Pages

Memaparkan catatan dengan label Ihya ‘Ulum al-Din. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ihya ‘Ulum al-Din. Papar semua catatan

Selasa, 18 April 2017

Meluruskan faham terhadap pengertian Kasyaf

Meluruskan faham terhadap pengertian Kasyaf (Bukanlah Ahli Tasawwuf dan Ahli Tareqah beribadah semata-mata mencari Kasyaf)

DEFINISI KASYAF (menurut Ulama’ Tasawwuf)

Sayyid berkata: “Firasat secara etimologi bererti ketetapan dan penglihatan. Sedangkan menurut istilah ahli hakikat, firasat bererti terbukanya keyakinan dan menyaksikan yang ghaib (Sayyid, Ta’riffat as-Sayyid, hlm 10).

Ibnu Ujaibah berkata: Firasat adalah fikiran yang menyerang hati, atau sesuatu yang nampak di dalamnya. Biasanya dia tidak akan salah, apabila hati itu bersih. Dalam hadis disebutkan,

اتقوا فراسة المؤمن، فإنه ينظر بنور الله

Ertinya: “Takutlah kalian akan firasat orang mukmin, sebab dia melihat dengan cahaya Allah.”
(HR.Tirmidzi)

Firasat berbeza-beza sesuai dengan tingkat kekuatan kedekatan dan ma’rifat kepada Allah. Semakin kuat kedekatan dan ma’rifat, maka firasat akan semakin benar. Sebab, apabila jiwa sudah dekat kepada al-Haq, maka tidak akan tampak di hatinya kecuali kebenaran.
(Ahmad Ibn Ujaibah, Mi’raj at-Tasyawwuf ila Haqa`iq at-Tashawwuf, hlm 18).

Kasyaf merupakan cahaya yang menghantarkan para salik untuk sampai kepada Allah. Dia buka penghalang/hijab pandangan bagi mereka, dan menghilangkan sebab-sebab yang tersurat dari diri mereka, sebagai hasil dari Mujahadah, Khalwat dan Zikir yang mereka lakukan.

(Al-Ghazali berkata, “sesungguhnya kesucian hati dan penglihatannya dapat dicapai dengan zikir. Dan ini tidak akan boleh dilakukan kecuali orang-orang yang bertaqwa. Taqwa adalah pintu zikir, zikir adalah pintu Kasyaf dan Kasyaf adalah pintu kemenangan terbesar iaitu bertemu dengan Allah”
* Ihya ‘Ulum ad-Din, Vol.III,hlm 11).

Penglihatan mereka akan tercermin dalam mata hati mereka. Mereka akan melihat dengan cahaya Allah. Ukuran waktu dan tempat akan hilang dari hadapan mereka. Mereka akan dapat menyaksikan alam-alam Allah yang tidak akan boleh disaksikan/dilihat oleh orang yang masih terikat dengan syahwat, keraguan, bid`ah dalam aqidah dan gangguan syaitan.

Oleh kerana itu, hal ini tidak boleh dilakukan kecuali oleh orang yang memiliki hati yang bercahaya dan sihat, yang hilang darinya cahaya dunia dan segala kepalsuannya, dan telah musnah darinya segala keraguan dan ganguannya, serta yang penuh dengan kebendaan dan bahayanya.

Barangsiapa menjaga pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, menjauhkan dirinya dari semua syahwat, membangun hatinya dengan pengawasan Allah, dan biasa memakan makanan yang halal, maka Kasyaf dan Firasatnya tidak akan salah.

Dan barangsiapa selalu melihat kepada yang haram, maka jiwanya yang gelap akan berhembus ke dalam hatinya dan memadamkan cahayanya.

Pokok dari kasyaf adalah apabila seorang hamba berpaling dari pandangan zahirnya kepada pandangan batinnya, maka jiwanya akan menguasai sifat kebinatangan yang ada pada tubuhnya.

Dan jiwa adalah cahaya yang lembut dan menyinari. Ketika itu, dia akan mampu menyingkap tabir dan memperoleh ilham.

Ibnu Khaldun berkata, “Mujahadah, khalwat dan zikir biasanya akan diiringi oleh terbukanya penghalang pandangan dan kemampuan untuk menyaksikan alam-alam Allah.

Roh adalah sebahagian dari alam tersebut. Adapun yang menjadi penyebab Kasyaf ini adalah apabila roh berpindah dari pandangan zahir menuju pandangan batin, maka pandangan (zahir) akan menjadi lemah dan roh akan menjadi kuat. Akhirnya roh akan menguasai kekuatan zahirnya dan menjadi lebih berpengaruh.

Dalam hal ini zikir sangat membantu, sebab zikir merupakan makanan untuk pertumbuhan roh. Selama dia masih terus tumbuh dan berkembang, maka dia akan sampai ke tingkat Syuhud (penyaksian) (Ainul Yaqin dan Haqqul Yaqin), setelah sebelumnya berada ditingkat ilmu (ilmu Yaqin).

Dengan ini, dia akan mampu membuka tabir pandangan dan sempurnalah kesucian jiwa. Inilah yang disebut dengan Idrak (pengetahuan yang sebenarnya.) setelah itu, dia akan memperoleh pemberian Tuhan, ilmu ladunni dan kunci Ilahiah.”

Ibnu Khaldun melanjutkan, “Kasyaf banyak sekali di alami oleh ahli Mujahadah. Mereka dapat mengetahui hakikat hidup yang tidak diketahui oleh orang lain. Pada zaman dahulu, para sahabat melakukan Mujahadah seperti ini.

Dan mereka banyak memperoleh Karamah (kemuliaan). Akan tetapi mereka tidak memperhatikan hal itu. Keistimewaan Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali yang berkaitan dengan masalah ini sangat banyak sekali. Dan mereka diikuti oleh ahli Tareqat, sebagaimana disebutkan dalam Kitab ar-Risalah al-Qusyairiyyah.”
(Abdurrahman Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 329.)

Kasyaf merupakan warisan Nabi Muhammad SAW yang benar yang diwarisi oleh para sahabatnya kerana ketulusan mereka, keyakinan mereka dan kesucian hati mereka.

Sheikh Abdul Qadir Isa
(Haqaaiq Anit-Tasawwuf)
via Al Khalidi Sufi Order

Selasa, 30 Ogos 2016

30 Wasiat Imam Ghazali

30 Wasiat Imam Ghazali

Imam al-Ghazali mempunyai daya ingatan yang kuat dan bijak berhujjah. Beliau digelari “Hujjatul Islam” kerana kemampuannya tersebut. Beliau sangat dihormati di dua dunia Islam iaitu Saljuk dan Abbasiyah yang merupakan pusat kebesaran Islam.

Beliau berjaya mengusai pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Di antara kitab beliau yang paling terkenal adalah “Ihya Ulumuddin” (Menghidupkan Ilmu Agama) yang menjadi rujukan utama umat Islam di seluruh dunia.

Wasiat 1:
Berbakti kepada dua ibu bapa wajib kerana hukum Allah. Anak yang enggan berbakti kepada dua ibu bapanya dianggap anak derhaka. Dan perbuatan derhaka satu dosa besar.

Wasiat 2:
Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah s.a.w. juga tergolong sebagai anak yatim dan baginda akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihani anak yatim di akhirat.

Wasiat 3:
Ujian datang silih berganti. Ia merupakan warna kehidupan setiap insan. Laluilah ia dengan sabar agar kualiti iman kita meningkat. Kerana ujian itu untuk mematangkan keimanan kita.

Wasiat 4:
Menghormati dan memuliakan guru merupakan tugas dan kewajipan kita sebagai anak dan murid. Guru bagaikan orang tua kita sendiri yang wajib kita hormati dan muliakan.

Wasiat 5:
Menanamkan iman dalam diri anak merupakan kewajipan orang tua. Anak-anak akan membesar dalam suasana cukup peka dan sensitive dengan Tuhan. Bila ini sudah ada, dengan sendirinya dia akan malu dan takut untuk membuat dosa.

Wasiat 6:
Banyak pendidikan kesihatan yang diajar oleh Rasulullah kepada umatnya termasuk aspek kebersihaan tubuh badan, pakaian, alam sekitar dan juga makanan. Kerana di dalam tubuh yang sihat itu terdapat kelazatan dalam beribadat.

Wasiat 7:
Islam mendidik kita agar memuliakan dan menghormati tetamu. Kerana tetamu datang membawa rezeki dan apabila ia pulang menghapuskan dosa kita.

Wasiat 8:
Menghormati jiran adalah merupakan tugas dan kewajipan setiap Muslim. Kita dituntut untuk bersikap memuliakan jiran kita kerana jiranlah orang yang paling terdekat dengan kita.

Wasiat 9:
Al-Quran memerintahkan kita agar berfikir dan menggunakan akal untuk memecahkan rahsia hidup ini. Matlamatnya adalah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat kita.

Wasiat 10:
Al-Quran mengandungi fakta dan mukjizat. Kejadian alam, manusia dan ilmu pengetahuan didedahkan secara terus terang, yang membuat manusia yakin akan kebenaran adanya Allah.

Wasiat 11:
Mencintai ilmu dan mengamalkan ilmu adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barangsiapa yang keluar rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah dan sampai ia kembali.

Wasiat 12:
Sesungguhnya dusta itu menuntun kepada kekejian dan kekejian itu menuntun ke dalam api neraka. Tidak henti-hentinya seseorang berdusta dan membiasakan diri dalam dusta, sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.

Wasiat 13:
Menyaksikan maksiat, kejahatan dan menjadi saksi palsu adalah di antara penyakit lidah dan hati yang amat merbahaya. Ianya menjadi punca kepada rosaknya iman dan seterusnya boleh membawanya ke neraka jahannam.

Wasiat 14:
Islam tidak hanya mengharamkan perbuatan zina, tetapi termasuk juga sebarang tindak-tanduk yang membawa kepada berlakunya perbuatan yang terkutuk itu, iaitu sebarang perlakuan kea rah menghampiri zina.

Wasiat 15:
Minuman yang memabukkan seperti arak, hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak. Setiap Muslim yang berakal pasti menjauhi arak kerana ia merosakkan akal, menimbulkan penyakit dan dimurkai Allah.

Wasiat 16:
Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menghukum dengan penuh keadilan, dan apabila berkata dengan penuh kebenaran, tidak menyakiti hati orang, dan jujur sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain.

Wasiat 17:
Mujahidin atau pejuang-pejuang Islam yang berjuang di jalan Allah adalah mereka yang merentasi ceruk bumi ini dengan satu mesej, iaitu menegakkan kebenaran Islam dan menghancurkan kebatilan.

Wasiat 18:
Ahlul Itsar iaitu orang-orang yang gemar melakukan kebaikan, sentiasa mendahulukan kepentingan orang lain, menolong dan membantu orang yang memerlukan bantuannya. Mereka adalah orang yang paling bermanfaat dan disayangi oleh orang lain.

Wasiat 19:
Orang-orang yang redha dengan ketentuan Allah, maka Allah bukakan pintu-pintu kebaikan yang banyak sehingga tiada hari bagi mereka melainkan harus berbuat kebaikan, iaitu kebaikan apa sahaja yang diperintahkan oleh agama.

Wasiat 20:
Ahlul Najat iaitu orang-orang yang selamat. Mereka hanya menunaikan amalan-amalan yang wajib dan meninggalkan larangan-larangan Allah. Hanya itu yang mereka kerjakan, tidak lebih dan tidak pula kurang.

Wasiat 21:
Menjadi manusia yang paling bahagia adalah idaman setiap insan. Oleh itu raihlah hari-hari bahagia bersama Allah dan Rasul-Nya.

Wasiat 22:
Malu adalah perhiasan Mukmin sejati. Ianya merupakan akhlak para Nabi dan Rasul yang harus dimiliki setiap orang yang mengaku umat Muhammad.

Wasiat 23:
Syaitan adalah musuh yang nyata ke atas manusia. Oleh itu jadikan ia sebagai musuh, bukan sebagai kawan.

Wasiat 24:
Silaturahim adalah amalan mulia para Nabi dan Rasul, sehinggakan orang yang memutuskan silaturahim dianggap telah melakukan dosa besar.

Wasiat 25:
Mengingat mati mendatangkan kemanisan iman dan sekaligus menguatkan rasa ber-Tuhan dan taqarrub kepada Allah.

Wasiat 26:
Orng yang menghafal al-Quran dianggap sebagai keluarga-keluarga Allah. Oleh itu perbanyakkanlah menghafal al-Quran kerana ia cahaya di dalam kubur.

Wasiat 27:
Solat tahajjud ataupun qiamul lail adalah solatnya para Nabi dan Rasul. Bangunlah pad malam yang akhir dan gunakan waktumu untuk meminta hajatmu nescaya akan segera ditunaikan Allah.

Wasiat 28:
Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w. adalah satu kemestian dalam kehidupan soerang Muslim. Setiap Muslim mesti berbuat demikian kerana baginda adalah orang yang paling berjasa di dalam membimbing dan memberi petunjuk kepada manusia sejagat.

Wasiat 29:
Doa memiliki kekuatan dan kehebatan yang dahsyat sehinggakan doa dianggap sebagai senjata mukmin dan pembuka pintu rezeki.

Wasiat 30:
Solat yang khusyuk adalah kunci mendapatkan keredhaan Allah. Latihlah kekhusyukan di dalam solat supaya beroleh kemenangan di syurga.

Sumber:
Abu Ahmad Yasin.
30 Wasiat Imam Ghazali.

Isnin, 24 Ogos 2015

Al Ghazaly hidup ketika pemikiran di dunia Islam berada pada tingkat perkembangannya yang tinggi.

Seorang pemikir, bagaimanapun, tidak dapat dilepaskan dari konteks sosio-budaya. Hasil-hasil pemikiran, dalam kenyataaannya, tidaklah lahir dengan sendirinya, tetapi sentiasa mempunyai kaitan sejarah dengan pemikiran yang berkembang sebelumnya dan mempunyai hubungan dengan pemikiran yang ada pada zamannya. Tanggapan ini berlaku juga pada Al Ghazaly.

Kaitan sejarah pemikirannya dengan pemikiran cara pendahuluanya dinyatakan sendiri dalam Al Munqidz Min Al Dhalal dan diperoleh melalui isyaratnya didalam Tahafut al Falasifat. Untuk mengetahui hubungan pemikiran Al Ghazaly  dengan pemikiran yang berkembang pada zamannya, perlu diketahui suasana pemikiran waktu itu dan sikapnya terhadap kenyataan tersebut.

Al Ghazaly hidup ketika pemikiran di dunia Islam berada pada tingkat perkembangannya yang tinggi. Pemikiran-pemikiran tidak berhenti sebagai hasil olah budi individual, tetapi berkembang menjadi aliran-aliran dengan metode dan sistemnya masing-masing. Tingkat perkembangan ini memperlihatkan wujudnya dalam tingkat keragaman yang tinggi. Al Syahrani (w.548 H), pemikir yang sejaman dengan Al Ghazaly, menggambar-kan betapa banyaknya aliran pemikiran di dunia Islam pada waktu itu. Setiap aliran, menurut Al Ghazaly, mengklaim kebenaran pada dirinya, yang dengan sendirinya menempatkan aliran yang lain pada kedudukan yang tidak benar.

Opini umum ketika itu tentang kebenaran, kelihatannya cenderung bersifat monolitik, yang sebenarnya mempunyai akar dalam sejarah pemikiran masa lampau. Opini umum ini di topang oleh pernyataan yang diyakini sebagai ucapan yang berasal dari nabi Muhammad Saw, yang menggambarkan bahawa ummat islam akan terpecah ke dalam tujuh puluh tiga golongan, seluruhnya sesat dari kebenaran, kecuali satu golongan. Golongan atau aliran yang satu inilah yang benar, dan akhirnya simbol untuk itu menjadi ranjang rebutan. Setiap pendukung aliran menganggap bahawa alirannyalah yang dimaksud oleh hadis tersebut sebagai aliran yang benar.

Usaha Al Ghazaly dalam hal ini menjelaskan bahawa Al qur'an telah mengandung ukuran-ukuran tentang kebenaran, dan manusia telah dianugerahi alat untuk berfikir, menggunakan ukuran-ukuran tersebut ... adalah untuk membuktikan bahawa manusia tidak memerlukan imam-imam yang ma'shum lagi sesudah Nabi, sebagai sumber kebenaran. Kesimpulan tentang batinnya ialah bahawa sistem pemahaman ini tidak memenuhi harapannya, kerana batin  memerlukan daya manusia untuk menemukan kebenaran. Disini taqlid menjadi hal yang sangat penting, namun taqlid membawa kerawanan dan pertentangan.

Pada ilmu kalam, ia melihat kemandulan metodologi, kalau yang hendak dicari adalah hakikat-hakikat, sebab ilmu ini tidak dipersiapkan untuk itu. Pada falsafah, ia melihat ketidaklengkapan metodologi sehingga melahirkan kesilapan, sebab falsafah hanya menggunakan akal semata. Pada batinnya ia melihat kekeliruan, kerana dengan konsep al ta'lim, peran pengalaman, pengamatan, dan akal manusia sebagai alat-alat menemukan sendiri kebenaran dengan kitab suci sebagai pedoman, diabaikan, sehingga pengetahuan tidak diperolehi manusia dengan sendirinya.

Dalam tasawuf, cara yang ditempuh untuk menemukan hakikat, menurut Al Ghazaly, terdiri atas dua tahap, iaitu: ilmu dan amal. Ilmu yang dimaksud disini adalah pengetahuan tentang kosep dan langkah-langkah yang harus ditempuh didalam tasawuf, seperti zuhd, faqr, tawakkul, mahabbat, makrifat, dan sebagainya. Selain itu diharuskan pula mengetahui syariat, ilmu `aqliyyat dankeimanan yang kuat terhadap tiga dasar keimanan. yang dimaksud dengan amal adalah mengalami secara langsung konsep dan langkah yang harus di lalui tadi. Ilmu dan amal harus menyatu. Kelihatannya ,ia menganggap bahawa pada sistem pemahaman lainnya ada keterpisahan antara ilmu dan amal, khususnya pada falsafah dan ilmu kalam. 

Kesan ini terlihat pada penyataan Al Ghazaly bahawa para sufi adalah arbab al ahwal (orang-orang yang memilki pengalaman langsung) bukan ash hab al aqwal (orang-orang yang hanya berbicara). Dalam tasawuf pencarian hakikat tidak akan tercapai dengan pengetahuan saja, tetapi selain itu, harus dengan pengalaman langsung.

Dalam usahanya memasuki tahap amal, Al ghazaly dihadapkan kepada keharusan memilih salah satu dari dua kemungkinan : memasuki pengalaman tasawuf dengan konsikunsi meninggalkan kedudukan dan segala keperluan kehidupan yang telah dimiliki, atau mempertahankan kedudukan dan keperluan tersebut dengan konsikunsi tidak memasuki pengalaman tasawuf. 

Menurut pengakuannya, ia mengalami kesulitan bahkan tidak dapat menentukan pilihan, sehingga ia menderita sakit selama enam bulan. Penyelesaian yang ditempuh dalam hal ini, sama dengan penyelesaian yang dilakukan ketika ia mengalami puncak kesangsian sebelumnya, iaitu pasrah dan mengakui kelemahannya. Jalan keluar datang dengan sedirinya. 

Tuhan memberi kemudahan kepadanya untuk memilih kemudahan kepadanya, untuk memilih jalan tasawuf dan meninggalkan kedudukan dan keperluan kehidupan yang dimilikinya. Iapun mengembara dengan cara hidup sufi selama lebih kurang sepuluh tahun, dari tahun 489 H sampai dengan tahun 499 H. Menurut pengakuannya, ... dalam pengalaman tasawuf itu, ia memperoleh secara langsung (Al kasyf) ilmu-ilmu yang tidak terhingga, meskipun ia tidak menunjukkan secara tegas ilmu yang diperoleh itu. Kesimpulannya, dengan cara tasawuflah pengalaman secara langsung tentang hakikat itu dapat dicapai. Sufilah yang lebih dekat kepada tuhan, akhlak merekalah yang lebih bersih, cara hidup merekalah yang lebih benar, gerak dan diam mereka lahir dari jiwa yang disinari nur al nubuwat.

Ketika ia menguji tasawuf, pada dasarnya ia tidak menghadapi persoalan tentang kebenaran sumber pengetahuan yang digunakan tasawuf, sebab sebelumnya ia telah yakin adanya intuisi (al zauq) sebagai sumber pengetahuan diatas akal. Yang menjadi persoalan adalah menyelesaikan konflik batin antara memasuki pengalaman tasawuf dan mempertahankan kedudukan dan keperluan kehidupan duniawinya. Yang menarik perhatian dari proses pencariannya adalah bahawa, ia kelihatannya mempunyai sikap dasar yang tetap, iaitu memandang segala sesuatu sentiasa dalam hubungannya dengan tuhan. Ketika ia mengalami puncak kesangsian akibat ketidak mampuannya membuktikan wujud sumber pengetahuan diatas akal, setelah ia meragukan indera dan akal, penyelesaian yang di tempuh nya adalah mengakui kelemahannya dan pasrah kepada Tuhan ….

Situasi ini juga pernah dialami Nabi Yusuf ketika nafsunya sudah mulai goyah oleh rayuan dan kecantikan wajah Siti Zulaiha, beliau mengakui ketidak mampuannya menerima godaan nafsunya " ('innan nafsa lammaratun bissu') dan situasi yang sangat mencekam batinnya itu ditulis dalam QS. Yusuf: 24 " sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu, andaikata dia tidak melihat burhan dari tuhannya, demikian agar Kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian, sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba kami yang ihlash (berserah diri)"

Yusuf terbebas dari konflik batinnya dikeranakan Allah telah mencabut rasa nafsunya yang bergejolak ….dia mengaku tidak kuat melawan nafsunya kemudian ia berserah diri kepada Allah. Saat itulah tuhan memberikan ilmu kasyaf berupa burhan (hidayah) sehingga sifat keji dan mungkar lenyap dalam hatinya. Bukan kerana usaha mencegah dari perbuatan itu … akan tetapi kerana tuntunan dan inayah dari Allah Swt.

Ihya' `ulumuddin , merupakan rangkaian pengalaman batinnya Al Ghazaly, bukan hasil dari pemikiran dan gagasannya, oleh kerana itu kita tidak bisa melakukan amalan seperti yang di tulis Al Ghazali kecuali turut memasuki jalan rohani secara benar, … apalagi hanya diseminarkan dan menjadi kajian-kajian ditempat-tempat mewah …

Seperti apa yang pernah saya sajikan pada setiap artikel, ialah menempuh jalan spiritual dengan sangat sederhana dan ikhlash. Kalau jalan ini ditempuh dengan rela maka semua yang tercantum dalam ajaran islam sedikit demi sedikit akan memasuki dunia batin kita, … dan tuntunan itu akan terus mengalir, seperti : kesabaran ketawakalan, kekhusyu'an, dan keimanan yang sangat kuat.

Ternyata Al Ghazaly  membuktikan sendiri, bahawa memang Allah-lah yang mampu mencabut kekejian dan kemungkaran didalam hati manusia (kalian tidak akan pernah bersih selama-lamanya, akan tetapi Allah-lah yang akan membersihkan hatimu dari pebuatan keji dan mungkar. (Lihat QS Maryam; 21)

Konsep Al qur'an ini sebenarnya sangat sederhana ... hanya dengan berserah diri kepada Allah maka Allah akan membuka hati kita memberikan kefahaman dengan jalan ilham, iaitu ilham kebaikan, ilham kekhusyu'an, dan ilham keimanan, serta perbuatan-perbuatan yang baik (demi jiwa ... dan kesempurnaanya..maka Allah mengilhamkan jalan kejahatan dan jalan kebaikan .. QS.Asy syams 7-8). Sampai kini kita masih mendapat ilham kejahatan kerana ..kejahatan dan kekejian serta ketidak khkusyu'an mengalir dalam batin kita tanpa ada yang mampu menghalaunya termasuk kita ... (mudah-mudahan tidak)

Perlu diketahui bahawa Al Ghazaly sebelum menjadi sufi, adalah seorang guru besar di universitas Nizamiyah, pemikir, filosof, ahli kalam, ahli fikih dan ilmu-ilmu yang lainnya, … justru kerana ilmu-ilmu itu tidak memberikan manfaat terhadap batinnya, maka beliau memutuskan mengamalkan dengan jalan meninggalkan seluruh aktivitinya ... untuk beribadah kepada Allah ... (uzlah ). Setelah berhasil, beliau menulis kitab besar yang di beri nama Ihya' ulumuddin …… Al Ghazaly, pernah melakukan uzlah selama 120 hari … pada saat itulah beliau mendapatkan ilmu kasyf yang terkenal itu.

Demikian-lah kira-kira cerita Al ghazaly, agar menjadi perhatian, bahawa ilmu yang banyak belum tentu memberikan manfaat jika jiwa belum menggantungkan secara penuh hanya kepada Allah…..

Suatu ketika ada seorang jamaah saya (seorang ustaz yang telah mendalami ilmu agama di eplbagai tempat), menghubungi saya melalui telefon mengabarkan putrinya sakit keras … sekaligus minta tolong untuk di do'akan agar sakitnya menjadi sembuh…kelihatannya ia panik dan cemas …saya hanya berkata singkat : "jauh mana antara jarak anda kerumah saya dengan Allah yang maha dekat lagi maha penyembuh ?" ….dia tampak terkejut dengan jawapan saya … kemudian dia sedar …dan tidak berselang lama sekitar dua jam … dia telefon lagi untuk mengabarkan bahawa anaknya sudah sembuh dari sakitnya … Rupanya ia mengadu kepada Allah atas sakit anaknya tersebut ia berdo'a sendiri dengan serius … dan Allah menjawab do'anya.

Demikianlah contoh bahawa agama itu bukan disandang untuk aksi akan tetapi untuk diamalkan...

Selasa, 30 September 2014

JUMUD KITAB DAN KEGILAAN AKIDAH

JUMUD KITAB DAN KEGILAAN AKIDAH 
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Dalam sejarah Islam, terdapat banyak perbalahan dalam kalangan para sarjana yang membawa kepada menghukum individu sarjana lain dengan kafir dan sesat. Kita sepatutnya tidak menyambung segala krisis yang berlaku pada zaman yang lalu.
Sekarang di Malaysia apabila muncul kelompok Ahbash yang menggunakan jenama Ahlus Sunnah wal Jamaah beraliran Ashairah, mereka ini mengkafirkan Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan jalur salafi yang beraliran Hanabilah (Hanbali). Pelampau Ahbash ini mendakwa itulah pegangan Ahlus Sunnah aliran Ashairah. Di sebelah pihak salafi, muncul golongan dari aliran Madkhali yang menyesatkan Ashairah dan semua aliran sufi secara pukal. Maka, dunia Islam yang penuh dengan pepecahan ditambah dengan isu kafir-mengkafir dan sesat menyesat.
Sejarah Ihya
Jika kita hendak menelan bulat-bulat apa yang ulama dahulu hukum antara satu sama lain, maka sudah pasti sukar kita mendapat manfaat dari semua pihak. Umpamanya, pada zaman al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H), Kerajaan Andalus di bawah pimpinan Ali bin Yusuf bin Tashfin (meninggal 537H) yang terkenal sebagai pemerintah yang sangat soleh yang memuliakan ulama fekah telah mengharamkan kitab Ihya ‘Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali. Bahkan kitab Ihya dibakar dengan arahan pemerintah secara rasmi di hadapan MasjidCordova (Qurtubah). Ali bin Yusuf sangat cintakan ulama dan tidak akan mengambil tindakan melainkan dengan arahan ulama. Tokoh ulama ketika itu yang berpengaruh ialah al-Qadi Ibn Hamdin yang menjadi kadi besar Cordova masa itu. (lihat: Muhammad Abd Allah al-Misri, Daulat al-Islam fi al-Andalus, 3/78. Kaherah: Maktab al-Khaniji)
Para ulama Andalus bermazhab Maliki dan beraliran Ashairah dari segi ilmu kalam. Merekalah yang telah menggesa pemerintah yang soleh itu mengharamkan kitab Ihya ‘Ulum al-Dinbahkan kitab itu diarahkan agar dibakar di seluruh Andalus dan Maghribi (Morocco). Mereka mendakwa kitab itu sesat dalam pelbagai isu termasuk dikatakan isu roh yang dibahaskan oleh al-Ghazali.
Jika kita lihat tindakan ulama Andalus ketika itu, tiada kaitan sama sekali dengan aliran Hanbali ataupun al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) yang muncul hampir dua ratus tahu kemudian.
Menarik selepas berakhir zaman tersebut, kitab Ihya mendapat tempatnya di Andalus. Apatahlagi anak murid al-Ghazali yang terbilang iaitu al-Qadi Abu Bakr ibn al-‘Arabi (meninggal 543H) di sana.
Ibn Jauzi
Demikian jika kita lihat tokoh yang sering dirujuk oleh aliran salafi iaitu al-Imam Ibn Jauzi (597H). Beliau bukan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang merupakan anak murid al-Imam Ibn Taimiyyah. Beliau lebih awal dari mereka. Beliau dari segi fekah dari aliran Hanabilah (Hanbali). Tulisannya mengkritik golongan sufi sering digunakan dalam aliran salafi. Antara buku beliau yang terkenal Talbis Iblis. Dalam buku tersebut beliau mengkritik golongan sufi habis-habisan. Antara kenyataannya
“Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasarkan pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Namun dalam akidah, Ibn Jauzi tidak sealiran dengan aliran Hanbali yang tidak mentakwilkan ayat-ayat sifat. Ibn Jauzi mengikut jalan takwil yang diambil oleh aliran Ashairah. Beliau menganggap tafsiran seperti yang dipertahankan oleh Ibn Taimiyyah yang datang seratus tahun selepas beliau itu sebagai satu kesalahan. Namun, oleh kerana Ibn Taimiyyah belum wujud, beliau mengkritik tokoh lain di zaman itu. Beliau mengkritik tokoh besar hadis dalam Mazhab Malik di Andalus iaitu al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (meninggal 463H) yang merupakan ilmuwan agung di Andalus dan pengarang kitab yang terbilang iaitu al-Tamhid yang mensyarahkan Kitab Muwatta al-Imam Malik bin Anas.
Kata al-Imam Ibn Jauzi :
“Aku hairan dengan puak-puak yang mendakwa berilmu tapi cenderung kepada tasybih (menyamakan Allah) dengan cara memahami hadis-hadis secara zahir. Jika mereka sekadar membacanya sahaja seperti mana dalam asalnya, maka itu selamat…tapi puak-puak inipendek ilmu mereka. Mereka kata memahami hadis tidak secara zahir itu merupakan ta’til(memandulkan sifat Allah). Jika mereka itu fahami keluasan bahasa tentu mereka tidak sangka begitu”. Kemudian beliau menyebut: “Aku sungguh hairan dengan seorang lelaki Andalus yang dipanggil Ibn ‘Abd al-Barr yang menulis kitab al-Tamhid. Dia menyebut hadis Allah turun ke langit, lalu dia berkata: “Ini menunjukkan bahwa Allah itu di atas Arasy, jika tidak masakan ada erti bagi perkataan turun”. Kenyataan ini satu kejahilan dalam mengenali Allah Azza wa jalla”. (Soid al-Khatir, 99. Damsyik: Dar al-Qalam).
Jika kita lihat, Ibn ‘Abd al-Barr bukan dari aliran Hanabilah bahkan jauh sekali untuk terpengaruh dengan Ibn Taimiyyah yang lahir dua ratus tahun kemudian. Beliau dari aliran ahli hadis yang bermazhab Malik bin Anas. Sementara Ibn Jauzi dari aliran Hanbali. Namun, perbezaan seperti itu berlaku.
Jadi, soal perbezaan bukan sahaja soal aliran yang seseorang dikaitkan dengannya, tetapi cara dan keputusan fikiran yang diambil. Di Malaysia, ramai yangmendakwa dari aliran Mazhab al-Syafi’i padahal banyak keputusan yang diambil itu tidak mewakili apa yang termaktub dalam kitab al-Imam al-Syafi’i ataupun tokoh-tokoh utama mazhab al-Syafi’i.
Tidak Selamat
Jika kita ambil kira hukuman ulama antara satu sama lain dalam perkara ijtihad, pasti tiada yang selamat.
Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktaziah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur’ah. Tuduhan ini datang dari gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli. Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”.
Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara. Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat”.Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaannya itu menuju ke sana, beliau meninggal sebelum sempat ke Samarkand.
Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr). Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekelian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.
Kita mungkin boleh mengkritik, tetapi janganlah ‘copy and paste’ tulisan silam untuk menghukum pihak lain yang kita mungkin tidak memahami latar keadaan yang dilaluinya. Masalah ijtihad, sekalipun dalam akidah boleh terjadi dan mungkin berlaku kesilapan. Isu ayat sifat umpamanya ialah isu ijtihad yang terdedah kepada persepsi yang pelbagai. Jika orang menyesatkan dan mengkafirkan Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan mereka yang sealiran dengan itu kerana tidak takwil maka kena juga menyesatkan al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr dan ramai lagi sebelum Ibn Taimiyyah yang mengambil pendirian yang sama. Maka, akhirnya kita bukan mengambil manfaat dari para ulama, sebaliknya asyik menyesatkan dan mengkafirkan si fulan dan si fulan seperti kelompok Ahbash tadi yang memakai gelaran Ahlus Sunnah wal Jamaah di Malaysia. Seakan mereka sahaja Ahlus Sunnah dan orang lain semuanya dalam neraka. Demikian kelompok salafi madkhali yang sibuk menyesatkan semua yang tidak salafi dengan panggilan ikhwani, sufi, qaradawi dan lain-lain.
Padahal sifat kemaafan Allah terlalu luas. Ia merentasi apa yang difikirkan oleh akal insan yang cetek. Lebih dari segala kesilapan ijtihad, dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari menceritakan Allah mengampuni kekufuran disebabkan kejahilan: Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w, sabda baginda:
“Dahulu ada seorang lelaki yang kecewa terhadap dirinya. Ketika dia hampir mati, dia berkata kepada anak-anaknya: “Jika aku mati kamu semua bakarlah aku, hancur debukan aku kemudian jadikan aku ditiup angin. Demi Allah! Jika tuhanku dapat menangkapku nescaya DIA akan mengazabku dengan azab yang DIA tidak pernah azab sesiapa pun”. Apabila dia mati, hasratnya dilakukan kepadanya. Maka Allah memerintahkan bumi: “Himpunkan dia”. Maka bumi lakukannya lalu dia pun berdiri (dibangkitkan). Allah berkata: “Apakah yang menyebabkan engkau lakukan tindakanmu itu?”. Dia menjawab: “Wahai Tuhanku, kerana takutkan Engkau”. Maka Allah pun mengampunkannya.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam karyanya al-Istiqamah mengulas hadis ini dengan menyebut:
“Lelaki ini percaya bahawa Allah tidak mempu menghimpunkannya jika dia berbuat demikian ataupun dia syak bahawa Allah tidak membangkitkannya. Kedua-dua iktikad ini kufur yang dihukum kafir sesiapa yang telah tertegak hujah untuknya (sampai kepadanya penerangan yang mencukupi). Namun lelaki ini jahil mengenai hal itu dan tidak sampai kepadanya ilmu yang mengeluarkannya dari kejahilannya. Pun begitu dia ada iman kepada Allah, suruhan dan laranganNYA, janji nikmat dan azabNYA maka dia takutkan balasannya maka dia pun diampunkan disebabkan ketakutannya itu”.
Ibn Taimiyyah menambah lebih dalam lagi:
“Maka sesiapa dalam kalangan ahli iman kepada Allah, rasulNYA, Hari Akhirat serta beramal soleh yang tersilap dalam sebahagian masalah akidah sudah pasti tidak lebih buruk dari lelaki tadi. Allah akan mengampuni kesilapannya (ahli iman tersebut), DIA akan mengazabkannya jika ada kecuaian dalam menuruti kebenaran dengan kadar pegangan agamanya. Adapun mengkafirkan individu yang diketahui imannya hanya semata kerana kesilapan tersebut maka itu satu kesalahan yang besar”. (Ibn Taimiyyah, al-Istiqamah, 1l168, Madinah Munawwarah: Univ al-Imam Sa’ud)