Sebenarnya ramai orang awam termasuk para ulamak fekah menentang dan tidak bersetuju dengan ilmu mertabat tujoh ini. Namun di kalangan ahli hakikat dan makrifat perkara ini adalah sesuatu yang dapat di alami sendiri untuk mengesahkannya secara haqqul yaqin.
Oleh itu, jangan salahkan ulamak-ulamak hebat kita yang dulu seperti Sh. Nafis al-Banjari atau Sh. Abdul Samad al-Palembangi atau Sh. Abdul Rauf al-Singkili , Sh. Hamzah al-Fansuri dan lain-lain , hanya kerana berdasarkan ilmu itu "tidak ada" pada zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat r.a mahupun tabiin (rah.). Ini kerana ilmu ini adalah hasil dari keyakinan yang mendalam dan para sahabat r.a dan tabiin (rah) dapat mencapainya secara jalan kasyaf terus tanpa belajar.
Itulah kekuatan cahaya Rasulullah s.a.w sehingga para sahabat r.a dari segi taraf melebihi makam wali qutb . Bagaimana kalau saya katakan bahawa ilmu ini adalah ilmu epistemologi ( asal usul kejadian kita) - ia bukan ilmu yang baru , tetapi huraian lebih perinci.
Para sahabat r.a pastinya merupakan golongan yang "mengenal diri dan mengenal Allah dengan sebenar-benar kenal " . Itu sebab mereka dapat berzuhud serta menjadi hamba Allah yang sejati.Kita hari ini kurang mendapat cahaya itu dan oleh itu harus belajar dari perincian dan huraian mereka yang sudah menempuh jalan ini. Mertabat tujoh adalah sebuah penafsiran terhadap makna "enam masa" ayat Quran iaitu surah Al- ‘Araf 7 :54:
"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam."
Dan seterusnya ayat-ayat berikut tentang "enam masa" itu : 10:3 , 11:7, 25:59 , 32:4, 50:38 dan 57:4 ( 7 ayat semuanya!).
Dalam tareqat Chistiyyah huraian tentang "enam masa" itu dipanggil Tanazzulat Sittah atau Mertabat Enam , tetapi tak mengapa jika huraian yang lebih perinci menjadikannya 7 sebagaimana juga ada tareqat yang menghuraikan Lathaif ada 5 ada pula yang menghuraikannya kepada 7.
Jadi, mereka yang "menentang" malah memperkecilkan ilmu mertabat 7 ini sebenarnya meremehkan ayat -ayat Quran ini. Malah sebahagian tareqat juga menjadikan ilmu mertabat 7 ini sebagai huraian kepada surah al-Ikhlas ( 4 ayat ) tetapi dihurai secara 7 alam , daripada alam keDiaan (HU Ahad) kepada alam insan ("ahad" juga, tetapi bermaksud tunggal /unggul seperti yang dibuktikan dengan cap jari dan DNA).
3 alam/martabat yang awal iaitu ahadiyah, wahdiyah dan wahidiyah merupakan martabat alam qadim dan tidak boleh difikirkan secara rasional. Malah setahu saya seseorang manusia hanya paling boleh mengalami peristiwa "ke belakang" dengan kebenaran Allah (biiznillah) sampai ke alam "alastu birobbikum" saja dan tidak boleh ke belakang lagi (contohnya ke alam Nur Muhammad) .
Mereka yang membenci atau tak suka ilmu mertabat tujoh tak apa. Mereka mungkin hanya dapat mentauhidkan Allah secara af'alNya , atau secara asma'Nya , tetapi tidak dapat mentauhidkan secara ZatNya - sebab ilmu mertabat tujoh bermula dengan La'taayun dalam alam Ahadiyah ( Qulhu wallahu AHAD) - alam keEsaan , di mana "hanya Dia yang wujud".
Senang cerita, jika kita tak tahu jalan pergi (untuk sampai ke alam ini) tak mungkin kita tahu jalan pulang (untuk kembali kepada Dia -Zatul Haq). Itu sebabnya belajar ilmu Mertabat Tujoh itu amat penting ! Kalau tak tahu "innalillah" bagaimana nak "wainna ilaihi raji'un" ? Lain dengan orang dulu yang dapat ilmu ini secara makrifat , langsung dari cahaya Rasulullah s.a.w dan cahaya para sahabat r.a, sedang kebanyakan kita terperangkap dalam ilmu syariat dan tidak "terbuka" untuk masuk ke ilmu tareqat , hakikat dan makrifat.
Masalahnya , kita hendak "bertaraqqi" kepada Allah bukan "esok" bila kita sudah meninggal dunia atau bila di hari Akhirat (selepas Kiamat) tetapi setiap kali bersolat. Malah bagi yang berkemampuan pada bila-bila masa yang diperintahkan . Kalau tak tahu jalan pergi, bagaimana nak tahu jalan pulang?
Bukankah angka 7 itu sudah memberi satu gambaran bahawa kita harus "merentasi" tujoh petala langit (untuk sampai ke Singgahsana Arsy) dan mungkin tujoh petala bumi juga untuk mengenal jenis makhluk yang merupakan musoh-musoh orang yang beriman , walaupun ada juga tempat rahsia para waliyullah dan qutb di bawah bumi. ?
Bagi mereka yang telah sampai ke alam Ahadiyyah dan mengesahkan kewujudannya, maka fahamlah dia hakikat dan jalan cerita "Wihdatul Wujud". Semua alam-alam itu bukan tidak ada lagi atau hanya yang tinggal alam ajsam dan alam insan , tidak! Alam-alam itu menyelubungi alam insan atau alam materi ini !
Kalau tak mahu belajar ilmu mertabat tujoh, tak dapatlah memahami jalan cerita mengapa tawaf tujoh kali atau mengapa harus sa'i tujoh kali . Dan mengapa pula bukan Kaabah itu sebenarnya yang kita tawafi , sebab jika begitu Kaabah itulah berhala kita. Jadi, penting atau tidak belajar ilmu mertabat tujoh itu? Jangan fikir, sahabat r.a tak belajar pun ! Mereka belajar ilmu hakikat-makrifat 13 tahun ! Ilmu itu terus mereka dapat, sedang kita baru nak bertatih!
Bukankah ilmu Mertabat Tujoh itu sebenar-benar ilmu Epistemologi dalam beragama?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.