Pages
Ahad, 28 September 2014
PESANAN SEORANG GURU: "BERIBADATLAH"
Rabu, 16 Julai 2014
Tekunlah berzikir
Tekunlah berzikir, sebaik-baiknya kamu memperuntukkan masa yang lama untuk berzikir sama ada zikir secara jihar atau sirr. Tambahkan tempoh masa zikirmu dari semasa ke semasa, gunakan masa luangmu untuk menumpukan rohanimu pada Tuhan, biarkan ia mengembara ke Alam KeTuhanan. Kamu mesti memperuntukkan waktu untuk berkhalwat dalam sebulan sebaik-baiknya tiga hari dan sekurang-kurangnya sehari.
Pada hari-hari biasa, waktu khalwat yang baik ialah pada waktu antara Maghrib dan Isyak atau pada jam 4 pagi hingga subuh, atau selepas subuh sehingga matahari naik atau lepas solat asar. Ia mengandungi rahsia rohani jika diamalkan. Pilihlah waktu mengikuti kesesuaian dirimu. Lebih lama masa yang diperuntukkan adalah lebih baik. Bagi ahli sufi, kurang lima jam berzikir masih lagi dianggap bermain-main. Ia tidak akan memberi kesan yang hebat pada dirimu. Oleh itu, peruntukkan masamu dengan baik seperti mencintai khalwat kerana ia membolehkan kamu memberi tumpuan yang baik tanpa ada gangguan.
Segalanya bergantung pada diri kamu. Dalam amalan kerohanian, tiada istilah ‘orang lama’ atau ‘orang baru’. Walaupun seseorang itu baru, jika dia bersungguh-sungguh beramal dan bermujahadah, dia mampu memperolehi natijah yang hebat berbanding orang lama yang malas bermujahadah. Begitu juga, murid boleh mengatasi guru dalam kerohanian, semuanya dalam kudrat Illahi untuk melimpahkan kurniaan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Pengamalan yang bersungguh-sungguh akan melahirkan natijah pada kamu dari segi kerohanian. Jika berlaku hal-hal yang berkaitan dengan kerohanian sama ada dalam bentuk mimpi, ilham, kasyaf, pertukaran zikir atau perasaaan dzauk atau datang pengajaran dari alam ghaib, ia perlu dirujuk kepada guru. Jangan terus diamalkan arahan yang berbentuk zikir atau wirid atau pengajaran yang menerangkan rahsia KeTuhanan kerana dibimbangi ia datang dari alam tipu daya iaitu syaitan dan jin.
Setiap perubahan zikir adalah di bawah pendidikan dan pengawasan Guru. Murid jangan sesekali memindahkan maqam zikirnya sendiri kerana ia tiada memberi natijah kerana setiap perpindahan mengandungi hal ehwal tertentu dari segi dzauk dan muraqabah. Semoga Allah memberi kekuatan untuk beramal dan bermujahadah.
Rabu, 9 April 2014
Jalan kesufian
Apabila baginda s.a.w mengajarkan ayat-ayat al-Quran, maksud yang sebenar dari ayat-ayat tersebut akan terpahat pada fikiran dan hati sahabat-sahabat baginda s.a.w. Walaupun baginda s.a.w menyampaikan melalui perkataan dan perbuatan tetapi baginda s.a.w juga mampu berkomunikasi secara langsung dengan akal dan hati nurani. Perbuatan dan perkataan baginda s.a.w bertindak sebagai kunci yang membuka tabir hijab yang menutupi akal dan hati.
Mata akal dan mata hati menjadi celik apabila menerima sentuhan perkataan dan perbuatan baginda s.a.w. Para sahabat yang menerima pengajaran secara langsung daripada baginda s.a.w akan mengalami perubahan dengan mudah, sesuai dengan apa yang baginda s.a.w ajarkan. Sebaik sahaja baginda selesai membaca ayat yang mengharamkan arak maka pada ketika itu juga para sahabat baginda s.a.w membuang tabiat meminum arak.
Sebaik sahaja baginda s.a.w selesai menyampaikan perintah sembahyang fardu lima waktu sehari semalam, maka pada ketika itu juga para sahabat baginda s.a.w masuk ke dalam arus sembahyang fardu lima waktu sehari semalam. Apabila baginda s.a.w menyampaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramdhan, maka pada bulan Ramdhan tahun itu juga para sahabat baginda s.a.w melakukan fardu puasa.
Apabila baginda s.a.w melantik wakil-wakil untuk menyampaikan surat-surat kepada semua penguasa umat manusia di sekitar Semenanjung Arab, maka dengan rela mereka menjalankan tugas tersebut tanpa menghiraukan mereka akan dibunuh atau tidak dalam melaksanakan tugas tersebut.
Apabila baginda s.a.w membacakan ayat tentang Allah s.w.t, maka pada ketika itu juga para sahabat mengenal Allah s.w.t. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w memancarkan nur yang menerangi akal dan hati manusia.
Apabila datang yang benar maka yang batal akan menyingkir. Cahaya kebenaran yang dipancarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w menghalau kegelapan yang menyelubungi akal dan hati. Kekuatan cahaya kebenaran yang mampu dipancarkan oleh seseorang pembimbing adalah bergantung kepada setakat mana kesempurnaan sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah yang dimilikinya.
Sifat-sifat tersebut dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w pada tahap kesempurnaan paling tinggi, paling kuat dan paling sempurna. Oleh yang demikian baginda s.a.w meninggalkan kesan yang paling maksima di dalam penyampaian baginda s.a.w. Baginda s.a.w mampu menyampaikan sesuatu perkara dengan menggunakan perkataan paling mudah dan paling ringkas tetapi memberi pengertian yang sangat luas dan kesan yang sangat mendalam kepada pendengarnya.
Selama baginda s.a.w berdakwah 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah, baginda s.a.w menyampaikan 6,666 ayat al-Quran dan kata-kata baginda s.a.w yang dikumpulkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal berjumlah 40,000, dengan kata-kata yang hanya sebanyak itu selama 23 tahun baginda s.a.w sudah menyampaikan dengan lengkap satu agama yang mencangkupi seluruh kehidupan dunia dan akhirat, yang mampu bertahan sehingga hari kiamat.
Pekerjaan yang begitu besar dan bidang yang begitu luas baginda sempurnakan dengan tutur-kata yang sangat sedikit. Kemampuan Nabi Muhammad s.a.w itu tidak mungkin dapat dicabar oleh sesiapa pun, walau pada zaman mana sekalipun.
Setelah Rasulullah s.a.w wafat, matahari yang mengeluarkan cahaya petunjuk mula condong, awan mendung mula berarak, muncullah bayang menghijab perjalanan. Semakin lama Rasulullah s.a.w meninggalkan dunia ini semakin kurang kesan dan pengaruh yang mampu dihasilkan oleh seseorang pembimbing. Orang ramai telah mengalami kesulitan di dalam mendapatkan bimbingan menuju kepada Yang Haq.
Sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah yang ada dengan orang-orang yang seharusnya menjadi pembimbing sudah sangat berkurangan. Ilmu yang mereka sampai tidak lagi berkemampuan membuka pintu akal dan pintu hati. Dalam keadaan yang demikian orang yang benar-benar mencari Yang Haq hilang keyakinan kepada mereka yang memikul tugas sebagai pembimbing di dalam masyarakat.
Pencari kebenaran, setelah gagal memperolehi yang di cari melalui ahli ilmu, telah kembali kepada fitrahnya sendiri. Orang yang kembali kepada fitrahnya melihat satu-satunya jalan yang memberi harapan kepadanya adalah memulakan perjalanan seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika dunia diselubungi oleh kegelapan akidah dan akhlak dahulu.
Orang ini memilih jalan bersendirian, berkhalwat di tempat yang tidak dikunjungi oleh manusia. Walaupun lari dari manusia tetapi orang fitrah itu membawa bersama-samanya pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu al-Quran dan as-Sunah. Di dalam suasana bersendirian itulah dia melakukan amalan yang diajarkan oleh al-Quran dan as-Sunah berhubung dengan bidang perhubungan hamba dengan Tuhan. Dalam suasana yang demikian, tidak ada perhubungan sesama manusia. Aspek ini ditinggalkan.
Mereka lari daripada kegelapan, kekeliruan dan ketidak-pastian itu sebagaimana Rasulullah s.a.w lari dari suasana jahiliah dahulu. Manusia fitrah yang tinggal sendirian itu melakukan amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu bersembahyang, berpuasa, berzikir dan lain-lain. Amalan mereka tidak bersalahan dengan syariat, cuma bidang syariat yang ada hubungan dengan orang ramai tidak diamalkan. Amalan cara yang demikian kemudian harinya dipanggil suluk.
Sebahagian daripada golongan yang memilih jalan mengasingkan diri akan terus menerus berada di dalam keadaan demikian sementara sebahagiannya pula kembali kepada masyarakat setelah rohani mereka mencapai kematangan. Orang yang memasuki jalan bersendirian terus menerus berada pada jalan kesufian dan yang kembali kepada masyarakat adalah orang sufi yang berpindah dari jalan kesufian kepada jalan kenabian.
Orang yang kembali kepada jalan kenabian lebih sempurna perjalanannya dan dari golongan inilah muncul para pendakwah yang membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t. Kebanyakan sufi yang telah matang kembali kepada jalan kenabian. Abdul Qadir Jilani, Ibrahim Adham, Junaid, Hasan Basri dan ramai lagi merupakan sufi yang kembali kepada jalan kenabian setelah menyempurnakan jalan kesufian.
Mereka adalah ahli sufi yang mengikuti jalan kenabian. Sufi yang kembali kepada jalan kenabian ini mempunyai keperibadian yang kuat dan percampuran dengan orang ramai tidak lagi memberi tekanan kepada jiwa mereka, malah mereka mampu membimbing orang lain untuk berjalan kepada Yang Haq.
Bagi orang yang seperti ini pengembaraan pada jalan kesufian merupakan sebahagian daripada latihan memantapkan kerohaniannya bagi melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Golongan tersebut adalah orang yang menjadi pilihan Allah s.w.t dalam menegakkan syariat-Nya di atas muka bumi dan memimpin umat manusia kepada jalan lurus yang sebenarnya.
Setelah melepasi peringkat fana sufi sampai kepada peringkat baqa atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Di dalam menuju baqa, pada peringkat fana yang paling tinggi sufi hilang kesedaran diri sepenuhnya. Wujudnya hilang dari pandangan dan perasaannya. Hanya Wujud Allah s.w.t sahaja yang menguasainya. Pada peringkat tersebut sufi mengalami apa yang diistilahkan sebagai wahdatul wujud, di mana wujud hamba dengan Wujud Tuhan tidak lagi berbeza pada alam perasaan sufi.
Suasana demikian diperolehi akibat didorong oleh rasa kecintaan kepada Allah s.w.t secara asyik mahsyuk yang bersangatan dan pada masa yang sama kesedaran terhadap diri sendiri hilang. Pengalaman wahdatul wujud menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai mabuk. Sufi hanya melihat kepada Wujud Tuhan, tidak lagi kepada wujud dirinya dan sekalian wujud yang selain Tuhan. Bila kewujudan diri sendiri hilang dari alam perasaan sufi sering mengucapkan perkataan yang diistilahkan sebagai latah seperti pengakuan bahawa dirinya adalah Tuhan atau Tuhan yang menjadi bakat dirinya.
Selagi rohaninya tidak bebas dari pengaruh jasad sufi tidak akan berasa aman. Sikap penindasan terhadap jasad ini menimbulkan kegelisahan, kehangatan dan kemarahan di dalam roh haiwaninya yang menghubungkan rohnya dengan jasad. Tindak-balas daripada roh haiwani itu sering menimbulkan sikap kasar dan agressif pada orang sufi, terutamanya bagi mereka yang berada pada peringkat permulaan melatihkan diri.
Setelah dapat menguasai peringkat roh haiwani sufi akan beransur-ansur menjadi tenang dan kesedaran pancainderanya mengecil sehinggalah hilang terus. Dia mencapai kehampiran dengan Tuhan dan seterusnya memasuki suasana bersatu dengan-Nya. Baharulah sufi merasakan kerihatan daripada jihadnya terhadap jasad.
Aktiviti yang mengasyikkan dapat meredakan tekanan dan kegelisahan tersebut. Perjalanan yang demikian menyebabkan timbul sikap kasar dan tidak terkawal di kalangan sebahagian sufi, selama kecintaan kepada Tuhan belum mereka kuasai dan kerinduan kepada-Nya belum terubat. Kerinduan dan keasyikan menyebabkan sufi lupa bukan sahaja kepada diri dan makhluk, malah sering juga terjadi peraturan syariat dan etika moral tidak diambil berat oleh sebahagian mereka. Sebahagian sufi masih melakukan peraturan syariat tetapi semata-mata kerana menghormati syariat Tuhan bukan kerana menghayati peraturan tersebut.
Penyaksian yang demikian sangat menggembirakan mereka, menambahkan keyakinan dan semangat untuk maju terus. Oleh kerana penyaksian tersebut terjadi di dalam suasana kebatinan yang ghaib, sufi mudah menghubungkan yang disaksikan itu dengan Allah s.w.t. Timbullah konsep ketuhanan yang tidak jelas dan mengelirukan.
Dalam suasana yang demikian hubungan hati orang sufi dengan Tuhan sangat erat. Dia telah melepaskan segala-galanya demi Tuhannya. Dia telah membuang makhluk dan dirinya demi kecintaannya kepada Tuhan. Gelombang kefanaan yang melanda hati sufi itu mengubah suasana kebatinannya menyebabkan sering muncul keajaiban daripada dirinya, doanya cepat makbul, perkataannya menjadi kenyataan, dia boleh melakukan perkara yang luar biasa seperti berjalan di atas air atau masuk ke dalam api. Hasilnya bertambah teguhlah keyakinannya terhadap apa yang dipegangnya.
Dia mengalami sendiri suasana semua wujud hilang dan hanya satu wujud sahaja yang menyata. Orang ramai pula berpegang kepada fahaman wahdatul wujud secara ikut-ikutan, tanpa mengalaminya dan tanpa benar-benar mengerti mengenainya. Pegangan sufi dibentuk melalui pengalaman rasa sementara orang lain pula melalui khayalan dan andaian. Sufi yang berkata atau melakukan sesuatu yang menyalahi syariat, bertentangan dengan perkataan al-Quran dan perkataan Rasulullah s.a.w ketika dia dikuasai oleh hal atau mabuk, boleh dimaafkan kerana dia berbuat demikian tanpa kesedaran. Orang lain yang di dalam kesedaran biasa yang mengikuti orang sufi secara meniru-niru perlu diberi penjelasan bahawa perbuatan mereka adalah sesat dan kufur.