Pages

Selasa, 5 November 2013

Ilmu makrifat itu, adalah ilmu rohani, ilmu jiwa atau ilmu rasa

Ilmu makrifat itu, adalah ilmu rohani, ilmu jiwa atau ilmu rasa. Amat mustahil ilmu-ilmu sebegini boleh dilihat dengan jangkauan akal manusia biasa. Ia merupakan suatu anugerah Allah s.w.t kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan ilmu ini tidak terdapat ataupun diperolehi melalui mana-mana sukatan pelajaran di sekolah-sekolah dan di dalam sukatan mata-pelajaran, melainkan hanya ada pada dada-dada para mukmin.
Ilmu makrifat itu, adalah merupakan sesuatu ilmu anugerah Allah s.w.t. Ilmu makrifat itu, adalah ilmu rohani yang boleh menyentuh, merobek, menyiat dan meleburkan hati. Ilmu makrifat itu, adalah ilmu yang dapat membawa dan membimbing kita sehingga sampai kepada jalan “mati sebelum mati“. Hanya dengan jalan mati sahaja kita akan dapat menemui dan mengenal Allah!.
Untuk mencari dan mengenali perkara hidup atau benda hidup (mencari atau mengenal Allah), kita hendaklah terlebih dahulu mencari dan mengenali benda mati atau mengenali perkara mati!. Seumpama kita hendak menikmati rasa sihat, sebelum kita tahu apa itu erti sihat, kita kena terlebih dahulu melalui jalan sakit. Setelah menikmati rasa sakit, baru kita tahu apa itu erti sihat!. Harus terlebih dahulu melalui sakit, baru boleh mengenal rasa sihat!.
Seumpama kita hendak menikmati rasa manis, hendaklah terlebih dahulu melalui rasa tawar. Untuk menikmati rasa kaya, hendaklah terlebih dahulu melalui rasa miskin. Untuk mengetahui warna putih, hendaklah terlebih dahulu mengetahui warna hitam. Untuk mengetahui apa itu tinggi, hendaklah terlebih dahulu mengetahui apa itu pendek. Begitu juga dengan ilmu hidup. Untuk mengetahui ilmu hidup itu, hendaklah terlebih dahulu melalui ilmu mati atau jalan mati!. Yang bersifat hidup itu, hanya Allah. Untuk mengetahui yang Allah itu bersifat hidup, hendaklah terlebih dahulu mengetahui yang bahawasanya makhluk itu atau diri kita itu, bersifat dengan sifat mati!.
Setelah benar-benar mengetahui yang makhluk itu bersifat mati, barulah kita mengetahui dan mengenal yang bahawasanya hidup itu, adalah Allah. Jadi untuk mengenal Allah itu, hendaklah terlebih dahulu mempelajari, mendalami dan mengenal ilmu mati iaitu ilmu “mematikan diri kamu sebelum kamu mati!”. Barulah Allah akan dapat kita kenal dengan nyata, jelas, terang, tanpa ragu dan tanpa was-was!. Setelah kita benar-benar mati (mati sebelum mati), barulah ilmu hidup yang sebenar-benar hidup itu dapat dimengerti!.
Ilmu ini, adalah ilmu rasa. Hanya orang yang minum sahaja yang akan dapat tahu manis atau masinnya air, “orang yang menikmati sahaja yang mendapat tahu” (La ya zuk, wala ya arif). Ilmu ini adalah ilmu mencari kaedah dan bukannya ilmu mencari faedah. Ilmu ini, adalah ilmu yang bukan mencari syurga, bukan mencari pahala atau bukan mencari ganjaran. Ilmu ini, adalah ilmu mencari ikhlas. Ilmu ini, adalah ilmu mencari rasa!, iaitu mencari rasa didalam rasa!. Iaitu ilmu lihat dalam penglihatan dan ilmu dengar dalam pendengaran………………….
Inilah diantara tujuan utama dan tujuan sebenar dinukilkan atau dikarang kitab ilmu makrifat ini kedalam bentuk tulisan yang akan dijadikan sebagai bahan rujukan oleh generasi yang akan datang, sementara menunggu pulang kerahmatullah!.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.