Pages

Memaparkan catatan dengan label dosa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dosa. Papar semua catatan

Isnin, 24 Ogos 2015

6 Dosa yang tidak diampun Allah SWT walaupun dengan Taubat

https://i2.wp.com/www.inshad.com/forum/upload/userimages/13157/87456273.jpg
 
1- Makan harta anak yatim secara haram.
( untuk menghapuskan dosa tersebut pemakan harta anak yatim mesti membayar kembali harta yang telah digunakan serta memohon maaf kepada anak yatim tersebut . Jika anat yatim tersebut memaafkan perbuatannya, barulah boleh bertaubat kepada Allah SWT. Seandainya anak yatim tersebut tidak memaafkan perbuatannya maka  dosanya tidak terhapus).
 
2- Menuduh wanita solehah berzina.
( Orang yang menuduh wanita solehah hendaklah memohon maaf kepada wanita tersebut, jika wanita solehah tersebut memaafkan, maka terhapuslah dosa tersebut dan bolehlah penuduh bertaubat kepada Allah SWT. sekiranya wanita solehah tidak memaafkannya maka dosa tidak terhapus dan tidak boleh bertaubat kepada Allah SWT ).
 
3- Lari dari medan Jihad yang memperjuangkan kalimah Allah SWT.
( Mereka yang lari dari medan jihad adalah mereka yang dayus dan tidak layak memasuki Syurga, cuba kaji dalam sejarah Islam hukuman mereka yang lari dari medan Jihad sehingga Rasulullah SAW terpaksa menunggu Arahan Allah SWT untuk memaafkan kesalahan tersebut ).
 
4- Melakukan sihir.
( Mereka belayar sihir dan pengamal sihir adalah mereka yang Syirik kepada Allah SWT, memang tidak layak bertaubat kepada Allah SWT melainkan mengucap kembali kalimah Syahadah dan mesti menyerah kepada kerajaan Islam untuk melaksanakan hukuman yang sewajarnya ).
 
5- Bersyirik kepada Allah SWT atau menyamakan kedudukan Allah SWT dengan makhluk.
( Dosa syirik atau menyamakan Allah SWT dengan makhluk samada melalui niat,percakapan dan perbuatan yang disedari atau tidak disedari  maka dosa ini tidak boleh bertaubat kecuali dengan mengucap kembali kedua Kalimah Syahadah dan pemerintah Islam mesti melaksanakan hukuman hudud barulah Allah SWT rela menerima kembali amal ibadat seseorang hamba yang telah menduakan Allah SWT atau menyamakan Allah SWT atau menyengutukan Allah SWT).
6- Membunuh Para Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT.
( Mereka yang membunuh Para Nabi hendaklah dihukum bunuh dan terserah kepada Allah SWT untuk mengazab mereka. Rasulullah SAW pernah mengutuskan utusan untuk membuuh mereka yang menghina atau mengejek Allah SWT dan Rasulullah SAW semasa penubuhan Negara Islam Madinah).
Kitab Tanbihul  Ghafilin , Jilid 1 & 2.  M/S : 532.

Selasa, 21 Oktober 2014

ULAMA YANG BAGAIKAN ANJING

ULAMA YANG BAGAIKAN ANJING
Surah al-A'raf ayat 175-176.
Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti ANJING, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).
Ayat ini menceritakan perihal kisah seorang ilmuwan agama yang meninggalkan ajaran Allah semata-mata kerana keinginannya kepada dunia. Riwayat-riwayat Israiliyyat menyebut nama orang tersebut ialah Bal'am. 

Apa yang penting, ayat ini telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah hanya untuk kepentingan dunianya sama seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopah dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. 

Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya. Demikian ilmuwan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari yang lain habuan yang lain. 

Pelbagai fatwa mengampu dikeluarkan. Jika pihak yang diampu membuat salah, dia mencari dalil menjustifikasikannya. Jika musuh pihak yang diampu membuat salah, dia mencari puluhan dalil yang memasukkan mereka ke dalam neraka. Jika pihak yang diampu itu betul, berlebih-lebihan dia memuji dengan segala dalil agama. Jika musuh pihak yang diampu betul, dia cuba mencari dalil agama untuk melihat kelemahan dari sudut yang lain.

Maka Allah menjanjikan bagi ulama yang menyembunyikan kebenaran balasan yang dahsyat. Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).
Ya! ulama itu bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa. Namun walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T. Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia.
Menjadi mat rempit, atau perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat. Maka al-Quran menyamakan ulama yang memutarkan kebenaran itu seperti anjing yang menjelirkan lidah.

Selasa, 30 September 2014

ADAKAH DOSA DAN PAHALA DALAM MENGUNDI PILIHANRAYA?

ADAKAH DOSA DAN PAHALA DALAM MENGUNDI PILIHANRAYA?
Jawapan: Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin


Kepada Dr Mohd Asri, apabila menjelang pilihanraya, pelbagai pandangan akan dikeluarkan oleh macam-macam pihak. Ada yang kaitkan isu-isu agama dengan proses membuang undi. Soalan saya, sejauh manakah soal dosa dan pahala dalam mengundi ini. Apakah seseorang itu boleh dikira berdosa atau dapat pahala kerana mengundi parti tertentu? Harap Dr Asri tolong huraikan.
Zamani, Johor.

JAWAPAN PROF MADYA DR MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN:
Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Sebagai seorang muslim kita wajar prihatin terhadap perkara-perkara yang seperti ini. Apatahlagi, persoalan seperti undian dalam pilihanraya yang walaupun kelihatan sangat ringkas prosesnya, tetapi mempunyai kesan yang besar terhadap pembentukan sesebuah negara
Sekalipun kadang-kala ada perkara dalam sistem pilihanraya itu tidak memenuhi kehendak syarak, namun kepentingannya terhadap masa depan sesebuah negara itu tidak dapat dinafikan. Bahkan, jika diperhatikan sistem demokrasi jauh lebih baik dari segala sistem lain yang sedang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan di dunia hari ini.
Melalui demokrasi, rakyat dapat bersuara dan memilih orang yang mereka redha sebagai pemimpin. Pemimpin pula tidak begitu berani melakukan kezaliman dan penyelewengan disebabkan mereka tahu rakyat mempunyai hak dalam menentukan kedudukan mereka. Ini lebih baik dari sistem autocracy
Bahkan demokrasi yang adil akan lebih baik dari pentadbiran sesetengah para pemerintah dalam sejarah umat Islam pada zaman Umawiyyah, ‘Abbasiyyah dan selain mereka yang bersifat kuku besi dan bertindak tanpa menghormati hak rakyat. Untuk menjawab persoalan saudara tentang dosa dan pahala undian dalam pilihanraya, maka saya sebut perkara-perkara berikut;

1. Pada asasnya dalam Islam, setiap amalan kebaikan atau yang membawa kebaikan maka pengamalnya memperolehi pahala. Begitu juga, setiap amalan buruk atau yang membawa keburukan maka pengamalnya memperolehi dosa. Besar atau kecil pahala dan dosa itu, bergantung kepada besar atau kecil kesan kebaikan atau keburukan sesuatu amalan. 
Maka, mengundi dalam pilihanraya boleh membawa kesan baik dan buruk kepada sesebuah masyarakat dan negara. Jika kesannya baik dan pengundi itu pula memang inginkan kebaikan tersebut, maka itu adalah amalan soleh. Jika kesan buruk dan pengundi tersebut memang inginkan kesan yang buruk itu, atau boleh menjangkanya, atau dia tidak peduli dengan buruk atau baik kesan undiannya itu, maka dia memperolehi dosa.

2. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik dan al-Tirmizi).
Kata tokoh ulama salaf yang besar Sufyan bin ‘Uyainah (meninggal 198H)
“Hadis ini bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang direhai Allah) ialah yang menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkai Allah) ialah yang mendorong pemerintah melakukan kezaliman” (Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi, 7/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Ya, berdasarkan hadis ini, sekalipun pengucapnya tidak menyangka sebegitu besar kesan ucapannya, atau menganggapnya kecil, namun disebabkan kesan baik dan buruk dari ucapannya itu, maka dia mungkin mendapat pahala, ataupun dosa. Hal ini samalah seperti undian dalam pilihanraya.
3. Maka undi juga bagaikan satu kalimat, bahkan mungkin lebih, yang mana ia boleh memberikan kuasa kepada seorang pemimpin yang baik atau kuasa untuk pemimpin yang jahat atau zalim atau tidak bertanggungjawab. Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut:
“Adakalanya seorang hamba Allah mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kalimat itu konteks demokrasi adalah undi dalam pilihanraya. Seseorang hendaklah berfikir kesan undi yang diberikan kepada seseorang calon terhadap negara dan rakyat.
4. Kita hendaklah sedar bahawa undian itu membawa maksud bersetuju memberikan mandat kepada seseorang bagi sesuatu kepimpinan. Maka, sebelum mandat tersebut hendak diberikan, wajib kita memastikan samada dia berkelayakan atau tidak. Ini kerana Allah berfirman: (maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).
Memberikan undi kepada yang tidak berkelayakan adalah mengkhianati amanah.
5. Untuk menentukan kelayakan seseorang itu, maka secara umumnya hendaklah dilihat kepada dua ciri yang penting yang disebut oleh al-Quran al-Qawiy (kuat atau mampu) dan al-Amin (amanah atau bertakwa). Firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).
Dua ciri ini hendaklah dilihat dalam kerangka jawatan yang hendak diberikan. Jika jawatan itu membabitkan kewangan umpamanya, maka kemampuan dalam pengurusan kewangan dan digabungkan dengan nilai amanah dalam diri calon yang dilantik. Begitulah juga jawatan dalam bidang-bidang yang lain. Maka dilihat kemampuan calon dalam tanggungjawab yang hendak diberikan dan nilai amanah dalam dirinya.
6. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah:
“Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah (kekuatan/kemampuan) dan al-Amanah…Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan…al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia (sehingga mengabaikan Allah-pent.)”. (m/s 26. Kuwait: Dar al-Arqam)
7. Ertinya, sebelum seseorang itu mengundi, dia hendaklah memastikan individu yang diundi itu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab bagi jawatan tersebut dan mempunyai nilai amanah dalam diri yang tinggi. Jika tidak, bererti dia memberikan undinya kepada orang yang zalim yang akan mengkhianati tanggungjawab. Apatahlagi, jika calon itu memang sudah ada rekod buruk dalam tanggungjawabnya. Juga, hendaklah dipastikan kesan undi itu tidak membawa keburukan kepada negara secara umumnya. Allah berfirman: (maksudnya)
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113)
8. Maka, kita tidak boleh mengundi seseorang calon hanya kerana hubungan keluarga, atau sahabat atau parti. Sebaliknya, hendaklah atas kelayakan dan kesan undian itu. Justeru itu Nabi s.a.w tidak memberikan jawatan kepada Abu Zar kerana beliau tidak berkemampuan. Sekalipun Abu Zar seorang sahabat baginda yang soleh dan disayangi oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda:
“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).
9. Maka, undi dalam pilihanraya itu bukan sesuatu yang tiada nilai di sisi Islam. Sebaliknya, undi itu boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala, ataupun mungkin mendapat dosa. Undilah yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat.

MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERULANG?

MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERULANG?
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin


Soalan: Prof Madya Dr MAZA, saya seorang pemuda dan sering melakukan dosa. Sudah berulang kali saya bertaubat. Tapi kemudian saya tidak mampu kawal diri, saya buat lagi. Sudah berapa kali saya taubat sehingga saya rasa Allah sudah tidak mahu terima lagi taubat saya. Adakah taubat saya palsu? Adakah saya bohong Allah? Saya terus hanyut dengan perbuatan saya sendiri. Saya hendak taubat lagi, tapi rasa macam Allah dah tidak terima, atau takut saya sendiri ulang lagi. Boleh tak Dr berikan nasihat kepada saya?
 Safwan, Melaka.

Jawapan Dr MAZA: Saudara, perasaan kesal atau keinsafan yang ada dalam jiwa saudara –alhamdulillah- menandakan bahawa cahaya iman itu masih kuat dalam diri saudara. Semoga kita semua selalu dibimbing Allah ke jalanNya yang lurus. Untuk soalan saudara maka saya jawab seperti berikut;

1. Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Ini berdasarkan firman Allah: maksudnya:
“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).
Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.
2. Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya. 
Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia diterima Allah.
Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.
3. Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang hamba bukannya perkara yang diada-adakan. Ia adalah cahaya iman yang lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan dosa. 
Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi. Siapakah yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa? Sudah pasti hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan yang disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar bertaubat.
4. Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Ini –seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam taubatnya yang sebelum itu. 
Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya. Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan berputus asa. Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa, sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.
berdoa3.jpg
5. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
6. Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya pergi.
7. Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus asa dari rahmat Allah. Firman Allah: (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).
Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.
8. Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran mengajar kita doa: (maksudnya)
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).
Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa:“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim- dinilai sahih).
9. Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah sebaliknya. Firman Allah: (maksudnya)
“dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).
Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
10. Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya. Sabda Nabi:
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jumaat, 4 April 2014

JAUHI PERBUATAN SYIRIK.


JAUHI PERBUATAN SYIRIK.

Syirik adalah sebuah perbuatan tercela yang menyekutukan Allah dalam perkataan, pegangan, perbuatan serta itikad.

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun". [An-Nisaa 36].

Pada saat ini perbuatan Syirik tengah marak terjadi diantara kita, seperti: kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan penuh kepada Dukun & Paranormal yang sesat, penggunaan penangkal & jimat serta banyak lagi perbuatan yang menjurus kearah Syirik, yang merupakan hasil godaan & hasutan setan.

"Sesungguhnya setan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu, karena sesungguhnya setan-setan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni Neraka yang menyala-nyala". [Fathir 6].

Syirik merupakan perkara terkutuk dan bila Allah dapat mengampuni segala bentuk Dosa, hal itu tidaklah berlaku pada perbuatan Syirik.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa, dan Dia mengampuni segala Dosa yang selain dari Syirik itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat Dosa yang besar”. [An-Nisaa 48].

“Sesungguhnya orang yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya Surga, dan tempatnya ialah Neraka”. [Al-Maaidah 72].

Maha benar Allah dengan segala Firman-Nya.

"Barangsiapa yang berpaling dari Al-Quran, Kami adakan baginya Setan yang menyesatkan. Maka Setan itulah yang akan menjadi teman yang selalu menyertainya". [Az-Zukhruf 36].

"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah Setan? Dan hendaklah kamu menyembah-Ku, inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya Setan itu telah menjerumuskan sebahagian besar diantaramu. Maka apakah kamu tidak memikirkan?". [Yaasiin 60-62]. 

Semoga kita semua senantiasa berada dalam lindungan-Nya dan mampu untuk menjauh dari segala perbuatan Syirik yang terkutuk. Aamiin Yaa Rabbal'alaamiin. [BRH].