Pages

Selasa, 3 Jun 2014

Mari kita kenali Rasulullah SAW melalui bentuk fizikalnya sepertimana yang disampaikan kepada kita

Tak kenal maka tak cinta. Mari kita kenali Rasulullah SAW melalui bentuk fizikalnya sepertimana yang disampaikan kepada kita
Rasulullah SAW termasuk di dalam golongan manusia yang paling hebat wajahnya. Kata Saidina Ali RA yang bermaksud
“Barangsiapa yang baru melihat Nabi Muhammad SAW, nescaya akan timbul perasaan gentar kerana kehebatannya. Tetapi apabila sudah lama bergaul dengannya akan timbul perasaan kasih dan sayang kepadanya”.
Selain itu Nabi Muhammad SAW seorang yang kacak rupa parasnya. Kekacakkan baginda SAW kerana mengikut wajah datuknya Nabi Adam AS dan juga Nabi Ibrahim AA. Hal ini diakui sendiri Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud
“Aku sangat serupa dengan Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Tetapi antara kedua-duanya agak jauh sedikit perbezaannya”.
Maksudnya, rupa paras Nabi Muhammad SAW sangat mirip seperti Nabi Adam AS dan Nabi Ibrahim AS tetapi rupa paras Nabi Adam AS dan Nabi Ibrahim AS agak jauh berbeza antara keduanya.
Di kalangan sahabat yang mirip wajah Nabi Muhammad SAW ialah Jaafar bin Abi Talib RA yang juga sepupu baginda SAW, selain daripada Hassan bin Ali RA iaitu cucu baginda SAW, anak kepada Fatimah az-Zahrah RA. Selain itu datuk kepada Imam Syafie yang bernama as-Saib bin Abu Yazid. Inilah antara insan-insan yang mempunyai wajah yang mirip dengan Rasulullah SAW.
Diriwayatkan bahawa bentuk wajah Nabi Muhammad SAW berupa bujur sirih, kulit wajahnya putih berseri, licin, tiada sedikit pun berbintik-bintik apatah lagi jerawat. Barangsiapa melihat wajah baginda SAW akan merasa terpesona dan merasa tidak puas.
Bentuk kepala baginda SAW cukup menarik, seimbang dengan saiz wajahnya. Dahi baginda SAW luas, melambangkan seorang yang bijak, luas fikiran dan tajam akalnya. Rambut Nabi Muhammad SAW tidaklah lurus seperti rambut Nabi Isa AS dan tidak pula kerinting seperti rambut orang Habsyi. Tetapi rambut baginda SAW ikal berombak, hitam dan sangat lebat. Panjangnya sehingga ke paras bahu, manakala di sebelah sisi mencecah ke cuping telinga sahaja.
Pada mulanya Nabi Muhammad SAW menyikat rambutnya dari depan ke belakang. Tetapi kemudian baginda SAW mengubah cara dengan menyikat di belah tengah kepalanya. Ketika usia baginda SAW meningkat, baginda SAW juga beruban tetapi tidaklah banyak. Kata Anas bin Malik RA yang bermaksud,
“Aku tidak menghitung dari kepala Rasulullah SAW dan janggutnya kecuali empat belas helai rambutnya yang berwarna putih”
Pernah seorang sahabat iaitu tukang bekam baginda SAW mahu mencabut uban di kepalanya, tetapi di larang oleh baginda SAW sambil bersabda,
“Barangsiapa yang tumbuh uban di kepalanya sedang dia dalam keadaan Islam maka baginya cahaya di hari kiamat”
Kening baginda SAW amat cantik dan berkeadaan melengkung serta hampir-hampir bersambung di tengah-tengahnya. Manakala bulu mata baginda SAW tebal dan lentik, sangat menawan apabila dipandang. Telinga Nabi Muhammad SAW tidak terlalu lebar dan dan tidak pula kecil. Pendek kata semua anggota wajah dan muka Nabi Muhammad SAW sangat sempurna keindahannya.
Hidung baginda SAW mancung dan mulutnya nipis, cantik dan menarik. Apabila baginda SAW tersenyum terpapar wajah baginda SAW yang indah, manis dan ceria. Pipi baginda SAW lurus sahaja, tidak membonjol atau mencengkung. Gigi baginda SAW teratur rapi, putih dan bersih tetapi tidaklah terlalu rapat sehingga menyukarkan baginda SAW membuang sisa makanan yang melekat.
Nabi Muhammad SAW tidak suka misai yang terbiar sampai menutupi bibir. Misai yang menutupi bibir adalah amalan penganut agama majusi. Leher baginda SAW jinjang sungguh menawan, kemas dan tegak. Dadanya luas dan lebar mempamerkan kesegakkan. Pada kedua-dua bahu baginda SAW berotot gagah seperti seorang pembina badan. Pinggang baginda SAW ramping, punggungnya pula lebar dan berisi, dihiasi dengan tumit yang kecil serta telapak kaki yang melengkung.
Perut baginda SAW rata, tidak buncit seperti perut orang yang banyak makan. Jari tangan dan kaki baginda SAW panjang. Kulit badan baginda SAW putih kemerah-merahan. Demikianlah keadaan fizikal Nabi Muhammad SAW yang begitu sempurna.
Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.