Pages

Memaparkan catatan dengan label Israk Mikraj. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Israk Mikraj. Papar semua catatan

Selasa, 25 April 2017

Iktibar Daripada Kisah Israk Dan Mikraj

Iktibar Daripada Kisah Israk Dan Mikraj

Peristiwa Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan.

Israk Mikraj turut membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Ketika diisrakkan pada malam itu, Rasulullah SAW terlebih dulu menjalani pembedahan dada yang dilakukan Malaikat Jibril dengan mengeluarkan segala kotoran, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-was.

Diisi dengan iman dan hikmah, kemudian dibersihkan hati baginda dengan air zamzam dan dicantumkan semula.

Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq. Ketika perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi malaikat Jibril dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat. Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina dan Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.

Setibanya Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Rasulullah SAW mengerjakan solat sebelum Jibril menghidangkan dua jenis minuman kepada baginda. Lantas baginda memilih susu.

Jibril berkata: “Benar, engkau telah memilih air susu adalah lambang kesucian dan seandainya engkau mengambil minuman keras nescaya akan tersesatlah engkau dan umat engkau.”

Dalam peristiwa Mikraj pula, baginda naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.

Beberapa tanda kebesaran diperlihatkan kepada Rasulullah SAW ketika Israk, antaranya ialah baginda melihat orang yang sedang memotong padi dan selepas tiap potongan, pokok padi itu tumbuh lagi dan demikian seterusnya tanpa henti.

Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah gerangan itu?” Jibril menjawab: “Itulah contohnya umatmu yang suka bersedekah, maka harta yang disedekahkah itu tidak hilang bahkan kian bertambah di sisi Tuhan yang diterima oleh umatmu yang rajin beramal di kemudian hari dengan berlipat ganda.”


Rasulullah SAW turut melihat orang yang memukul kepala dengan besi. Selepas pecah kepala, ia bercantum semula. Kemudian, dipukul lagi dan pecah semula, begitulah seterusnya berulang kali.

Selepas Rasulullah SAW bertanya, Jibril pun menjawab: “Inilah orang yang malas dan enggan mengerjakan solat, kepalanya tidak mahu sujud kepada Allah maka di kemudian hari, dia akan merasakan sendiri kemalasannya itu.”


Ketika Mikraj pula, Rasulullah SAW menempuh perjalanan melalui tujuh lapisan langit, malah ke tempat lebih tinggi dari langit ketujuh itu. Di tempat mulia itulah, Allah SWT menyampaikan perintah mulia untuk baginda dan umatnya, iaitu mengerjakan solat. Nabi mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali sehari semalam tetapi selepas Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Nabi Musa as, akhirnya Baginda mendapat keringanan Allah SWT untuk mengerjakan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam, namun dalam penilaian sebenar, Allah tetap memberi 50 ganjaran pahala.

Rasulullah SAW bersabda: “(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh solat, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan solat itu yang sudah pun dikurangkan hingga tinggal lima saja); maka Allah berfirman yang bermaksud: “Solat fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari).

Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain.

Selepas perintah solat itu, Nabi kembali turun ke langit dunia seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan pulang pada malam yang sama ke Makkah sebelum waktu Subuh. Kecepatan Buraq membolehkan Rasulullah SAW pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku didatangi buraq. Iaitu seekor binatang yang putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai, tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq mencecah bumi.”

Baginda SAW bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang hinggalah sampai ke Baitul Maqdis.”

Begitulah perjalanan dari Makkah ke Palestin, kemudian naik ke langit dan lebih tinggi dari itu sebelum menerima perintah solat.

Diikuti pula pertemuan dengan Rasul terutama bersoal jawab dengan Nabi Musa as, menyaksikan keanehan Sidratul-Muntaha, melihat keindahan syurga.

Dalam ‘pengembaraan luar biasa’ itu, Rasulullah SAW menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan dan seksaan yang diterima manusia kerana melakukan kemungkaran di dunia.dan sebagainya, terus kembali ke alam dunia hingga ke Makkah dengan perjalanan yang singkat.

Peristiwa ini berlaku ketika Nabi berada di puncak kesedihan yang memerlukan sokongan dalaman. Tahun itu dikenali sebagai ‘Aam al Huzni’ (tahun berduka cita).

Berdasarkan catatan sejarah, Nabi Muhammad menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib.

Sesungguhnya, mukjizat Israk dan Mikraj memperlihatkan kekuasaan Allah SWT. Segala peristiwa tercatat seharusnya lebih menguatkan keimanan dan keyakinan manusia terhadap Allah SWT.

Peristiwa ini membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat dan pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa Israk Mikraj ialah seluruh umat Islam bertanggungjawab membebaskan dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang menjadi lambang kebesaran serta tempat suci bagi umat Islam daripada cengkaman Yahudi.

Justeru, mereka perlu berkorban menerbitkan keyakinan manusia terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebenaran kenabian Muhammad SAW.

والله أعلم بالصواب

Ahad, 5 Mac 2017

Roh itu Haqiqat Diri.

Roh itu Haqiqat Diri.

Syeikh Abdul Qodir al-Jailani di dalam kitab "SIRRUL ASRAR" mengatakan;

"Roh adalah haQiQat diri manusia yang sebenar.. Roh adalah Nur Cahaya yang tinggi yang dibaluti dengan beberapa lapisan pakaian sebelum diturunkan ke alam dunia ini agar jasad tidak terbakar"

****

01. Permulaan Penciptaan

Semoga Allah s.w.t memberikan kamu kejayaan di dalam amalan-amalan kamu yang disukai-Nya dan Semoga kamu memperolehi keredaan-Nya. Fikirkan, tekankan kepada pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan.

Allah Yang Maha Tinggi pada permulaannya menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya suci Keindahan-Nya.

Dalam hadis Qudsi Dia berfirman:
"Aku ciptakan ruh Muhammad daripada cahaya Wajah-Ku".

Ini dinyatakan juga oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya
"Mula-mula Allah ciptakan ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya sebagai ruh suci".
"Mula-mula Allah ciptakan qalam".
"Mula-mula Allah ciptakan akal".

Apa yang dimaksudkan sebagai ciptaan permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada Nabi Muhammad s.a.w, Kebenaran tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga diberi nama yang indah-indah. Dia dinamakan nur, cahaya suci, kerana dia dipersucikan dari kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat Jalal Allah.

Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan". (Al-Maaidah, ayat 15)

Dia dinamakan akal yang meliputi (akal universal) kerana dia telah melihat dan mengenali segala-galanya. Dia dinamakan qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf.

Roh Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadian, permulaan dan kenyataan alam maya. Baginda s.a.w menyatakan hal ini dengan sabdanya, "Aku daripada Allah dan sekalian yang lain daripadaku".

Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekalian roh-roh daripada roh baginda s.a.w di dalam alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik.

‘Muhammad' adalah nama kepada sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber, asal usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.

Empat ribu tahun selepas diciptakan cahaya Muhammad, Allah ciptakan Arasy daripada cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk yang lain daripada arasy. Kemudian Dia hantarkan roh-roh turun kepada peringkat penciptaan yang paling rendah, kepada alam kebendaan, alam jirim dan badan.

"Kemudian Kami turunkan ia kepada peringkat yang paling rendah". (Surah Tin, ayat 15)

Dia hantarkan cahaya itu daripada tempat ia diciptakan, dari alam lahut, iaitu alam kenyataan bagi Zat Allah, bagi keesaan, bagi wujud mutlak, kepada alam nama-nama Ilahi, kenyataan sifat-sifat Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan roh yang meliputi (roh universal).

Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan ‘roh pemerintah'. Dengan berpakaian cahaya mereka turun kepada alam malaikat. Di sana mereka dinamakan ‘roh rohani'. Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada alam kebendaan, alam jirim, air dan api, tanah dan angin dan mereka menjadi ‘roh manusia'. Kemudian daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging, berdarah.

"Kemudian Kami jadikan kamu dan kepadanya kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan dibangkitkan sekali lagi". (Surah Ta Ha, ayat 55)

Selepas peringkat-peringkat ini Allah memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan kehendak-Nya mereka pun masuk.
"Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya roh-Ku...". (Surah Shad, ayat 72)

Sampai masanya roh-roh itu terikat dengan badan, dengan darah dan daging dan lupa kepada asal usul kejadian dan perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah ciptakan mereka pada alam arwah Dia telah bertanya kepada mereka:
"Adakah aku Tuhan kamu? Mereka telah menjawab:Iya, bahkan!."

Mereka lupa kepada ikrar mereka. Mereka lupa kepada asal usul mereka, lupa juga kepada jalan untuk kembali kepada tempat asal mereka. Tetapi Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun, sumber kepada segala keselamatan dan pertolongan bagi sekalian hamba-hamba-Nya.

Dia mengasihani mereka lalu Dia hantarkan kitab-kitab suci dan rasul-rasul kepada mereka untuk mengingatkan mereka tentang asal usul mereka.

"Dan Sesungguhnya Kami telah utuskan Musa (membawa) ayat-ayat Kami (sambil Kami mengatakan): hendaklah kamu keluarkan kaum kamu dari kegelapan kepada cahaya, dan ingatkan mereka kepada hari-hari Allah".(Surah Ibrahim, ayat 5)

Iaitu ‘ingatkan roh-roh tentang hari-hari di mana mereka tidak terpisah dengan Allah'.

Ramai rasul-rasul telah datang ke dunia ini, melaksanakan tugas mereka dan kemudian meninggalkan dunia ini. Tujuan semua itu adalah membawa kepada manusia perutusan, peringatan serta menyedarkan manusia dari kelalaian mereka.

Tetapi mereka yang mengingati-Nya, yang kembali kepada-Nya, manusia yang ingin kembali kepada asal usul mereka, menjadi semakin berkurangan dan terus berkurangan ditelan zaman.

Nabi-nabi terus diutuskan dan perutusan suci berterusan sehingga muncul roh Muhammad yang mulia, yang terakhir di kalangan nabi-nabi, yang menyelamatkan manusia daripada kehancuran dan kelalaian.

Allah Yang Maha Tinggi mengutuskannya untuk membuka mata manusia iaitu membuka mata hati yang ketiduran. Tujuannya ialah mengejutkan manusia dari kelalaian dan ketidaksedaran dan untuk menyatukan mereka dengan keindahan yang abadi, dengan penyebab, dengan Zat Allah.

Allah berfirman:
"Katakan: Inilah jalanku yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku kepada Allah dengan pandangan yang jelas (basirah)". (Surah Yusuf, ayat 108).

Ia menyatakan jalan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w dalam menunjukkan tujuan kita telah bersabda, "Sahabat-sahabatku adalah umpama bintang di langit. Sesiapa daripada mereka yang kamu ikuti kamu akan temui jalan yang benar".

Pandangan yang jelas (basirah) datangnya daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka di dalam jantung hati orang-orang yang hampir dengan Allah, yang menjadi sahabat Allah.

Semua ilmu di dalam dunia ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam (basirah). Seseorang itu memerlukan pengetahuan yang datangnya daripada alam ghaib yang tersembunyi pengetahuan yang mengalir daripada kesedaran Ilahi.

"Dan Kami telah ajarkan kepadanya satu ilmu dari sisi Kami (ilmu laduni)". (Surah Kahfi, ayat 65).

Apa yang perlu seseorang lakukan ialah mencari orang yang mempunyai pandangan dalam (basirah) yang mata hatinya celik, dan cetusan serta perangsang daripada orang yang seperti ini adalah perlu.

Guru yang demikian, yang dapat memupuk pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya menyaksikan alam mutlak.

Wahai anak-anak Adam, saudara-saudara dan saudari-saudari! Bangunlah dan bertaubatlah kerana melalui taubat kamu akan memohon kepada Tuhan agar dikurniakan-Nya kepada kamu hikmah-Nya. Berusaha dan berjuanglah.

Allah memerintahkan:
"Dan berlumba-lumbalah kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya (seluas) langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang berbakti. Yang menderma di waktu senang dan susah, dan menahan marah, dan memaafkan manusia, dan Allah kasih kepada mereka yang berbuat kebajikan". (Surah Imraan, ayat 133 & 134).

Masuklah kepada jalan itu dan bergabunglah dengan kafilah kerohanian untuk kembali kepada Tuhan kamu. Pada satu masa nanti jalan tersebut tidak dapat dilalui lagi dan pengembara pada jalan tersebut tidak ada lagi. Kita tidak datang ke bumi ini untuk merosakkan dunia ini.

Kita dihantar ke mari bukan untuk makan, minum dan berak. Roh penghulu kita menyaksikan kita. Baginda s.a.w berdukacita melihat keadaan kamu.

Baginda s.a.w telah mengetahui apa yang akan berlaku kemudian hari apabila baginda s.a.w bersabda, "Dukacitaku adalah untuk umat yang aku kasihi yang akan datang kemudian".

Apa sahaja yang datang kepada kamu datang dalam keadaan salah satu bentuk, secara nyata atau tersembunyi; nyata dalam bentuk peraturan syarikat dan tersembunyi dalam bentuk hikmah kebijaksanaan atau makrifat.

Allah Yang Maha Tinggi memerintahkan kita supaya mensejahterakan zahir kita dengan mematuhi peraturan syarikat dan meletakkan batin kita dalam keadaan yang baik dan teratur dengan memperolehi hikmah kebijaksanaan atau makrifat.

Bila zahir dan batin kita menjadi satu dan hikmah kebijaksanaan atau makrifat dengan peraturan agama (syarikat) bersatu, seseorang itu sampai kepada makam yang sebenarnya (hakikat).

"Dia alirkan dua laut, padahal kedua-duanya bertemu. Antara dua itu ada dinding yang kedua-duanya tidak mampu melewatinya". (Surah Imraan, ayat 19 & 20).

Kedua-duanya mesti menjadi satu. Kebenaran atau hakikat tidak akan diperolehi dengan hanya menggunakan pengetahuan melalui pancaindera dan deria-deria tentang alam kebendaan.

Dengan cara tersebut tidak mungkin mencapai matlamat, sumber, iaitu Zat. Ibadat dan penyembahan memerlukan kedua-duanya iaitu peraturan syarikat dan makrifat.

Allah berfirman tentang ibadat:
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (Surah Dzaariyat, ayat 56).

Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya mengenali Daku'. Jika seseorang tidak mengenali-Nya bagaimana dia boleh memuji-Nya dengan sebenar-benarnya, meminta pertolongan-Nya dan berkhidmat kepada-Nya?

Makrifat yang diperlukan bagi mengenali-Nya boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam yang menutupi cermin hati seseorang, menyucikannya sehingga bersih dan menggilapkannya sehingga bercahaya. Kemudian perbendaharaan keindahan yang tersembunyi akan memancar pada rahsia cermin hati.

Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman melalui rasul-Nya:
"Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali".

Tujuan suci diciptakan manusia ialah supaya mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat.

Ada dua peringkat makrifat yang suci. Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan dalil-dalil yang menjadi kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat tersebut.

Satu lagi ialah mengenali Zat Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat Allah manusia secara zahirnya dapat menikmati kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat.

Makrifat yang memimpin kepada Zat Allah tidak diperolehi dengan diri zahir manusia. Ia terjadi di dalam jiwa atau roh suci manusia yang berada di dalam dirinya yang zahir ini.

"Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan roh kudus". (Surah Baqarah, ayat 87).

Orang yang mengenali Zat Allah menemui kuasa ini melalui roh kudus (suci) yang dikurniakan kepada mereka.

Kedua-dua makrifat tersebut diperolehi dengan hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua aspek; hikmah kebijaksanaan kerohanian yang di dalam dan pengetahuan zahir tentang benda-benda nyata. Kedua-duanya diperlukan untuk mendapatkaan kebaikan.

Nabi s.a.w bersabda, "Pengetahuan ada dua bahagian. Satu pada lidah yang menjadi dalil tentang kewujudan Allah, satu lagi di dalam hati manusia. Inilah yang diperlukan bagi melaksanakan harapan kita".

Pada peringkat permulaannya seseorang itu memerlukan pengetahuan syarikat. Ini memerlukan pendidikan yang mengenalkan dalil-dalil luar tentang Zat Allah yang menyata di dalam alam sifat-sifat dan nama-nama ini.

Apabila bidang ini telah sempurna sampailah giliran pendidikan kerohanian tentang rahsia-rahsia, di mana seseorang itu masuk ke dalam bidang makrifat yang murni untuk mengetahui yang sebenarnya (hakikat).

Pada peringkat yang pertama seseorang itu mestilah meninggalkan segala-galanya yang tidak dipersetujui oleh syariat malah, kesilapan di dalam melakukan perbuatan yang baik mestilah dihapuskan. Perbuatan yang baik mestilah dilakukan dengan cara yang betul, sebagaimana keperluan pada jalan sufi.

Keadaan ini boleh dicapai dengan melatihkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang tidak dipersetujui oleh ego diri sendiri dan melakukan amalan yang bertentangan dengan kehendak hawa nafsu.

Berhati-hatilah di dalam beramal agar amalan itu dilakukan bukan untuk dipertontonkan atau diperdengarkan kepada orang lain. Semuanya mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah, demi mencari keredaan-Nya.

Allah berfirman:
"Barangsiapa berharap menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu dengan Allah dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Surah Kahfi, ayat 110).

Apa yang dihuraikan sebagai daerah makrifat itu adalah tahap penghabisan bagi daerah kejadian yang pertama. Ia adalah permulaan dan merupakan rumah yang setiap orang kembali ke sana. Di sanalah roh suci dijadikan. Apa yang dimaksudkan dengan roh suci adalah roh insan. Ia dijadikan dalam bentuk yang paling baik.

Kebenaran atau hakikat tersebut telah ditanam di tengah-tengah hati sebagai amanah Allah, diamanahkan kepada manusia agar disimpan dengan selamat. Ia bangkit dan menyata melalui taubat yang sungguh-sungguh dan usaha sebenar mempelajari agama.

Keindahannya akan memancar ke permukaan apabila seseorang itu mengingati Allah terus menerus, mengulangi kalimah "La ilaha illah Llah".

Pada mulanya kalimah ini diucapkan dengan lidah. Bila hati sudah hidup ia diucapkan di dalam, dengan hati.

Sufi menggambarkan keadaan kerohanian yang demikian dengan menganggapnya sebagai bayi, iaitu bayi yang lahir di dalam hati, dibela dan dibesarkan di sana. Hati memainkan peranan seperti ibu, melahirkannya, menyusun, memberi makan dan memeliharanya.

Jika anak-anak diajarkan kepakaran keduniaan untuk kebaikannya, bayi hati pula diajarkan makrifat rohani. Sebagaimana kanak-kanak bersih daripada dosa, bayi hati adalah tulen, bebas daripada kelalaian, ego dan ragu-ragu. Kesucian bayi biasanya menyata dalam bentuk zahir yang cantik.

Dalam mimpi, kesucian dan ketulenan bayi hati muncul dalam rupa malaikat. Manusia berharap mendapat ganjaran syurga sebagai balasan kepada perbuatan baik tetapi hadiah-hadiah yang didatangi dari syurga didatangkan ke mari melalui tangan-tangan bayi hati.

"Dalam kebun-kebun kenikmatan...melayani mereka anak-anak muda yang tidak berubah keadaan mereka".(Surah Waqi'ah, ayat 12 - 17 ).

"Melayani mereka adalah anak-anak muda laksana mutiara yang tersimpan". (Surah Tur, ayat 24).

Mereka adalah anak-anak kepada hati, menurut yang diilhamkan kepada sufi, dipanggil anak-anak kerana keelokan dan ketulenan mereka. Keindahan dan ketulenan mereka menyata dalam kewujudan zahir, dalam darah daging, dalam bentuk manusia.

Oleh kerana keelokan dan kelembutan sifatnya ia dinamakan anak-anak hati, tetapi dia adalah manusia sejati yang mampu mengubah bentuk kejadian atau ciptaan kerana dia berhubung erat dengan Pencipta sendiri.

Dia adalah wakil sebenar kemanusiaan. Di dalam kesedarannya tidak ada sesuatu malah dia tidak melihat dirinya sebagai sesuatu. Tiada hijab, tiada halangan di antara kewujudannya dengan Zat Allah.

Nabi Muhammad s.a.w menggambarkan suasana demikian sebagaimana sabda baginda s.a.w, "Ada masa aku dengan Allah di mana tiada malaikat yang hampir dan tidak juga nabi yang diutus".

Maksud ‘nabi' di sini ialah kewujudan lahiriah yang sementara bagi Rasulullah s.a.w sendiri. Malaikat yang paling hampir dengan Allah ialah cahaya suci Muhammad s.a.w, kejadian pertama.

Dalam suasana kerohanian itu baginda s.a.w sangat hampir dengan Allah sehingga wujud zahirnya dan rohnya tidak berkesempatan menghijabkannya dengan Allah.

Baginda s.a.w menggambarkan lagi suasana demikian, "Ada syurga Allah yang tidak ada mahligai dan taman-taman atau sungai madu dan susu, syurga yang di dalamnya seseorang hanya menyaksikan Wajah Allah Yang Maha Suci".

Allah s.w.t berfirman:
"Beberapa muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya dia memandang". (Surah Qiamat, ayat 22 & 23).

Pada suasana atau makam tersebut jika seseorang makhluk termasuklah malaikat mendekatinya kewujudan badannya akan terbakar menjadi abu. Allah s.w.t berfirman melalui rasul-Nya:

"Jika Aku bukakan penutup sifat keperkasaan-Ku dengan bukaan yang sangat sedikit sahaja, semua akan terbakar sejauh yang dilihat oleh pandangan-Ku".

Jibrail yang menemani Nabi Muhamamd s.a.w pada malam mikraj, apabila sampai di Sidratul Muntaha, telah mengatakan jika dia melangkah satu langkah sahaja lagi dia akan terbakar menjadi abu.

Isnin, 29 September 2014

SEDIKIT PENCERAHAN TTG MIKRAJ NABI MUHAMMAD RASULULLAH SAW

"SEDIKIT PENCERAHAN TTG MIKRAJ NABI MUHAMMAD RASULULLAH SAW".
Setelah selesai apa yang diperintahkan Allah swt kepada Rasulullah saw.ia itu solat 5 waktu maka nabi saw pun turun dan mendalami ilmu2 yang diajar sehingga faham,barulah Nabi saw mengajar umatnya mendirikan solat.(solat ertinya doa) mendiri solat bermakna mendirikan doa..sebab itu mendirikan solat itu penting pada orang islam kerana dalam solat itulah macam2 yang kita minta kepada Allah swt.

Subuh 2 Rakaat 
Pertemuan Nabi saw berhadapan Allah azza wajalla.(pertemuan antara 2 Nur).

Zohor 4 Rakaat
Zat Sifat Asma Af'al.
Petemuan Sifat dengan Zatnya Af'al yang melakukan perbuatan kerana hendak membesarkan Asma'nya.

Asar 4 Rakaat.
Iman,Islam Nur dan Syuhud.

Bermakna apa yg berlaku pads Nabi saw perlulah diimankan, kerana iman itu pegangan orang Islam,
Nur Muhammad akan terpancar pada diri mereka dan dengan Nur itulah kita gunakan untuk memandang syuhud terus kepada Allah.
Kerana dengan adanya Nur muhammad saw sahajalah kita boleh memandang wajah Allah swt.

Maghrib 3 Rakaat.
Allah-Muhammad-Adam.
Allah dalil Muhammad yang berada didalam Adam. 
Maka tersimpan Segala Rahsia diri dan Amanah didalam Adam. 
Kitalah penyimpan Rahsia Allah dan Muhammad.

Isyak 4 Rakaat.
Badan Diri Aku(Roh) Diri Siir.
Maka Aku jadikan Manusia sempurna kejadian,
Ku turunkan ke dunia dengan serendah-rendah
Martabat,dan kembali kepada Ku dengan jiwa yang tenang.(Jiwa Mutma'innah).

Jika kita pelajari Ilmu ini kita akan jumpa dahulu 4 perkara;
Badan, Diri, Aku, (Roh) dan Diri Siir.
(Diri sebenar2 Diri Zatulhaq).
(Roh diberikan sifat Manusia untuk menzahirkan
Dirinya-itulah Diri kita yang sebenar).

Sabda Nabi saw.
"Seseorang perlu dilahirkan Dua kali,Untuk sampai kepada Alam Malaikat (Alam Ghaib).
Ia adalah kelahiran maksud daripada perbuatan dan kelahiran Rohani daripada Jasad"

"Orang yang berilmu berkata: "Kami beriman kepadaNya (kerana) semua itu daripada Tuhan kami ".
Dan tidak mengerti melainkan orang-orang yang menpunyai Fikiran".(surah Ali Imraan ayat ;7).

Selasa, 1 April 2014

Peristiwa Israk Mikraj – Perjalanan Nabi Muhammad Bertemu Allah

langit israk mikrajGambar Hiasan
Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW
KEMBALI meneruskan peristiwa penuh bersejarah dengan menyingkap pula perjalanan Mikraj Rasulullah s.a.w di mana Baginda naik ke Hadratul Qudus menemui Allah s.w.t.
Pada masa ini, didatangkan kepada Baginda sebuah Mikraj yakni tangga yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkatlah pintu langit dunia (pintu Hafzhah). Setiap kali Baginda bertemu dengan para nabi, perkataan pertama yang diucapkan ialah assalamualaikum. Ini menunjukkan bahawa pentingnya dan mulianya ucapan salam yang sering kita ucapkan sehari-hari dan kita perlu sentiasa mengamalkan budaya memberi salam sebagai mendoakan kesejahteraan sesama kita. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Berilah makan dan sebarkanlah salam (dengan ucapan assalamualaikum ), nescaya kalian akan mewarisi syurga.” Antara peristiwa yang berlaku di setiap tangga yang dinaiki Rasulullah ialah: Langit pertama: Rasulullah dan Jibril masuk ke langit pertama lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang yang makan riba dan harta anak yatim serta melihat orang berzina dengan rupa dan kelakuan yang sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung kepada susu penzina perempuan.
Langit kedua: Nabi Muhammad dan Jibril naik tangga langit kedua lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya a.s.
Langit ketiga: Naik tangga langit ketiga dan bertemu Nabi Yusuf a.s.
Langit keempat: Naik tangga langit keempat lalu bertemu Nabi Idris a.s.
Langit kelima: Naik tangga langit kelima dan bertemu Nabi Harun a.s yang dikelilingi kaumnya Bani Israel.
Langit keenam: Naik tangga langit keenam dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu Nabi Musa a.s. Baginda disuruh mengangkat kepalanya lalu dapat melihat umat Baginda sendiri yang ramai termasuk 70,000 orang masuk syurga tanpa hisab.
Langit ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu Nabi Ibrahim a.s sedang bersandar pada Baitul Makmur sambil dihadapi kaumnya. Kepada Rasulullah, Nabi Ibrahim bersabda: “Engkau akan berjumpa Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu daif, maka berdoalah untuk umatmu. “Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillahlah Allahuakbar dan Walahaulawalaquwataillabillahi’aliyul’adzim. “Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.” Selepas itu Baginda masuk ke dalam Baitul Makmur lalu solat. Baitul Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah dan adalah tempat malaikat bertawaf.
Tangga kelapan: Di sinilah disebut ‘al-kursi’ yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu.
Sungai yang airnya tidak berubah, sungai susu, sungai arak, sungai madu serta buah, daun dan dahan yang berubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan dan semua keindahan yang tak terperi oleh manusia. Baginda juga dapat melihat air sungai Kauthar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta penunggunya, Malik.
Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk Sidratul Muntaha. Rasulullah w masuk dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib dalam nur ‘arasy iaitu lelaki dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Tangga kesepuluh: Baginda sampai ke Hadratul Qudus dan Hadrat Rabbul Arbab lalu dapat menyaksikan Allah dengan mata kepala Baginda, lantas sujud. Di sinilah Allah memfardukan solat 50 waktu kepada Baginda. Selesai munajat, Rasulullah dibawa menemui Nabi Ibrahim kemudian Nabi Musa.
Nabi Musa bertanya: “Apakah yang difardukan Allah kepada kamu untuk umatmu?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Solat 50 kali sehari.” Nabi Musa kemudian berkata: “Kembalilah menghadap Tuhanmu dan mintalah pengurangan. Sesungguhnya umatmu tidak akan mampu melakukan hal itu.” Lalu Baginda pun berulang alik sebanyak sembilan kali sehingga Allah berkenan mengurangkan waktu solat menjadi lima kali sehari semalam dengan mengekalkan nilai pahala bersamaan solat 50 kali.
Selepas Mikraj, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitulmaqdis. Kemudian dengan menaiki Buraq, Baginda tiba di Masjidil Haram pada malam yang sama. Baginda menceritakan perjalanan itu kepada kaum Baginda, tetapi mereka menuduh Rasulullah berdusta kerana mana mungkin Baginda dapat sampai ke tempat-tempat tersebut dalam masa yang singkat sedang manusia biasa memakan masa yang lama untuk ke sana. Hanya Saidina Abu Bakar sahaja yang membenarkan kata-kata Baginda lalu beliau diberi gelaran As-Siddiq yang bermaksud ‘yang membenarkan.’ Peristiwa Israk Mikraj memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran dan seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati dan takut kepada kekuasaan.