Pages

Memaparkan catatan dengan label Al-Haq. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Al-Haq. Papar semua catatan

Ahad, 28 September 2014

PESANAN SEORANG GURU: "BERIBADATLAH"

PESANAN SEORANG GURU: "BERIBADATLAH"

Sesiapa yang inginkan kemenangan dunia dan akhirat, janganlah dibiarkan masa berlalu dengan penuh kerugian. Jadikan setiap nafasmu nafas ibadah.

Wahai saudaraku,
Setelah engkau memiliki ilmu tiadalah lagi perkara yang penting melainkan beramal dengan ilmu, berilmu tanpa amal adalah binasa. Janganlah engkau berpaling lagi ke belakang, terus sucikan dirimu untuk menghampiri Tuhanmu sehingga terbuka cahaya hatimu dengan ilmu terus dariNya tanpa perantaraan. 

Hatimu akan bersinar dengan cahaya makrifat dan engkau memiliki harta yang amat bernilai, harta yang tiada dijual dimaya ini, tiada dimiliki oleh para jutawan dan para raja, harta yang menyebabkan engkau sentiasa tenang dan tiada mengharapkan apa bantuan dari sekelilingmu. 

Engkau akan diangkat menjadi kekasihNya sehinga segala hajatmu akan dipenuhi, engkau akan dijagaNya sehingga sesesiapa yang menyakitimu akan diisytihar perang ke atasnya. Tiadalah kejayaan yang hakiki melainkan berada dalam taman keredhaan takdirNya, hati yang terang menatap rahsiaNya, hati yang asyik dengan Asma’Nya, hati yang fana dengan kewujudanNya.

Wahai saudaraku,
Apabila engkau benar-benar beramal dan bersungguh bermujahadah dengan penuh keikhlasan, engkau akan dikasihiNya sehingga akan dilimpahkan ke dalam hatimu rahsia di sebalik rahsia. Engkau akan diperlihat hakikat di sebalik syariat, engkau mengenal dirimu dengan pengenalan yang hakiki, bukan diatas hafalan ilmu semata-mata tetapi dengan dzauk dan Penglihatan. Hatimu diberiNya Nur sehingga dengan Nur tersebut akan dapat menyaksikan Rahsia DiriNya. 

Engkau mencapai makrifat denganNya bukan dengan Guru manusia, Dia sendiri yang akan membisikkan pada sirrmu bahawa “ANA AL-HAQ”, maka tenggelamlah engkau dalam makrifat sehingga engkau tiada melihat tiada segala sesuatu melainkan Ia. 

Engkau akan melihat bahawa tiada suatu gerak melainkan gerak dariNya, tiada suatu yang maujud melainkan disana ada wujudNya, engkau akan memahami firmanNya; “Di mana kamu hadap disitulah wajah Allah”, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu adalah fakir disisi Allah”, “Di mana kamu berada disitulah Ia berada” dengan kefahaman yang tiada dimiliki oleh orang biasa.

Tafsiran syariat adalah pembukaan sedangkan pentafsiran hakikat dengan dzauk dan pandangan. Tiada akan sama seorang yang melihat permukaan laut dengan mereka yang menyelam ke dasar laut. Tiada sama mereka yang mengenal diriNya pada permukaan zahir dengan mereka yang menyelam ke dalam lautan rahsia diri. Tiada akan sama dengan seorang yang belajar mengenal Tuhan dengan Guru manusia dengan mereka yang mengenal Tuhan dengan Tuhan sendiri. 

Tiada akan sama mereka yang mengucap La ilaha illaLlah di alam syariat dengan mereka yang mengucapnya di alam hakikat. Tidak akan sama huruf, kalimah dan bunyinya pada alam syariat dengan alam hakikat, tiada akan sama kenikmatan atau kepedihan di alam nyata ini dengan alam hakikat, tiada akan sama orang yang mati hatinya dengan orang yang hatinya sentiasa hidup dan asyik dengan Tuhan dan inilah yang mesti difahami sebagaimana firman Allah “Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tiada ilmu,” “Tiada akan sama orang ahli syurga dengan ahli neraka”.

Wahai para Salik,
Jika engkau bersungguh-sungguh mengamalkan zikir di bawah bimbingan Guru yang telah terbuka baginya rahsia segala alam sehingga telah mencapai kesempurnaan makrifat, engkau akan merasakan perubahan pada rohanimu. 

Ruhmu akan melalui pendakian dari hati yang lalai kepada hati yang hidup mengingati Allah, dari hati yang hidup mendaki kepada hati yang asyik, kemudian mendaki pula kepada hati yang fana dan kemudian mendaki pula (kepada) meminum rahsia makrifat di alam yang tinggi. Nabi saw telah melakukan israk mikraj, membuka dan membelah langit bagi umatnya kepada Tuhannya.

Janganlah menjadi manusia yang bodoh dan lalai, pintu yang yang terbuka perlulah dilalui. Nabi dipimpin oleh malaikat Jibrail menujuNya dan engkau memerlukan Mursyid yang memimpin tanganmu dengan kasih sayang menuju TuhanMu. Kamu dibawa ke alam peleburan diri sehingga tiada kamu temui sesiapapun disitu melainkan DIA SAJA YANG WUJUD. 

Engkau akan memahami kalimah la ilaha illaLlah wahdahu laa syarikaalah dengan kefahaman yang terkunci lisanmu hendak dinyatakan. Engkau juga akan memahami beberapa ramai orang yang tidak mencapai kesempurnaan maqam ini tersilap tafsirannya sehingga ada yang mengaku dirinya Tuhan, mengaku dirinya jelmaam Tuhan, mengaku dirinya dan Tuhan bersatu sehingga ada dikalangan mereka yang meninggalkan syariat. 

Mereka tiada dibuka rahsia dengan sempurna atau pandangan makrifat mereka diserta dengan syaitan atau Jin. Mereka cuba bercakap ilmu para sufi namun mereka gagal dalam menyelami rahsia “ADAM” dan“ MUHAMMAD”. Mereka juga gagal memahami rahsia mufaraqah sebagaimana terpisahnya air laut dengan air sungai atau terpisahnya api dengan asap.

Wahai saudaraku,
Berjalanlah dirimu kepada Tuhan dengan berpakaian syariat, tarekah, hakikat dan makrifat. Syariat itu adalah pakaian Nabi, tarekah itu adalah perjalanan Nabi, hakikat itu adalah batin Nabi dan makrifat itu adalah rahsia Nabi. Berpakaian syariat sahaja tanpa hakikat adalah fasik, hakikat sahaja tanpa syariat adalah zindik. 

Seorang yang berada di alam syariat sahaja adalah masih tertipu kerana apa yang dilihat dan didengar oleh syariat tidak menjamin akan kebenaran hakikat, justeru itu seseorang perlu menyelami lautan hakikat dan tiada cara untuk menghubungkan antara ilmu syariat dan ilmu hakikat melainkan berilmu dan mengamalkan tarekah. Apabila dadamu benar-benar memiliki rahsia ilmu para auliya, engkau akan memahami kenapakah mereka itu amat kuat takut pada Allah, amat kuat berpegang pada syariat, amat wara’ dalam setiap pekerjaan, amat zuhud pada dunia, amat redha dengan takdir Allah, amat kuat ibadahnya, amat baik akhlak jiwanya, amat kuat tawakalnya, amat tinggi syukurnya dan amat tinggi cintanya pada Allah dan Rasul. 

Mereka memiliki penglihatan yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa, ia adalah Nur yang dicampakkan ke dalam dada oleh Tuhannya sehingga tembus penglihatannya pada alam rahsia dan FANA dan BAQA ia dengan kekasihnya. Fahamilah ia rahsia cahaya di sebalik cahaya. Berbahagialah mereka yang mencapainya dan merekalah yang sebenarnya telah mencapai kejayaan hakiki baik dunia atau akhirat.

Jumaat, 1 Ogos 2014

Wujud Allah


Wujud Allah

Jika saya menyatakan bahwa diri saya ini adalah kesan tajalli sifatNya, dengan itu dari sisi wujud akan ternampak dualisme iaitu satu wujud Allah dan satu lagi wujud saya seperti cahaya matahari dengan matahari yang kedua-duanya tersendiri dan berbeda. 


Namun apabila saya menyatakan diri saya ini adalah hakikat Al-Haq, maka sebagai cahaya matahari adalah tidak lain dari matahari itu juga, cahaya matahari itu menunjukkan adanya matahari, dengan itu cahaya matahari itu tidak ada maka yang ada sebenarnya adalah matahari. Begitulah juga diri saya, 

Adanya bentuk diri saya ini sekadar menampakkan perumpamaan dan misal untuk menunjukkan adanya Allah, tidak lain dari Allah kerna Allah jualah yang wujud sedangkan perumpamaan atau misal hanyalah bayangan sahaja yang tidak ada wujudnya.

Ahad, 18 Mei 2014

Berperang Dengan Nafsu Sendiri, untuk mencapai makrifatullah !

Berperang Dengan Nafsu Sendiri, untuk mencapai makrifatullah !
Untuk sampai kepada pengenalan seperti yang dimaksudkan, saksikan segala sifat-sifat yang wajib bagi Allah yang terzahir keatas diri dan ternyata pada selain dari Allah, setelah dapat menyaksikan maka buatlah pengakuan (mengakulah) bahawa sifat-sifat yang wajib bagi Allah itu adalah sifat Allah..
Jadikan penyaksian dan pengakuan seperti itu sebagai amal salleh secara istiqomah ( berterusan ) sehingga mencapai ketahap Allah yang mengenali Allah ( kita dan selain Allah Allah sudah tidak ada, - makna kita sudah hilang kesedaran kepada keberadaan diri sendiri dan kepada selain dari Allah yang tinggal hanya Allah yang sedang sedar akan kewujudanNya)..
Jika tidak diamalkan, jika tidak dilatih tidaklah akan sampai pengenalan sehingga ketahap Allah mengenali Allah - cumanya kita tahu dan boleh bercakap saja, Tetapi tidaklah berada didalamnya (maknanya tidak merasai), keadaan 'Araftu robbi bi robbi'....
Amalan menyaksi dan membuat pengakuan bahawa segala sifat yang wajib bagi Allah yang ternyata keatas diri dan selain dari Allah adalah sifat Allah ini amat berat untuk dilakukan,
Ini bertepatan dengan sabda Nabi besar Muhammad saw perang yang paling besar ialah berperang dengan nafsu sendiri..
Nafsu sendiri yang dimaksudkan ialah pengakuan ( sifat akuan diri ) dimana diri sendiri menyaksi segala sifat yang wajib bagi Allah yang ternyata kepada diri itu adalah menjadi milik diri sendiri, walaupun sesaat.. (Kita menyangka bahawa segala sifat yang wajib bagi Allah yang sedang ditunjukkan oleh Allah sebagai tanda dan ayat-ayat yang menerangkan Ujud Allah sebagai ada diri kita sendiri)
Kita mengaku yang kita ada mempunyai sifat atau kita memakai sifat yang wajib bagi Allah kepada diri sendiri itulah nafsu...
Nafsu ini sentiasa ingin mengaku yang sifat yang wajib bagi Allah adalah milik dirinya sendiri (walaupun kita tahu sifat yang wajib bagi Allah hanya layak, hanya haq milik Allah sahaja),
Untuk mempertahankan pengakuannya itu diri akan menggunakan pelbagai alasan bagi meyakinkan diri sendiri supaya dia mumpunyai sifat yang hanya wajib bagi Allah itu (walau pun diri itu tahu bahawa segala sifat yang wajib bagi Allah hanya milik Allah - mengenal Allah sekadar ilmu sahaja)...
Ya, lihatlah bagaimana kita sedang berperang dengan nafsu kita (iblis) sendiri, betapa beratnya, Hanya untuk meletakkan yang berhaq pada tempatnya sahaja, (untuk menyatakan, untuk berpegang , untuk mengaku sifat yang wajib bagi Allah hanya milik Allah sahaja sudah diperangi oleh keakuan kita sendiri).
Maknanya kita tahu, kita boleh berkata yang sifat yang wajib bagi Allah itu hanya haq Allah sahaja,( kenal pada ilmu), tetapi kita tidak boleh mengaku kepada diri sendiri yang sifat Allah itu adalah milik Allah - bila kita nak membuat pengakuan yang sifat wajib bagi Allah yang sedang kita rasai itu adalah milik Allah, kita akan ditentang oleh kemahuan sendiri (nafsu), untuk itu istiharlah perang secara besar-besaran kepada nafsu seperti ini.... ( kita masih merasai keujudan diri sendiri disamping wujud Allah ),- (tidak kenal dengan sebenar kenal)....
Apabila kita beristikomah dengan menyaksi dan mengaku yang sifat wajib bagi Allah yang sedang kita nikmati dalam ertikata Allah sedang memperkenalkan dirinya atau dengan kata mudah Allah sedang mununjukkan (inilah Aku kepada kita), mengakulah bahawa semua sifat yang wajib bagi Allah itu adalah milik Allah sahaja.. Pengakuan inilah yang kebanyakkan orang panggil sebagai penyerahan total, menyerah atau mengembalikan sifat Allah kepada Allah.
Lakukanlah, beramallah, berperanglah dengan nafsu sendiri sehingga mencapai ketahap Allah mengenal Allah, jangan adakan tuhan yang lain selain dari Allah... Termasuk diri yang disangka ada mempunyai wujud sendiri....
Maafkan saya kerana saya terpanggil untuk mengilmiahkan sedemikian rupa dengan tujuan untuk sama-sama kita memahami dengan hidayah dari Allah juga .... Hanya hidayah dari Allah juga yang diperlukan sehingga dapat memahami keadaan ini..
Saya tidak bertujuan untuk berdebat dengan sesiapapun, pengilmiahan ini tidak meletakkan seseorang berada pada tahap seperti yang diperkatakan, termasuk diri saya sendiri...
Hanya amal yang istikomah, hanya perang yang berpanjangan dengan nafsu sendiri akan membuahkan kemenangan sehingga kepada Allah mengenal Allah "Araftu robbi bi robbi"...

Rabu, 9 April 2014

Jalan kesufian

Jalan kesufian

Nabi Muhammad s.a.w adalah sebaik-baik penyampai, sebaik-baik pembimbing. Baginda s.a.w berkemampuan menyampaikan menurut tahap akal dan suasana kebatinan seseorang. Ahli falsafah mampu menerima pengajaran baginda s.a.w dan ahli kerohanian juga mampu menerimanya. Orang yang semata-mata bertaklid kepada baginda s.a.w juga mampu menerima pengajaran baginda s.a.w. Apa yang baginda s.a.w ajarkan akan terhunjam ke dalam akal fikiran dan hati nurani seseorang. Kalam yang keluar daripada mulut baginda s.a.w menanamkan pengertian pada akal dan penghayatan pada jiwa. 

Apabila baginda s.a.w mengajarkan ayat-ayat al-Quran, maksud yang sebenar dari ayat-ayat tersebut akan terpahat pada fikiran dan hati sahabat-sahabat baginda s.a.w. Walaupun baginda s.a.w menyampaikan melalui perkataan dan perbuatan tetapi baginda s.a.w juga mampu berkomunikasi secara langsung dengan akal dan hati nurani. Perbuatan dan perkataan baginda s.a.w bertindak sebagai kunci yang membuka tabir hijab yang menutupi akal dan hati. 

Mata akal dan mata hati menjadi celik apabila menerima sentuhan perkataan dan perbuatan baginda s.a.w. Para sahabat yang menerima pengajaran secara langsung daripada baginda s.a.w akan mengalami perubahan dengan mudah, sesuai dengan apa yang baginda s.a.w ajarkan. Sebaik sahaja baginda selesai membaca ayat yang mengharamkan arak maka pada ketika itu juga para sahabat baginda s.a.w membuang tabiat meminum arak. 

Sebaik sahaja baginda s.a.w selesai menyampaikan perintah sembahyang fardu lima waktu sehari semalam, maka pada ketika itu juga para sahabat baginda s.a.w masuk ke dalam arus sembahyang fardu lima waktu sehari semalam. Apabila baginda s.a.w menyampaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramdhan, maka pada bulan Ramdhan tahun itu juga para sahabat baginda s.a.w melakukan fardu puasa. 

Apabila baginda s.a.w melantik wakil-wakil untuk menyampaikan surat-surat kepada semua penguasa umat manusia di sekitar Semenanjung Arab, maka dengan rela mereka menjalankan tugas tersebut tanpa menghiraukan mereka akan dibunuh atau tidak dalam melaksanakan tugas tersebut. 

Apabila baginda s.a.w membacakan ayat tentang Allah s.w.t, maka pada ketika itu juga para sahabat mengenal Allah s.w.t. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w memancarkan nur yang menerangi akal dan hati manusia.

Kebolehan baginda s.a.w yang luar biasa menembusi akal dan hati manusia itu adalah kerana baginda s.a.w dilengkapkan dengan sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah. Baginda s.a.w membawa dan menyampaikan yang benar, tidak menyembunyikan, tidak mengubah kebenaran dan disampaikan dengan penuh kebijaksanaan. 

Apabila datang yang benar maka yang batal akan menyingkir. Cahaya kebenaran yang dipancarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w menghalau kegelapan yang menyelubungi akal dan hati. Kekuatan cahaya kebenaran yang mampu dipancarkan oleh seseorang pembimbing adalah bergantung kepada setakat mana kesempurnaan sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah yang dimilikinya. 

Sifat-sifat tersebut dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w pada tahap kesempurnaan paling tinggi, paling kuat dan paling sempurna. Oleh yang demikian baginda s.a.w meninggalkan kesan yang paling maksima di dalam penyampaian baginda s.a.w. Baginda s.a.w mampu menyampaikan sesuatu perkara dengan menggunakan perkataan paling mudah dan paling ringkas tetapi memberi pengertian yang sangat luas dan kesan yang sangat mendalam kepada pendengarnya. 

Selama baginda s.a.w berdakwah 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah, baginda s.a.w menyampaikan 6,666 ayat al-Quran dan kata-kata baginda s.a.w yang dikumpulkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal berjumlah 40,000, dengan kata-kata yang hanya sebanyak itu selama 23 tahun baginda s.a.w sudah menyampaikan dengan lengkap satu agama yang mencangkupi seluruh kehidupan dunia dan akhirat, yang mampu bertahan sehingga hari kiamat. 

Pekerjaan yang begitu besar dan bidang yang begitu luas baginda sempurnakan dengan tutur-kata yang sangat sedikit. Kemampuan Nabi Muhammad s.a.w itu tidak mungkin dapat dicabar oleh sesiapa pun, walau pada zaman mana sekalipun.

Nabi Muhammad s.a.w, mahaguru yang paling arif, pembimbing yang paling bijaksana, telah mengasuh satu kumpulan kaum Muslimin untuk memikul tugas berat membimbing umat manusia. Para pembimbing yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w merupakan kumpulan pembimbing yang paling baik di kalangan yang melakukan tugas tersebut. 

Setelah Rasulullah s.a.w wafat, matahari yang mengeluarkan cahaya petunjuk mula condong, awan mendung mula berarak, muncullah bayang menghijab perjalanan. Semakin lama Rasulullah s.a.w meninggalkan dunia ini semakin kurang kesan dan pengaruh yang mampu dihasilkan oleh seseorang pembimbing. Orang ramai telah mengalami kesulitan di dalam mendapatkan bimbingan menuju kepada Yang Haq. 

Sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah yang ada dengan orang-orang yang seharusnya menjadi pembimbing sudah sangat berkurangan. Ilmu yang mereka sampai tidak lagi berkemampuan membuka pintu akal dan pintu hati. Dalam keadaan yang demikian orang yang benar-benar mencari Yang Haq hilang keyakinan kepada mereka yang memikul tugas sebagai pembimbing di dalam masyarakat. 

Pencari kebenaran, setelah gagal memperolehi yang di cari melalui ahli ilmu, telah kembali kepada fitrahnya sendiri. Orang yang kembali kepada fitrahnya melihat satu-satunya jalan yang memberi harapan kepadanya adalah memulakan perjalanan seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika dunia diselubungi oleh kegelapan akidah dan akhlak dahulu. 

Orang ini memilih jalan bersendirian, berkhalwat di tempat yang tidak dikunjungi oleh manusia. Walaupun lari dari manusia tetapi orang fitrah itu membawa bersama-samanya pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu al-Quran dan as-Sunah. Di dalam suasana bersendirian itulah dia melakukan amalan yang diajarkan oleh al-Quran dan as-Sunah berhubung dengan bidang perhubungan hamba dengan Tuhan. Dalam suasana yang demikian, tidak ada perhubungan sesama manusia. Aspek ini ditinggalkan.

Jalan fitrah yang diterokai oleh kumpulan manusia yang mengasingkan diri itu menjadi asas kepada jalan yang kemudian hari dikenali sebagai jalan kesufian. Pengasas aliran sufi adalah manusia fitrah yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan kegelapan, kekeliruan dan ketidak-pastian. 

Mereka lari daripada kegelapan, kekeliruan dan ketidak-pastian itu sebagaimana Rasulullah s.a.w lari dari suasana jahiliah dahulu. Manusia fitrah yang tinggal sendirian itu melakukan amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu bersembahyang, berpuasa, berzikir dan lain-lain. Amalan mereka tidak bersalahan dengan syariat, cuma bidang syariat yang ada hubungan dengan orang ramai tidak diamalkan. Amalan cara yang demikian kemudian harinya dipanggil suluk.

Manusia fitrah yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan kegelapan jahiliah akan merasai tekanan dan kegelisahan pada jiwanya. Jalan keluar bagi orang yang seperti ini adalah mengasingkan diri di tempat yang jauh daripada orang ramai dan menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah s.w.t. 

Sebahagian daripada golongan yang memilih jalan mengasingkan diri akan terus menerus berada di dalam keadaan demikian sementara sebahagiannya pula kembali kepada masyarakat setelah rohani mereka mencapai kematangan. Orang yang memasuki jalan bersendirian terus menerus berada pada jalan kesufian dan yang kembali kepada masyarakat adalah orang sufi yang berpindah dari jalan kesufian kepada jalan kenabian. 

Orang yang kembali kepada jalan kenabian lebih sempurna perjalanannya dan dari golongan inilah muncul para pendakwah yang membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t. Kebanyakan sufi yang telah matang kembali kepada jalan kenabian. Abdul Qadir Jilani, Ibrahim Adham, Junaid, Hasan Basri dan ramai lagi merupakan sufi yang kembali kepada jalan kenabian setelah menyempurnakan jalan kesufian. 

Mereka adalah ahli sufi yang mengikuti jalan kenabian. Sufi yang kembali kepada jalan kenabian ini mempunyai keperibadian yang kuat dan percampuran dengan orang ramai tidak lagi memberi tekanan kepada jiwa mereka, malah mereka mampu membimbing orang lain untuk berjalan kepada Yang Haq. 

Bagi orang yang seperti ini pengembaraan pada jalan kesufian merupakan sebahagian daripada latihan memantapkan kerohaniannya bagi melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Golongan tersebut adalah orang yang menjadi pilihan Allah s.w.t dalam menegakkan syariat-Nya di atas muka bumi dan memimpin umat manusia kepada jalan lurus yang sebenarnya.

Peringkat kewalian pada jalan kesufian berbeza dengan peringkat kewalian pada jalan kenabian. Kewalian sufi masuk kepada suasana meninggalkan semua makhluk dan membenamkan ingatan secara terus menerus kepada Allah s.w.t. Kewalian sufi bergerak menghapuskan kehendak diri sendiri dan sifat-sifat kemanusiaan. Sebutan dan ingatan yang terus menerus kepada Allah s.w.t membawa sufi fana diri atau melupakan diri sendiri. Di dalam fana sufi memperolehi jazbah iaitu pengalaman yang berkaitan dengan suasana ketuhanan. 

Setelah melepasi peringkat fana sufi sampai kepada peringkat baqa atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Di dalam menuju baqa, pada peringkat fana yang paling tinggi sufi hilang kesedaran diri sepenuhnya. Wujudnya hilang dari pandangan dan perasaannya. Hanya Wujud Allah s.w.t sahaja yang menguasainya. Pada peringkat tersebut sufi mengalami apa yang diistilahkan sebagai wahdatul wujud, di mana wujud hamba dengan Wujud Tuhan tidak lagi berbeza pada alam perasaan sufi. 

Suasana demikian diperolehi akibat didorong oleh rasa kecintaan kepada Allah s.w.t secara asyik mahsyuk yang bersangatan dan pada masa yang sama kesedaran terhadap diri sendiri hilang. Pengalaman wahdatul wujud menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai mabuk. Sufi hanya melihat kepada Wujud Tuhan, tidak lagi kepada wujud dirinya dan sekalian wujud yang selain Tuhan. Bila kewujudan diri sendiri hilang dari alam perasaan sufi sering mengucapkan perkataan yang diistilahkan sebagai latah seperti pengakuan bahawa dirinya adalah Tuhan atau Tuhan yang menjadi bakat dirinya.

Kebanyakan sufi sangat mementingkan pengalaman bersatu dengan Tuhan. Mereka menjalani latihan yang berat-berat bagi menghilangkan kesedaran terhadap diri sendiri, iaitu mencapai fana dan dikuasai oleh kecintaan kepada Allah s.w.t yang mengasyikkan. Bagi memperolehi yang demikian sufi perlu menghapuskan semua keinginannya, sifatnya dan identiti dirinya secara menyeluruh. Pekerjaan yang demikian sangat berat, perlu dilakukan latihan menindas jasad. Latihan yang merbahaya dan luar biasa terkenal di kalangan para sufi di dalam proses meleburkan kedirian mereka. Latihan yang demikian membawa sufi melupakan dunia dan akhirat.

Orang sufi percaya rohnya adalah Roh yang dari Allah s.w.t, yang suci bersih. Roh yang suci itu dipenjarakan oleh jasad. Sufi berasa berkewajipan membebaskan rohnya daripada penjara jasad dan mencapai tujuan iaitu bersatu dengan Tuhan. Oleh yang demikian sufi mengistiharkan perang terhadap jasad dengan cara menindas keperluan jasad seperti makan, minum, tidur, tutur-kata, pergaulan dan sebagainya. 

Selagi rohaninya tidak bebas dari pengaruh jasad sufi tidak akan berasa aman. Sikap penindasan terhadap jasad ini menimbulkan kegelisahan, kehangatan dan kemarahan di dalam roh haiwaninya yang menghubungkan rohnya dengan jasad. Tindak-balas daripada roh haiwani itu sering menimbulkan sikap kasar dan agressif pada orang sufi, terutamanya bagi mereka yang berada pada peringkat permulaan melatihkan diri. 

Setelah dapat menguasai peringkat roh haiwani sufi akan beransur-ansur menjadi tenang dan kesedaran pancainderanya mengecil sehinggalah hilang terus. Dia mencapai kehampiran dengan Tuhan dan seterusnya memasuki suasana bersatu dengan-Nya. Baharulah sufi merasakan kerihatan daripada jihadnya terhadap jasad.

Jalan yang ditempuh itu menyebabkan sufi gemar kepada yang indah-indah, mendengar suara yang merdu, lagu-lagu kasih, puisi dan cerita-cerita percintaan. Sebahagian daripada para sufi terbawa-bawa kepada berzikir secara menyanyi dan menari sambil diiringi oleh muzik. Keadaan yang demikian menambahkan rasa kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan mengubati kerinduan mereka kepada-Nya. Kerinduan kepada Tuhan sangat menekan jiwa dan menimbulkan kegelisahan yang amat sangat. 

Aktiviti yang mengasyikkan dapat meredakan tekanan dan kegelisahan tersebut. Perjalanan yang demikian menyebabkan timbul sikap kasar dan tidak terkawal di kalangan sebahagian sufi, selama kecintaan kepada Tuhan belum mereka kuasai dan kerinduan kepada-Nya belum terubat. Kerinduan dan keasyikan menyebabkan sufi lupa bukan sahaja kepada diri dan makhluk, malah sering juga terjadi peraturan syariat dan etika moral tidak diambil berat oleh sebahagian mereka. Sebahagian sufi masih melakukan peraturan syariat tetapi semata-mata kerana menghormati syariat Tuhan bukan kerana menghayati peraturan tersebut.

Para sufi yang bersungguh-sungguh dengan latihan kerohanian mereka, setelah memperolehi keasyikan, akan masuk ke dalam suasana kebatinan di mana mereka menyaksikan rupa, bentuk, cahaya dan warna. Pengalaman yang demikian banyak berlaku pada peringkat awal perjalanan sufi. 

Penyaksian yang demikian sangat menggembirakan mereka, menambahkan keyakinan dan semangat untuk maju terus. Oleh kerana penyaksian tersebut terjadi di dalam suasana kebatinan yang ghaib, sufi mudah menghubungkan yang disaksikan itu dengan Allah s.w.t. Timbullah konsep ketuhanan yang tidak jelas dan mengelirukan.

Penghujung jalan para asyikin adalah bersatu dengan Tuhan. Sufi mengalami kefanaan, dirinya hilang dia berkamil dengan Tuhan. Dia dikuasai oleh suasana ketuhanan. Pada peringkat ini sering terjadi ucapan latah seperti: "Ana al-Haq!" Ucapan latah yang meletakkan ketuhanan pada diri itu berlaku kepada sufi ketika kesedaran terhadap diri sendiri hilang lenyap. Suasana yang demikian diistilahkan sebagai mabuk. 

Dalam suasana yang demikian hubungan hati orang sufi dengan Tuhan sangat erat. Dia telah melepaskan segala-galanya demi Tuhannya. Dia telah membuang makhluk dan dirinya demi kecintaannya kepada Tuhan. Gelombang kefanaan yang melanda hati sufi itu mengubah suasana kebatinannya menyebabkan sering muncul keajaiban daripada dirinya, doanya cepat makbul, perkataannya menjadi kenyataan, dia boleh melakukan perkara yang luar biasa seperti berjalan di atas air atau masuk ke dalam api. Hasilnya bertambah teguhlah keyakinannya terhadap apa yang dipegangnya.

Perkara luar biasa yang muncul daripada sufi yang di dalam zauk itu menyebabkan orang ramai menjadi percaya kepada apa yang sufi itu iktikadkan. Sufi yang di dalam kefanaan diri menyaksikan satu wujud lalu memperkatakan mengenainya. Muncullah fahaman wahdatul wujud. Orang ramai yang melihat keajaiban pada sufi itu dengan mudah menerima fahaman wahdatul wujud yang dipegang oleh sufi itu. Sufi membina fahaman wahdatul wujud melalui pengalaman kerohaniannya, melalui penyaksian mata hatinya. 

Dia mengalami sendiri suasana semua wujud hilang dan hanya satu wujud sahaja yang menyata. Orang ramai pula berpegang kepada fahaman wahdatul wujud secara ikut-ikutan, tanpa mengalaminya dan tanpa benar-benar mengerti mengenainya. Pegangan sufi dibentuk melalui pengalaman rasa sementara orang lain pula melalui khayalan dan andaian. Sufi yang berkata atau melakukan sesuatu yang menyalahi syariat, bertentangan dengan perkataan al-Quran dan perkataan Rasulullah s.a.w ketika dia dikuasai oleh hal atau mabuk, boleh dimaafkan kerana dia berbuat demikian tanpa kesedaran. Orang lain yang di dalam kesedaran biasa yang mengikuti orang sufi secara meniru-niru perlu diberi penjelasan bahawa perbuatan mereka adalah sesat dan kufur.

Pengalaman wahdatul wujud adalah umpama bayangan yang muncul akibat awan mendung menutupi sinar matahari. Setelah awan berlalu bayangan pun hilang. Orang sufi yang berjalan terus akan melepasi peringkat bayangan tersebut. Fahaman wahdatul wujud ditinggalkan di belakang dan dia masuk kepada jalan kenabian, berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunah. Kebenaran yang sejati terletak dalam al-Quran dan as-Sunah bukan pada zauk, jazbah dan mabuk. Oleh yang demikian orang sufi yang belum melepasi suasana mabuk dilarang keras bercampur gaul dengan orang ramai dan menyampaikan fahaman yang terbentuk ketika mabuk.