bagi menyedarkan manusia tentang hakikat bahawa kekuasaan Allah s.w.t yang menerajui perjalanan alam maya dan hukum sebab-akibat.

Alam dan hukum yang ada padanya seharusnya membuat manusia mengenal Tuhan, bukan menutup pandangan kepada Tuhan.

Sebahagian daripada manusia diselamatkan Allah s.w.t daripada waham sebab musabab. Sebagai manusia yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus sebab musabab tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada sebab.

Mereka sentiasa melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau mencabut keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat.

Jika sesuatu sebab berjaya mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya sebagai kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut dan Allah s.w.t juga yang mengeluarkan akibatnya.

Allah s.w.t berfirman:
Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
( Ayat 1 & 2 : Surah al-Hadiid )

Maka Kami (Allah) berfirman:
“Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya.
( Ayat 73 : Surah al-Baqarah )

Orang yang melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t menerajui hukum sebab-akibat tidak meletakkan keberkesanan
kepada hukum tersebut.

Pergantungannya kepada Allah s.w.t, tidak kepada amal yang menjadi sebab. Orang yang seperti ini dipanggil ahli tajrid.

Ahli tajrid, seperti juga ahli asbab, melakukan sesuatu menurut peraturan sebab-akibat. Ahli tajrid juga makan dan minum Ahli tajrid memanaskan badan dan memasak dengan menggunakan api juga.

Ahli tajrid juga melakukan sesuatu pekerjaan yang berhubung dengan
rezekinya. Tidak ada perbezaan di antara amal ahli tajrid dengan amal ahli asbab.

Perbezaannya terletak di dalam diri iaitu hati. Ahli asbab melihat kepada kekuatan hukum alam. Ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t pada hukum alam itu.

Walaupun ahli asbab mengakui kekuasaan Allah s.w.t tetapi penghayatan dan kekuatannya pada hati tidak sekuat ahli tajrid.

Dalam melakukan kebaikan ahli asbab perlu melakukan mujahadah. Mereka perlu memaksa diri mereka berbuat baik dan perlu menjaga kebaikan itu agar tidak menjadi rosak.

Ahli asbab perlu memperingatkan dirinya supaya berbuat ikhlas dan perlu melindungi keikhlasannya agar tidak
dirosakkan oleh riak (berbuat baik untuk diperlihatkan kepada orang lain agar dia dikatakan orang baik), takbur (sombong dan membesar diri, merasakan diri sendiri lebih baik, lebih tinggi, lebih kuat dan lebih cerdik daripada orang lain) dan sama’ah (membawa perhatian orang lain kepada kebaikan yang telah dibuatnya dengan cara bercerita mengenainya, agar orang memperakui bahawa dia adalah orang baik).

Jadi, ahli asbab perlu memelihara kebaikan sebelum melakukannya dan juga selepas melakukannya.

Suasana hati ahli tajrid berbeza daripada apa yang dialami oleh ahli asbab. Jika ahli asbab memperingatkan dirinya supaya ikhlas, ahli tajrid tidak melihat kepada ikhlas kerana mereka tidak bersandar kepada amal kebaikan yang mereka lakukan.

Apa juga kebaikan yang keluar daripada mereka diserahkan kepada Allah s.w.t yang mengurniakan kebaikan tersebut.

Ahli tajrid tidak perlu menentukan perbuatannya ikhlas atau tidak ikhlas. Melihat keihklasan pada perbuatan sama dengan melihat diri sendiri yang ikhlas.

Apabila seseorang merasakan dirinya sudah ikhlas, padanya masih tersembunyi keegoan diri yang membawa kepada riak, ujub (merasakan diri sendiri sudah baik) dan sama’ah.

Apabila tangan kanan berbuat ikhlas dalam keadaan tangan kiri tidak menyedari perbuatan itu baharulah tangan kanan itu benar-benar ikhlas.

Orang yang ikhlas berbuat kebaikan dengan melupakan kebaikan itu. Ikhlas sama seperti harta benda. Jika seorang miskin diberi harta oleh jutawan, orang miskin itu malu mendabik dada kepada jutawan itu dengan mengatakan yang
dia sudah kaya.

Orang tajrid yang diberi ikhlas oleh Allah s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada Allah s.w.t. Jika harta orang miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang tajrid adalah hak Allah s.w.t.

Jadi, orang asbab bergembira kerana melakukan perbuatan dengan ikhlas, orang tajrid pula melihat Allah s.w.t yang mentadbir sekalian urusan.

Ahli asbab dibawa kepada syukur, ahli tajrid berada dalam penyerahan. Kebaikan yang dilakukan oleh ahli asbab merupakan teguran agar mereka ingat kepada Allah s.w.t yang memimpin mereka kepada kebaikan.

Kebaikan yang dilakukan oleh ahli tajrid
merupakan kurniaan Allah s.w.t kepada kumpulan manusia yang tidak memandang kepada diri mereka dan kepentingannya.

Ahli asbab melihat kepada keberkesanan hukum sebab-akibat. Ahli tajrid pula melihat kepada keberkesanan kekuasaan dan ketentuan Allah s.w.t.

Dari kalangan ahli tajrid, Allah s.w.t memilih sebahagiannya dan meletakkan kekuatan hukum pada mereka. Kumpulan ini bukan sekadar tidak melihat kepada keberkesanan hukum sebab-akibat, malah mereka berkekuatan menguasai hukum sebab-akibat itu.

Mereka adalah nabi-nabi dan wali-wali pilihan. Nabi-nabi dianugerahkan mukjizat dan wali-wali dianugerahkan
kekeramatan. Mukjizat dan kekeramatan merombak keberkesanan hukum sebab-akibat.

Di dalam kumpulan wali-wali pilihan yang dikurniakan kekuatan mengawal hukum sebab-akibat itu terdapatlah orang-orang seperti Syeikh Abdul Kadir al-Jailani, Abu Hasan as-Sazili, Rabiatul Adawiah, Ibrahim Adham dan lain-lain.

Cerita tentang kekeramatan mereka sering diperdengarkan. Orang yang cenderung kepada tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan aulia Allah s.w.t tersebut sebagai contoh, dan yang mudah memikat perhatian adalah bahagian kekeramatan.

Kekeramatan biasanya dikaitkan dengan perilaku kehidupan yang zuhud dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Timbul anggapan bahawa jika mahu memperolehi kekeramatan
seperti mereka mestilah hidup sebagaimana mereka.

Orang yang berada pada peringkat
permulaan bertarekat cenderung untuk memilih jalan bertajrid iaitu membuang segala ikhtiar dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya.

Semua harta disedekahkan kerana dia melihat Saidina Abu Bakar as-Siddik telah berbuat demikian. Ibrahim bin Adham telah meninggalkan takhta kerajaan, isteri, anak, rakyat dan negerinya lalu tinggal di dalam gua.

Biasanya orang yang bertindak demikian tidak dapat bertahan lama. Kesudahannya dia mungkin meninggalkan kumpulan tarekatnya dan kembali kepada kehidupan duniawi.

Ada juga yang kembali kepada kehidupan yang lebih buruk daripada keadaannya sebelum bertarekat dahulu kerana dia mahu menebus kembali apa yang
telah ditinggalkannya dahulu untuk bertarekat.

Keadaan yang demikian berlaku akibat bertajrid secara melulu. Orang yang baharu masuk ke dalam bidang latihan kerohanian sudah mahu beramal seperti
aulia Allah s.w.t yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri.

Tindakan mencampak semua yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatnya berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang boleh menggoncangkan imannya dan mungkin juga membuatnya berputus-asa.

Apa yang harus dilakukan bukanlah meniru kehidupan aulia Allah s.w.t yang telah mencapai makam yang tinggi secara melulu.

Seseorang haruslah melihat kepada dirinya dan mengenalpasti kedudukannya, kemampuanya
dan daya-tahannya. Ketika masih di dalam makam asbab seseorang haruslah bertindak sesuai dengan hukum sebab-akibat.

Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya dan harus pula berusaha menjauhkan dirinya daripada bahaya atau kemusnahan.

Ahli asbab perlu berbuat demikian kerana dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih lagi melihat bahawa tindakan makhluk memberi kesan kepada dirinya.

Oleh yang demikian adalah wajar sekiranya dia mengadakan juga tindakan yang menurut pandangannya akan mendatangkan kesejahteraan kepada dirinya dan orang lain.

Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang pada kedudukan sebagai ahli asbab ialah apabila urusannya dan tindakannya yang menurut kesesuaian hukum sebab-akibat tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipan terhadap tuntutan agama.

Dia tetap berasa ringan untuk berbakti kepada Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat duniawi dan tidak berasa iri hati terhadap orang lain.

Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum asbab maka jiwanya akan maju dan berkembang dengan baik tanpa menghadapi kegoncangan yang besar yang boleh menyebabkan dia berputus asa dari rahmat Allah s.w.t.

Rohaninya akan menjadi kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam makam tajrid secara selamat. Akhirnya dia mampu untuk bertajrid sepenuhnya.

Ada pula orang yang dipaksa oleh takdir supaya bertajrid. Orang ini asalnya adalah ahli asbab yang berjalan menurut hukum sebab-akibat sebagaimana orang ramai.

Kemungkinannya kehidupan seperti itu tidak menambahkan kematangan rohaninya. Perubahan jalan perlu
baginya supaya dia boleh maju dalam bidang kerohanian.

Oleh itu takdir bertindak memaksanya untuk terjun ke dalam lautan tajrid. Dia akan mengalami keadaan di mana hukum sebab-akibat tidak lagi membantunya untuk menyelesaikan masalahnya.

Sekiranya dia seorang raja, takdir mencabut kerajaannya. Sekiranya dia seorang hartawan, takdir menghapuskan hartanya. Sekiranya dia seorang yang
cantik, takdir menghilangkan kecantikannya itu.

Takdir memisahkannya daripada apa yang dimiliki dan dikasihinya. Pada peringkat permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian,
sebagai ahli asbab, dia berikhtiar menurut hukum sebab-akibat untuk mempertahankan apa yang dimiliki dan dikasihinya.

Jika dia tidak terdaya untuk menolong dirinya dia akan meminta pertolongan orang lain. Setelah puas dia berikhtiar termasuklah bantuan orang lain namun, tangan takdir tetap juga merombak sistem sebab-akibat yang terjadi ke atas dirinya.

Apabila dia sendiri dengan dibantu
oleh orang lain tidak mampu mengatasi arus takdir maka dia tidak ada pilihan kecuali berserah kepada takdir. Dalam keadaan begitu dia akan lari kepada Allah s.w.t dan merayu agar Allah
s.w.t menolongnya.

Pada peringkat ini seseorang itu akan kuat beribadat dan menumpukan sepenuh hatinya kepada Tuhan. Dia benar-benar berharap Tuhan akan menolongnya mengembalikan apa yang
pernah dimilikinya dan dikasihinya.

Tetapi, pertolongan tidak juga sampai kepadanya sehinggalah dia benar-benar terpisah dari apa yang dimiliki dan dikasihinya itu. Luputlah harapannya untuk memperolehinya kembali.

Redalah dia dengan perpisahan itu. Dia tidak lagi merayu kepada Tuhan sebaliknya dia menyerahkan segala urusannya kepada Tuhan.

Dia menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi ikhtiar, pilihan dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang bertajrid.

Apabila seseorang hamba benar-
benar bertajrid maka Allah s.w.t sendiri akan menguruskan kehidupannya.

Allah s.w.t menggambarkan suasana tajrid dengan firman-Nya:
Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi
Maha Mengetahui.
( Ayat 60 : Surah al-‘Ankabut )

Makhluk Allah s.w.t seperti burung, ikan, kuman dan sebagainya tidak memiliki tempat simpanan makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Allah s.w.t.

Jaminan Allah s.w.t itu meliputi juga bangsa manusia. Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-Nya di dalam makam tajrid ialah Allah s.w.t memudahkan baginya rezeki yang datang dari arah yang tidak diduganya.

Jiwanya tetap tenteram sekalipun terjadi kekurangan pada rezeki atau ketika menerima bala ujian. Sekiranya ahli tajrid sengaja memindahkan dirinya kepada makam asbab maka ini bermakna dia
melepaskan jaminan Allah s.w.t lalu bersandar kepada makhluk .

Ini menunjukkan akan kejahilannya tentang rahmat dan kekuasaan Allah s.w.t. Tindakan yang jahil itu boleh
menyebabkan berkurangan atau hilang terus keberkatan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya.

Misalnya, seorang ahli tajrid yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan kecuali membimbing orang ramai kepada jalan Allah s.w.t, walaupun tidak mempunyai sebarang pekerjaan namun, rezeki datang kepadanya dari berbagai-bagai arah dan tidak pernah putus tanpa dia meminta-
minta atau mengharap-harap.

Pengajaran yang disampaikan kepada murid-muridnya sangat berkesan sekali. Keberkatannya amat ketara seperti makbul doa dan ucapannya biasanya
menjadi kenyataan.

Andainya dia meninggalkan suasana bertajrid lalu berasbab kerana tidak puas hati dengan rezeki yang diterimanya maka keberkatannya akan terjejas.

Pengajarannya, doanya dan ucapannya tidak seberkesan dahulu lagi. Ilham yang datang kepadanya tersekat-sekat dan
kefasihan lidahnya tidak selancar biasa.
Seseorang hamba haruslah menerima dan reda dengan kedudukan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya.

Berserahlah kepada Allah s.w.t dengan yakin bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Allah s.w.t tahu apa yang patut bagi setiap makhluk-Nya. Allah s.w.t sangat bijak mengatur urusan hamba-hamba-Nya.

Keinginan kepada pertukaran makam merupakan tipu daya yang sangat halus. Di dalamnya tersembunyi rangsangan nafsu yang sukar disedari. Nafsu di sini merangkumi kehendak, cita-cita dan angan-angan.

Orang yang baharu terbuka pintu hatinya setelah lama hidup di dalam kelalaian, akan mudah tergerak untuk meninggalkan suasana asbab dan masuk ke dalam suasana tajrid.

Orang yang telah lama berada dalam suasana tajrid, apabila kesedaran dirinya kembali sepenuhnya, ikut kembali kepadanya adalah keinginan, cita-cita dan angan-angan.

Nafsu mencuba untuk bangkit semula menguasai dirinya. Orang asbab perlulah menyedari bahawa keinginannya untuk berpindah kepada makam tajrid itu mungkin secara halus digerakkan oleh ego diri yang tertanam jauh dalam jiwanya.

Orang tajrid pula perlu sedar keinginannya untuk kembali kepada asbab itu mungkin didorong oleh nafsu rendah yang masih belum berpisah dari hatinya.

Ulama tasauf mengatakan seseorang mungkin dapat mencapai semua makam nafsu, tetapi nafsu peringkat pertama tidak kunjung padam. Oleh yang demikian perjuangan atau mujahadah mengawasi nafsu sentiasa berjalan.

Sabtu, 20 Oktober 2018

HUKUM BERUBAT DENGAN PERAWAT ISLAM DAN MEMINTA PERTOLONGAN JIN

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-189 : HUKUM BERUBAT DENGAN PERAWAT ISLAM DAN MEMINTA PERTOLONGAN JIN

Soalan:

Apakah hukum berubat dengan “perawat Islam” dan hukum meminta pertolongan dengan jin?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Isu yang pertama kami cuba bawakan pandangan-pandangan ulama yang berkaitan dengan ruang lingkup perawatan bagi “perawat Islam”. Dalam konteks perubatan alternatif di Malaysia perawat Islam lebih dikenali sebagai seorang yang mengamalkan ruqyah dan terlibat dengan perubatan alternatif atau komplementatif iaitu pelengkap kepada perubatan moden.

Syeikh Jibrin dalam Fatawanya daripada kitab al-Lu’lu al-Makin menyebut:

“Sebenarnya dibolehkan menggunakan ruqyah bagi sesiapa yang baik bacaannya, memahami maknanya, mempunyai akidah yang betul dan melakukan amal perbuatan yang baik serta mempunyai peribadi yang baik. Tidak disyaratkan kepada penjampi (perawat) untuk mengetahui semua permasalahan furu’ (cabang) di dalam masalah agama dan mempelajari ilmu secara mendalam. Hal ini berdasarkan kisah Abu Said yang menjampi orang yang telah sesat disengat binatang berbisa. Beliau berkata: “Kami tidak pernah mengetahui (surah al-Fatihah) sebagai ayat untuk menjampi atau seperti yang termaktub di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Orang yang menjampi mestilah mempunyai niat yang baik dan bertujuan untuk memberikan manfaat kepada orang Islam serta tidak bercita-cita untuk memperolehi harta dan ganjaran agar jampi yang dibaca itu lebih berkesan.” Lihat al-Lu’lu al-Makin (22).

Adapun jika perawat Islam melakukan proses perubatan dengan menjampi pesakit seperti ruqyah atau sebagainya, maka perlulah menuruti syarat-syarat dalam menjampi. Ini kerana untuk membezakan antara ruqyah yang menepati sunnah dengan ruqyah yang bercanggah dengan sunnah:

Kami bawakan di sini tiga syarat yang disebut oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya al-Fath al-Bari, Antaranya menyebut:

“Para ulama telah sepakat tentang kebolehan membuat rawatan jika mengikuti tiga syarat ini:

Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman Allah SWT atau dengan nama-nama dan sifat-sifat-
Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan bahasa arab atau sesuatu bahasa selain bahasa arab yang difahami maknanya.
Menyakini bahawa ruqyah itu tidak memberikan pengaruh dengan sendirinya tetapi hanyalah dengan izin Allah SWT.
Lihat al-Fath al-Bari (10/240)

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah ada menyebut di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa:

“Adapun mengubati orang yang dirasuk jin dengan menggunakan ruqyah dan memohon perlindungan diri kepada Allah SWT hendaklah memiliki dua perkara ini:

Jika ruqyah dan permohonan perlindungan diri ini difahami maknanya, atau merupakan kalimah-kalimah yang dibolehkan dalam Islam, atau berupa doa dan zikir kepada Allah SWT, maka ruqyah tersebut boleh dilakukan. Jika demikian keadaannya, maka boleh membuat rawatan terhadap orang yang dirasuk dan memohon perlindungan diri kepada Allah SWT.
Dalam hadis sahih yang berasal daripada Nabi SAW disebutkan bahawa Nabi SAW membolehkan untuk meruqyah selama mana ianya tidak mengandungi amalan syirik. Baginda SAW juga bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang mampu memberi manfaat kepada saudaranya maka lakukanlah.”

Jika dalam membuat rawatan itu terdapat ungkapan-ungkapan yang diharamkan seperti ungkapan yang mengandungi amalan syirik atau tidak diketahui maknanya dan berkemungkinan mengandungi kekufuran, maka tidak harus membuat rawatan dengannya, tidak boleh berkeinginan dan tidak boleh pula bersumpah untuk menggunakan kalimah tersebut walaupun kadang-kadang dengan menggunakan kalimah tersebut dapat menghalau jin keluar dari tubuh orang yang dirasuk. Ini kerana apa-apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya lebih besar mudaratnya berbanding manfaatnya.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah juga berkata sebagaimana yang disebut di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa (19/13): “Oleh itu, para ulama kaum muslimin melarang membuat rawatan dengan sesuatu yang tidak diketahui maknanya kerana ia dapat menjadi punca terjatuhnya seseorang ke dalam lembah amalan syirik walaupun pengruqyah (perawat) tidak menyedarinya.”

Imam al-Nawawi juga ada menyebut di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim (14/141-142):

“Hendaklah meninggalkan ruqyah jika ruqyah yang dibaca berasal daripada ucapan-ucapan orang kafir, membuat rawatan dengan kalimah-kalimah asing, merawat dengan bacaan selain bahasa arab yang tidak diketahui maknanya. Semua itu tercela kerana ada kemungkinan maknanya adalah kekufuran, mendekati kekufuran atau makruh.

Adapun membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir yang difahami tidaklah dilarang, bahkan merupakan amalan yang sunnah. Para ulama telah menukilkan sebagai ijma’ tentang kebolehan membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir kepada Allah SWT.”

Imam Syauqani berkata: “Bahawa harus meruqyah dengan kitab Allah SWT, dan diikuti dengan zikir dan doa-doa yang ma’thur, boleh juga doa yang tidak ma’thur selagi mana tidak bertentangan dengan yang ma’thur.” Lihat Nail al-Autar (10/440)

Kami juga berpandangan adalah perlu dan seharusnya bagi seorang yang bergelar perawat Islam adalah orang yang sahih dan betul akidahnya, baik akhlaknya, tidak melakukan dosa-dosa besar atau kecil berterusan sehingga menjatuhkan maruah sebagai seorang perawat serta tidak melakukan kesyirikan kepada Allah SWT dan tidak menjadikan khidmat rawatan Islam sebagai sumber rezeki dan seumpamanya.

Berdasarkan pandangan-pandangan ulama di atas, maka jelaslah menggunakan khidmat rawatan daripada perawat Islam hukumnya adalah harus jika sekiranya perawat Islam menggunakan bacaan jampi atau ruqyah dalam perawatannya, maka hendaklah menepati seperti apa yang telah disebutkan di atas dan tidak melanggar syarat-syarat dan prinsip-prinsip dalam perubatan ruqyah dan perbuatan alternatif Islam.

Isu yang kedua ialah berkaitan hukum meminta bantuan pertolongan daripada jin.

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili pernah ditanya: “Adakah harus meminta pertolongan dengan jin muslim? Dan apakah hukum meminta pertolongan dengan jin muslim untuk berkhidmat kepada orang Islam? Dan Apakah hukum meminta pertolongan dengan jin secara umum? Maka Syeikh menjawab: “Haram meminta pertolongan dengan jin walau dalam apa keadaannya sekalipun. Dan perkara ini adalah tercela secara syara’. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

(Surah al-Jin: 6)

Lihat Maqalah Syeikh Dr Abdul Qader bin Muhammad al-Ghamidi bertajuk Hukm al-Isti’anah bi al-Jin fi al-Mubahat (Hukum Meminta Pertolongan Dengan Jin Dalam Perkara Yang Harus).

Sebuah institusi fatwa iaitu Lajnah Daimah ada menjawab di dalam fatwanya apabila ditanya oleh seorang lelaki berkenaan hukum meminta bantuan jin:

“Tidak boleh bagi orang itu meminta bantuan jin, dan muslim tidak boleh mendatanginya untuk mengubati pelbagai penyakit melalui perantara jin, atau (tidak boleh) untuk memenuhi permintaan lainnya dengan cara tersebut. Perawatan melalui doktor yang menggunakan ubat yang diperbolehkan merupakan usaha yang harus dilakukan dan ini selamat dari pembomohan. Dalam riwayat sahih daripada Rasulullah SAW bahawasanya beliau bersabda:   “Sesiapa mendatangi bomoh kemudian menanyakan sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh malam. Diriwayatkan daripada Muslim dalam kitab Sahihnya. Para perawi hadis yang empat (Abu Daud, al-Tirmizi, Nasaei dan Ibn Majah) dan Hakim -- dan yang terakhir ini mengatakan hadis ini sahih -- meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:   “Sesiapa yang mendatangi bomoh (ahli sihir) kemudian membenarkan perkataannya, maka ia telah kufur (ingkar) terhadap apa yang telah diturunkan kepada Muhammad. Lelaki ini dan kawan-kawannya daripada kalangan bangsa jin termasuk dalam golongan tukang ramal dan bomoh, maka mereka tidak boleh diminta bantuan dan tidak boleh dipercayai ucapannya.”

Berdasarkan pandangan-pandangan ulama di atas, maka kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengharamkan meminta pertolongan dengan jin.

Semoga dengan pencerahan ini kita dikurniakan oleh Allah SWT kefahaman dan penjagaan daripada-Nya dari segala keburukkan manusia dan selainnya. Amiin.

HUBUNGI KAMI

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Jabatan Perdana Menteri
Aras 5, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya
No. 3, Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3
62100 Putrajaya, Malaysia.
No. Tel : 03-8870 9000
No. Faks : 03-8870 9101 / 03-8870 9102

Jumaat, 19 Oktober 2018

SENTIASA BERSANGKA BAIK KEPADA ALLAH

SENTIASA BERSANGKA BAIK KEPADA ALLAH

Syeikh Malik adalah seorang ulama dan juga seorang da’i. Ia telah banyak meng-Islam-kan orang-orang. Ia selalu saja berusaha untuk mengenalkan agama Allah kepada orang-orang… Tapi pada suatu hari ia terkena penyakit kulit yang makin lama makin membesar dan mengganggu.

Maka ia pun berubat kepada doktor. Tapi sudah banyak doktor yang ia datangi tapi tak membuahkan hasil sama sekali. Penyakit kulitnya tak kunjung sembuh. Tapi kerana Syekh Malik adalah orang yang faham agama maka beliau selalu saja berprasangka baik kepada Allah…

“Pasti ada kebaikan dalam penyakit ini,” katanya.

Hingga suatu hari seorang muridnya membawa berita bahwa ada seorang pertapa yang mempunyai kelebihan dalam mengubati berbagai macam penyakit… Tapi hal ini mendapat tentangan dari orang-orang. Mereka berpendapat, “Mana mungkin seorang Ulama besar berobat kepada seorang pertapa yang merupakan adalah seorang Ateis(tidak percaya kewujudan Tuhan).”

Tapi Syeikh Malik berpendapat lain, “Saya akan kesana dengan tujuan cuba mengajaknya untuk memeluk Islam, kerana dia adalah seorang yang tersesat,” katanya. “Kelebihan apa yang dimiliki oleh pertapa itu sehingga Allah memberinya kemampuan untuk mengobati orang-orang?” fikir Syeikh Malik.

Maka Syeikh Malik pun mendatangi Pertapa itu… Tapi sang pertapa tidak mengetahui tentang Syeikh Malik. Rupanya tempat tinggal pertapa ini jauh di dalam hutan, di tengah kesunyian hutan. Keadaan pertapa itu sangat sederhana.

Maka mulailah Syekh Malik membicarakan tentang penyakitnya dan pertapa itu meneliti penjelasan Syeikh Malik dengan sangat saksama. Pertapa itu kemudian memberikan beberapa ramuan-ramuan yang terdiri dari daun-daunan pepohonan, kerana telah menjelaskan tentang penyakitnya dan mendapatkan pengubatannya maka mulailah Syeikh Malik mencari tahu tentang pertapa ini dengan tujuan adanya kemungkinan untuk mengajaknya kepada agama Allah.

“Apa yang kamu lakukan di tempat sunyi ini dan kenapa kamu tidak tinggal di kota saja?” tanya Syeikh Malik.

“Saya sangat selesa di sini… suasananya sangat tenang. Sehingga jiwa ini juga jadi tenang,” jawab si Pertapa. “Saya tak ingin merosak hati ini dengan noda-noda kehidupan,” lanjutnya. “Di sini kita hidup dengan santai tanpa harus terburu-buru… semuanya disediakan oleh Alam dan sangat murni,” ceritanya lagi.

“Tapi bukankah kamu dapat menjadi kaya kalau kamu tinggal di kawasan kota… kamu dapat menjadi Tabib?” tanya Syekh Malik lagi.

“Tapi saya tak inginkan itu, saya hanya ingin tenang,” jawab Sang Pertapa.

Setelah bercakap-cakap akhirnya Syeikh Malik balik pulang dengan membawa resepi ubat dari Sang pertapa. Ajaib dengan memakai resepi dari Sang pertapa penyakit kulit Syeikh Malik beransur-ansur Allah sembuhkan.

Dengan kejadian ini maka Syeikh Malik berfikir di dalam hati, “Aneh… Telah banyak para doktor yang kutemui tapi penyakit ini tak kunjung sembuh.” “Tapi mengapa dengan resepi ubat dari pertapa ini Allah telah sembuhkan penyakit ini? Pasti ada sesuatu yang Allah simpan dalam peristiwa ini dan pasti itu baik,” fikir syeikh Malik dalam renungannya

Maka Syekh Malik bertekad untuk menemui pertapa itu kembali.

“Wahai Tuan, resep Anda sangat manjur… Penyakit saya telah sembuh,” kata syeikh Malik ketika menemui Pertapa itu.

“Itu kerana Alam,” katanya.

Maka Syekh Malik mulai terlibat percakapan panjang lebar dengan Pertapa itu sambil mencoba mencari-cari cara untuk mengajak pertapa itu menyembah Allah.

Hingga akhirnya Syeikh Malik betanya, “Apa amalan Anda sehingga Anda mendapatkan berkah ini, pandai mengubati segala macam penyakit?”

Sejenak Pertapa itu terdiam, lalu berkata, “Segala sesuatu yang ditolak oleh hatiku, maka pasti akan kulaksanakan.”

Mendengar hal itu Syeikh Malik terkejut, “Betulkah perkataanmu itu. wahai Tuan?”

“Ya, betul. Apa yang ditolak oleh hatiku maka pasti akan kulakukan.”

Sejenak Syekh Malik terdiam sambil berfikir, “Amalan inilah yang menyebabkan Allah memberinya kemampuan ini.” “Mungkinkah kalau aku menawarinya menjadi seorang muslim hatinya pasti menolak?” fikir Syekh Malik lagi

Spontan Syekh Malik bertanya… “Mahukah Anda menjadi seorang muslim?”

“Apa?” jawab Pertapa itu dengan terkejut.

“Maukah Anda menjadi seorang muslim?” tanya Syeikh Malik lagi tanpa ragu-ragu.

Sejenak pertapa itu terdiam dan menatap Syeikh Malik.... lalu berkata, “Sebentar saya tanya hati ini dulu.”

Syeikh Malik menunggu dengan perasaan harap-harap cemas

Lalu Pertapa itu berkata, “Ya, saya mahu menjadi seorang Muslim.”

“Betulkah, Wahai Tuan?” sahut Syekh Malik.

“Ya… Saya telah bertanya kepada hati ini ternyata ia menolak. Maka apabila hati ini menolak pasti saya mengikutinya,” kata pertapa itu.

“Alhamdulillah…” jawab Syeikh Malik. “Rupanya inilah keinginan Allah sehingga penyakit saya tak sembuh-sembuh dan mengirim saya ke tempat ini. Rupanya pertapa ini akan mendapat hidayah melalui penyakit kulitku,” fikir Syekh Malik dalam hati.

“Lalu di mana saya akan mempelajari Islam?” tanya Pertapa itu.

“Ikutlah denganku, Tuan… Akan kutunjukkan tempatnya.” jawab Syeikh Malik sambil terus mengucapkan Hamdalah kerana seseorang telah menjadi Muslim dan bertuhankan Allah Pemilik Langit dan Bumi…

Semua Kemauan Allah adalah Baik. Tinggal Kita Jalani Sesuai Perintah-Nya.

InshaAllah Kita Akan Dapatkan Hikmah dan Kebaikan di Dalamnya.

A M I N

Roh itu termasuk urusan Tuhanku

Allah SWT berfirman:

وَيَسْــئَلُوْنَكَ عَنِ الرُّوْحِ   ۗ  قُلِ الرُّوْحُ مِنْ اَمْرِ رَبِّيْ وَمَاۤ اُوْتِيْتُمْ مِّنَ الْعِلْمِ اِلَّا قَلِيْلًا

"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja."
(QS. Al-Isra' 17: Ayat 85)

Ayuh kita semua menerokai bahagian pengetahuan kita yang sedikit berkenaan roh itu untuk anda memahami keupayaan rohani anda sendiri yang pada hakikatnya cukup hebat dan seterusnya menyaksikan kemampuan sebenar diri anda yang selama ini terhijab dari pengetahuan anda.