Pages

Khamis, 7 November 2013

RUMAH NAMPAK JALAN TAK TENTU

RUMAH NAMPAK JALAN TAK TENTU


Pengertian kebanyakan orang tentang perkataan diatas ialah diwaktu mendapat kesulitan yang mana dia tidak dapat menyelesaikannya maka dilahirkanlah perkataan tersebut diatas “ rumah nampak jalan tak tentu atau tidak tahu “

Kemana tujuannya yang sebenar perkataan itu ? Biasa tiap tiap orang akan mendirikan rumah sudah tersedia lapangan untuk itu. Dan sebelum rumuah dibuat selamanya ada jalan untuk kelapangan itu dan seterusnya sampai rumah itu selesai jalan selamanya ada dan perlu ada dan dalam hal ini kejadian lain ( pula ) Rumah nampak jalan tentu.

Pastilah ini bukan rumah yang sebenarnya.
Rumah yang dimaksudkan yang penuh mengandung rahsia itu ialah BADAN diri kita.

Bukanlah didalamnya ada aliran atau jalan dan berbataskan bulu dan kulit kita ? Jadi adalah yang dimaksudkan orang yang tahu meninggalkan pepatah itu untuk menjadi buah pemikiran bagi orang dibelakang hari.

Jadi adalah untuk memecahkan Rahsia rumah itu, kita mesti cari jalan untuk memasukkinya. Kita harus mengenal segala sesuatunya yang ada pada kita serta kegunaanya sampai kita dapat mengenal DIRI sendiri. Dan DIRI itulah yang mengandung Rahsia.

Bagaimana ( kah ) jalan atau cara untuk MENGENAL DIRI itu apalagi menguasainya ? Dengan alam fikirankah ? Sanggupkah tenaga alam fikiran kita menemui DIRI itu secara positif ? Kuatkah saraf saraf kita untuk itu ? Tenaga alam fikiran kesanggupannya ialah menghayal, menggambarkan barang yang tidak ada, tapi ada. Ada dalam angan angan dalam cita cita dalam idea, jadi tetap dalam keadaan negatif, sedangkan ilmu pengetahuan mengkehendakki positif, kenyataan atau realiti.

JALAN untuk mengetahui itu letaknya di RASA kerana Rasa itulah yang amat banyak mengandung Rahsia. Dan kalau Rasa yang sebenarnya telah kita perdapat, dengan sendirinya mudah kita memecahkan Rahsianya.

Untuk mendapat RASA yang sebenarnya secara positif kita harus MENEMBUS DINDING yang menutup aliran dari dalam itu. Pada huraian yang sudah ( lalu ) telah diterangkan bahawa didalam batang tubuh kita kita mempunyai dua aliran pada jalan yang sama. Aliran yang berlainan isinya iaitu ALIRAN LAHIR dan ALIRAN BATIN.

Kedua-duanya berdindingkan BULU dan KULIT. Untuk mengetahui ISI tentu kita harus menembus dinding menurut saluran yang telah ada dari dalam.

Kedua aliran ini berisi DAYA TENAGA iaitu yang satu berisikan TENAGA HIDUP dan yang satu lagi berisikan DAYA TENAGA KEHIDUPAN disebab-keranakan adanya YANG MENGHIDUPKAN berada besertanya.

Tenaga Hidup tersebut ialah tenaga mendatang dengan sendirinya dan tidak dapat kita menguasainya sebelum kita dapat mengenalnya dan tenaga kehidupan ialah tenaga lahir yang kita pergunakan setiap hari.

Kehidupan kita didalam penuh berisi dengan pergerakan pergerakan yang bagi kita terjadi dengan sendirinya. Untuk dapat mngetahui perbezaan daya tenaga dari kedua aliran itu, hendaklah kita cuba mencarinya pada badan kita umpama DENGAN MENGADAKAN LATIHAN LATIHAN sampai kita dapat menemuinya.



Yang akan dicari ialah TENAGA YANG TERSEMBUNYI iaitu tenaga yang tidak sanggup kita menguasainya. Kita latih diri kita iaitu DENGAN MEMATIKAN BADAN SEBELUM MATI.



CARANYA ialah dengan duduk tenang, hentikan segala gerak geri kita diluar dan juga gerakan fikiran sehingga yang tinggal dan yang terasa bagi kita ialah GERAK YANG KITA TIDAK SANGGUP KUASAI iaitu GERAK JALAN TURUN NAIKNYA PERNAFASAN kita.



Latihan ini lakukan dan bawalah dengan BERULANG-ULANG sampai kita dapat MENURUTKAN JALAN GERAK PERNAFASAN kita DARI DALAM.


Bagi kita adalah gerak pernafasan itu terjadi dengan sendirinya dan untuk difikirkan dan diperhatikan sampai diketahui HENDAKNYA bahawa ADA SESUATU yang terkandung dalam batang tubuh kita.



Sudahkah kita dapat mengetahui sampai merasakan dan mengakui kepastian bahawa adalah YANG KITA KANDUNG itu ialah yang dinamakan RUH – JIWA – NYAWA dan sebagainya



Pelajarilah keadaan badan diri kita semenjak dari luar sampai kedalam sampai kita menemui apa yang dinamakan orang NYAWA – JIWA – RUH itu. Dan setelah mendapat kepastian baru kita akui akan kebenaran kata kata orang yang berilmu itu. Janganlah hendaknya kita menjadi Pak Turut sahaja.



Kita ingat pada kita sendiri sewaktu dalam kandungan iaitu dalam kejadian dibumi dan alam sempit yang bagi ibu yang mengandung yang hanya merasakan pergerakan didalam sebagai pembawaannya dan untuk ini siibu harus melahirkan supaya kandungan itu menjadi KENYATAAN.



Kita yang tadinya DIKANDUNG setelah terlahir maka kembalikan pula yang terjadi iaitu MENGANDUNG.



Sebagaimana ibu kita mengandung sewaktu kita dikandung maka setelah terlahir sebelumnya kita melahirkan kandungan kita, kita senantiasa sahaja akan MENANGGUNG. Rahsia kandungan ibu kita dilahirkan telah terbuka dengan adanya KITA. Akan tetapi sudahkah kita mengetahui akan RAHSIA KANDUNGAN kita ? Untuk mengetahui tentu kita harus melahirkan kandungan kita itu. Sama-sama mengandung berlainan kandungan dan penanggungan. Rahsia yang pertama yang dilahirkan ANAK dan apa kiranya Rahsia kandungan yang kedua itu ?



Sewaktu kita dalam kandungan tinggal dialam sempit kita tidak pernah mengeluh, tidak tahu apa apa, tidak tahu lapar, tidak tahu menagis tidak tahu kekeurangan, akan tetapi setelah kita berada dialam yang lapang dan luas yang dinamakan DUNIA kita merintih, kita menangis, kita lapar kita dahaga dan sebagainya.


Kenapa kita berasa kekurangan dan sentiasa tidak puas ? Renungkan dalam dalam, cuba balik balikkan fikiran kita kepada sewaktu kita didalam kandungan dan kepada sewaktu diluar kandungan.



Kita telah kehilangan sesuatu iaitu tali penggantungan, tali yang berisikan serba ada untuk kebahagiaan kita. Kita telah kehilangan BAHAGIA dengan terputusnya tali penggantungan kita. Siibu yang mengandung dan menanggung tadi, setelah mendengar akan suara yang dilahirkan tidak dapat melahirkan kegembiraannya sebaliknya sianak yang tidak tahu apa apa setelah lahir berontak mengeluarkan suaranya kerana tali pergantungannya telah putus semenjak tali pusatnya diputuskan.



Putus sudah tali hubungan yang dikandung dengan yang mengandung. Kalau tadinya sibudak dapat makan langsung dari ibunya, maka semenjak itu dia harus menantikan segala sesuatunya dari luar.



Dia harus belajar untuk hidup dan menarik pelajaran dari kehidupannya yang telah dijalaninya. Dan semenjak telah putus tali penggantungan kehidupannya itu, maka terbataslah sudah kehidupannya. Dia harus hidup dengan apa yang ada padanya dan untuk kelanjutan kehidupannya dia harus pelajari itu HIDUP yang ada padanya.



Jadi untuk mengetahui RAHSIA HIDUP itu kita harus melahirkan KANDUNGAN kita itu. Sama- sama mengandung ( tetapi ) berbeza kandungan dan berlainan pula penanggungan. Kandungan yang pertama telah diketahui, iaitu anak. Kandungan yang kedua tidak mungkin anak, kerana seperti telah dikatakan juga berlainan kandungan, letaknya pun berlainan. Kandungan yang pertama letaknya diperut, dirahim ibu dan letaknya yang kedua iaitu bukan diperut melainkan DIDALAM DADA kita.



Mungkinkah kita bisa ( bolih ) melahirkan kandungan kita itu ? Sanggupkah kita melahirkannya untuk mengetahui dan memecahkan Rahsianya ?

Kita kembali ( kepada ) LATIHAN semula iaitu mencari DIRI SENDIRI uang berdiri dengan sendirinya itu.

Setelah kita dapat MENEMUI JALANNYA PERNAFASAN kita yang turun naik itu yang berasal dari dalam, maka DENGAN MEMATIKAN SEGALA TENAGA kita yang ada, kita CUBA MENURUTKAN TURUN NAIKNYA PERNAFASAN kita itu, dengan pengertian kita MULAI MEMAKAI atau MENGGUNAKAN TENAGA DARI DALAM iaitu TENAGA YANG MENYEBABKAN TURUN NAIKNYA PERNAFASAN kita.

Lancarnya latihan kita dan sampai kepada MENINGKATNYA PERGERAKAN yang dibawakan oleh DAYA TENAGA YANG BERASALKAN DARI JALANNYA PERNAFASAN kita bergantung kepada pandainya kita membawakannya. Untuk dapat membawakan sampai mengerti, ialah pandainya kita MENYERAHKAN SEGALA SESUATU apa yang ada pada kita KEPADANYA iaitu pada YANG BERDIRI DENGAN SENDIRINYA itu.

DIA akan bebas bergerak, kalau apa yang ada pada kita teleh dipunyainya dan dikuasainya, dengan pengertian kalau tadinya kita menganggap Dia kepunyaan kita, maka adalah sebaliknya yang terjadi iaitu JADIKAN KITA MENJADI KEPUNYAANNYA.



Setahu kita, DIA telah ada bersama kita dan adalah Dia itu kepunyaan kita, KURNIA atau ANUGERAH yang Maha Esa lagi Maha Besar kepada kita. DIA datang dariNYA dan akan kembali kepadaNYA pula. Dan adalah kedatangannya kepada kita untuk Kesempurnaan Kejadian kita. Dan tidaklah sempurna kita rasanya, kalau kita tidak mengetahui, mengenal dan MENEMUInya.



Adalah DIA langsung dari Yang Maha Esa dan adalah keadaan kita dijadikan dari yang telah dijadikan. Tingkatnya juga lebih tinggi dari kita kerana DIA ASLI ( original ) dan kita dari yang dijadikan, sungguhpun yang menjadikan kita itu Tuhan Yang Maha Esa juga.


Satu ASAL, tetapi berlainan KE-ADA-AN. DIA ada tetapi tiada, kita ada dan nyata, DIA yang telah berada bersama kita, bahkan terkandung didalam batang tubuh kita, kenapa kita tidak dapat menemuinya ? Tuhan telah memberikannya kepada kita untuk HIDUP bukan untuk MATI.


Jadi nyatalah sudah ada KELEBIHANNYA dari kita dan Rahsia Hidup dan kehidupan kita padanyalah LETAKNYA. Dan kalau kita ingin hidup bahagia, tentu DIA MESTI KITA CARI dan KITA TEMUI, seperti telah dikatakan diatas, PADANYALAH TERLETAK RAHSIA HIDUP itu.


Untuk mengetahui dan MENEMUInya tentu lebih dahulu harus kita pecahkan soal antara kita dengan DIA dengan jalan MEMISAHKAN YANG SATU DENGAN YANG LAIN, iaitu antara BADAN dan DIRI atau antara DIA dan AKU.



Latihan yang kita bawakan dengan mematikan badan sebelum mati sebenarnya mendatangkan sudah PERMULAAN PERPISAHAN, kerana dengan perbuatan kita itu maka tinggallah YANG HIDUP.



Perbuatan kita dengan latihan itu ialah kita meninggalkan YANG HIDUP oleh kerana kita hendak mengetahuinya dalam KE – ADA-AN yang sebenarnya. Sebelum kita dapat menemui dan MENGUASAInya kita tidak dapat yang sebenarnya.



Untuk itu hendaklah kita TERUS BERLATIH dan BERLATIH mencarinya SAMPAI ADA PANCARAN KELUAR DARI HUJUNG JARI JARI kita. Dengan telah dapatnya kita MERASAKAN PANCARAN YANG KELUAR DIHUJUNG JARI JARI kita itu beerti DINDING TELAH TEMBUS dan RAHSIA TELAH TERBUKA dan tugas kita ialah MEMPELAJARInya lagi dengan pengalaman pengalaman atau PERCUBAAN PERCUBAAN.



DIA adalah HAKMILIK kita dan tiadalah orang lain berhak atasnya. Kenapa tidak kita pergunakan Hakmilik kita Yang Amat Berharga itu ?

Pendirian kita ( selama ini ) selain SALAH kerana tidak berpegang pada DIRI barang yang hidup, melainkan kepada BADAN barang yang mati. Yang TERANG ada pada kita dan yang GELAP pun ada pada kita. Kenapa berpegang kepada itu yang GELAP ? SIANG ada pada kita MALAM pun ada pada kita.

SIANG adalah TERANG dan Yang Terang adalah DIRI dan MALAM adalah GELAP dan Yang Gelap ialah BADAN. Siterang letaknya DIDALAM dan Sigelap letaknya DILUAR. MASUKKAN itu MALAM kepada SIANG dan MASUKKAN itu SIANG kepada MALAM. Datangkanlah itu YANG HIDUP dari YANG MATI dan YANG MATI dari YANG HIDUP. KELUARKANlah Yang Didalam dan KEDALAMKANlah Yang Diluar.



UNTUK itu REZEKI yang TIDAK TERDUGA-DUGA dan TERBILANG banyaknya yang akan kita PERDAPAT.



Semua orang takut mati kerana SALAH MEMAHAMI HIDUP. Dia takut ditinggalkan Hidup. Dari itu makanya dia takut mati. Mereka mereka SALAH PEGANG, salah tangkapan berpegang pada Yang Mati YANG DIANGGAPnya Yang Hidup



Sebenarnya Hidup, tidak diperdulikannya selama ini. Bagi kita berpegang pada Yang Hidup tidak akan takut mati kerana bagi kita Yang Hidup itu mestilah TIDAK ADA MATInya. Adalah DIA itu KEKAL dan ABADI mungkin BERPINDAH – pindah tempat.



Pembawaan hidup mereka mereka yang seperti itu menuju kepada kematian dan perjalanan hidup yang kita bawakan menuju kepada hidup yang kekal dan abadi untuk kembali kepengkalan.



Perlalanan mereka KEBAWAH ( manakala ) perjlanan kita ( pula ) KEATAS. Mereka MENUJU KEMATIAN manakala kita pula MENUJU KEHIDUPAN YANG KEKAL dan ABADI.



Perjalanan kita BESERTANYA ialah kita telah mati sebelum dimatikan, telah pergi sebelum dipanggil dan AKU telah kembali dari SANA.



AKU telah MENEMUINYA setelah engkau menemui AKU dan BATAS Aku dengan DIA ialah seperti batas antara Engkau dengan Aku iaitu JAUH TIDAK BERANTARA dan DEKAT TIDAK BERBATAS. Engkau yang tadinya DINDING bagiku untuk menghubungi dan MENEMUInya satelah dapat menghubungiku dengan CARA PEMECAHANMU, maka TERBUKAlah JALAN bagiku untuk menghubungi dan menemui NYA, kerana pintu telah terbuka bagiku.



Engkau Aku bawa serta kerana cinta kasih sayangku tertumpah padamu dan adalah ENGKAU ITU BADANKU. Kita tidak akan berpisah kecuali kalau dipisahkan oleh Yang Maha Kuasa. Dari itu KUASAILAH AKU supaya apa yang ada padaku menjadi KEPUNYAANMU.



Bagaimana cara menguasainya ? Mudah sahaja. Cintailah, kasihilah dan sayangilah AKU. Bagimanakah cara mencintai, mengasihi dan menyayanginya ? AKU tidak pinta apa yang tidak ada padamu, cukuplah kalau engakau SERAHKAN APA YANG ADA PADAMU KEPADAKU dan untuk itu akan AKU serahkan pula apa yang ada padaKu sehingga AKU menjadi kepunyaanmu dan engkau menjadi kepunyaanku.



Kedalam Engkau yang berkuasa, keluar AKU dimuka. Tadinya sebelum engkau mengenal Aku maka adalah AKU NYAWAMU. Setelah Engkau telah dapat mengenal AKU, maka tahu Engkau yang bahawa AKU ini sangat berguna padamu. Engkau ketahui bahawa seluruh kehidupanmu BERGANTUNG PADAKU. Setelah Engkau menemui AKU, maka Engkaulah lebih kenal padaku.



AKUlah yang akan menjadi Engkau dan Engkaulah yang akan jadi AKU. AKU dan Engkau sebenarnya SATU dan memang kita satu. Ilmu pengetahuan yang memisahkan kita. Dan AKUlah kita, AKU LUAR dan DALAM.










Selama ini Engkau berjalan sendiri dengan tidak memperdulikan AKU. Sekarang setelah Engkau menemui AKU, apa lagi kita telah menjadi AKU maka kalau Engkau berjalan ikut sertakanlah AKU dan kalau AKU berjalan akan mengikut sertakan Engkau pula. Satu arah, satu tujuan dan satu tindakan. Selama ini kita berjalan pada jalan sendiri – sendiri.



Sekarang kita kenal mengenal satu sama lain. Selapik seketidur, sebantal, sekalang hulu, sehina, semulia, kelurah sama menurun, kebukit sama mendaki, sikit senang sama-sama kita rasai.



Apa yang tidak ada padaKU, ada padamu dan apa juga yang tidak ada padamu ada padaku.



Engkau selama ini sudah jauh berjalan sendiri dengan tidak mengikut sertakan AKU, walaupun Aku sentiasa berada bersamamu. Dalam banyak hal AKU menderita kerana AKU yang merasakannya.



Sekarang AKU berjalan dan Engkau Aku ikut sertakan. Tugasmu hanya menurutkan dan mempelajari hasilnya untuk kita. Engkau yang tadinya tidak tahu setelah mempelajari perjalananku akan banyak mendapat yang Engkau tidak ketahui selama ini.



AKU yang berbuat, Engkau yang melakukan dan hasilnya untuk KITA. Bahagiamu terletak PADAKU dan bahagiaku padamu. AKU sangat merasa bahagia kalau yang AKU perbuat dan lakukan besertamu menghasilkan yang memuaskan.



Lambat laun Engkau akan mengenal AKU yang sebenarnya. Dan adalah perbuatanku bagimu namanya ILMU. Oleh kerana Aku GHAIB sifatnya maka namanya ILMU GHAIB.



Rahsia kandungan telah terbuka dengan hasil dari latihan latihan yang telah kita lakukan iaitu keluarnya pancaran yang terasa betul pada hujung KUKU kita, hujung jari jemari kita. Dan kita telah melahirkan kandungan kita sendiri.


Yang melahirkan kita dan yang dilahirkan kita pula. Kita yang telah terlahir itu ialah DIRI YANG BERDIRI DENGAN SENDIRINYA, bergerak dan berjalan dengan sendirinya, akan tetapi duduk ditempatnya.



Keluarnya dari badan kita melalui saluran saluran tertentu yang bernamakan pancaran yang setelah sanggup menebus alam sendiri akan sanggup pula menembus alam lain, kalau kita telah dapat menguasai dan mengetahui akan RAHSIANYA yang sebenarnya.


Ibu melahirkan kita sebagai seorang manusia lengkap dengan pembawaan dan kelahiran kita mengandung pembawaan itu untuk hidup. Untuk melanjutkan jalannya kehidupan kita supaya dapat menikmati Kebahagiaan Hidup, maka adalah tugas kita melahirkan kandungan kita iaitu pembawaan dari Rahim ibu.



Kebahagiaan hidup yang kita alami di Rahim ibu semasa dalam kandungan ibu ialah dengan hidupnya bonda mengandung atau dengan dua ( 2 ) keadaan hidup, iaitu pertama yang mengandung dan yang kedua yang dikandung.



Sebelum kita dapat melahirkan kandungan kita itu sampai akhir hayat kita, maka senantiasa akan panjanglah jalannya kehidupan kita yang kita rasai, kerana melakukan hidup sendiri. Maka untuk kesempurnaan jalannya kehidupan kita lahirkanlah kandungan sendiri. Kelahirannya mendatangkan HIDUP BARU bagi kita dan seimbangkanlah jalannya kehidupan kita.



Kita telah bertahun-tahun berjalan sendiri-sendiri mengharungi lautan hidup yang tidak bertepi itu. Maka pergunakanlah jalan hidup yang baru kita perdapat itu.



Bila itu HIDUP tidak kita pergunakan tidak perlu disesalkan kalau satu saat nanti kita ditinggalkannya.



Dengan telah melahirkan kandungan itu kita telah menjadi manusia baru dengan tenaga baru.



Dan Yang Hidup itulah pegangan kita. DIA juga telah menjadi kita kerana perjalanannya DIDALAM adalah sepanjang aliran batang tubuh kita. Dengan PENYERAHAN kita yang bulat kepadaNYA maka seluruh keadaan telah dipunyaiNYA dan DIAlah yang menjadi kita.



Jalan yang sebenarnya yang telah kita ketemui iaitu jalan yang bergerak sejak titik didalam sampai menembus alam sendiri. DIA telah lahir. Kelahirannya membawa wajah baru, membuka lembaran baru dan pergunakanlah itu tenaga baru, iaitu tenaga yang selama ini TERSEMBUNYI didalam batang tubuh kita.



Kita tinggalkan jalan yang tidak bererti dan turutkanlah jalan yang BERISI. Jalan yang berisi kita katakan, isinya ialah NIKMAT yang berasal dari NIKMATULLAH yang dikurniakanNYA kepada kita, yang bukan dimurkai dan bukanpula sesat.



……………………………………………………………………………………………………………………………………..



Nota :



Sebahagian muka surat dibuku asal terkoyak maka ada bahagian tertinggal Namun begitu penyalin telah mengolahnya semula



Al-Fakir Abdillah Abdullah Al-Gemasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.