Pages

Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan

Selasa, 30 September 2014

ADAKAH DOSA DAN PAHALA DALAM MENGUNDI PILIHANRAYA?

ADAKAH DOSA DAN PAHALA DALAM MENGUNDI PILIHANRAYA?
Jawapan: Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin


Kepada Dr Mohd Asri, apabila menjelang pilihanraya, pelbagai pandangan akan dikeluarkan oleh macam-macam pihak. Ada yang kaitkan isu-isu agama dengan proses membuang undi. Soalan saya, sejauh manakah soal dosa dan pahala dalam mengundi ini. Apakah seseorang itu boleh dikira berdosa atau dapat pahala kerana mengundi parti tertentu? Harap Dr Asri tolong huraikan.
Zamani, Johor.

JAWAPAN PROF MADYA DR MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN:
Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Sebagai seorang muslim kita wajar prihatin terhadap perkara-perkara yang seperti ini. Apatahlagi, persoalan seperti undian dalam pilihanraya yang walaupun kelihatan sangat ringkas prosesnya, tetapi mempunyai kesan yang besar terhadap pembentukan sesebuah negara
Sekalipun kadang-kala ada perkara dalam sistem pilihanraya itu tidak memenuhi kehendak syarak, namun kepentingannya terhadap masa depan sesebuah negara itu tidak dapat dinafikan. Bahkan, jika diperhatikan sistem demokrasi jauh lebih baik dari segala sistem lain yang sedang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan di dunia hari ini.
Melalui demokrasi, rakyat dapat bersuara dan memilih orang yang mereka redha sebagai pemimpin. Pemimpin pula tidak begitu berani melakukan kezaliman dan penyelewengan disebabkan mereka tahu rakyat mempunyai hak dalam menentukan kedudukan mereka. Ini lebih baik dari sistem autocracy
Bahkan demokrasi yang adil akan lebih baik dari pentadbiran sesetengah para pemerintah dalam sejarah umat Islam pada zaman Umawiyyah, ‘Abbasiyyah dan selain mereka yang bersifat kuku besi dan bertindak tanpa menghormati hak rakyat. Untuk menjawab persoalan saudara tentang dosa dan pahala undian dalam pilihanraya, maka saya sebut perkara-perkara berikut;

1. Pada asasnya dalam Islam, setiap amalan kebaikan atau yang membawa kebaikan maka pengamalnya memperolehi pahala. Begitu juga, setiap amalan buruk atau yang membawa keburukan maka pengamalnya memperolehi dosa. Besar atau kecil pahala dan dosa itu, bergantung kepada besar atau kecil kesan kebaikan atau keburukan sesuatu amalan. 
Maka, mengundi dalam pilihanraya boleh membawa kesan baik dan buruk kepada sesebuah masyarakat dan negara. Jika kesannya baik dan pengundi itu pula memang inginkan kebaikan tersebut, maka itu adalah amalan soleh. Jika kesan buruk dan pengundi tersebut memang inginkan kesan yang buruk itu, atau boleh menjangkanya, atau dia tidak peduli dengan buruk atau baik kesan undiannya itu, maka dia memperolehi dosa.

2. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik dan al-Tirmizi).
Kata tokoh ulama salaf yang besar Sufyan bin ‘Uyainah (meninggal 198H)
“Hadis ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkai Allah) ialah yang mendorong pemerintah melakukan kezaliman” (Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi, 7/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Ya, berdasarkan hadis ini, sekalipun pengucapnya tidak menyangka sebegitu besar kesan ucapannya, atau menganggapnya kecil, namun disebabkan kesan baik dan buruk dari ucapannya itu, maka dia mungkin mendapat pahala, ataupun dosa. Hal ini samalah seperti undian dalam pilihanraya.
3. Maka undi juga bagaikan satu kalimat, bahkan mungkin lebih, yang mana ia boleh memberikan kuasa kepada seorang pemimpin yang baik atau kuasa untuk pemimpin yang jahat atau zalim atau tidak bertanggungjawab. Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut:
“Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kalimat itu konteks demokrasi adalah undi dalam pilihanraya. Seseorang hendaklah berfikir kesan undi yang diberikan kepada seseorang calon terhadap negara dan rakyat.
4. Kita hendaklah sedar bahawa undian itu membawa maksud bersetuju memberikan mandat kepada seseorang bagi sesuatu kepimpinan. Maka, sebelum mandat tersebut hendak diberikan, wajib kita memastikan samada dia berkelayakan atau tidak. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).
Memberikan undi kepada yang tidak berkelayakan adalah mengkhianati amanah.
5. Untuk menentukan kelayakan seseorang itu, maka secara umumnya hendaklah dilihat kepada dua ciri yang penting yang disebut oleh al-Quran al-Qawiy (kuat atau mampu) dan al-Amin (amanah atau bertakwa). Firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).
Dua ciri ini hendaklah dilihat dalam kerangka jawatan yang hendak diberikan. Jika jawatan itu membabitkan kewangan umpamanya, maka kemampuan dalam pengurusan kewangan dan digabungkan dengan nilai amanah dalam diri calon yang dilantik. Begitulah juga jawatan dalam bidang-bidang yang lain. Maka dilihat kemampuan calon dalam tanggungjawab yang hendak diberikan dan nilai amanah dalam dirinya.
6. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah:
“Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kekuatan/kemampuan) dan al-Amanah…Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan…al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah-pent.)”. (m/s 26. Kuwait: Dar al-Arqam)
7. Ertinya, sebelum seseorang itu mengundi, dia hendaklah memastikan individu yang diundi itu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab bagi jawatan tersebut dan mempunyai nilai amanah dalam diri yang tinggi. Jika tidak, bererti dia memberikan undinya kepada orang yang zalim yang akan mengkhianati tanggungjawab. Apatahlagi, jika calon itu memang sudah ada rekod buruk dalam tanggungjawabnya. Juga, hendaklah dipastikan kesan undi itu tidak membawa keburukan kepada negara secara umumnya. Allah berfirman: (maksudnya)
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113)
8. Maka, kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya, hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda:
“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).
9. Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat.

RASA BERSALAH KERANA ISLAM

RASA BERSALAH KERANA ISLAM
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Jika kita menonton berita di seluruh dunia, apatahlagi di Barat ini, kelihatan Islam seolah agama yang teramat bermasalah. Negara-negara umat Islam tidak habis-habis dengan krisis, orang Islam pulak dikaitkan dengan kegiatan keganasan di sana sini. 
Tiada satu hari rasanya yang tiada berita yang menggambarkan keburukan umat Islam. Maka, janganlah hairan jika ada muslim di Barat ini terasa berat untuk mengaku muslim.
Maka mengkagumkan saya, wanita-wanita muslimah yang terus berhijab ketika berada di Barat ini. Mereka ini tanpa memperkenalkan diri pasti diketahui bahawa mereka muslimah. Mereka tidak apologetic dengan Islam mereka.

Lebih mengkagumkan lagi kumpulan-kumpulan dakwah yang giat berdakwah kepada Islam untuk masyarakat di sini. Hampir setiap minggu saya ke Speakers’ Corner di Hyde Park London, saya lihat kesungguhan berkempen kepada Islam oleh ramai muslim di sini. 
Demikian juga banyak kegiatan dakwah orang muslim di sana sini di London ini. Program-program masjid juga agak aktif. Mereka yang bersungguh ini kebanyakannya orang biasa, bukan ilmuwan besar tapi ada kesungguhan yang besar. Tiada gaji khusus untuk dakwah, tapi ada semangat yang khusus untuk dakwah dalam suasana yang seperti ini.
Apologetic Feeling
‘Apologetic feeling’ muncul dalam perasaan muslim dalam era ini setelah media massa menguasai pemikiran manusia yang menggambarkan keburukan Islam. Apologetic syndrome ini makin mudah menjalar terutama yang hidup di tengah-tengah masyarakat Barat. 
Justeru saya kagum dengan Sayeeda Warsi wanita muslim pertama dalam cabinet UK yang meletakkan jawatan kerana tidak puas hati terhadap sikap David Cameron mengenai isu Gaza. Sedangkan dalam negara orang muslim ada yang menggelar diri ulama dan ahli politik bukan sahaja takut membantah Israel sebaliknya membantah orang yang memboikot barangan Israel.

Saya membaca berita Malaysia tentang seorang melayu yang mati terkorban berjuang di Syria. Saya tidak kenal dan tidak tahu siapa beliau itu. Saya baca wawancara media dengan beliau. Nampak macam menarik. Maka, saya tidak berani mengulas. 
Apakah beliau bersama dengan kumpulan pengganas yang membunuh orang yang tidak berdosa ataupun beliau memang memerangi mereka yang kejam dan zalim terhadap wanita, kanak-kanak, orang tua dan masyarakat awam yang tidak bersalah. 
Tersalah ulas kita berdosa dengannya dan dihukum oleh Allah jika dia memang ikhlas dan benar. Sesiapa yang menghina orang baik yang mati, apatahlagi kekasih Allah pasti akan menerima hukuman Allah di dunia dan di akhirat.
Syahid
Saya lihat ada pihak yang memakai topi agama begitu pantas mengulas. Ada yang kata diamati katak’. Ada yang kata tempatnya dalam neraka. Sama sekali dia bukan syahid. Begitu pantas hukumannya. 
Saya teringat semasa tragedi MH17 baru-baru, kelompok agamawan ini juga dengan jelas menyebut mangsa yang terkorban itu syuhada. Katanya, mereka syahid akhirat kerana kemalangan. 
Padahal, jika kategori syahid akhirat itu hendak di ‘highlightkan maka setiap yang kemalangan samada atas jalanraya ataupun selainnya juga syahid. Sabda Nabi s.a.w:
“Siapakah yang kamu hitung sebagai syahid dalam kalangan kamu?”. Jawab para sahabat: “Wahai Rasulullah! Sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid”. Jawab baginda: “Kalau begitu, para syuhada umatku sedikit”. Tanya mereka: “Siapakah mereka (syuhada) wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid, sesiapa yang mati disebabkan taun maka dia syahid, sesiapa yang mati disebabkan sakit perut maka dia syahid” (Riwayat Muslim).
Maka, sepatutnya kita sebut setiap musim perayaan ‘telah syahid pada musim perayaan ini si fulan bin si fulan’ di lebuhraya sekian dan sekian ketika pulang berhari raya. Memang secara umumnya mereka yang mati kesakitan dan kemalangan mendapat fadilat tertentu. 
Namun tidaklah disebut sebagai syahid dalam kategori khas yang membabitkan jihad fi sabilillah. Cumanya, sejak sekian lama kemalangan jalanraya di Malaysia, pernahkah kita lihat mereka mengeluarkan kenyataan syahid ini? Maka, kita pun faham, kenyataan golongan agama banyak yang bersifat ‘pasaran semasa’ bagi menunaikan ‘market demand’.
Apabila kita sebut syahid, ataupun makam syuhada seperti yang terdapat di Mutah, Jordan maka dimaksudkan syahid berperang pada jalan Allah. Apologetic feeling ataupun mungkin ‘periuk nasi feeling’ menyebabkan ada yang takut untuk menyatakan pejuang Palestin itu syahid takut kita dilebel sebagai cenderung kepada pengganas. Ini penyakit sesetengah agamawan ‘jawatan berkontrak’.
Terrorism
Kita tidak pernah menyokong keganasan terhadap mereka yang tidak berdosa daripada mana-mana pihak, termasuk yang berjuang atas nama Islam. Namun, mengapakah kita mesti menyimpulkan setiap yang berjuang membela rakyat Syria yang sedang dibunuh secara kejam dan zalim itu sebagai pengganas dan perjuangan mereka sia-sia?! Apakah semua mereka ISIS?
Jika kita tidak berani menyimpulkan dia syahid ataupun tidak, apakah kita perlu menyatakan dia mati sia-sia? Kita pun tidak tahu keadaan mereka yang mati semasa tragedi MH17 baru-baru. Pun secara umum ada yang menyebut syahid. Saya tidak menyimpulkan syahid ataupun tidak pada saudara kita yang terkorban di Syria baru-baru ini. Saya tidak tahu tentang beliau. 
Namun, kaedah umum sesiapa yang berjuang kerana Allah membela agamanya, membela mereka yang tertindas dan dizalimi, berpandukan cara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w, jika dia terkorban maka dia syahid. Sesiapa yang berjuang untuk hawa nafsunya, menyanggahi jalan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w jika dia terkorban maka dia tidak syahid.
Dalam al-Quran Allah berfirman: (maksudnya)
“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).
Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H):
“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).
Namun di sana ada hadis, kata Abu Hurairah r.a:
“Kami menyertai Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, “dia dalam kalangan ahli neraka”. Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah s.a.w: “Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati”. Jawab baginda: “Ke neraka”. Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasulNya!”. Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan “jiwa yang muslim” dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, perjuangan hendaklah mengikut jalan Nabi s.a.w. Jika tidak mengikut jalan Islam, sekalipun berperang atas nama Islam, tidak dikira jihad yang sebenarnya. Apatahlagi jika membunuh mereka yang tidak bersalah. Banyak disiplin medan jihad yang perlu dipatuhi. Pun begitu seseorang mujahid boleh sahaja tersilap. Maklum sahaja di medan perang. 
Kita yang tidak di medan perang pun tersilap apatah lagi yang di medan. Khalid al-Walid pernah membunuh tawanan perang, Nabi s.a.w membantah beliau. Inikan pula selain Khalid al-Walid. Kesilapan yang bukan kebiasaan tidak menafikan status jihad.
Saya bukan pejuang di medan yang membela rakyat Palestin, Syria dan selain mereka. Saya membantah kumpulan yang berjuang atas nama Islam tetapi mengganas dan membunuh mereka yang tidak bersalah. 
Namun, saya tahu ada yang memang pergi menolong untuk menyelamatkan kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang yang tertindas. Mereka mungkin tidak ganas ataupun tidak menzalimi pihak lain. Saya tidak mahu mencemari lidah mencerca mereka. Mereka mungkin kekasih Allah, siapalah saya?! Janganlah apologetic feeling membunuh keadilan kita.