Pages

Khamis, 1 Januari 2015

MENGENALI ALLAH MELALUI DAKWAT

MENGENALI ALLAH MELALUI DAKWAT

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Untuk menghayati penceritaan meliputinya Allah, sudilah kiranya tuan-tuan mengambil sebatang pen ataupun kalam dan mengambil sekeping kertas. Hendaklah saranan saya ini, dipatuhi dan diikuti agar tuan-tuan mendapat barokah dalam penceritaan atau penghayatan ilmu makrifat.

Sekarang, saya minta tuan-tuan menulis, tulislah apa saja yang terlintas dihati tuan-tuan. Pada kebiasaanya penulis atau pengarang sesebuah novel itu hanya tahu sekadar membaca perkataan demi perkataan, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan, tetapi tidak ramai yang memandang di sebalik ayat dan di sebalik perenggan itu adalah dakwat. Sekarang saya dengan hormatnya memohon agar tuan menulis perkataan ini, “Saya sudah melihat Allah, Saya sudah mengenal Allah, Saya sudah menyembah Allah”. Sudahkah tuan-tuan tulis?

Jika belum ditulis, saya mohon jangan diteruskan kitab ini dibaca. Bagi sesiapa yang belum berbuat demikian hendaklah masuk ke bilik, cari sekeping kertas dan sebatang pen. Buat apa yang saya sarankan. Inilah kaedah, cara atau jalan guru-guru terdahulu mengajar muridnya. Itulah makanya, pelajaran guru-guru terdahulu mendapat penghayatan dari pembelajarannya, sehingga meresap, terpaku, terkunci, terpahat dan tersemat ilmu ini selama-lamanya ke lubuk hati membawa sampai ke mati. Sesudah ditulis apa yang disarankan itu, tiliklah, lihatlah, pandanglah, perhatikanlah dan bacalah baris-baris tulisan yang ditulis itu.

Apakah yang tuan-tuan nampak? Nampak hurufkah, nampak tulisankah, nampak perkataankah, nampak ayatkah, nampak perenggankah, nampak bariskah, nampak muka suratkah, nampak kitabkah atau nampak DAKWATKAH, DAKWAT, DAKWAT! Tidakkah semua itu DAKWAT. Itulah ertinya dakwat itu meliputi sekalian huruf, sekalian tulisan, sekalian perkataan, sekalian ayat, sekalian perenggan, sekalian baris, sekalian muka surat, sekalian isi kitab. Sesungguhnya, apa yang dibaca, apa yang dilihat, apa yang dipandang dan apa yang ditilik itu tidak lain daripada dakwat.

Begitulah jua meliputinya Allah atas diri kita dan meliputinya Allah atas seru sekalian alam. Oleh itu, bilamana melihat, hendaklah tertilik Allah, bilamana melihat, hendaklah terpandang Allah, bilaman melihat, hendaklah ternampak Allah, kerana Allah itu meliputi sebagaimana firman Allah:

“Fainamatuwallu, fasamma wajhullah”
“Barang ke mana kamu hadapkan mukamu, di situlah wajah Allah”.

Sekarang, tulis semula perkataan “melihat”, dengan perkataan melihat itu kita hanya membayangkan tentang mata. Tulis semula perkataan “mendengar”, dengan tulisan mendengar itu kita hanya dapat membayangkan perkara telinga. Dalam pembelajaran ilmu makrifat, dalam pembelajaran ilmu percaya dan dalam pembelajaran ilmu yakin, tuan-tuan hendaklah jangan tumpukan perhatian pada penglihatan, jangan tumpukan perhatian pada pendengaran, pada mata, pada telinga. Dalam pengajian ilmu makrifat, hendaklah memandang di sebalik tulisan telinga, tulisan mata, tulisan pendengaran dan tulisan penglihatan itu, sebenar-benarnya “dakwat”.

Dakwatlah sebenar-benar meliputi sekalian tulisan perkataan mata, tulisan perkataan telinga, tulisan perkataan melihat, tulisan perkataan pendengaran. Perkataan-perkataan yang tuan-tuan tulis itu, sebenarnya adalah dakwat. Begitu jua perumpamaan meliputinya Allah pada sekalian diri dan pada sekalian alam. Tidak ada ruang dalam tulisan mata itu yang tidak ada dakwat. Tidak ada ruang tulisan telinga itu yang tidak ada dakwat. Tidak ada ruang tulisan penglihatan dan pendengaran itu yang tidak ada dakwat. Segala-galanya dipenuhi dan diliputi dakwat (segala-galanya dipenuhi dan diliputi Allah).

Beginilah caranya guru-guru terdahulu mengajar melihat, menilik dan memandang Allah pada segenap dan sekalian yang maujud di alam ini. Tidak ada yang wujud (ada), ujud (diadakan) dan maujud (mengadakan) itu, melainkan Allah Taala. Itulah makanya, yang memandang dan yang dipandang itu adalah dakwat. Yang ditilik dan menilik itu adalah dakwat. Yang dilihat dan melihat itu adalah dakwat. Yang menyembah dan disembah itulah dakwat. Yang ingat dan diingati itulah juga dakwat. Inilah yang dikatakan meliputinya Allah Taala.

Pada hari ini, jam ini, masa ini dan saat ini, yakinlah, percayalah dan ketahuilah dengan sebenar-benar bahawasanya Allah saja yang bersifat wujud (ada), ujud (diadakan) dan maujud (mengadakan sekalian yang ada). Inilah kaedah, cara dan jalan percaya kepada Allah Taala. ITULAH ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.