Pages

Ahad, 13 November 2016

Rasulullah guru contoh

Rasulullah guru contoh

TIDAK semua manusia mampu memilih pekerjaan sebagai seorang guru. Tugas seorang guru sangat besar dan mulia di sisi Allah SWT.

Guru bukan sahaja mengajar dan mendidik anak muridnya akan tetapi perlu menunjukkan contoh, sikap serta tingkah laku terbaik dalam setiap aspek kehidupannya.

Rasulullah SAW pula adalah contoh guru terbaik yang pernah wujud dalam sejarah kehidupan manusia.

Banyak teladan yang Rasulullah SAW tonjolkan dan menjadi contoh kepada kita untuk diamalkan dalam kehidupan manusia hingga ke akhir hayat.

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW amat menghargai segala pengorbanan serta tunjuk ajar yang disampaikan baginda.

Seorang murid Nabi SAW iaitu Muawiyah bin Hakam pernah menceritakan keperibadian baginda melalui hadis berikut :

“Aku tidak pernah melihat guru sebelum dan sesudah baginda yang lebih baik daripada baginda. Demi Allah, baginda tidak mengherdik, memukul ataupun mencelaku...” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita tentang sifat dan kemuliaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW sebagai seorang guru.

Baginda tidak menggunakan kekerasan seperti memukul, mengherdik dan mencela dalam mendidik murid-muridnya yang melakukan kesalahan tetapi memilih kaedah kasih sayang dalam menyampaikan ilmu.

Walaupun begitu, Rasulullah SAW tetap bersifat tegas dalam hal yang benar. Sebagai seorang pendidik, baginda juga sering mendoakan kejayaan anak-anak muridnya.

Seorang guru harus sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak muridnya agar berjaya di dunia mahupun di akhirat. Doa seorang guru yang menyampaikan ilmu amat berkat dan makbul di sisi Allah SWT.

NUR SYAHIRAH ROSE DIN
Nilai,Negeri Sembilan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.