Pages

Memaparkan catatan dengan label kufur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kufur. Papar semua catatan

Rabu, 22 Jun 2016

Jalan kekufuran


*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*
*بسم الله الرحمن الرحيم*

Surah Aal-e-Imran, ayat 176:_
*وَلَا يَحْزُنكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ إِنَّهُمْ لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيْئًا يُرِيدُ اللَّهُ أَلَّا يَجْعَلَ لَهُمْ حَظًّا فِي الْآخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ*

*Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar*

_Surah Aal-e-Imran, ayat 177:_
*إِنَّ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الْكُفْرَ بِالْإِيمَانِ لَن يَضُرُّوا اللَّهَ شَيْئًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ*

*Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.*

_Surah Aal-e-Imran, ayat 178:_
*وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ خَيْرٌ لِّأَنفُسِهِمْ إِنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ لِيَزْدَادُوا إِثْمًا وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ*

*Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).*

_Surah Aal-e-Imran, t 179:_
*مَّا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَىٰ مَا أَنتُمْ عَلَيْهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى الْغَيْبِ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَجْتَبِي مِن رُّسُلِهِ مَن يَشَاءُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَإِن تُؤْمِنُوا وَتَتَّقُوا فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيمٌ*

*Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (manufik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.*

_Surah Aal-e-Imran, ayat 180:_
*وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَّهُم بَلْ هُوَ شَرٌّ لَّهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ*

*Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.

Selasa, 30 September 2014

BOLEHKAH BERI ZAKAT KEPADA BUKAN MUSLIM?

BOLEHKAH BERI ZAKAT KEPADA BUKAN MUSLIM?
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Soalan: Prof Madya Dr Asri, saya ingin bertanya mengenai bolehkah orang bukan Islam mendapat peruntukan zakat. Saya difahamkan ada pendapat yang menyatakan golongan muallaf yang berhak dapat zakat itu, ada pendapat kata termasuk yang bukan muslim. Begitu juga fakir miskin. Tapi ada yang beritahu tidak boleh. Sehingga timbul isu politik. Saya rasa di Malaysia ini kita patut faham Islam dengan lebih luas. Harap tuan dapat berikan pencerahan kepada kami.
 Nuruddin, Selangor.

Jawapan Prof Madya Dr MAZA: Terima kasih saudara yang bertanya. Usaha saudara dan rakan-rakan untuk memahami Islam dengan lebih luas adalah sesuatu yang terpuji. Apatah lagi dalam isu-isu muamalat yang membabit interaksi antara agama yang memberi impak kepada perkembangan Islam. Untuk menjawab persoalan saudara, di sini saya sebutkan beberapa perkara;

1. Masalah bolehkah bahagian sadaqah wajib atau yang dinamakan zakat diberikan kepada bukan muslim adalah masalah khilafiyyah (perbezaan pendapat) dalam kalangan fuqaha(sarjana fekah). Al-Imam al-Syafi’i r.h (w. 204H) berpendapat tidak boleh. Pendapat yang sama dikeluarkan oleh fuqaha lain. Pendapat ini beliau sebutkan dalam karyanya yang terkenal al-Umm, katanya:
“Golongan muallaf (mereka yang dijinakkan jantung hati) ialah sesiapa yang masuk ke dalam Islam. Tidak diberikan sadaqah (zakat) kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam. Jika ada yang berkata: Ketika peperangan Hunain Nabi telah berikannya kepada sebahagian muallaf dari kalangan musyrikin. (Jawapannya) itu adalah pemberian dari harta fai (harta rampasan), atau dari harta Nabi s.a.w sendiri. Bukan dari harta zakat”. (al-Umm, 2/338. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
2. Pendapat al-Imam al-Syafi’i r.h tersebut telah menjadi pegangan dalam Mazhab al-Syafi’i. Maka, kita dapati tokoh-tokoh dalam mazhab al-Syafi’i akan menegaskan hal yang sama. Ini seperti al-Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab, al-Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ dan lain-lain. Berdasarkan asas ‘kekufuran’ itu menghalang bukan muslim menerima peruntukan zakat, maka –dalam Mazhab al-Syafi’i mereka tidak boleh menerimanya samada atas tiket kefakiran ataupun muallaf.
3. Adapun jika kita melihat pendapat yang lain, sebahagian para fuqaha menyatakan mereka boleh menerima zakat atas peruntukan ‘al-muallafah qulubuhum’ iaitu yang dijinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Ini seperti yang dinaskan oleh al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 60. Peruntukan ini merangkumi mereka yang masih kafir dan yang telah menjadi muslim. Kata al-Imam Ibn Qudamah (w. 620):
“Muallaf itu dua bahagian: kuffar dan muslimin yang mana mereka itu pemimpin yang ditaati dalam kaum dan keluarga mereka. Bahagian kuffar ini pula ada dua kelompok: pertama; orang yang diharapkan dia menganut Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam, lalu dia menjadi muslim…kelompok kedua; orang yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian kepadanya akan menghalang kejahatannya dan mereka yang bersamanya..” (Ibn Qudamah, al-Mughni 9/317. Kaheran: Hijr).
zakat1.jpg
4. Inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat penghujahannya) oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan dalam al-Mufassal, juga Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kertas Ta’lif al-Qulub ‘ala al-Islam bi Amwal al-Sadaqah dan lain-lain. Maka, berdasarkan pendapat ini boleh diberikan zakat bahagian muallaf kepada bukan muslim yang berpengaruh dalam kaum atau masyarakat mereka yang diharapkan pemberian itu menggalakkan dia atau pengikutnya menerima Islam, atau mengurangkan sikap permusuhan dengan Islam. Pendapat ini disokong oleh pelbagai riwayat yang mana Nabi s.a.w memberikan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah. Sehingga Sofwan pernah berkata:
“Demi Allah! Rasulullah s.a.w memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi” (Riwayat Muslim).
5. Walaupun Mazhab al-Syafi’i dan selainnya menyatakan bahawa nas Surah al-Taubah itu bermaksud mereka yang sudah menganut Islam dan kisah Nabi s.a.w memberikan harta kepada pembesar-pembesar Arab yang masih kafir itu diambil dari peruntukan selain zakat, namun di sana ada ayat al-Quran lain yang menunjukkan bahawa Nabi memberikan sadaqah (zakat) kepada bukan muslim. Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 58-59: (maksudnya)
“dan antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (mengikut kehendak mereka) mereka suka, dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (alanglah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka dan berkata: “cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; Sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”.
Kata Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar:
“Nas ini amat jelas bahawa golongan ini yang mendapat sadaqat (zakat), pemberian tersebut adalah untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Pastinya belum menganut Islam jantung hati yang orang mencela Rasulullah s.a.w mengenai zakat”. (ibid).
Ertinya, mereka itu belum menganut Islam, jika tidak, mana mungkin mereka mencela Rasulullah s.a.w kerana itu perbuatan yang kufur. Justeru, ayat ini memberi maksud Rasulullah s.a.w memberikan zakat kepada bukan muslim untuk dijinakkan jantung hati mereka pada zaman baginda.
6. Bagi saya, pendapat yang membolehkan zakat bahagian muallaf diberikan kepada bukan muslim dengan tujuan dakwah adalah lebih kukuh dan sangat relevan untuk masa kini. Hari ini Islam disalahfahami dan dituduh sebagai agama yang negatif. Pemberian zakat kepada muallaf yang sudah muslim dan belum muslim dapat membantu memelihara keindahan Islam. 
Jika kita bimbang aktiviti dakwah agama lain yang menggunakan sumbangan kewangan dan bantuan, mengapa tidak kita mengamalkan pendapat para ulama yang membolehkan pemberian zakat muallaf kepada mereka yang bukan muslim untuk menarik minat mereka kepada Islam?!
7. Selain dari peruntukan zakat kepada bukan muslim atas nama muallaf, para ulama juga berbeza pendapat tentang peruntukan zakat fakir miskin kepada bukan muslim. Jumhur (majoriti) berpendapat tidak boleh. Namun, Dr Yusuf al-Qaradawi mentarjihkan bahawa ia dibolehkan (lihat: Fiqh al-Zakat, 2/707) . Antara dalil dalam hal ini, Saidina ‘Umar ketika membaca firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 60 itu: (maksudnya)
“Sesungguhnya sadaqat (zakat) itu untuk golongan fakir…”, beliau berkata: “Di zamanku ini mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian)” (Riwayat Ibn Abi Syaibah).
8. Para sarjana fekah bersepakat bahawa peruntukan zakat tidak boleh diberikan kepada kuffar yang memerangi Islam atau golongan kafir harbi. Ini berasaskan firman Allah: (maksudnya):
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah 8-9).
Namun bagi yang tidak memerangi Islam; samada mereka warga negara umat Islam, atau yang ada perjanjian keamanan dengan kerajaan umat Islam, atau anak-anak dan kaum wanita kafir harbi yang bapa mereka memerangi tetapi mereka tidak terlibat, boleh diberikan peruntukan zakat muallaf atau fakir miskin ini.
9. Institusi zakat sebenarnya, jika berperanan dengan betul akan membangun umat Islam, dakwah Islam dan membina imej yang baik untuk masyarakat Islam. Jika zakat diuruskan dengan baik, banyak yang dapat dilakukan. Hanya kepada Allah tempat kita mengadu!

MAKSUD HADIS ‘SESIAPA MENYERUPAI SESUATU KAUM'

MAKSUD HADIS ‘SESIAPA MENYERUPAI SESUATU KAUM'
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin


Soalan: Dr Asri, saya ada seorang kawan yang sentiasa berhujah dengan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Dengan hadis itu beliau selalu macam kata orang lain tidak islamik sebab berpakaian ala-Barat atau makan dengan sudu tidak dengan tangan dan lain-lain lagi. Saya beritahu itu boleh sebab tiada dalil yang melarangnya, tapi beliau sering berdalil “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Sejauh manakah penafsiran hadis ini ?
 Nurdin, Pasir Tumbuh, Kelantan.

Jawapan: Saudara, sebagai ingat; dalam penghujahan menggunakan sesuatu hadis, terlebih dahulu hendaklah kita semak kedudukan atau status hadis tersebut di sisi muhaddithin (ahli hadis). Jika hadis itu didapati sabit iaitu berada pada kedudukan (nilaian) sahih atau hasan, maka ia boleh dijadikan hujah dalam agama. 
Setelah perkara tersebut dipastikan, barulah ke peringkat seterusnya iaitu mengkaji maksud matan (teks) hadis tersebut. Bagi menjawab persoalan yang dikemukan maka di sini disebut beberapa perkara;

1. Hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.
2. Hadis ini secara umumnya memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau puak yang baik atau terpuji maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji. Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.
3. Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk. Kata al-Imam al-Son’ani (w. 1182H):
“Hadis menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau ahli bid’ah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)”. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).
4. Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. 
Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.

Gambar contoh pakaian khusus bagi agama tertentu.


5. Saya menyokong pendapat yang menyatakan sekiranya menyerupai golongan kufur tetapi tidak beriktikad kufur perbuatan tersebut berdosa tetapi tidak terkeluar dari agama. Namun, jika dia menyerupai mereka secara penyerupaan zahir dan juga batin iaitu dengan iktikad yang sama, maka dia menjadi kufur. Kadar dosa menyerupai itu berdasarkan kadar perkara yang ditiru atau diserupai.
6. Sekali lagi hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk mereka, maka hadis ini tidak berkaitan. Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. 
Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.
7. Dalam hadis “Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain). 
Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi s.a.w memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):
“Rasululah s.a.w itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).
8. Meniru perkara yang baik dan bermanfaat, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatah lagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat. Daripada Anas bin Malik, katanya:
“Apabila Nabi s.a.w ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad RasululLah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan dan menerima pakai kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.
9. Berdasarkan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” maka muslim dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut. Kata al-Imam al-Munawi:
“Jika puak fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).
Maka, perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.
10. Manusia ini cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.
11. Kesimpulannya; kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan muslim.

Isnin, 29 September 2014

Qarin(Jin) Kembar Kepada Manusia


QARIN (Pendamping manusia)

Roh yang muncul dalam mimpi atau hadir semasa upacara pemujaan sebenarnya ‘qarin’.

BAGI setiap orang, mimpi merupakan sebahagian daripada permainan tidur dan menjadi lebih dramatik apabila roh orang yang telah meninggal dunia tiba-tiba menjelma dalam mimpi.

Malah tidak kurang juga yang menganggap mimpi sebagai medium untuk seseorang dari alam lain memberitahu sesuatu kepada mereka yang masih hidup.

Kita juga biasa mendengar pengamal perubatan tradisional atau bomoh memperoleh ilmu, petunjuk atau ilham daripada roh para guru mereka menerusi mimpi.

Dalam satu senario lain, orang tua-tua menceritakan bagaimana roh orang yang telah meninggal dunia balik ke rumah untuk melihat ahli keluarganya yang masih hidup di dunia.

KES PEMUJAAN
Penjelmaan semula roh bukan sahaja dipopularkan oleh filem-filem Asia dan Hollywood seperti Ghost lakonan Demi Moore, bahkan meresap jauh ke dalam sanubari sebahagian masyarakat Melayu beragama Islam.

Persoalannya, apakah sebenarnya yang dikatakan roh itu dan bagaimana ia boleh muncul semula di alam nyata?

"Apa yang didakwa roh itu sebenarnya qarin iaitu pendamping manusia yang terdiri daripada golongan jin.

"Qarin itulah yang selalu dipanggil dan dipuja dalam pelbagai acara pemujaan.

"Kadangkala qarin itu boleh menjelma dalam mimpi dengan menyerupai orang yang telah mati," kata pengamal perubatan Islam terkenal, Dr. Amran Kasimin.

Penjelasan itu membuka dimensi baru mengenai qarin dan roh yang sering saja disalahertikan.

Dalam bahasa Arab, qarin bermakna 'teman' atau 'rakan'.

Apa yang dimaksudkan dengan qarin di sini ialah roh-roh jahat daripada kalangan makhluk halus yang selalunya menemani manusia sejak dari kelahiran seseorang bayi sehinggalah dia meninggal dunia.

ORANG MATI
"Sekiranya ada orang mendakwa mendapat mimpi tentang kehadiran seseorang yang telah meninggal dunia, itu sebenar adalah jelmaan qarin dan bukan roh si mati," ungkap Amran.

Merungkai salah tanggapan masyarakat Melayu khususnya mengenai roh, Amran menjelaskan bahawa tidak berlaku sama sekali pertemuan antara alam roh dan alam nyata.

Jelas Amran, roh manusia yang telah meninggal dunia tidak akan kembali bergaul dan berbual-bual seperti biasa dalam kehidupan harian manusia termasuk melalui mimpi.

Tambahnya, alam roh dan alam manusia yang nyata ini tidak akan bertembung sama sekali kerana terdapatnya alam barzakh yang menjadi pemisah.

"Justeru, tidak terjadi perkara roh naik atau turun pada waktu-waktu tertentu seperti yang dipercayai oleh kita selama ini.

"Apa yang kita lihat itu sebenarnya qarin," tegasnya. Menjelaskan lebih lanjut, Amran berkata, terdapat perbezaan jelas antara syaitan, jin dan qarin. "Jin ini ada daripada golongan kafir dan ada pula yang beriman. "Dikategorikan dalam jin kufur atau kafir ialah nama seperti Ifrit, syaitan dan qarin," jelas Amran.

Mengaitkan antara jin dan amalan pemujaan oleh bomoh bahkan kaki ekor, Amran memberitahu, sudah menjadi sifat qarin untuk membuatkan manusia percaya terhadap perkara khurafat seperti itu.

Ungkapnya, apa yang berlaku ketika amalan menurun ialah bomoh menggunakan jin untuk memberitahunya apa yang sedang berlaku sahaja.

QARIN KEMBAR SETIAP MANUSIA
"Bagi perkara-perkara yang lepas, bomoh tersebut mengetahuinya melalui qarin. Ini kerana qarin adalah satu-satunya makhluk yang paling akrab dengan manusia.

"Dia seperti menjadi kembar manusia dan kerana itulah qarin boleh memberitahu perkara lampau mengenai seseorang," kata Amran.

Bukan sekadar itu, keberkesanan amalan sihir yang menggunakan darah orang mati dibunuh juga berlaku atas 'campur tangan' qarin si mati.

Menyentuh mengenai gambaran qarin, Amran menjelaskan ia sesuatu yang di luar kemampuan manusia untuk menzahirkannya melalui pemikiran biasa.

Namun menurutnya, kemungkinan qarin menyerupai manusia kerana secara logiknya, ia umpama kembar manusia.

Qarin sentiasa berada di samping manusia. Kerana itu dia amat mengetahui hal-hal yang berkaitan dengan orang berkenaan.

"Qarin tidak seperti jin atau syaitan lain yang menjelma sebagai haiwan atau pokok kerana ia secara harfiahnya adalah pendamping manusia," kata Amran.

Apa yang jelas, kewujudan qarin sama seperti jin dan syaitan lain iaitu berusaha untuk menyesatkan manusia sehinggalah manusia itu meninggal dunia, barulah qarin ini akan terpisah dengan manusia.

Hal ini turut ditegaskan dalam hadis Riwayat Ahmad dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap kamu ada qarin daripada golongan jin dan juga qarin golongan bangsa malaikat.

"Mereka bertanya: "Engkau juga ya Rasulullah." Sabda baginda: "Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga qarin itu dapat aku Islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan."

Khamis, 5 Jun 2014

SYIRIK

SYIRIK

4.Surah An-Nisā' (Verse 48)

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا


Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan 
sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.


6.Surah Al-'An`ām (Verse 82)

الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ


Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

7.Surah Al-'A`rāf (Verse 139)

إِنَّ هَٰؤُلَاءِ مُتَبَّرٌ مَّا هُمْ فِيهِ وَبَاطِلٌ مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ


"Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu".

7.Surah Al-'A`rāf (Verse 172)

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْۖ قَالُوا بَلَىٰۛ شَهِدْنَاۛ أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ


Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya):

"Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

7.Surah Al-'A`rāf (Verse 173)

أَوْ تَقُولُوا إِنَّمَا أَشْرَكَ آبَاؤُنَا مِن قَبْلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةً مِّن بَعْدِهِمْۖ أَفَتُهْلِكُنَا بِمَا فَعَلَ الْمُبْطِلُونَ


Atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?"

7.Surah Al-'A`rāf (Verse 174)

وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ وَلَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ


Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran).

10.Surah Yūnus (Verse 106)

وَلَا تَدْعُ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكَ وَلَا يَضُرُّكَۖ فَإِن فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِّنَ الظَّالِمِينَ


Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).

11.Surah Hūd (Verse 61)

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًاۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُّجِيبٌ


Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya".


12.Surah Yūsuf (Verse 108)

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِيۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."

15.Surah Al-Ĥijr (Verse 39)

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ


Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,

15.Surah Al-Ĥijr (Verse 40)

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ


"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".

15.Surah Al-Ĥijr (Verse 41)

قَالَ هَٰذَا صِرَاطٌ عَلَيَّ مُسْتَقِيمٌ


Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.

16.Surah An-Naĥl (Verse 4)

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ


Ia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.

30.Surah Ar-Rūm (Verse 30)

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًاۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَاۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ


(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

31.Surah Luqmān (Verse 11)

هَٰذَا خَلْقُ اللَّهِ فَأَرُونِي مَاذَا خَلَقَ الَّذِينَ مِن دُونِهِۚ بَلِ الظَّالِمُونَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ


Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.

31.Surah Luqmān (Verse 25)

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُۚ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ


Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): 

"Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).


34.Surah Saba' (Verse 24)

قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِۖ قُلِ اللَّهُۖ وَإِنَّا أَوْ إِيَّاكُمْ لَعَلَىٰ هُدًى أَوْ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ


Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?"

Terang kanlah jawabnya: "Ialah Allah;

dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik - (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata ".

40.Surah Ghāfir (Verse 12)

ذَٰلِكُم بِأَنَّهُ إِذَا دُعِيَ اللَّهُ وَحْدَهُ كَفَرْتُمْۖ وَإِن يُشْرَكْ بِهِ تُؤْمِنُواۚ فَالْحُكْمُ لِلَّهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيرِ


(Lalu dikatakan kepada mereka): "Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan kamu apabila Allah Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur (dan menolak cara bertauhid itu); dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). Maka kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang dipersekutukan), lagi Yang Maha Besar (pemerintahanNya)".

40.Surah Ghāfir (Verse 13)

هُوَ الَّذِي يُرِيكُمْ آيَاتِهِ وَيُنَزِّلُ لَكُم مِّنَ السَّمَاءِ رِزْقًاۚ وَمَا يَتَذَكَّرُ إِلَّا مَن يُنِيبُ


Dia lah Tuhan yang memperlihat kan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah).

40.Surah Ghāfir (Verse 14)

فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ


Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian)


Adnan Dahalan

Ahad, 18 Mei 2014

SUDAHKAH KAMU MENGAKUI

SUDAHKAH KAMU MENGAKUI

3.Surah 'Āli `Imrān (Verse 79)

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ


Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.


3.Surah 'Āli `Imrān (Verse 80)

وَلَا يَأْمُرَكُمْ أَن تَتَّخِذُوا الْمَلَائِكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًاۗ أَيَأْمُرُكُم بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ


Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

3.Surah 'Āli `Imrān (Verse 81)

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُم مِّن كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنصُرُنَّهُۚ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِيۖ قَالُوا أَقْرَرْنَاۚ قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُم مِّنَ الشَّاهِدِينَ


Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): "Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?" Mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."

11.Surah Hūd (Verse 14)

فَإِلَّمْ يَسْتَجِيبُوا لَكُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّمَا أُنزِلَ بِعِلْمِ اللَّهِ وَأَن لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۖ فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ


Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?