Pages

Jumaat, 3 Mac 2017

CUBAAN MENJAWAB SATU PERTANYAAN

CUBAAN MENJAWAB SATU PERTANYAAN........
Oleh : Fakirabdillah

Salam saudara pembaca yang budiman. Saorang pembaca laman ini yang menamakan dirinya sebagai Puan Fariza, telah menyampaikan satu pertanyaan kepada Fakir melalui sms . Pertanyaan beliau adalah saperti berikut :-

PERSOALAN

Salam..ada pertanyaan berkenaan statement “ Segala yang baik datang dari Allah, yang buruk datang dari diri sendiri.

Didalam blog, encik agak kurang setuju dengan kenyataan diatas kerana encik berpendapat yang baik dan buruk datang dari Allah, jadi bolehkah diterangkan sedikit lagi ?

Saya bagi contoh jika sasaorang itu mencuri , membunuh tidak solat, hatta murtad apakah ianya datang dari Allah juga ? Bukankah ia datang dari nafsu jahat manusia dan bisikan syaitan ? Sekian.

CUBAAN MENJELASKAN......

Fakir ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pembaca yang bertanya itu dan didalam entri ini fakir dengan Kudrat & IradatNya jua cuba memberi penjelasan kerana persoalan ini memang susah hendak diterima oleh ramai dari kalangan kita lebih lebih lagi mereka yang hanya belajar Ilmu Syariat.

BUKAN KENYATAAN ATAU PENDAPAT FAKIR TETAPI KENYATAAN ALLAH SWT....

Pertamanya ingin ditegaskan bahawa kenyataan yang menyebut bahawa “ yang baik dan buruk dari Allah kesemuanya” bukanlah kenyataan atau pendapat fakir sendiri saperti yang disebut oleh yang bertanya itu. Ianya adalah Kenyataan & Penjelasan Allah SWT didalam Al-Quran.

Antaranya ialah :- BEBERAPA DALIL DALIL NAQLI... Surah An Nisaa : Ayat 78 yang bermaksud :

Jika perkara baik terjadi, mereka katakan dari Allah SWT dan jika perkara tidak baik terjadi , mereka katakan dari kamu. Katakanlah segala-galanya dari Allah SWT

Huraian Fakir...

Barangkali kita sudah terlalu biasa mendengar ucapan terakhir guru guru atau uztaz-uztaz malah ulamak-ulamak bertaraf tinggi yang selalu mengakhiri syarahan mereka dengan ungkapan saperti berikut : Sekianlah syarahan saya tuan tuan dan puan puan ..Yang baik dari Allah dan yang tidak baik dari saya sendiri...hinggakan kita lupa akan Firman Allah yang disebutkan diatas.

Barangkali juga ramai diantara kita lebih suka mendengar ceramah alim ulamak berbanding membaca Al-Quran untuk menimba ilmu ..hinggakan ramai diantara kita tidak tahu akan ujudnya ayat 78 Surah An Nisaa itu kerana tidak pernah mendengar guru atau ustaz menyebutnya....

Barangkali juga iman dan tauhid kita tidak mahu menerima kenyataan bahawa perkara perkara yang tidak baik itu adalah datangnya dari Allah ..apatah lagi jika dikatakan Perbuatan Allah kerana pada kita Allah itu Maha Agung dan Maha Pemurah lagi Pengasih.

Jadi mana boleh Allah melakukan perkara perkara yang Dia sendiri mengatakan sebagai Munkar saperti membunuh dan sebagainya. Ini disebut sebagai budi bahasa kita terhadap Allah .

Surah Al Anfal : Ayat 17
Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka dan bukan engkau yang melempar tetapi Allah.

Huraian Fakir..

Ramai diantara kita mentafsirkan atau memahami ayat 17 Surah Al Anfal ini dengan mengaitkannya dengan peristiwa dimana ayat ini diturunkan yakni Perang Badar dimana Allah telah membantu pihak Islam mengatasi kaum Quraisy

Dan kenyataan ini ialah kenyataan khusus dan tidak ada kaitan dengan ayat dimana Allah juga telah menegaskan Aku jadikan kamu dan segala perbuatan kamu. Ini adalah kerana mereka yang berfahaman sebegini tidak mahu menerima atau tidak tahu tentang konsep NAFI & ISBAT.

Surah Al Insan : Ayat 30
Dan tiadalah kehendak kamu melainkan Kehendak Allah jua Ini ( berkaitan tiada kehendak kita ) kita akui apabila menjawab seruan bilal semasa azan, dimana kita mengakui bahawa tiada kehendak kita dan daya upaya kita untuk melakukan solat melainkan dengan IRADAT & KUDRAT ALLAH.

Ini disebut sebagai HAUQALAH. Kita sabenarnya amat suka mengatakan kita solat dengan kehendak kita dan daya upaya kita kerana kita hendakkan pahala hingga kita terlupa yang kita telah menodai pengakuan kita sendiri apabila menjawab seruan bilal.

Barangkali ramai juga diantara kita tidak faham apa yang dia sendiri katakan atau lafazkan sebab suka mengikut ngikut tanpa faham.

Surah Al Isra : Ayat 13
Dan tiap tiap manusia itu telah kami tetapkan amal perbuatan mereka sebagaimana tetapnya kalung pada leher mereka.

Huraian Fakir.......

Ayat ini sangat jelas dan tidak memerlukan apa apa tafsiran..tetapi ramai diantara kita masih tidak mahu menerimanya . Kenapa ?

Surah Ash Shaffaat : Ayat 96
Padahal Allah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu kerjakan

Ayat yang sangat mudah difahami ..tetapi sukar diterima ramai. YANG MEMBIMBING & MENYESATKAN ITU IALAH ALLAH......

Ayat diatas wajar juga dibaca bersekali dengan beberapa ayat ayat Al-Quran yang lain dimana banyak kali Allah SWT mengulang-ngulang kenyataan bahawa Yang Membimbing dan Menyesatkan itu hanyalah Allah. ( HADI & MUDHIL )

Kita sedia faham Bimbingan itu merujuk kepada Yang Makruf ( baik baik ) dan Sesat itu adalah merujuk kepada Yang Mungkar ( yang buruk, yang tidak baik ) .

Diturunkan beberapa ayat ayat yang menjelaskan kenyataan diatas. BEBERAPA DALIL DALIL NAQLI... Antaranya ialah :-

Surah An Nisaa : Ayat 143.
Siapa yang disesatkan Allah niscaya engkau ( Ya Muhammad ) tidak mendapat jalan untuk menunjukkinya.

Surah Al An’aam : 39
Barangsiapa yang dikehendakki Allah niscaya disesatkanNya. Dan siapa yang dikehendakkiNya niscaya ditunjukiNya kejalan yang lurus

Surah Al A’raaf : 43
Kami tidak akan mendapat petunjuk sekiranya Allah tidak menunjuki kami

Surah Al A’raaf : 178
Siapa yang ditunjuki Allah , maka dia mendapat petunjuk dan siapa yang disesatkan Allah , maka merekalah orang yang merugi

Surah Al Muddatstsir : 31 ......
Demikian Allah membiarkan sesat orang orang yang dikehendakkiNya dan memberikan petunjuk kepada siapa yang dikehendakkiNya.

Surah Al-Hadid : 22
Bencana yang terjadi dibumi dan pada dirimu sendiri telah tertulis didalam kitab sebelum Kami melaksanakannya..

Surah Al – Qashash : 56
Sesungguhnya engkau tidak akan mampu untuk memberi petunjuk orang yang kau cintai , tetapi Allah memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakkiNya. Dia lebeh mengetahui orang orang yang mendapat petunjuk.

Surah An Nahl : 93
Dan jika Allah menghendaki niscaya dijadikanNya kamu satu umat tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendakkiNya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakkiNya.

Surah Yunus : 107
Dan jika Allah menimpakan bahaya kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghalangnya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan kepadamu maka tidak ada yang dapat menghalangnya kurnia Tuhan itu.

Huraian Fakir.......

Terlalu banyak ayat ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang perkara ini yakni Yang Membimbing ialah Allah. Ini semua bersetuju. Bila Allah mengistiharkan bahawa Yang Menyesatkan itu ialah Allah juga ..ramai yang tidak dapat menerimanya .

Kenapa ?

HAL INI IALAH BERKAITAN PEMAHAMAN MENGENAI QADHA & QADAR Untuk memberi lebih pemahaman tentang apa yang disebut sebagai QADA’ & QADAR itu, fakir pinjam penjelasan Dr K.H Muhibbudin Wali dari kitabnya Al-Hikam .

Mudah-mudahan ia akan memberi faham yang lebih kepada kita semua berkaitan Rukun Iman Yang Ke-enam itu , sekaligus menjelaskan tentang persoalan yang kita bicarakan ini. Menurut Mazhab AL- ASY’ARY - AL-QADHA’ dan AL-QADAR ialah :-

AL-QADHA’ Kehendak Allah SWT pada zaman azal ( zaman yang tidak diketahui permulaannya ) pada segala sesuatu menurut keadaannya pada waktu adanya.

Dan dia termasuk sifat sifat Zat disisi mereka. Misalnya Allah berkehendak pada masa azal akan menjadikan hambaNya Fuad misalnya menurut apa yang kita lihat pada waktu adanya. Bentuknya begitu, jadi saorang doktor, isterinya dua dan lain lain.

Oleh sebab itu maka qadha’ menurut ini adalah Sifat Zat Allah SWT. Dan qadha’ menurut ini pula adalah QADIM dan bukan HADIS ( baharu ) AL-QADAR Penciptaan Allah SWT akan segala sesuatu menurut ukuran yang telah ditentukan dan rupa yang telah ditentukan pula sebagaimana yang telah dikehendakki olehNya.

Maksudnya Tuhan menjadikan sesuatu menurut apa yang telah dikehendakki olehNya pada sebelum menjadikan itu. Hal keadaan ini disebut Al-Qadar. Maka Al-Qadar adalah baharu ( Hadis ).

Menurut mazhab AL-MATURIDY – Al-Qadha’ ialah :-

Allah menjadikan segala sesuatu serta menambah kekokohan dan kebagusan pada yang dijadikan – maka Al-Qadha’ merupakan SIFAT PERBUATAN ALLAH menurut ulamak mazhab ini.

Contohnya ialah, Allah SWT menjadikan langit, bumi dan lain lain dengan begitu indah, bagus, kokoh, teratur dan lain lain dari sifat sifat yang menunjukkan atas keagungan segala sesuatu yang dijadikan olehNya. Kerana itu Al-Qadha’ menurut mazhab ini adalah baharu sebab ia SIFAT PERBUATAN ALLAH SWT.

Adapun Al-Qadar menurut mazhab ini ialah :- Allah menentukan pada azal tiap tiap makhluk menurut ketentuanNya yang diperdapat pada makhluk itu waktu diadakannya berupa kebagusan , kejelekan, manfaat, mudharat dan lain lain.

Artinya Ilmu Allah pada masa azal tentang sifat sifat semua makhluk, maka berkaitanlah Al-Qadar menurut mereka pada ulamak mazhab ini kepada Sifat Ilmu, sedangkan Sifat Ilmu adalah sebahagian dari Sifat Sifat Zat.

Maksudnya ialah bahawa Al-Qadar ialah Ilmu Allah, artinya Pengetahuan Tuhan yang tidak ada permulaan tentang sifat sifat makhluk berupa ketentuan ketentuan yang terdapat pada makhluk makhluk itu, dimana akan diciptakan oleh Allah SWT.

Umpamanya keadaan kita sekarang baik hidup dan kehidupan ataupun mati dan sebagainya, sudah merupakan ketentuan dan ketetapan Allah yang diketahuiNya. Oleh sebab itu maka Al-Qadar bertalian dengan Ilmu Allah yang merupakan salah satu dari Sifat SifatNya, sedangkan Ilmu Allah merupakan sebahagian dari Sifat Sifat Zat Allah.

Hadith Nabi dari Bukhari & Muslim :-
Seorang lelaki bertanya kepada Rasullullah : Hai Rasullullah apakah itu Iman ? Menjawab Nabi : yaitu bahawa engkau beriman dengan Allah, Malaikat MalaikatNya, Kitab kitabNya, Rasul rasulNya dan Hari Kemudian. Juga engkau beriman dengan Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah dari Allah SWT.

Surah Al-Qamar : 49
Sesungguhnya Kami telah menjadikan sesuatu menurut ketentuannya.

Surah Al-Baqarah : 102
Mereka tidak dapat menghilangkan bahaya dari siapa pun terkecuali dengan izin Allah SWT

Meskipun kita wajib beriman kepada Qadha’ & Qadar tetapi tidak boleh kita jadikan Qadha’ & Qadar itu sebagai alasan sebelum mengerjakan sesuatu demi untuk sampai kepadanya.

Misalnya seseorang bermaksud mencuri maka sebelum ia melakukan perbuatan mencuri itu ia mengatakan bahawa Allah mengqadha’ dan mentaqdirkan ia untuk mencuri.

Hal keadaan ini adalah suatu hal yang tidak pantas, disamping ia telah mendahului Allah apa lagi melakukan perbuatan yang dilarang olehNya.

Atau kita telah melakukan perbuatan yang tidak baik maka demi untuk menghindarkan dari hukum kita katakan bahawa Allah melakukan qadha’ dan qadarNya atas hal itu.

Tetapi apabila seseorang mengatakan saperti itu sekedar untuk menolak celaan orang lain maka tidak apa apa. Hal keadaan ini berdasarkan kepada Hadith sahih yaitu berkata Nabi Muhammad SAW :-

Pada suatu kali dizaman dahulu bertemu roh Nabi Adam a.s dengan roh Nabi Musa a.s.

Berkata Musa kepada Adam : Tuan adalah bapak manusia dimana kerana tuanlah maka keluar anak cucu tuan dari syurga kerana disebabkan tuan memakan buah kayu terlarang.

Berkata Adam : Hai Musa engkau telah dipilih oleh Tuhan bercakap cakap denganNya dan Tuhan telah berikan kepada engkau kitab Taurat. Kenapa engkau cela saya atas satu pekerjaan padahal Allah SWT telah mentaqdirkan hal keadaan itu atas saya sebelum Tuhan menjadikan saya pada zaman 40,000 tahun sebelumnya .

Berkata Nabi Muhammad SAW : Maka dengan alasan Adam demikian Nabi Adam telah mengalahkan Nabi Musa tentang persoalan itu.

Walhasil dalam segala sesuatu adalah Qadha’ & Qadar Tuhanlah yang berlaku dengan sebenarnya.

Kerana itu kita boleh berikhtiar dan berusaha tetapi jangan lupa tawakkal dan menyerah kepada Allah agar Dia menentukan dengan ketentuan ketentuan yang baik buat kita dunia dan akhirat. ..................................
DARI AL-HIKAM Karangan Prof Dr K.H Muhibbuddin Waly

IANYA JUGA BERKAITAN DENGAN HAUQALAH & KERANA ALLAH - LILLAH HI TAALA Ucapan LILLAH HI TAALA memang sering diucapkan oleh seseorang muslim setidak-tidaknya ketika solat 5 kali sehari semalam .

Kita berpuasa bila kita suarakan NIAT atau lafazkan pun kita mengatakan LILLAH HI TAALA atau KERANA ALLAH. Apakah yang kita tashdiqkan dihati bila menyebut kalimah kalimah itu ?

Adakah kita solat atau puasa kerana PERINTAH Allah ? Atau kita beribadah itu untuk menyatakan KETAATAN kita kepada Allah ? Atau kerana KUDRAT & IRADAT ALLAH-lah kita boleh beribadat ?

Pada fakir semuanya adalah betul belaka mengikut tahap tahap ilmu dan peringkat tauhid seseorang itu. Pada penganut Ilmu Hakikat tauhid peringkat pertamanya ialah pengakuan dan kesaksiannya bahawa tiada perbuatannya pada hakikatnya melainkan segala-galanya adalah AF’AL ALLAH JUA.

Inilah sabenar-benarnya yang diakui dan dilafazkan oleh seseorang itu apabila menjawab seruan bilal untuk bersolat dengan menjawab : Tiada Daya Upaya & Kehendak Aku Melainkan Dengan Iradat & Kudrat Allah.

Lantas terjawablah persoalan sama ada manusia itu mempunyai kehendak dan daya upayanya sendiri atau dia sabenarnya hanya menjadi sandaran untuk Allah menyatakan Kehendak dan DayaupayaNya.

( Kudrat & IradatNya ) Inilah sahaja yang dapat Fakir kemukakan untuk cuba menjelaskan ( dengan Kudrat & IradatNya jua ) kepada persoalan yang dikemukakan oleh saorang pembaca bernama Puan Fariza.

Adalah diharapkan penjelasan diatas dapat diterima dan memberi pemahaman yang bermunafaat. Terima kasih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.