Pages

Ahad, 6 April 2014

Perbezaan Yang Wajib Diimani

Perbezaan Yang Wajib Diimani
Lelaki dan perempuan, menurut kudrat, syari’at, pancaindra dan akal, sangat jelas berbeza. Baik secara fizikal, nilai-nilai mahupun ketetapan syari’at.
Mengapa? Sebab Allah Azza wa Jalla telah menciptakan jenis manusia menjadi dua jenis, lelaki dan perempuan.
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَاْلأُنثَى
Dan bahawasanya Dialah (Allah) yang menciptakan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan. [An Najm : 45].
Keduanya sama-sama berhak menghuni dunia, tetapi menurut pengkhususan masing-masing.
Keduanya sama-sama berhak meramaikan bumi dengan peribadatan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dalam hal ini, secara umum tidak ada perbezaan antara lelaki dan wanita. Tentang tauhid, aqidah, iman, Islam, pahala dan siksa. Begitu juga tentang hak dan kewajiban syari’at secara umum.
وَمَاخَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلإِنسَ إِلاَّلِيَعْبُدُونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. [Adz Dzariyat : 56].
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً
Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik. [An Nahl : 97].
Akan tetapi, Allah Azza wa Jalla juga telah menetapkan takdir bahawa lelaki tidak sama dengan perempuan. Mulai dari bentuk fizikal, gerak-geri sampai kepada sifat-sifatnya.
Dalam diri lelaki ada pembawaan kekuatan fizikal yang lebih sempurna. Sementara pada diri perempuan tidak sekuat lelaki. Sebab perempuan harus mengalami haid, hamil, melahirkan, menyusui, menguruskan anak yang disusuinya dan melakukan pendidikan bagi lahirnya generasi masa depan.
Sebab itulah, mengapa wanita dicipta dari tulang rusuk Adam Alaihissallam. Jadi wanita adalah bahagian dari lelaki, pengikut kepada lelaki dan merupakan nikmat bagi lelaki.
Sementara lelaki mendapat kepercayaan mengurus keperluan wanita, menjaga dan memberikan nafkah kepadanya dan kepada keturunannya.
Perbezaan secara fizikal ini berakibat pada perbezaan kemampuan, baik fizikal, akal, pemikiran, perasaan, kemahuan, pekerjaan mahupun daya kerjanya.
Dari perbezaan dalam banyak perkara di atas, melahirkan sejumlah besar perbezaan hukum syari’at bagi keduanya. Dengan hikmah Allah Yang Maha Mengetahui, ada beberapa perbezaan hukum berkaitan dengan tugas dan kewajipan bagi lelaki dan wanita. Masing-masing disesuaikan dengan keadaannya. Sehingga hidup menjadi sempurna, utuh dan masing-masing dapat melaksanakan tugasnya.
Secara khusus Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan tugas kepada lelaki dengan beberapa hukum yang sesuai dengan fizikalnya, ototnya, kemampuannya, daya kerjanya, kesabarannya, ketahanannya dan kekuatan kerjanya di luar rumah untuk mencari nafkah bagi orang yang ada di dalam rumah.
Sedangkan kepada wanita, Allah Azza wa Jalla memberikan tugas-tugas khusus yang sesuai dengan fizikal, kemampuan, kebolehan, daya kerja dan daya tahan tubuhnya yang lebih lemah. Allah Subhanahu wa Ta'ala juga memberikan sejumlah pekerjaan kepada wanita untuk menyelesaikan urusan-urusan di dalam rumah serta mendidik generasi masa depan yang ada di rumahnya.
Itulah kehendak kauniyah (ketetapan takdir) Allah dalam hal penciptaan dan pemberian anugerah terhadap lelaki dan perempuan. Dari sana, kemudian Allah menetapkan kehendak syar’iyah (ketetapan syari’at)-Nya bagi masing-masing. Maka, bertemulah dua kehendak Allah tersebut bagi kemaslahatan hamba, keramaian dunia, dan teraturnya kehidupan individu manusia, rumah, jama’ah serta masyarakat.
Berikut ini adalah beberapa contoh hukum yang dikhususkan bagi masing-masing lelaki dan perempuan.
Sebagai contoh, hukum yang dikhususkan bagi lelaki, di antaranya: lelaki adalah pemimpin bagi rumahtangganya. Dia bertanggungjawab memelihara, mengawal dan menjaga kehormatan rumah tangganya. Dia harus mencegah dan memberikan perlindungan agar tidak terjadi kehinaan serta kerosakan dalam rumah tangganya. Disamping bertanggung jawab mencari mata pencarian untuk menafkahi semua penghuni rumahnya.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَآأَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللهُ
Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh, ialah yang ta'at kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). [An Nisa’ : 34].
Boleh diperhatikan bagaimana al Qur’an al Karim menggunakan bahasa “tahta (dibawah)” ketika mengukuhkan kepemimpinan lelaki. FirmanNya.
ضَرَبَ اللهُ مَثَلاً لِلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ
Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah (jagaan) dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami.[At Tahrim : 10].
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, “Tahta (berada di bawah jagaan)” merupakan maklumat, bahawa kedua orang perempuan (isteri Nuh dan Luth) itu tidak memiliki kekuasaan apa-apa terhadap suami masing-masing. Kekuasaan justeru hanya ada di tangan suami terhadap isteri masing-masing. Maka, selamanya wanita tidak boleh disamaratakan dengan lelaki, apalagi berada di atasnya.
Contoh lain. Bahawa kenabian atau kerasulan tidak pernah ada, kecuali pada lelaki. Allah Azza wa Jalla berfirman.
وَمَآأَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّرِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ الْقُرَى
Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang lelaki yang kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. [Yusuf : 109].
Para Ahli tafsir menerangkan ayat di atas : Allah tidak pernah mengutus seorangpun nabi perempuan, malaikat, jin atau orang badui.
Contoh lain lagi. Bahawa perwalian umum atau kuasa perwalian umum, seperti dalam pengadilan, surat-surat kuasa dan semua perwalian lainnya seperti wali nikah, tidak boleh terjadi kecuali bagi lelaki.
Lelaki juga diberi pengkhususan dalam banyak persoalan ibadah yang tidak diberikan kepada wanita. Misalnya, kewajipan berjihad, solat jum’at, solat berjema’ah, adzan, iqamah dan lain-lain. Urusan talak juga berada di tangan lelaki, bukan ditangan perempuan. Demikian pula, anak-anakpun dinasabkan kepada bapaknya, bukan kepada ibunya.
Lelaki memiliki hak yang berlipat ganda dibanding wanita dalam hal waris, diyat (ganti rugi jenayah), persaksian, pemerdekaan budak dan aqiqah.
Hukum-hukum khusus bagi lelaki yang disebutkan di atas mahupun hukum-hukum khusus lainnya, sebagaimana yang dimaksudkan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala.
وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [Al Baqarah : 228].
Sedangkan hukum-hukum yang khusus dikenakan kepada wanita cukup banyak. Terdapat dalam bab-bab ibadah, mu’amalah, pernikahan beserta kaitan-kaitannya, peradilan dan lain-lain. Itu semua sudah diketahui jelas dalam Al Qur’an, Sunnah serta kitab-kitab fiqh. Bahkan banyak yang dibukukan secara tersendiri, semenjak dahulu hingga kini. Di antaranya berkaitan dengan hukum hijab (tutup aurat) dan dengan pemeliharaan terhadap kehormatannya.
Hukum-hukum yang dikhususkan oleh Allah bagi masing-masing lelaki dan perempuan ini memberikan beberapa kesimpulan. Di antaranya tiga perkara berikut :
Pertama : Wajib mengimani dan menerima perbezaan-perbezaan yang ada antara lelaki dan perempuan, baik secara fizikal, nilai-nilai mahupun ketetapan-ketetapan syari’at bagi masing-masing. Semua pihak harus rela menerima ketetapan takdir dan ketetapan syari’at yang ditentukan untuk masing-masing. Dan harus meyakini, bahawa perbezaan-perbezaan ini merupakan inti keadilan itu sendiri. Di dalamnya terdapat keteraturan hidup masyarakat manusia.
Kedua : Seorang muslim atau muslimah tidak boleh mengangan-angankan (irihati terhadap) pengkhususan yang ada pada pihak lain. Kerana bila demikian bererti ia murka terhadap takdir Allah, dan tidak rela terhadap ketentuan hukum serta syari’at-Nya.
Malah semestinya ia mensyukuri kurnia Allah. Sebab, hal ini merupakan adab syari’at yang dapat menghilangkan hasad dan membersihkan jiwa wanita mukminah. Juga untuk menghiasi peribadinya dengan sikap redha menerima takdir dan ketentuan Allah Azza wa Jalla. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman.
وَلاَ تَتَمَنَّوْا مَافَضَّلَ اللهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَسْئَلُوا اللهَ مِن فَضْلِهِ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. [An Nisa’ : 32].
Sebab turunnya ayat ini sebagaimana diriwayatkan oleh Mujahid. Dia mengatakan, bahawa Ummu Salamah berkata, ”Wahai Rasulullah, apakah kaum lelaki berperang, sedangkan kami tidak berperang? Kamipun hanya memperoleh warisan separuh dari kaum lelaki?” Maka turunlah ayat di atas.
وَلاَ تَتَمَنَّوْا مَافَضَّلَ اللهُ….
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikuniakan Allah...[Diriwayatkan oleh Ath Thabari, Imam Ahmad, Hakim dan lain-lain].
Abu Ja’far Ath Thabari rahimahullah mengatakan, “Maksud Allah Azza wa Jalla dalam ayat di atas, "‘janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain". Disebutkan, bahawa ayat itu turun berkaitan dengan wanita yang menginginkan kedudukan lelaki, dan menginginkan apa yang diperoleh lelaki. Maka, Allah melarang hamba-hambaNya agar jangan berangan-angan dengan hal-hal yang batil. Sebab angan-angan seperti itu akan mengakibatkan berlakunya dengki dan melampaui batas, tanpa alasan yang benar.”
Ketiga : Jika angan-angan (iri hati) ini saja dilarang -berdasarkan nash Al Qur’an- apalagi mengingkari adanya perbezaan-perbezaan antara lelaki dan perempuan. Kemudian menyerukan agar perbezaan-perbezaan itu dibuang, menuntut persamaan dan mendakwahkannya atas nama persamaan hak antara lelaki dan wanita.
Tentunya, ini merupakan pandangan atheisme. Sebab, di dalamnya terdapat penentangan terhadap kehendak Allah, baik kehendak kauniyah (ketetapan takdir) maupun kehendak syar’iyah (ketetapan syari’atNya), berkaitan dengan perbezaan-perbezaan antara keduanya, secara fizikal mahupun nilai-nilai. Bererti juga membuang ajaran Islam perihal nash-nash syari’atnya yang qath’i tentang perbezaan-perbezaan itu.
Bila saja persamaan ini terjadi dalam semua sisi hukum, padahal secara fizikal mahupun kemampuannya berbeza, bererti terjadi keterbalikan fitrah. Tentu saja hal tersebut merupakan kezaliman itu sendiri, baik bagi yang memiliki kelebihan maupun yang lemah. Bahkan, merupakan kezaliman bagi kehidupan masyarakat secara umum. Sebab, bererti menginginkan perolehan hasil lebih bagi yang memiliki kemampuan lebih. Sebaliknya, akan sangat memberatkan bagi yang lemah, di luar batas kemampuannya.
Kezaliman seperti itu tidak pernah akan terjadi walaupun hanya seberat biji sawi, dalam syari’at Allah Yang Maha Bijaksana.
Dengan demikian wanita dalam naungan hukum-hukum Allah yang luar biasa indah ini, sesungguhnya terjamin keibuannya, kesenangannya mengatur urusan rumah tangganya dan keleluasaannya membangun generasi umat mendatang di dalam rumahtangganya.
Mengapa akal para penuntut kesamarataan itu sangat dangkal pemikirannya. Seperti katak dalam tempurung saja. Tidak mengerti betapa luas dan indahnya selok-belok syari’at Islam. Allahu al musta’an.
Oleh: Syeikh Bakar Abu Zaid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.