Pages

Memaparkan catatan dengan label ahlul bait. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ahlul bait. Papar semua catatan

Khamis, 1 September 2016

Apakah Itrah Ahlul Bait itu?

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

RAHSIA DALAM RAHSIA

Mencari Ahlul Bait yang tersembunyi...

Apakah Itrah Ahlul Bait itu?

1. Mereka mampu memberikan jawapan terhadap apa jua kupasan yang diutarakan oleh ummat. Sekurang-kurangnya mereka mahir berfikir dan kuat menggunakan akal yang waras.

2. Setiap daripada mereka telahpun ditanda pada tubuh jasad mereka.

3. Sampai satu masa, akan tibalah fitnah yang besar di alam semesta ini.

4. Ketika fitnah itu tersebar, kesemua mereka ini seakan-akan diam dan tidak mampu berani berkata-kata. Apa yang mereka ketahui tidak dapat disuarakan. Setiap yang mereka suarakan akan ditentang habis-habisan oleh orang ramai.

5. Sampai satu tahap, mereka mungkin dikejar-kejar. Mereka mungkin diperhatikan. Mereka mungkin dipantau.Mereka mungkin akan dibunuh oleh orang-orang yang bencikan kebenaran. Mereka mungkin dimusuhi dan diperangi oleh orang yang takutkan kebenaran.

6. Zaman fitnah itu sedang kita lalui sekarang dan sedang menuju kemuncaknya dalam beberapa tahun lagi.

7. Dizaman yang kita sedang lalui ini, alangkah susah dan sukarnya hendak menegakkan kebenaran.

8. Ramai orang terkeliru antara benar dan salah. Ramai orang tidak dapat membezakan kaca dan permata. Kebenaran itu tersirna tatkala disuluh dengan cahaya yang amat terang benderang.

9. Kita tidak dapat lagi meneliti apakah sumber cerita kita itu benar atau salah. Kerana kita sudah tidak punya sumber rujukan kita tersendiri.

10. Kebenaran dalam kitab-kitab sudah dihapuskan.

11. Kebenaran dalam cerita-cerita sudah banyak ditokok tambah.

12. Kebenaran hanya tinggal pada lisan yang jujur dan menyampaikan daripada satu guru kepada satu guru dan disampaikan pula kepada kita.

13. Kebenaran itu tidak mustahil akan datang daripada orang yang perwatakannya biasa-biasa sahaja.

14. Mereka menyembunyikan kebenaran yang mereka ketahui.

15. Mereka runsing sekiranya kebenaran itu terbuka tatkala ummat terkeliru, nescaya leher mereka akan dipancung.

16. Kerana itulah Saidina Ali KMW pernah berkata, sesungguhnya aku menggenggam dua karung ilmu milik Rasulullah SAW dan satu daripadanya aku beri kepada umum dan satu lagi tidak.

17. Itu sendiri telah menzahirkan betapa ketika itu juga telah berlaku fitnah yang menyebarluas.

18. Ekoran fitnah di zaman itulah ia meleret sehingga ke zaman ini.

19. Sejarah kita sebagai umat Islam telah berputar belit.

20. Kita hanya tahu sejarah yang umum sahaja yang ada tertulis dalam lembaran kitab.

21. Majoriti kita tidak pernah tahu siapa Nabi bagi ummat Melayu. Sedangkan Nabi Muhammad SAW pernah berkata, setiap bangsa itu telah diutuskan bagi mereka Nabi mereka.

22. Majoriti kita tidak pernah tahu sejarah yang berlaku semasa zaman Nabi Nuh AS dan zaman Nabi ALLAH Sulaiman AS.

23. Ramai orang tercari-cari sejarah yang hilang ini.

24. Ada yang mencarinya kerana mahukan sesuatu. Ada yang mencarinya kerana mahukan pengikut. Ada yang mencarinya kerana kemasyhuran. Ada yang mencarinya kerana mahukan harta kekayaan. Ada yang mencarinya kerana mahukan pangkat dan gelaran sebagai raja atau imam agar diikuti orang. Ada juga yang mencarinya kerana mahu menjejak keturunan Ahlul Bait yang dicari-cari.

25. Antara keturunan Ahlul Bait yang dicari itu, ada yang mencari mereka kerana mahu membunuhnya dan ada yang mencarinya kerana mahukan kebenaran.

26. Lantas setelah mereka bertemu dengan kebenaran, maka mereka tidak lagi berpaling dan terus berjalan kehadapan.

27. Ramai orang gagal dalam cubaan. Mereka ragu di dalam hati. Apakah jalan yang aku bawa ini benar atau tidak?

28. Hati mereka goyang dan gentar tatkala mereka menyaksikan ramainya umat Islam yang tidak sefahaman dengannya.

29. Alangkah bahagianya orang yang dapat menggenggam erat kebenaran dan mengamalkannya. Paling kurang dia amalkan untuk diri sendiri. Alangkah bahagianya dia kerana berjaya beroleh kebenaran yang dicari ramai orang.

30. Alangkah bahagianya mereka ketika itu, merekalah sebenarnya golongan yang sedikit itu.

31. Hati-hati mereka bertaut antara satu sama lain bagaikan Ikhwan dan Ikhwan yang lain saling berkasih sayang. Mereka tahu peranan mereka sesama lain.

32. Tetapi, tiada siapa yang tahu betapa peritnya hidup mereka ketika mana kefahaman mereka ditolak majoriti umat. Kebenaran yang mereka sampaikan disangkal oleh orang awam.

33. Ketika itulah, Al-Furqan akan berperanan sebagai pembeza antara yang Haq dan Bathil.

34. Ramai juga orang yang merasa diri mereka benar. Tetapi mereka akan gagal dan jatuh terjelepuk tatkala bertemu Al-Furqan.

35. Orang yang dihati mereka punyai Baitullah, sudah pasti akan dengan mudah dapat membezakan mana satu yang Haq dan mana satu yang batil.

36. Dalam berjuta kebenaran, hanya ada satu sahaja HAQ.

37. Maka, kesimpulan daripada kisah tentang kebenaran ini, dapatlah kita nilai sejauh mana kepercayaan yang telah kita pegang.

38. Dari situ dapatlah kita ketahui apa yang harus kita lakukan setelah ini. Adakah sudah benar jalan yang kita bawa?

39. Adakah guru mursyid kita sudah pernah mengajarkan kepada kita segala Ilmu yang disampaikan ini??

40. Nah, sekarang tiba giliran anda semua setelah penat membaca.

41. Anda punya hak untuk membezakan mana kaca mana permata.

42. Maka, bezakanlah pemahaman yang murni itu dengan pemahaman yang tidak murni. Asingkanlah.

43. Ketika itu, ambillah yang HAQ dan tinggalkan yang bathil.

44. Teruskan perjalanan dan teruskan pencarian anda.

45. Anda akan bertemu juga dengan kebenaran disuatu masa nanti.... Tekadkan dalam hati. Nescaya akan ketemu jua !

ALLAHUMMA Solli Ala Muhammad wa Aali Muhammad, Wa Ajjil Farjahum. Solaatan Daaimatan bi Dawaami Mulkillah. Alaika Ya Sayyidi Ya RasulALLAH. Solla AlaikaALLAH, Ya Adnani....

Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Muhammad bin Abdullah, penghulu sekalian ummat dan sebaik-baik manusia pembawa Rahmat. Salam kesejahteraan buat seluruh Ahli Bait yang terpelihara dan kepada para Sahabat-sahabat Baginda yang baik-baik. Semoga kita semua digolongkan dalam kalangan orang-orang yang menerima petunjuk dan dapat mengikuti jejak langkah perjuangan Imam Mahdi. Semoga kita sama-sama dijauhkan daripada fitnah Dajjal.

WALLAHUA'lam Bessawab.

Al Habib Syed Padzil Barakbah

Selasa, 30 September 2014

DAKWAAN GURU TAREKAT ADA PELBAGAI KEAJAIBAN?

DAKWAAN GURU TAREKAT ADA PELBAGAI KEAJAIBAN?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Soalan: Prof Madya Dr Mohd Asri, keluarga saya ada terpengaruh dengan ajaran tarekat tertentu. Saya makin risau. Mereka asyik memuja tuan guru mereka. Mereka kata dia keturunan nabi jangan dipertikaikan, dia ada keramat, dia boleh tahu apa yang ada dalam hati kita dan macam-macam lagi. Saya nampak mereka bukan asyik menceritakan kehebatan Islam, tetapi kehebatan tok guru mereka. Harap Dr MAZA dapat berikan pendapat tentang hal ini.
 Aishah, Seremban, NS.

Jawapan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Terima kasih kepada saudari yang bertanya. Dari soalan saudari tampak saudari menghayati hakikat sebenar ajaran Islam. Islam berteraskan tauhid dan anti syirik. Asas ajaran Islam ialah membesarkan Allah dan menghayati ajaran Allah berdasarkan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. Jika mana-mana guru menumpukan ajarannya kepada membesar Allah dan mengikuti ajaranNya seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w, maka itulah ajaran yang benar. Jika tumpuan kepada membesarkan guru, sibuk menceritakan kehebatan guru, maka itu telah terbabas dari ajaran Allah dan rasulNya. Di sini beberapa perkara patut diberikan perhatian;

1. Kesalahan sesetengah ajaran guru tarekat mereka cuma menjadikan diri mereka pusat kekaguman pengikut dengan mengada-adakan cerita kehebatan diri. Mengambil kesempatan dari fanatik pengikut menyebabkan kita lihat walaupun tarekat kononnya mengajar penganutnya agar meninggalkan cinta dunia, tetapi guru-guru tarekat yang hidup dengan kemewahan. Bahkan, menjadi trend sesetengah guru ini untuk mendampingi orang kaya dan berkuasa.
Hal ini sangat berbeza dengan mereka yang zuhud pada zaman salafussoleh. Pada zaman dahulu, walaupun ramai penguasa yang soleh, namun golongan zuhhad (ahli zuhud) yang ikhlas ini enggan mendampingi mereka bimbangkan percikan dunia. Hari ini banyak penguasa yang tidak soleh, tetapi kita lihat golongan yang menyandar diri kepada terekat ini ramai suka memakmurkan majlis-majlis kemeriahan penguasa, memuji mereka dan mendapat habuan dari mereka. Maka, sesetengah guru menjadikan ‘bicara rohani’ atau bicara keajaiban diri untuk membina empayar harta dan pengaruh.
2. Bagaimanakah seorang guru boleh mendakwa bahawa dia mengetahui apa yang tersembunyi dalam dada muridnya, sedangkan Rasulullah s.a.w pun tidak mendakwa demikian? Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:
“Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, baginda pun menilai berdasarkan apa yang zahir dan tidak mengetahui yang batin, sedangkan baginda seorang nabi. Hanya jika ada kes tertentu yang baginda mendapat wahyu daripada Allah.

3. Nabi s.a.w pernah melihat sahabat mengahwinkan pokok tamar, lalu baginda bersabda:
“Apa yang sedang kamu lakukan?”. Jawab mereka: “Kami telah lakukannya sebelum ini”. Jawab baginda: “Barangkali jika kamu tidak buat ia lebih baik”. Maka mereka pun tidak melakukannya, lalu pokok tidak berbuah. Mereka menyebut hal tersebut kepada Nabi s.a.w, lalu baginda bersabda: “Aku ini manusia. Apabila aku menyuruh kamu dari perkara agama, maka ambillah (patuhlah). Jika aku menyuruh kamu sesuatu dari pendapatku, maka aku hanyalah seorang manusia” (Riwayat Muslim).
pokok-tamar.jpg
Gambar Hiasan – Pokok Tamar

Apakah guru tarekat lebih daripada Nabi s.a.w sehingga mengetahui segala perkara yang zahir dan yang tersembunyi?
4. Keturunan Nabi s.a.w memanglah satu kelebihan. Namun, itu bukan pengukur utama kemuliaan seseorang. Tiada sistem kasta dalam Islam. Berlebihan dalam memuliakan keturunan tertentu itu menyerupai ajaran hindu, atau dalam umat ini seperti ajaran Syiah. Sedangkan al-Quran menyebut:
“Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa” (Surah al-Hujurat: 13 ).
Nabi sendiri pernah menyebut:
“Wahai Fatimah binti Muhammad! Wahai Sofiyyah binti ‘Abd al-Muttalib! Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dari (hukuman) Allah” (Riwayat Muslim).
Ertinya, yang menyelamatkan seseorang itu iman dan takwa sendiri, bukanlah keturunannya.
5. Kaum keluarga Nabi s.a.w dihormati, namun ada batasan. Prof Hamka mengkritik keras dakwaan Ibn ‘Arabi iaitu tokoh rujukan sebahagian besar golongan tarekat yang menyatakan kita hendaklah menerima apa sahaja yang dilakukan oleh mereka yang berketurunan Nabi s.a.w. atau kaum sayyid kepada kita. Kata Prof Hamka:

“Tegasnya menurut fatwa Ibn Arabi ini kalau bangsa sayyid atau habib mengambil harta-benda kita hendaklah redha, hendaklah serahkan, hendaklah sabar, kalau diganggunya diri kita ditamparnya, dipukulnya hendak redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar. Sebab beliau cucu nabi kita dan kalau diganggunya kehormatan kita sehingga kita jadi malu, hendaklah redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar, kalau diganggu anak isteri kita dan kaum keluarga kita, hendaklah terima dan redha dengan menyerah dan sabar…maka perkataan Ibn Arabi ini ditanamkanlah kepada orang awam. Padahal sangat membawa hinanya sesetengah manusia di hadapan yang setengahnya, sehingga lebih hina mereka daripada budak yang telah sepuluh kali dijual dan sepuluh kali berganti tuan. Walaupun hartanya atau dirinya bahkan walaupun anak gadisnya diganggu oleh ahli bait, zuriat Rasul, dia menyerah saja dan wajib memandang itu sebagai nikmat sesudah iktisadnya dann hidupnya dijajah oleh British dan Belanda dan Cina, maka jiwanya pula wajib dijadikannya sebagai budak dan jajahan kepada kaum sayyid” (Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 72, Selangor: Pustaka Dini).

buku-hamka.jpg

6. Para sahabah yang mulia seperti Abu Bakr, Umar dan lain-lain pun tidak pernah berkempen tentang kehebatan diri mereka. Sebaliknya, mereka sentiasa mengajak umat Islam mendahulukan Allah dan rasulNya. Ketika Abu Bakr r.a dilantik menjadi khalifah, beliau berucap:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku… Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Padahal, orang seperti Abu Bakr al-Siddiq telah dimuliakan oleh al-Quran dan al-Sunnah, namun masih lagi mengingatkan bahawa asas Islam kembali kepada membesarkan Allah dan RasulNya. Apakah sesetengah guru tarekat ini lebih hebat daripada Abu Bakr?
7. Sesiapa sahaja hendaklah patuh kepada al-Quran dan sunnah. Ukuran kita apa yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah, bukannya tokoh. Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H):
“Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang daripada kesilapan (maksudnya RasululuLah S.A.W) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat kekeliruan pada ikutan tersebut. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima, kita tinggalkannya.”. (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 165, Beirut: Dar al-Kitab al-`Arabi).
8. Islam mengeluarkan kita dari kebodohan kepada kebijaksanaan. Dari mengikut sesuatu secara membabi buta kepada menilai dan memahami sebelum mengikut. Firman Allah:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya”. (Surah al-Isra’: ayat 36).
Wajib setiap perkataan guru dibandingkan dengan al-Quran dan al-Sunnah dan haram mengikut mengikut sesuatu yang jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
9. Mempelajari agama dari mana-mana tokoh bukanlah masalah utama, tetapi sikap bertaklid tanpa menilai dan berfikir itulah yang membawa kepada kesesatan. Jika ada tarekat yang bersumberkan al-Quran dan hadis yang sahih, maka tiada salah mengikutnya. Kesufian dan tasawwuf juga tidak menjadi masalah jika berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Namun pastikan bukan seperti yang diingatkan oleh Syeikh Manna’ al-Qattan:
“Tasawwuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya”( Mabahith Fi `Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif).